20 June 2013

Merindu, Merayu, Beradu Dan .......



Hak Kelima  binti Yahya.

Pernah saya terjumpa nama tersebut di dalam sebuah buku penyata mesyuarat agung sebuah persatuan, lama dahulu. Ada beratus nama lain, namun nama yang satu itu sahaja yang saya ingat sampai kini.
Lama dahulu, saya juga pernah mendengar lagu Arab dalam persembahan ghazal parti dan penyanyinya bernama Tempawan Yahya.

Terkini, ketika mengunjungi sebuah kiosk Petronas di selatan Alor Setar, saya terbaca tanda nama pada baju seorang pekerjanya – Aduka. Segera nama itu mengingatkan saya kepada watak di dalam filem Semerah Padi  arahan P Ramlee. [Saya berbual panjang untuk berkenal dengan Aduka itu pada satu hari lain. Subhanallah, kiranya dia adalah anak jiran Ustaz Fairose ketika tinggal di sebuah kawasan perumahan di sekitar  Simpang Empat. Subhanallah, ertinya saya pun pernah melihat Aduka sewaktu kecil dahulu…]

Unik sekali nama-nama tersebut.

Sejak lama saya cukup suka membaca senarai nama untuk mencari keunikan. Nama orang Melayu. Kalau nama orang Uzbekistan, Tionghua, India, Jepun  dan lainnya tidak payahlah. Demikian juga kalau nama samaran…..

Pernah sekali – dalam tahun 1973, kalau tidak silap – Paktam saya yang sedang berkursus tiga tahun di Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Selangor, membawa pulang dua buku cenderamata bagi dua perlawanan bolasepak. Satu, perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Selangor dan Terengganu. Kedua, kejohanan bolasepak MSSM.

Di dalam buku pertama tidak banyak nama disenaraikan – hanya pegawai dan pemain kedua-dua pasukan serta nama AJK beberapa pihak yang terlibat mengendalikan final di Stadium Merdeka itu. Semua nama saya baca. Memanglah saya kenal beberapa nama besar di dalam kedua-dua pasukan tersebut – Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, R Arumugam, Haron Jusoh, Sulaiman Rejab – namun saya tidak lupa nama Mohd Nor Botok. Bagi saya ketika itu, BOTOK [bukan botox] adalah nama unik, kerana di Kedah nama itu bersangkut dengan bentuk kepala – kalau tidak disebut kepala DONGGA [anda tahu maknanya?], disebut pula kepala BOTOK, dengan huruf K itu bukan QAF dalam ejaan jawinya tetapi menghampiri kepada huruf  ‘AIN. Nama pemain lain yang beraksi pada final itu tetapi tidak pernah mewakili Malaysia terus hilang dari ingatan……

Di dalam buku kedua, ada senarai pemain dari pasukan semua negeri. Setiap pasukan  sekurang-kurangnya menyenaraikan 18 pemain. Semuanya saya baca. Cuma dua nama yang saya ingat. Kebetulan, kedua-duanya dari pasukan Terengganu.

Pertama, Yunos Aliff kerana dia kemudiannya menjadi penyerang berkaliber negara, selain mempunyai abang yang juga terkenal di bidang bolasepak, iaitu Abdah Aliff [segenerasi dengan Mokhtar Dahari & Geng]. Yunos pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan bolasepak di dalam Liga Super.

Nama kedua yang saya ingat adalah Dingka Yutoh. Dia tidak menonjol seperti Yunos di persada bolasepak negara. Tidak diketahui perkembangan terkini beliau yang mungkin berusia sekitar 57-58 tahun. Namun nama itu tetap saya ingat sejak 40 tahun dahulu!

Saya terpikat pada nama Dr Awang Had Salleh, seorang profesor dan penulis buku ilmiah. Seorang anak perempuannya, Azlina, pernah menjadi pembaca berita di NTV7 sebelum stesen itu bergabung di dalam Kumpulan Media Prima. Adiknya pula, Dr Samad Salleh, bekas pensyarah di USM yang aktif berlakon drama tv dengan imej misai tebalnya. Saya sempat membeli dan membaca novel karangan Awang Had yang bertajuk Biru Warna. Pernah juga membaca tulisan memoirnya yang menyebut betapa beliau menangis – ketika cerdik sedikit – mengenang namanya yang lain dari adik-beradik dan kawan-kawan!

Di RTM dahulu, saya terpesona pada nama Helan Abu dan Nornikman Dadameah. Di TV3 dulu – kini di NTV7 – ada Ras Adiba Radzi. [Ras Adiba mempunyai seorang adik bernama Ras Alita]. Stesen tv swasta pertama di Malaysia itu juga mempunyai Pravaetrana Yul, tapi ini nama Jawa. Biasalah. Herman Tino itu pun nama pentas untuk Masron Tamsi…….

Saya ingat nama Basri Kerana Jemadi – seorang ahli binabadan pada tahun 70-an. Lama sebelum Jehan [yang kini beristerikan wanita Korea] muncul di dalam drama tv, saya tertarik pada nama penuh kakaknya, atlet gimnastik negara, Faiznur Miskin. Demikian juga dengan nama Rabuan Pit – pemenang pingat emas 100 meter Sukan Asia 1982 di New Delhi serta dua beradik atlet sezamannya, Thalatha dan Ithnin Mahadi [pelari berpagar 110 meter].

Di AlFalah, ketika kali pertama berkenalan dengan pelajar kelas Peralihan 1983, saya tertarik pada dua nama, yang sama bersekolah rendah di Tebengau. Pertama, S Kamaruddin dan kedua, Suwita Don.

Akan Kamaruddin itu kerana S tersebut tidak diketahui maknanya. Ayahnya bukan keturunan Syed atau Syeikh dan tidak pula ada S pada pangkal nama….

Suwita dan Don, ayahnya tentulah nama unik kepada saya. Selain dari Omar Suwita, pelakon watak antagonis di dalam filem-filem Studio Jalan Ampas – di antaranya Pendekar Bujang Lapok dan Penarek Becha – tidak pernah saya menjumpai nama Suwita digunakan.  Don juga jarang ada pada nama orang Melayu, lainlah kalau Saadon atau Hamidon atau Hindon. Saya teringat pada satu hari Ahad, terdengar Suwita bertanya rakan sekelasnya, “Hangpa tengok ‘dak cerita ayah aku kelmarin?”. Dia merujuk kepada tayangan filem Hindi di tv pada petang Sabtu, DON lakonan Amitabh Bachan. Filem itu kemudiannya dibuat semula [remake] dengan watak Don dilakonkan oleh Shah Rukh Khan……. [Ustaz Fairose pun pernah keliru dengan nama Suwita – pada buku pendaftaran pelajar Peralihan 1983, nama itu di’binti’kannya….]

Demikianlah.

Makndak saya tinggal di sebuah kampung di pinggir bandaraya Alor Setar. Suatu hari dia menyebut satu nama anak jirannya. Saya bertanyanya dua kali bagi memastikan nama tersebut memang benar dan apabila disahkan, saya bertanya pula adakah itu nama samaran?  Makndak menafikan malah menyebut lagi tiga nama anak jiran tersebut yang cukup unik.

Nama empat beradik itu, khabarnya diberikan oleh datuk mereka, ialah Nuri Merindu, Bayan Merayu Jeragan Budiman dan Samantra Beradu…….. Seorang sahaja perempuan.  Nama ayah dan datuk mereka juga sama unik dan klasiknya.

Sebagai peminat nama klasik begitu, segera saya menyimpannya di memori. Sampai kini nama mereka saya ingat walaupun tidak pernah sekali kenal dengan wajah pemilik nama tersebut.

 Setiap kali mengingat nama mereka, saya terkenang kepada seorang Budak Falah. Dan apabila baru-baru ini Budak Falah berkenaan muncul di fb grup Alumni AlFalah serta mahu ‘berkawan’ dengan bekas gurunya ini, saya terus teringat kepada empat nama berkenaan. Demikianlah kaitan silang mereka……

Semasa mengajar di dalam satu kelas di AlFalah, entah bagaimana mulanya, saya tercerita kewujudan nama-nama jiran Makndak tersebut – tanpa menyebut kampungnya secara jelas.

Ada seorang pelajar seperti ingin berkata sesuatu berdasarkan gaya bahasa badannya yang menggelisah. Saya pun memberi peluang….

“Awat?” Tanya  saya.

“Dia kata: Yang perempuan ‘tu sekelas dengan dia masa di sekolah rendah dulu…..” kata pelajar yang ramah itu sambil menunjuk rakan di sebelahnya yang menunduk, separuh tersipu.

Pelajar yang menunduk itu adalah Zamzurina Hashim, kakak kepada Naslina dan adik kepada Zamri. Ketiga-tiga mereka – anak Bendahari Lembaga Tadbir AlFalah, Encik Hashim Noh yang lebih mesra dengan panggilan Paklong Husin - pernah belajar di AlFalah.

Benar, apabila teringat nama Zamzurina, saya terus terkenang empat nama tersebut. Malah apabila Naslina muncul di fb grup Alumni AlFalah, lama dahulu,  saya teringatkan kakaknya itu serta sekali gus kepada Nuri Merindu!

Sayangnya saya terlupa siapa yang duduk di sebelah Zamzurina semasa adegan di AlFalah tadi……….

3 comments:

Unknown said...

sebelah umah makndak ada lg sorang
chempawan..

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...

sebelah umah makndak ada lg sorang
chempawan..