Hak Kelima binti Yahya.
Pernah saya terjumpa nama tersebut di dalam sebuah buku
penyata mesyuarat agung sebuah persatuan, lama dahulu. Ada beratus nama lain,
namun nama yang satu itu sahaja yang saya ingat sampai kini.
Lama dahulu, saya juga pernah mendengar lagu Arab dalam
persembahan ghazal parti dan penyanyinya bernama Tempawan
Yahya.
Terkini, ketika mengunjungi sebuah kiosk Petronas di selatan
Alor Setar, saya terbaca tanda nama pada baju seorang pekerjanya – Aduka.
Segera nama itu mengingatkan saya kepada watak di dalam filem Semerah Padi
arahan P Ramlee. [Saya berbual panjang untuk berkenal dengan Aduka itu
pada satu hari lain. Subhanallah, kiranya dia adalah anak jiran Ustaz Fairose
ketika tinggal di sebuah kawasan perumahan di sekitar Simpang Empat. Subhanallah, ertinya saya pun
pernah melihat Aduka sewaktu kecil dahulu…]
Unik sekali nama-nama tersebut.
Sejak lama saya cukup suka membaca senarai nama untuk mencari
keunikan. Nama orang Melayu. Kalau nama orang Uzbekistan, Tionghua, India,
Jepun dan lainnya tidak payahlah.
Demikian juga kalau nama samaran…..
Pernah sekali – dalam tahun 1973, kalau tidak silap – Paktam
saya yang sedang berkursus tiga tahun di Pusat Latihan Belia Dusun Tua,
Selangor, membawa pulang dua buku cenderamata bagi dua perlawanan bolasepak.
Satu, perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Selangor dan Terengganu. Kedua,
kejohanan bolasepak MSSM.
Di dalam buku pertama tidak banyak nama disenaraikan – hanya
pegawai dan pemain kedua-dua pasukan serta nama AJK beberapa pihak yang
terlibat mengendalikan final di Stadium Merdeka itu. Semua nama saya baca.
Memanglah saya kenal beberapa nama besar di dalam kedua-dua pasukan tersebut –
Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, R Arumugam, Haron Jusoh, Sulaiman
Rejab – namun saya tidak lupa nama Mohd Nor Botok. Bagi saya ketika itu,
BOTOK [bukan botox] adalah nama unik, kerana di Kedah nama itu bersangkut
dengan bentuk kepala – kalau tidak disebut kepala DONGGA [anda tahu maknanya?],
disebut pula kepala BOTOK, dengan huruf K itu bukan QAF dalam ejaan jawinya
tetapi menghampiri kepada huruf ‘AIN.
Nama pemain lain yang beraksi pada final itu tetapi tidak pernah mewakili
Malaysia terus hilang dari ingatan……
Di dalam buku kedua, ada senarai pemain dari pasukan semua
negeri. Setiap pasukan sekurang-kurangnya
menyenaraikan 18 pemain. Semuanya saya baca. Cuma dua nama yang saya ingat. Kebetulan,
kedua-duanya dari pasukan Terengganu.
Pertama, Yunos Aliff kerana
dia kemudiannya menjadi penyerang berkaliber negara, selain mempunyai abang
yang juga terkenal di bidang bolasepak, iaitu Abdah Aliff [segenerasi dengan
Mokhtar Dahari & Geng]. Yunos pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan
bolasepak di dalam Liga Super.
Nama kedua yang saya ingat adalah Dingka Yutoh. Dia tidak menonjol
seperti Yunos di persada bolasepak negara. Tidak diketahui perkembangan terkini
beliau yang mungkin berusia sekitar 57-58 tahun. Namun nama itu tetap saya
ingat sejak 40 tahun dahulu!
Saya terpikat pada nama Dr Awang Had Salleh,
seorang profesor dan penulis buku ilmiah. Seorang anak perempuannya, Azlina,
pernah menjadi pembaca berita di NTV7 sebelum stesen itu bergabung di dalam
Kumpulan Media Prima. Adiknya pula, Dr Samad Salleh, bekas pensyarah di USM
yang aktif berlakon drama tv dengan imej misai tebalnya. Saya sempat membeli
dan membaca novel karangan Awang Had yang bertajuk Biru Warna. Pernah juga
membaca tulisan memoirnya yang menyebut betapa beliau menangis – ketika cerdik
sedikit – mengenang namanya yang lain dari adik-beradik dan kawan-kawan!
Di RTM dahulu, saya terpesona pada nama Helan Abu
dan Nornikman Dadameah.
Di TV3 dulu – kini di NTV7 – ada Ras Adiba Radzi.
[Ras Adiba mempunyai seorang adik bernama
Ras Alita].
Stesen tv swasta pertama di Malaysia itu juga mempunyai Pravaetrana Yul, tapi ini nama Jawa. Biasalah. Herman Tino itu pun nama pentas untuk Masron Tamsi…….
Saya ingat nama Basri Kerana Jemadi – seorang ahli binabadan
pada tahun 70-an. Lama sebelum Jehan [yang kini beristerikan wanita Korea] muncul
di dalam drama tv, saya tertarik pada nama penuh kakaknya, atlet gimnastik
negara, Faiznur Miskin.
Demikian juga dengan nama Rabuan Pit – pemenang pingat emas 100 meter Sukan
Asia 1982 di New Delhi serta dua beradik atlet sezamannya, Thalatha dan Ithnin
Mahadi [pelari berpagar 110 meter].
Di AlFalah, ketika kali pertama berkenalan dengan pelajar kelas
Peralihan 1983, saya tertarik pada dua nama, yang sama bersekolah rendah di
Tebengau. Pertama, S Kamaruddin dan
kedua, Suwita
Don.
Akan Kamaruddin itu kerana S tersebut tidak diketahui maknanya. Ayahnya bukan
keturunan Syed atau Syeikh dan tidak pula ada S pada pangkal nama….
Suwita dan Don, ayahnya tentulah nama unik
kepada saya. Selain dari Omar Suwita, pelakon watak antagonis di dalam filem-filem Studio
Jalan Ampas – di antaranya Pendekar Bujang Lapok
dan Penarek Becha – tidak pernah saya
menjumpai nama Suwita digunakan. Don
juga jarang ada pada nama orang Melayu, lainlah kalau Saadon atau Hamidon atau
Hindon. Saya teringat pada satu hari Ahad, terdengar Suwita bertanya rakan
sekelasnya, “Hangpa tengok ‘dak cerita ayah aku kelmarin?”. Dia merujuk kepada
tayangan filem Hindi di tv pada petang Sabtu, DON lakonan Amitabh Bachan. Filem
itu kemudiannya dibuat semula [remake] dengan watak Don dilakonkan oleh Shah
Rukh Khan……. [Ustaz Fairose pun pernah keliru dengan nama Suwita – pada buku
pendaftaran pelajar Peralihan 1983, nama itu di’binti’kannya….]
Demikianlah.
Makndak saya tinggal di sebuah kampung di pinggir bandaraya
Alor Setar. Suatu hari dia menyebut satu nama anak jirannya. Saya bertanyanya
dua kali bagi memastikan nama tersebut memang benar dan apabila disahkan, saya
bertanya pula adakah itu nama samaran? Makndak menafikan malah menyebut lagi tiga
nama anak jiran tersebut yang cukup unik.
Nama empat beradik itu, khabarnya diberikan oleh datuk
mereka, ialah Nuri Merindu, Bayan Merayu Jeragan Budiman dan Samantra Beradu…….. Seorang
sahaja perempuan. Nama ayah dan datuk
mereka juga sama unik dan klasiknya.
Sebagai peminat nama klasik begitu, segera saya menyimpannya
di memori. Sampai kini nama mereka saya ingat walaupun tidak pernah sekali
kenal dengan wajah pemilik nama tersebut.
Setiap kali mengingat
nama mereka, saya terkenang kepada seorang Budak Falah. Dan apabila baru-baru
ini Budak Falah berkenaan muncul di fb grup Alumni AlFalah serta mahu
‘berkawan’ dengan bekas gurunya ini, saya terus teringat kepada empat nama
berkenaan. Demikianlah kaitan silang mereka……
Semasa mengajar di dalam satu kelas di AlFalah, entah
bagaimana mulanya, saya tercerita
kewujudan nama-nama jiran Makndak tersebut – tanpa menyebut kampungnya secara
jelas.
Ada seorang pelajar seperti ingin berkata sesuatu
berdasarkan gaya bahasa badannya yang menggelisah. Saya pun memberi peluang….
“Awat?” Tanya saya.
“Dia kata: Yang perempuan ‘tu sekelas dengan dia masa di
sekolah rendah dulu…..” kata pelajar yang ramah itu sambil menunjuk rakan di
sebelahnya yang menunduk, separuh tersipu.
Pelajar yang menunduk itu adalah Zamzurina Hashim, kakak kepada Naslina dan adik kepada Zamri.
Ketiga-tiga mereka – anak Bendahari Lembaga Tadbir AlFalah, Encik Hashim Noh yang lebih mesra dengan panggilan
Paklong Husin - pernah belajar di AlFalah.
Benar, apabila teringat nama Zamzurina, saya terus terkenang
empat nama tersebut. Malah apabila Naslina muncul di fb grup Alumni AlFalah,
lama dahulu, saya teringatkan kakaknya
itu serta sekali gus kepada Nuri Merindu!
Sayangnya saya terlupa siapa yang duduk di sebelah Zamzurina
semasa adegan di AlFalah tadi……….
3 comments:
sebelah umah makndak ada lg sorang
chempawan..
sebelah umah makndak ada lg sorang
chempawan..
Post a Comment