22 January 2013

Cikgu Kay




Pada minggu terakhir Disember 2012, entri blog ini yang paling banyak dibaca adalah Dato' Haji Ismail Hashim Di AlFalah.

Entah kenapa. 

Selama ini entri yang sentiasa berada di atas, sebagai paling banyak dibaca adalah ......... dan adik beradiknya, yang menyenaraikan pelajar yang datang menuntut di AlFalah bersama saudara kandung mereka, yang mampu saya ingat..

Saya bersyukur kerana ratusan orang membaca entri tersebut. Di blog lain, Rencam [seluloi.blogspot.com] entri Ayat-ayat yang Dicintai – Ismail Hashim juga termasuk di dalam 10 yang utama.

Pada penghujung entri berkenaan saya menyatakan terkenang Cikgu Khamariah Ismail [yang sebahagian kami memanggilnya Cikgu Kay] Beliau merupakan salah seorang anak qari tersohor tersebut. Pernah mengajar di AlFalah bersekali dengan Cikgu Nor Hasimah Mansor.

Jarang pula saya menjeling ruang Bisikkanlah yang terdapat di kanan bawah muka blog. Selama ini semua kandungannya mengajak kita menjengah ke blog mereka sahaja. Namun pada malam 29 Disember, saya terpempan.


Di ruang tersebut terdapat respons dari dua orang. Seorang daripadanya adalah saudara kandung perempuan Cikgu Kay sendiri berdasarkan persamaan nama bapa mereka – Dato’ Ismail. Seorang lagi [lelaki] tidak diketahui bentuk hubungan mereka kerana mempunyai ‘bin’ yang berbeza… Kedua-duanya memberikan maklumat yang hampir serupa. Saudara kandungnya mencatatkan: Cikgu Khamariah skrg suri rumah sepenuh masa. Tinggal di Pulau Pinang. Manakala yang seorang lagi menyatakan: Khamariah Ismail di Penang bersama keluarganya. Anak-anaknya bekerja di USM.

Saya mencuba untuk mengetahui lebih lanjut dengan menulis di ruang tersebut: Puan ……… dan En. …….. …….: bolehkah saya menghubungi Cikgu Kay?

Namun tiada sebarang respons ….. Mungkin mereka belum lagi menjengah ke blog berkenaan…

Ketika ternanti-nanti itu, menantu emak menyatakan bahawa salah seorang adik Cikgu Kay pernah belajar bersamanya di Maktab Mahmud Alor Setar. Saya terus menaip namanya di petak carian fb. Dari fail foto dalam timelinenya, saya ternampak satu foto keluarga. Saya klik dan salah seorangnya punya iras rupa Cikgu Kay. Saya terus menghantar mesej bertanya [pada jam 11.06]: Salam. Adakah yg bertudung biru di sebelah emak itu, Khamariah namanya?

Allah memudahkan pencarian saya kerana takdirnya adik Cikgu Kay sedang melayari fb juga ketika itu. Dua minit selepas soalan tadi, saya mendapat jawaban: w/salam, ya yg bertudung biru tu nama khamariah.

Saya segera membalas sambil memperkenalkan diri: maaf. saya adalah bekas guru alfalah semasa cikgu khamariah mengajar di situ dan merangkap suami kepada S****** M******, rakan sekelas puan di Maktab Mahmud.

Tiga minit kemudian jawaban berikut diterima: oh ya ka, cikgu khamariah skrg ni seorang suri rumah dan dah menetap di pulau pinang. sampaikn salam saya kpd isteri ya

Saya lanjutkan catatan kepadanya: Saya ada menulis blog - Budakfalah.blogspot.com. Ada cerita sedikit ttg arwah ayahanda Dato Ismail di Alfalah. dan tertanya-tanya ttg Cikgu Kay [panggilan kami dahulu] Ada respons dari H*******Dato Ismail dan seorg lagi. baru tau cikgu Kay skrg ada di P.Pinang....
Maka bolehlah saya ceritakan kepada bekas murid yg bertanya tentangnya. Terima kasih banyak-banyak. Izinkan saya menggunakan fotonya untuk koleksi kami.

Balasan berikut saya terima beberapa minit kemudian: terima kasih atas usaha encik menulis blog tntg arwah. Tk apa, saya izinkan encik menggunakan foto tersebut

Sebagai tanda seronok dan terima kasih saya kirimkan berturutankedua-dua catatan saya di dalam dua blog tadi kepadanya……

  Dan segera pula saya mendapat jawaban balas: ya, terima kasih banyak2

Lalu saya akhiri dengan menitipkan: Demikian dua blog saya untuk rujukan puan. Terima ksih atas info dan keizinan. Sampaikan salam kepada Cikgu Kay. Terima kasih banyak-banyak.

Pada jam 11.25 malam, saya menerima balasan terakhir, pendek tapi amat bermakna: insya Allah

Demikianlah. Dalam masa tidak sampai 20 minit, satu hal yang amat bermakna berjaya saya lakukan….
Cikgu Kay bersama bondanya

Saya terus menyimpan serta menyunting gambar keluarga tersebut.

Oleh kerana foto itu diambil pada Hari Raya Idul Adha 1433 [Oktober 2012], saya yakin sesiapa juga Budak Falah yang mengenali Cikgu Kay akan bersetuju bahawa wajahnya masih seperti dahulu- ketika mengajar di AlFalah bermula pada penghujung dekad 80-an.

Awal pagi 2 Januari, saya naikkan foto suntingan tersebut ke laman fb grup Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah.  Sebagai hadiah tahun baru…….

Seminggu kemudian, saya menelefon sepupu saya yang lama bekerja di USM Pulau Pinang. Bertanyakan tentang dua cucu Dato’ Ismail Hashim yang dikhabarkan bertugas di situ. USM bukanlah AlFalah dulu yang staffnya tidak sampai bilangan semua jari di tubuh kita…. Ada ribuan petugas di USM – apa lagi tidak pula dinyatakan secara spesifik bidang dan jawatannya.

Mungkin sepupu saya juga terkejut mendengar saya mencari dua anak Cikgu Kay secara rambang begitu….. Dia yang juga merupakan bekas pelajar Maktab Mahmud, sebelum melanjutkan pelajaran di UPM, tentulah bersedia dengan jawapan ‘tidak tahu’nya.  Tidak pula pernah dia mendengar tentang cucu qari legenda itu.

Saya faham, namun tidak salah memukat nasib, kan…?

Kiranya Allah mengizinkan pukat saya mengena! Alhamdulillah!

Besoknya, ketika bertemu sepupu tersebut pada majlis kenduri kahwin sepupu lain di belakang AlFalah, dia memberi maklumat: memang ada dua cucu Dato’ Ismail Hashim bertugas di universiti yang dulunya dinamakan Universiti Sains Pulau Pinang itu. Lengkap disebutkan nama kedua-duanya dengan bintinya sekali! Ertinya nama anak Cikgu Kay serta nama suaminya!

Saya gembira.

Akan nama mereka itu biarlah tidak saya catatkan di sini.
Yang penting kini kita tahu di mana Cikgu Kay. Semoga beliau berbahagia bersama keluarganya dan sentiasa diberikan kesihatan yang baik.

Semoga akan ada pertemuan Budak Falah dengannya suatu hari nanti……

No comments: