10 January 2013

Zack: Pakya Yang Tidak Berdaya....




Selepas entri  Zack Yang Satu Ini….  muncul, ada beberapa  orang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Zakaria Nayan a.k.a Pakya. Daripada mereka itu ada yang bersimpati. Daripada yang bersimpati itu pula ada yang ingin membantu Pakya. Mereka meminta nombor akaun bank Pakya. Kepada Cikgu Non, ada seorang bekas budak Falah yang enggan dikenali juga ingin menyumbang. Dia mengenali Pakya, katanya kepada Cikgu Non. Kepada saya sendiri ada seorang lagi yang tiga kali menghubungi meminta nombor akaun tersebut. Dalam fb alumni AlFalah dan dalam balasan mesej jawapan saya tetap sama: akan diusahakan.

< Cikgu Siti Khadijah Osman [KD], misalnya, mengakui tidak mengenali Pakya, namun ikut terharu mengetahui kisahnya. Memanglah mereka saling tidakmengenali. Pakya meninggalkan AlFalah sebaik tamat SPM pada tahun 1987, manakala Cikgu KD hanya ‘lahir’ di situ pada dekad 90-an…. >

Demikianlah.

Silap kami – saya dan Cikgu Non – kerana tidak teringat untuk meminta nombor telefon Pakya pada petang ‘kiamat’ itu – 21 Disember 2012. Mungkin keasyikan berbual dan melihat situasi Pakya memadam langsung ingatan untuk berbuat demikian.

Maka, sejak terbit kisahnya pada 27 Disember itu, saya berazam secepat mungkin mendapatkan nombor akaun Pakya. Namun siapalah saya untuk lari dari kesibukan yang tidak pernah surut…… menghadiri kenduri di sana sini situ, memantau menantu emak yang menguruskan persekolahan cucu-cucu emak…. Kehendak isteri kedua yang setia di bilik tengah rumah kami ini juga perlu dilayan, untuk berfb dan membaca, walaupun tidak lagi bergelut menyiapkan entri....

Namun petang 9 Januari 2013, saya mencuba. Mencuba kerana jalan untuk ke rumah Pakya harus melintasi kawasan golongan Ambiak dan AADK. Tidaklah mahu saya dicap dalam golongan tersebut jika memasuki kawasan itu yang khabarnya beroperasi 24 jam. Saya hanya akan melintasi kawasan itu jika saya yakin tidak ramai ahli mereka di situ……

Selepas meninjau  dan berlegar dari jauh dua tiga kali, akhirnya saya nekad membelok masuk. Melintasi kawasan AADK dan Ambiak, terus ke rumah Pakya. Ada motor di hadapan pintu dapurnya. Saya yakin Pakya ada di dalam rumah. Saya terus ke bahagian depan rumah itu. Memberi salam dua kali. Jirannya dari dua rumah berhampiran menjenguk melihat saya. Agaknya hairan melihat wajah asing ini.

“Mai sorang saja ka?” Tanya Pakya dari balik pintu, selepas menjawab salam. Saya terkejut. Pintu belum terbuka tetapi Pakya terus bertanya begitu dan tahu pula siapa yang sedang berdiri di depan rumahnya itu. Ilmu apakah yang Pakya pakai?

Pakya mempelawa saya masuk. Sebaik duduk, Pakya menjawab soalan di fikiran saya tadi. Hebat! Dia juga faham apa yang ada di kotak fikir saya!

“Selalunya yang mai akan menuju ke pintu dapur. Tak pernah ada yang terus ke depan rumah. Sebab ‘tu saya hairan apabila terdengar enjin motor di depan tadi. Mesti orang luar ‘ni. Saya tinjau ikut tingkap tadi….” Lebar dan panjang ujaran Pakya, turut diakui oleh isterinya yang ikut menyapa saya.

Saya mengangguk. Ooooo, patutlah dua jiran merangkap sepupu-sepapatnya tadi juga terjengah-jengah…

Rupa-rupanya Pakya baru pulang dari Alor Setar. Nasib baik, kata hati saya. Atau sib bik, tulis budak SPM yang amat berpotensi untuk gagal dalam kertas Bahasa Malaysia……

Dari pagi dia di Pusat Homeodialisis berhampiran pejabat Celcom menghala ke Stadium Darulaman.  Empat jam mencuci darah, sejam berehat, sebelum pulang bersama isterinya.

“Dok situ, bersembang dengan depa yang lain kut?” Tanya saya.

“Bersembang apa….. tidoqla. Semua yang ada di situ pakat tidoq saja…..” jawab Pakya bersama sebuah keluhan.

Saya membayangkan diri ini menelentang empat jam tanpa berbuat apa-apa hatta bercakap pun….

Pakya harus mengharungi suasana itu tiga kali seminggu. Isnin, Rabu dan Sabtu. Setiap minggu.

Saya membayangkan diri ini …… Masya Allah… Hamba-Mu bersyukur.  Lalu teringat pada sepotong kalimat lafaz setiap pagi dan petang dalam Ma’thurat yang disediakan oleh Asy-syahid Imam Hassan alBanna: Allahumma ‘aafini fi badani……[ dari Sunan Abu Daud]

 

Demikian Pakya dan insan senasibnya terpaksa harungi untuk sepanjang hayat…..

Pagi-pagi dia membonceng motor isterinya. Sekitar jam dua, selepas dia berehat di pusat itu, isterinya yang pulang selepas menghantar, akan datang mengambilnya. Sekitar jam tiga barulah dia akan memakan nasi setelah berpuasa sepanjang sebelum dan semasa melakukan proses mencuci darah itu…

Ketika saya sampai itu, Pakya baru saja selesai makan.

Saya terusmenyatakan hajat kedatangan – meminta nombor akaun banknya. Saya ceritakan itu adalah permintaan beberapa insan. Pakya yang sentiasa tersenyum itu memadam sekeketika senyumannya. Saya merenung matanya. Ada genangan…..

“Saya hanya menyampaikan hajat depa….” Kata saya bersalut kesal kerana tidak meminta izinnya untuk berkisah dahulu, “mungkin adalah ‘tu yang depa ‘nak bantu…”

Pakya tidak berkata apa-apa. Lama dia diam. Saya juga kehilangan kata-kata. Untuk mengisi masa itu saya mengeluarkan telefon. Sengaja membelek ruang mesej yang sememangnya telah saya kosongkan, menekan-nekan butang tanpa tujuan, sambil ekor mata melihat Pakya. Akhirnya saya nampak dia bangun. Terdengkot-dengkot berjalan ke arah dapur. Saya mendengar dia menyuruh isterinya mencari buku bank……

Terdengkot-dengkot pula dia kembali duduk di depan saya. Dari arah dia datang tadi, saya mendengar isterinya sedang mengerosek laci atau seumpamanya……

“Lama ‘dah tak tengok buku ‘tu….”kata Pakya.

Saya mengangguk. 

Setelah agak lama, Pakya bangun kembali, berdengkot-dengkot, meminta isterinya mencari slip gajinya dulu, jika buku bank , tidak dijumpai. Kemudian dia kembali duduk di depan saya.

Tidak lama kemudian isterinya muncul bersama sekeping kertas – koyakan buku rampaian anaknya. Di atasnya tertulis nombor akaun Pakya. Saya memintanya menuliskan nombor telefon Pakya juga. Pakya tersengih.

“Lama ‘dah saya tak pakai telefon,”katanya,”yang isteri punya adala……”

“Itu pun boleh,”balas saya, “bukan apa……. Senang  ‘nak contact ……”

Isterinya menulis nombor telefon pula lalu mengunjukkan kepada saya. Saya membelek sekali lalu dan bertanya nama banknya. “Maybank” jawab mereka hampir serentak. Saya melipat kertas tersebut lalu memasukkan ke dalam poket baju. Isterinya masuk ke dapur sebaik terdengar siulan cerek. Saya dan Pakya kembali berbual.

Dia berkisah lima belas tahun bekerja dengan syarikat kurier NationWide. Lapan tahun di cawangan Jitra sebelum bertukar ke cawangan Alor Setar. Di Jitra, kawasan liputannya santak hingga ke Tunjang dan Ayer Hitam. Duit minyak dari syarikat sebanyak  300 sen sehari tidak mencukupi. Banyak bergantung kepada tip yang diberikan oleh pelanggan. Setelah berpindah ke Alor Setar – berdasarkan kekosongan -  barulah keadaan agak menyenangkan. Walaupun masih dengan imbuhan gaji yang sama, namun duit minyaknya meningkat kepada 800 sen sehari. Paling jauh destinasinya adalah sekitar Jalan Datuk Kumbar – tepatnya Alor Melintang di mana terletaknya syarikat kenderaan terpakai Indah Utara. Oleh kerana minyak itu diberi secara harian, kerapkali minyak lebihan dibawa pulang. “Sampai boleh jual….”kata Pakya sambil tersenyum.

Tiba-tiba Pakya teringat kepada Pak Usin [panggilan kami untuk Zamri Hashim], anak bendahari Lembaga Tadbir SMA AlFalah, arwah Hashim Noh, dari Teluk Bagan. Zamri adalah abang kepada dua lagi anak Paklong Husin [panggilan kami kepada arwah bendahari itu] yang pernah seketika belajar di AlFalah – Zamzurina dan Naslina.

Terus-terang, lama betul saya tidak pernah bertemu Pak Usin Junior itu. Pakya juga demikian. Maka saya dapat melihat kekecewaannya tatkala saya nyatakan tidak tahu perkembangan rakannya itu. Dari Teluk Bagan itu, kata Pakya, dia hanya kerap bertemu Zamri Yaakob – kami panggilnya Cha E – rakan sekelas Pak Usin. Saya juga demikian kerana kebetulan isteri Cha E bertugas di pejabat sekolah rendah berhampiran kejiranan saya.

Isteri Pakya muncul dengan seteko Milo panas beserta cawan tembikar yang bersaiz koleh. Ada sepiring roti potong  yang resipinya dari Amerika……

Saya menuang untuk cawan saya sahaja. Pakya menolak kerana masih kekenyangan. Saya mencapai sekeping roti lalu mencicah ke dalam Milo panas itu. Direndam selama 2 saat lalu dibawa ke mulut ………

[Pada masa itu saya mengagumi isteri Pakya. Tugasnya tentulah tidak mudah. Mengurus menghantar anak sulung perempuan[Tingkatan 3]ke SMK Tunku Abdul Aziz, menghantar dua anak lagi ke SK Tebengau [tidak tahulah mana yang dulu], kemudian menghantar Pakya pula ke Alor Setar. Balik untuk memasak dan kemudian pergi semula ke tiga tempat tersebut untuk mengambil mereka …… Banyak yang mesti disabarnya dan banyak pahala yang diraihnya……Semoga dia sentiasa diberi Allah kesihatan yang baik. Amin]

Pakya juga terkenang seorang lagi rakan dari Kampung Hujung Teluk Bagan, Mohd Khir. Memang lama atau hampir tidak pernah berjumpanya selepas dia bersara dari AlFalah… Hanya dapat membayangkan wajahnya semasa bersekolah dahulu.

Kami mengimbau kelas Tingkatan Lima 1987 yang cukup unik itu. Pakya tersenyum seketika. Kelas itu kecil sahaja saiznya. Sebuah bilik di bawah asrama puteri. Hanya mempunyai lima pelajar. Dua lelaki, tiga perempuan. Yang lelakinya Pakya dan Muzammil Radzi. Manakala pelajar perempuan adalah Kalsom Yaakob, Ruhaizi Azizan dan seorang lagi yang saya lupa namanya. Pakya juga lupa akan nama itu ketika saya tanyakannya, namun wajahnya dalam pakaian sekolah itu masih jelas…… Saya terkejut apabila Pakya menyatakan bahawa telah sampai ke pengetahuannya, insan yang kami lupa namanya itu telah meninggal dunia semasa bersalin….. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

Selepas lama diam mengenang arwah itu, Pakya berkisah kekecewaannya apabila Muzammil tidak mengendahkannya ketika bertemu tatkala bersama-sama menunggang motor pada suatu hari. Mengingatkan itu adalah rakannya, Pakya memecut melintasi motor Muzammil dan menyapanya namun tidak berbalas….. Mereka tidak hanya rakan sekelas rupanya. Pernah bersama-sama bekerja di sebuah kilang pendingin hawa di Mergongsebaik tamat SPM. “Lorong Perak 8,”kata Pakya tanda dia mengingat jelas tempat kerja mereka itu selama empat tahun sebelum kilang itu ditutup. Maka saya amat memahami hati Pakya yang terkilan dengan sikap rakan itu. Saya hanya meminta Pakya bersangka baik. “Mungkin dia sedang menghadapi masalah lain…”hanya itu yang mampu saya katakan pada Pakya yang di matanya mula ada genangan baru…..

Kemudian Pakya mengimbau kenangan bersama Suhaimi Md Shah serta rakan Kolanya, Shukeri Wahab. Saya hanya memberitahu apa yang ada di dalam pengetahuan akan lokasi dan kerjaya mereka. Ketika saya bercerita kami – Cikgu Non, Cikgu Rahim dan saya – ke rumah Sofiahmad Din pada 22 Januari, memenuhi undangan ke majlis kenduri, Pakya bertanya khabar ustaz itu serta beberapa penghuni asrama AlFalah yang dikenalinya. Sekali lagi,  saya hanya memberitahu apa yang ada di dalam pengetahuan akan lokasi dan kerjaya mereka……

Saya teringat kesayuan Pakya ketika kunjungan saya dan Cikgu Non dahulu bahawa kini ada kenduri-kendara yang dia tidak dijemput sedangkan semua jiran lain diundang……

Sesungguhnya dia terasa sepi………

Ketika dia bertanyakan khabar Cikgu Abdur Rahim Daud, saya berasa amat bersalah sekali. Ketika kunjungan awal dulu, saya bercakap dengan Cikgu Rahim di depannya – memaklumkan kehadiran saya dan Cikgu Non. Kini saya datang tanpa memaklumkan atau mengajak cikgunya itu….

Saya terus menghubungi  Cikgu Rahim yang sedang berada di rumahnya, di Kampung Haji Jamal, Jalan Yan. Entah kenapa saya tidak teringat untuk mengajaknya juga kali ini… Selepas bercakap sepatah dua memaklumkan situasi saya, telefon dihulurkan kepada Pakya. Mereka bertukar khabar. Saya hanya memerhati – terutamanya pada genangan di kelopak mata Pakya. Saya dapat mengagak Cikgu Rahim berjanji akan mengunjungi rumah Pakya kerana saya mendengar Pakya berpesan jangan datang pada hari Isnin……….

Sib x bik, tulis budak SPM yang berpotensi untuk gagal dalam kertas Bahasa Malaysia…..

Telefon saya cuba mensabotaj tuannya – cuba menconteng arang ke muka ini! Bateri memberi masalah. Terputus perbualan di antara Pakya dengan Cikgu Rahim bersekali dengan terpadam terus telefon… Saya menghidupkannya semula dan menekan simpanan nombor telefon Cikgu Rahim. Sebaik pihak sana mengangkat, telefon saya pula mematikan dirinya!

Sekali lagi saya hidupkan, sekali lagi juga dia mematikan diri. Kalaulah dia ada telinga, putus telinga itu saya kerjakan!

Saya hidupkan sekali lagi.

“Sombongnya budak ‘ni….. Hang tunjuk act kat aku noo……Takpa. Nanti kalau hang pi Aloq Staq, kelapa hang nanti aku putaq, hang tau!?”

Tiga kali nada mesej telefon saya itu menjerkah. Ertinya tiga kali jugalah dia memberitahu bahawa ada panggilan dari Cikgu Rahim. Tapi apalah gunanya kalau saya mendail semula……..

Setelah meneguk habis baki Milo panas di cawan sebesar koleh kecil itu, saya meminta diri. Saya ada destinasi lain. Pakya berterimakasih atas kunjungan saya. Dia menitipkan salam kepada semua budak Falah terutama yang mengenalinya. Isterinya muncul dan mempelawa saya datang lagi…….

Di jalan Batas Paip, saya memecut ke rumah Cikgu Rahim untuk memberitahu kedudukan Pakya dan mengadu akan kenakalan telefon saya tadi……….

Di rumah Cikgu Rahim, kami berbual tentang Pakya dan usaha beberapa insan untuk membantunya. Cikgu Rahim sendiri berharap akan dapat melawat Pakya dalam masa terdekat. Perbualan kami tidaklah lama kerana ada jirannya bertandang dan terpaksalah kami berbual hal yang boleh dikongsi bersama. Cuma ketika ditanya jiran sekampungnya itu, saya sempat memberitahu tempatnya. Di situ terurai lagi hal golongan Ambiak dan AADK…..

Jiran itu bercerita tentang golongan Ambiak. Katanya dia pertama kali mendengar dari Ustaz Hashim Jasin [Pesuruhjaya PAS Perlis] dalam satu ceramah di Kompleks Pas Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut. Kata Ustaz Hashim, golongan Ambiak ini semakin teruk – maksudnya adalah penagih air daun biak [di beberapa tempat dikenali sebagai daun ketum!].

Pada peristiwa lain, jiran itu memberitahu dalam satu majlis ilmu di Masjid Kangkong, seorang rakan bertanya: adakah lagi syuhada pada zaman ini. Dia menjawab: syuhada tak tau, tapi Ambiak banyak! Terkejut rakan itu tapi segera memakinya bergurau tatkala diberitahu Ambiak bukanlah masudnya Anbia’ [nabi-nabi], sebaliknya peminat air daun biak!

Saya bercerita tentang istilah itu yang pernah saya dengar lama dulu. Tetapi di satu tempat lain golongan itu dikenali sebagai AADK. Pertama kali mendengarnya, saya sangkakan itu singkatan untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan, rupanya mereka maksudkan Ahli Air Daun Ketum!

Oh bangsa saya…….

Dalam tawa itulah saya beredar. Cikgu Rahim sempat memberitahu akan ke rumah Pakya nanti. Manakala menjelang Maghrib, saya masukkan nombor akaun bank Pakya pada fb alumni AlFalah. Kebetulannya, Pawang Nujum yang melihat dulu dan pertama menekan ‘like’………

Kini, tinggal kitalah yang  menentukan …………..

Nota:
Nombor akaun Pakya adalah 152023029824 [Maybank]

No comments: