28 June 2013

Memburu Gajah Mati (3)



Selain bab perjumpaan raya, timbul bermacam cerita lain tentang AlFalah. Semuanya menjadi lucu setelah lebih dua dekad berlalu, meski sebahagiannya agak tragik. Semuanya mengundang dekahan tawa kami. Lebih-lebih lagilah apabila cerita yang keluar dari mulut Md Rautin dan Yeh. Mereka pasangan secocok dalam bercerita. Saling melengkapi.

Cerita mereka yang paling mendera urat tawa kami adalah tentang satu kejadian di asrama. Tajuk yang mereka pilih bersama adalah '10 Muharam'.

Begitu serasinya Yeh dengan Md Rautin bercerita dapat dinilai dari saling sambung menyambung cakap hingga menjadi satu cerita lengkap.

Namun tidak dapatlah saya masukkan cerita bertajuk 10 Muharam itu sekarang. Nantilah. Kena jadi episod khas. Mungkin sempena Awal Muharam 1435 nanti…..

Akan cerita silam lain, nantilah saya selitkan di mana-mana…..

Lagi pula tujuan utama kami adalah menjemput mereka secara rasmi ke majlis perjumpaan hari raya nanti. Mulanya mahu diwakilkan kepada Md Rautin, namun dengan adanya Yeh dan Dino bersama, semuanya kami lantik menjadi wakil bagi menjemput semua warga Gajah Mati dan kawasan seposkodnya yang pernah bermukim di AlFalah.

Semua nampak teruja. Mengikut gayanya, Yeh macam malam itu juga mahu menggerak anak-anak saudaranya memberitahu tentang majlis tersebut!

“Takpa. Esok saya habaq kat Fida…….”katanya merujuk kepada anak saudaranya yang kini mengajar di Tanah Merah. Dia menggenggam segumpal kad jemputan yang BBP ambil dari dalam kereta Cikgu Non.
Cikgu Non bertanya tentang ketiadaan mereka pada majlis tahun lalu.

“Kami nak pi tahun lepas……”kata Yeh.

“Tapi….”sambung Md Rautin.

Maka alasan pun dihamburkan oleh Yeh dan Md Rautin. Suka atau tidak, kami kena menerimanya. Tidak perlulah saya catatkan alasan yang mereka berikan. Nanti diciplak pula oleh insan yang memang tidak mahu datang pada perjumpaan kelak…….

Namun untuk tahun ini, memang Md Rautin dan Yeh sudah sepakat. “Apa jadi pun, kita pi dua, Tin!” kata Yeh, serius. Teman sekampungnya itu mengangguk-angguk. Setakat ini, kami yang mendengar merasa lega. Setakat ini……

Sebenarnya, sambil makan tadi pun kami ada menyentuh tentang majlis itu, tentang kutipan untuk membiayai majlis dan tentang rakan sekampung mereka yang sama ke AlFalah. Namun suasana bertambah rancak sebaik pinggan dan rakan-rakannya meminta izin untuk masuk ke dapur ……..

Tak pa, nanti kalau jumpa Pak Mid, saya habaq kat dia,”kata Yeh, “pakai Kompressor, takkan tak boleh huloq seratus dua kut…….”

Bukan hendak memuji tetapi sepatutnyalah begitu tentang Yeh nan seorang ini. Keyakinan sentiasa ada. ‘Tak pa’sentiasa ada di mulutnya. Saya seronok mendengarnya.

Dino yang bertugas setempat dengan Hamzah  dan Fahrulrozi di Lumut hanya mendengar. Walau tidak berjanji apa-apa, namun dia menyokong kewujudan majlis nanti. Ada tanda-tanda dia akan ikut hadir….

Md Rautin dan Yeh bercerita tentang rakan sekampung bekas pelajar AlFalah secara ringkas.

Siti Norliza Abdul Hamid dan dua lagi adiknya tidak tinggal di kampng itu. “Tak pa. Nanti saya tinggai kad di rumah ayah depa…..” kata Yeh……Hehehehe.

Md Daud ada di Pulau Pinang. Mohd Nizam Khalid [Md Kidam]ada di KL. Dua adiknya, Shukeri dan Ahmad, rasanya tinggal di luar daerah juga. Mahathir Fadzil pun begitu. Rizaki Othman, sepupu Norhashimah Ismail, tidak diketahui lokasinya. Adik beradik Pakmid juga tidak tinggal setempat.Seorang dua lagi pula,  menurut mereka sedang bermasalah, tidak perlu dipanggil. Kerana mereka lebih kenal bau tanah Gajah Mati, saya dan Cikgu Non serta BBP hanya mengangguk.

Tak pa.  Hak mana yang boleh, saya akan bagi kad ‘ni….. Esok saya pi jumpa Fida!”sekali lagi Yeh menjamin kesediaannya mengedarkan jemputan. Sekali lagi saya seronok…..

“Jangan lupa, Tin. Kita pi dua!”sambung Yeh, sambil menepuk peha Md Rautin. Saya bertambah seronok!
Bercerita tentang rakan-rakan tadilah terselitnya pelbagai kisah di sebalik tabir yang menyenakkan perut kami. [Dino yang hanya tiga tahun di AlFalah hanya mampu tersenyum atau tertawa. Tidak banyak yang dapat diceritakannya….]

Mereka [Yeh dan Md Rautin]pernah mencuri menghisap nira pada malam hari. Tuan nira itu mereka panggil PX saja. Saya hairan. Rupanya PX adalah abjad pada nombor plat motor tuannya. Namanya Zainol bin Abdul, saya memanggilnya Pakndak Non, isterinya Makndak Faridah [kedua-duanya telah meninggal], tinggal bersebelahan rumah Ustazah Rodziah, di penjuru pagar AlFalah menghala ke Kg Perlis. Setiap malam, Md Rautin dan konco-konconya akan membawa straw, merejamnya ke dalam tukil nira. Disedutlah nira segar dari pokok nipah itu. Tapi satu malam mereka terkena. Biasanya, setiap tukil mengandungi sedikit sahaja nira yang dikumpulkan setitik demi setitik itu. Tapi malam itu, Md Rautin merasakan tukil itu hampir penuh. Berat. Md Rautin seronok.Direjamnya straw. Disedut. Puih! Tawar!

Md Rautin dan Yeh hampir serentak ketawa dan berkata,”PX bubuh air sejuk di dalam tukil ‘tu….”

Satu hal lagi, Md Rautin mencuri ayam Ustaz Man semasa ustaz itu pulang ke Pattani. Dibawanya ayam itu ke kedai Cina di simpang ke Kangkong. Nyonya itu enggan membelinya kerana ayam itu sedang mengeram, bukan ayam dara. Md Rautin terdesak. Dia mengugut, “mau beli ka dak?” Tahulah wajah bengisnya. Nyonya itu membayarnya tiga ringgit lima kupang….. Sekembali dari Pattani, Ustaz Man dapat mengesan kehilangan ibu ayamnya. Dia memanggil Md Rautin. Hamba Allah itu hairan, betapa tepatnya Ustaz Man menuduhnya! {Ketika saya ajukan sudah minta halal atau tidak, Yeh yang epat menjawab, “Tak pa. Masa ‘tu budak budak lagi….”. Namun Md Rauitin ada mengunjungi Ustaz Man tidak lama dahulu – membelaknjanya makan di Simpang Empat….}
 
Ada banyak lagi cerita, tapi takut anda jemu pula kerana saya terlalu menokohkan dua sahabat dari Gajah Mati itu….. 

Akhirnya kami terpaksa mengundur diri. Malam semakin larut. Hujan hanya sedikit kurangnya. Kami menghulurkan salam perpisahan. 

Misi kami berjaya.

Kerana perut telah terisi, kami terus pulang tanpa transit di mana-mana. Cikgu Non memilih jalan yang sama untuk pulang. kali ini lebih yakin dan laju. Tidak sebiji kenderaan pun kami temui sepanjang jalan ban bertar molek dari Bukit Choras hinggalah ke kawasan kejiranan kami.

Tidak banyak yang kami bualkan sepanjang perjalanan pulang. Mungkin dikeranakan oleh tiga kerana:
  • puas dengan misi yang tercapai,
  • melayan atau mengimbau cerita-cerita mereka tadi, dan
  • BBP berdoa di dalam hati sambil melihat bacaan km/j yang disenangi oleh Cikgu Non.....
Sampai di  rumah, barulah BBP bercakap banyak. Lebih-lebih lagi apabila berjaya membuka akaun fb di i-padnya dengan wifi Cikgu Non. Sambil saya melawat ruang Alumni AlFalah dengan lappy Cikgu Non, kami pekena kopi pahit bancuhan tuan rumah yang tekun menjeling pergerakan graf forexnya...... Sesekali mata kami terarah pada satu perlawanan bolasepak di tv.

Lama kemudian barulah kami izinkan BBP kembali ke lubuknya untuk berehat......

Budak Batas Paip
Lebih kurang dua belas jam lagi kami hendak ke rumah kenduri di Taman Bersatu pula! 

Nota:

Terima kasih kepada BBP yang menyediakan foto untuk dua episod awal catatan Memburu Gajah Mati.
Terima kasih dun pegaga, kalau tidak diizinkan pun saya ambil juga!

No comments: