Malam Jumaat.
Angin timur berpuput lembut.
Sepi mencengkam. Tiada teman bicara di samping.
Saya menghubungi Budak Batas Paip [BBP]. Maaflah bagi yang tidak berapa
suka dengan kekerapan muncul watak pembantu ini. Setakat ini hanya dia yang
boleh melakonkan watak itu tanpa meminta bayaran…..
Destinasi saya adalah
Taman Marina,
Jalan Kuala
Kedah.
Selepas BBP mengesahkan bahawa isteri suspek… errr… maaf….silap….
isteri subjek yang mengangkat telefon memberitahu keluarganya bersedia menerima
kunjungan kami, saya membuat sesuatu yang amat sering dilakukan anak bangsa saya
– mengoyak
minyak!
“Dalam lima belas minit saya sampai!” Saya membohongi BBP
yang berjanji akan akan menunggu saya di jalan utama masuk ke Taman Marina.
Berbohong, sebab saya sampai dalam masa 12 minit saja dari rumah emak ayah di
belakang AlFalah! Tapi dia juga berbohong: dia tidak menunggu pun! Satu
berbalas satu. Padan muka kami!
Saya hubungi BBP kerana takut berseorangan di tempat yang di
kiri kanannya berlalang tinggi itu – tiada satu pun kelibat orang keluar atau masuk, kena pula malam Jumaat….. Mi yang
bersama Do dan Re pun boleh menggigil, apalah pula saya yang solo…..
Lima minit kemudian barulah muncul BBP menunggang kudanya.
Berbaju dua layer,
tapi seperti saya selalu katakan, kalau dia pakai sari pun dapat dicam dari
jauh…..
BBP menunggang di depan sebagai penunjuk jalan. Kuda saya
mengekori sambil minda menyimpan data jalan dan lorong.
Bukan tidak pernah sampai ke rumah subjek. Lama dulu, satu
malam, sekali dengan Cikgu Non, saya sudah ziarah pagar rumahnya sebelum kami
mengajaknya ke rumah Ustaz Husin Latih dan berakhir dengan berjemaah memamah
ikan bakar di Kuala Perlis! Saya katakan ziarah pagar kerana kami tidak masuk, sekadar
berdiri di depan pagar. Berdiri macam budak dari sekolah lain masuk ke kelas di
sekolah baru. Sebabnya? Isterinya mahu kenal yang mana satu Cikgu Non dan yang
mana satu Cikgu Din yang sering disebut-sebut oleh si suami. Kami pun apa lagi,
tertunduk malulah diperlakukan demikian….hehehehe.
BBP pun bukannya ingat sangat akan rumah subjek. Hanya
nombor rumah menjadi pedoman. Tapi akhirnya dia berhenti di hadapan sebuah
rumah yang terdapat 4-5 biji tong plastik dan tong polisterin. Kucing pun tahu itulah tong bekas mengisi
ikan.
Salam dilaung dan balasannya juga salam.
Subjek |
Muncullah subjek berkain pelikat dan badannya berbalut
baju-t putih cap Pagoda. Seperti biasa matanya dipejamkan – tanda
tersenyum!
Subjek mempelawa kami
masuk setelah memberi pilihan sama ada mahu mengeteh di kedai atau di rumah. Saya mengambil
pilihan kedua. BBP mengikut sahaja.
Di dalam rumah, seorang anak subjek terkedang lena. Isteri
dan ibu mertuanya bersimpuh elok menghadap tv dari dua pintu bilik. Kami
bertukar-tukar senyum.
Saya yang duduk di kerusi di sisinya menggosok lengannya
yang lebih daripada 38 darjah Celcius suhunya. Panas. Saya bertanyakan sebab
suhu badan yang agak tinggi itu.
Bermulalah pengaliran info.
Mula-mula dia berkisah berulang alik antara kelas dan
hospital. Dia ada tiga tugas. Kata isterinya, secara bergurau - dengan masjid
[baca: Jabatan/Majlis Agama Islam], dengan Yayasan AlBukhari dan dengan
sendiri! Ketika BBP menyakatnya untuk direpotkan hal itu, termasuk tidak
mengimami solat lima waktu, selamba saja subjek mempersilakan… Dari situ saya
nampak seperti ada bibit perseteruan di antara mereka. Ada yang lama terbuku
agaknya. Lawan menyakat saja…..
Rasa-rasanya seakan saya sedang membaca imbas muka [foreshadow] sebuah
novel…. Ataukah demikian cara bergurau mereka?
Pasangan tuan rumah itu baru sahaja mendapat cahaya mata
perempuan – yang pertama seumpamanya. Tetapi si bayi masih di hospital kerana
hal-hal yang doktor dan jururawat saja yang boleh beritahu…….
Apabila BPP mencelah kedatangan kami mungkin mengheret
subjek berbual hingga ke pagi, cepat saja dia menjawab: Tidak kisah. Dia pernah
berjaga hingga subuh bersama beberapa orang.
“Bila?” Tanya BBP.
“Semalam!”balas subjek. Maksudnya, malam sebelumnya kena
gilirannya seminggu sekali menjaga kawasan kejiranan secara sukarela. [Pada
penghujung pertemuan, subjek bangun mengambil kad kuasa yang tertera gambarnya
yang tergantung di salah satu paku di dinding bilik yang dihuni emak
mertuanya].
Kemudian saya menyalaminya sekali lagi. Kali ini untuk mengucap
tahniah atas pentauliahannya sebagai imam rasmi kariah Masjid Tunku Tajuddin, Kuala Kedah.
Matanya terpejam. Tersenyum.
BBP bertanyakan isteri subjek tentang fb. Pandai juga BBP
berbasa-basi, fikir saya. Siap bertanya nama untuk ditambah sebagai rakan.
Isteri subjek mengakui tidak aktif namun bercadang untuk membuka akaun baru.
Bolehlah melihat perkembangan alumni. Subjek pula bertanyakan tentang
perjumpaan raya akan datang, sebaliknya entah dihasut iblis mana, BBP boleh
menjawab tidak mahu memberitahunya kali ini. Merajuk sedikitlah subjek kita.
Untuk meredakannya, saya terus berikan tarikh : 11 Ogos 2013, raya keempat, tempat
yang sama - SK Taman Bersatu. Isteri subjek tergelak…..
Kemudian hampir setengah jam isu pemilihan imam dan
pengurusan masjid sekitar Kuala Kedah menjadi topik pilihan. Pilihan subjek dan
BPPlah. Saya hanya mendengar dan mencelah apabila ada tumakninah. Sungguh.
Hampir tiada ruang kosong untuk sesiapa pun mencelah. BPP buka mulut sahaja,
subjek akan memangkas dengan mengatakan dia lebih tahu duduk perkara. Dari bab pemilihan
imam masjid dekat rumah Hjh Roselah Hj Ahmad,
bekas kerani AlFalah – sebab aku yang pi
temuduga sama, katanya, penuh semangat!- hinggalah bab pengurusan nikah kahwin, membawa
kepada kesanggupannya melepaskan jawatan jika peraturan diberikan
Majlis/Jabatan Agama tidak dipatuhi… Tegas sungguh gaya percakapannya. Kalaulah
ada sepuluh orang imam macam ini, fikir saya, sepuluh-sepuluh saya sokong!
Memang diakui dia lebih tahu dalam kebanyakan hal ….
Setelah agak lama bercakap bab masjid, isteri subjek
menghidangkan teh o panas dan biskut empat segi sama serta buah dokong air.
Subjek mempelawa kami minum tetapi perbualannya masih pada subjek yang sama.
Marah benar dia pada penyelewengan yang diketahuinya tentang pengurusan masjid…
Sehingga ibu mertuanya masuk tidur, diikuti isteri serta
anak yang terkedang tadi dibawa ke dalam bilik, saya masih mencari celah untuk
menukar topik. Dua kali dia menepis tangan saya demi mahu meneruskan hujahnya.
Kena pula BBP pun macam suka bab itu. Siap keluarkan apa yang diketahuinya, manakala
subjek pula pantang dicabar….. terus teguh dengan tagline: Aku tau la. Hang tak tau…
[sambil mengunjukkan tapak tangan digayakan leper ke arah BBP.
Setelah menghabiskan secawan teh, beberapa biji buah dokong
dan sekeping dua biskut empat segi, saya bangun untuk berubah kerusi. Dari
kerusi DUN ke kerusi Parlimen. Errrr ….tersasul….. dari kerusi sisi ke kerusi menghadapnya.
BBP pula duduk di lantai membelakangkan pintu hadapan yang tertutup.
Saya tukar tajuk kepada ‘Ustaz Man’. Subjek teruja. Saya
tahu dia cukup menghormati gurunya itu. Katanya tidak sia-sia mengikut Ustaz
Man ke majlis ilmu, bertahlil dan berfidyah. Ustaz itu juga berbangga dengan
pencapaian muridnya.
Menyebut Ustaz Man, subjek teringat semasa kembaranya
bersama Baharuddin Saad [Tebengau] dan Zawawi Hj Ali [Kangkong] ke rumah ustaz itu di
Wilayah Pattani Darussalam. Bersinar matanya bercerita dari waktu bertolak
hingga waktu dihantar terus ke rumah Ustaz Man oleh Yunus,pemandu
teksi di Pekan Dannok yang kebetulan mengenali ustaz. Banyak hari juga
dihabiskannya di rumah ustaz kesayangannya itu, sesuai dengan tamatnya mengambil
peperiksaan SPM di AlFalah pada tahun 1995.
Saya pun mengeluarkan cerita bagaimana kami – saya, Paktih dan
arwah Paktam saya serta Cikgu Non – sampai ke rumah mertua Ustaz Man dan dua
tiga malam pula menginap di rumah ustaz itu pada penghujung dekad 80-an.
Ketika inilah subjek bangun mengambil album gambar yang
mengandungi foto semasa di bumi selatan Thailand. Sebagai bukti agaknya. Antara
foto yang paling dibanggakannya adalah Masjid Kersik yang bersejarah dan berdarah
itu. Di sini saya mengaku kalah kerana ketika kami pergi,tidak sekeping foto
pun diambil sebagai kenangan…..
Ketika membelek-belek album inilah kami terserempak foto zaman
persekolahan di AlFalah. BBP paling teruja sebab kebanyakan foto itu tiada di
dalam simpanannya. Mata subjek terpejam lagi. Dia mengakui membeli
sedikit-sedikit – lima kupang sekeping – dari kawan yang mencuci negatif filem.
BBP bagai tidak menang mata menatap semua foto. Seronok rupanya melihat wajah orang teruja
tetapi lebih seronok melihat tuan punya
foto yang mengawasi keterujaan tetamunya itu…. Ada satu aksi dalam foto yang
mungkin subjek tersilap membelinya dua salinan. BBP meminta sekeping untuknya.
Subjek siap mengasah lengan. “Kalau hang tak mau kena, hang ambikla….”katanya.
Serius.
Saya tergelak ketika BBP tetap meminta foto itu. “Toksah
ambikla. Buat tak lena saja. Sat gi dia pi ketuk rumah hang minta balik gambar
tu…”kata saya. Dan subjek mengangguk-angguk!
Ustaz Man |
“Tangkap gambar semua ‘ni simpan untuk fb kita….” Saya
mengesyorkan. Subjek mengangguk. “Macam ‘tu tak pa”katanya. Maka
meliuk-lintuklah BBP menggerakkan badannya mencari posisi yang betul untuk
merakamkan foto-foto tersebut. Inilah yang dimaksudkannya tangkap gambar gambar di dalam ruang fb Alumni AlFalah yang Cikgu Siti Khadijah Osman pun mengaku kurang faham……
“’Ni kalau bubuh dalam fb, ada yang keluar airmata ‘ni…..”
kata BBP tatkala saya mengunjukkan sekeping foto yang di dalamnya ada seseorang itu yang
diminati oleh seseorang lain semasa di
AlFalah….. Cerita purba….. hehehehe.
Kemudian saya teringat isteri subjek merakamkan banyak juga
sudut semasa di majlis hari raya dahulu. Apabila ditanya, subjek terus bangun
mencari album kecil yang agak baru di bawah rak tv. Tidak dijumpai. Dia bertanya
isterinya yang memberitahu album itu tersimpan di dalam bilik tidur mereka.
Subjek masuk mengambilnya dan sebaik keluar, dia
mengunjukkan sekeping foto kepada BBP. “Hang mana ada yang ‘ni!”katanya. Saya
memanjangkan leher untuk ikut melihat namun tidak memahami maksudnya. Sekali
lagi diunjukkan foto itu ke muka BBP. “Siapa ‘tu?”tanya kami serentak. Bezanya,
pertanyaan BBP kedengaran manakala pertanyaan saya hanya di dalam hati…..
BBP tersengih. Foto
bekas pelakon itu ditenungnya sepintas lalu. Subjek ikut tersengih sambil mata
terpejam…..
“Mana gambar raya ‘tu?” tanya saya apabila sengihan mereka
hilang.
“Ada. Ada.” Kata subjek sambil membalik-balikkan album mini
di tangannya.
Mencari-cari.
Akhirnya bahagian yang ada foto di dewan SK Taman Bersatu
diletakkan di hadapan kami. Sekali lagi BBP teruja. Banyak foto menyelitkan
wajahnya yang berjanggut hitam itu. Dia
tersenyum.
“Bagi kat aku gambar ‘ni….. gambar ‘ni….. gambar ‘ni….”katanya
entah serius atau bergurau.
“Nampak ‘ni?” tanya subjek pula sambil menunjukkan genggaman
yang diterbalikkan, ke wajah BBP. Genggaman itu terletak pada hujung lengan
yang panjang. Kalau betul terkena saukan genggaman itu di bawah dagu, agaknya
dua tiga hari jugalah BBP kena menikmati bubur lambuk melalui penyedut minuman…..
Saya tertawa. Sah, ada yang terbuku sesama mereka……
Akhirnya, sekali lagi BBP menggunakan kemahirannya untuk
merakam foto-foto tersebut – menangkap gambar
gambar…..
Sesudah itu kami kembali berbual. Bertanyakan pengalamannya
sebagai imam yang menikahkan anak kariahnya. “Baru dua kali,”katanya, “Sabtu ‘ni
[19 Januari] ada lagi satu pasangan – pengantin lelaki umur 60……”
“Pengantin perempuan?” tanya kami hampir serentak sambil
menarik nafas. Kali ini kedua-dua kami mengeluarkan bunyi…
“Pengantin perempuan pun umur dalam 60 jugak….”jawab subjek.
Kami melepaskan nafas, juga hampir serentak!
Kemudian suhu kembali panas apabila BBP mempertikaikan
bayaran nikah untuk imam dan saksi. Subjekmemperthankan itu hak jurunikah dan
saksinya, manakala BBP berpendapat sepatutnya mereka menikahkan orang dengan percuma sahaja sesuai
dengan menggalakkan orang membina masjid. Lama juga di tahap itu. “Aku tau la. Hang
tak tau… “ kata subjek.
Saya yang menjadi
mangsa. Puncanya, BBP berkata saya datang meminta borang nikah lalu segera subjek
menyebut kos untuk jurunikah dan sijil nikah…… Haru!
“Depa kata menikah satu taman
tak sah. Betui ka?” tanya BBP. Sambil itu matanya menjeling kepada saya.
Saya tersenyum mendengar sakatan itu. Subjek mencemik sambil
tangan kanannya meleper ke arah BBP.
“Menikah satu
kampung pun tak sah jugak, depa kata…..”BBP terus menyakat.
Sekali lagi subjek mencemik. “Hang belajaq ilmu sesat mana ‘ni?
Tu la suruh belajaq hak betui tak mau….” Leter subjek tanpa melihat wajah BBP.
Saya tertawa. Benar. Subjek tidak boleh diajak bergurau di
dalam bab-bab sedemikian. Maka tidak perlu rasanya diteruskan sakatan yang
melibatkan permainan kata itu. Dia serius
nampaknya.
Segera saya bertanyakan tentang Rohimi Md Isa, bagi menukar
tajuk. Bersinar matanya menceritakan tentang Budak Falah yang berasal dari
Sungai Tiang, yang kini mengajar bersamanya di Yayasan AlBukhary. Malah dia
beria-ia menyanggupi untuk membawa saya ke rumah Rohimi di Jitra. Bila-bila
masa, katanya.
Saya sekadar melafazkan “Insya Allah”. Memang ada
perancangan untuk bertemu Rohimi setelah
hampir dua tahun.
Sambil itu, dia bercerita tentang anak-anak Ustaz Rohimi –
panggilannya untuk Rohimi – yang kebanyakannya belajar di sebuah pusat tahfiz
di Pulau Pinang. Keakrabannya dengan Rohimi terpancar dengan sebutan nama
beberapa orang anaknya, termasuk yang pernah datang ke rumah tersebut dan
mengimami solat pada suatu malam.
Ketika saya meminta diri, sekali lagi pelawaan untuk membawa
saya ke rumah Rohimi disebutnya.
“Budak ‘ni ‘nak bawak dak?”tanya saya sambil mengisyaratkan ke
arahBBP. Ketika itu kami sudah berada di luar rumahnya.
“Bawak buat apa….? Mengacau saja!” balas subjek. Saya dan
BBP tertawa.
Di luar juga saya nampak dua keretanya sedang dibuai mimpi.
“Bila ‘nak bagi zakat kereta ‘ni?” saya cuba menyakatnya
sebelum melangkah ke motor. BBP tergelak. Subjek tersengih.
Seketika kemudian kami melepasi pondok kawalan taman
tersebut. Di situlah subjek maksudkan dia berjaga pada malam sebelumnya.
Sebelum berpisah pada dinihari itu, saya dan BBP singgah
menikmati teh suam di hadapan kawasan pejabat MADA – AIV Batas Paip. Melihat
tukang bancuh juga berwajah suam, kami pun berpisah untuk sekian kalinya.
No comments:
Post a Comment