1 June 2013

Makan-makan Di AlFalah Lagi......


Masih dalam mood makan-makan serta kaitannya dengan Hari Guru.



Saya menjumpai foto di atas ini bersama beberapa foto lain, mungkin pada salah satu edisi Hari Guru di AlFalah, berdasarkan jamuan yang diadakan di dalam salah sebuah kelas di bawah surau AlFalah. Surau? Ya, berdasarkan warna biru muda tiang seri itu. Kalau tidak silap, itulah kelas yang berkiblatkan tandas……. 

Tahunnya? Yang pasti, paling lewat, 1996.

Lihatlah begitu fokus Ustaz Mohammad Abdullah, dengan lengan baju disingsingkan, menghadap bahagiannya….. Tidak dihiraukan sesiapa lagi di sekeliling atau topik apa yang sedang dibualkan.
Ustaz Wan Osman Wan Mat yang kekal bermisai tebal hingga kini, selamba sahaja menyuap nasi dari bekas polisterin.

Bersetentang dengan Ustaz Man itu adalah Cikgu Mustafa Mohamad [Cikgu Pa] yang baru membuka bekas nasinya. [Guru Bahasa Inggeris yang sebelumnya lama juga mengajar di SMA Sungai Limau ini meninggal dunia pada 29 Julai 1996, ketika masih bertugas di AlFalah].

Di sebelah Cikgu Pa, kelihatan huluran tangan Ustaz Abdul Hamid Ismail, menggaul nasi. Saya ingat sangat baju a la grup nasyid Raihan berwarna merah jambu lembut itu……

Insan yang sedang tunduk membaca mesej dari hp, berdekatan dinding yang bertampal kerja kreatif penghuni kelas itu, kalau tidak silap, adalah penulis catatan ini. Membaca mesej dari hp? Auta sahaja! Mana mungkin, kerana benda alah begitu tidak mampu dicapai olehnya, pada masa itu. Malah, pada masa ini pun, tatkala kebanyakan orang menggunakan benda alah tersebut - yang telah melalui beberapa generasi inovasi - dengan sekadar layangan jari, dia masih menggunakan tekanan jari pada hp model yang cukup ketinggalan, siap dengan ikatan gelang getah bagi mengelakkan baterinya ditalakkan secara automatik……  Saya tahulah sebab dia tinggal serumah dengan saya dan berkongsi semua hal! Hehehe…..


 Ini pula foto acara makan-makan oleh grup guru perempuan. Jangan betulkan lensa lekap anda. Memang pencahayaan kurang difahami oleh tukang pegang kamera. Lagi pula lebih suku abad foto ini tertimbus di dalam album usang……


Paling kiri di dalam foto adalah Cikgu Siti Ramlah Johari. Guru Matematik berasal dari Kampung Sungai Dedap, Sungai Limau itu merupakan warden asrama puteri selain bertindak sebagai pentadbir di pejabat sekolah, bersama Ustaz Ahmad Fairose. Beliau kemudiannya bertukar ke SMA Fauzi Yan, sebelum meletakkan jawatan dan menjalankan perniagaan sendiri.

Di sebelahnya, adalah Ustazah Rodziah Ahmad, paling senior bersama Cikgu Ramlah dan Cikgu Abdur Rahim Daud sebelum penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983. Guru yang tinggal di rumah bersempadan dengan pagar AlFalah itu merupakan pelajar asal AlFalah, berkhidmat lama di situ sebelum bertukar ke SMA Nahdzoh, Bukit Besar – tempat khidmat beliau hingga kini.

Guru yang bertudung hitam itu pula adalah Cikgu Khamariah Hj Ismail [Cikgu Kay]. Anak kepada qari legenda negara, Dato’ Hj Ismail Hashim, beliau mengajar Geografi  dan Bahasa Melayu, selain sering membimbing grup nasyid, meneruskan salah satu minat ayahandanya. Beberapa tahun bersama kami, namun tidak lama selepas mendirikan rumahtangga, beliau telah meninggalkan AlFalah. Kini, beliau menjadi suri rumah sepenuh masa di Pulau Pinang.

Melaporkan diri untuk bertugas di AlFalah pada hari yang sama dengan Cikgu Kay adalah Cikgu Nor Hasimah Mansor, paling kanan di dalam foto. Beliau sekampung dan sekelas dengan saya di peringkat sekolah rendah. Guru Bahasa Inggeris ini berkhidmat lebih lama berbanding Cikgu Kay di AlFalah. Sebaik berkahwin, beliau bertukar ke SMA Batu Lapan, Sik. Kini mengajar di sebuah sekolah rendah di sekitar daerah Sik.

Demikianlah.

Beribu perkataan diperlukan untuk menghurai sekeping foto. Namun merenung dua foto di atas, hanya setakat ini yang mampu saya catat sebagai mengenang rakan-rakan yang pernah singgah di AlFalah. Dua dari mereka telah kembali ke pangkuan Ilahi [Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat].


No comments: