24 June 2013

Dia Yang Pernah Kita Dampingi


Mahu menziarah bangunan lain di dalam kawasan AlFalah, semuanya terhalang oleh pagar…….
Memadailah dengan melihat-lihat asrama. Maksudnya blok paling belakang di dalam susun atur bangunan di AlFalah. Bangunan ini tidak kurang sejarahnya. Pernah dihuni oleh pelajar putera pada peringkat awalnya. Kemudian, pernah juga dihuni oleh pelajar puteri….. Macam di dalam rumah kitalah. Susun atur perabot sesekali diubah – sesuai dengan peralihan masa dan kesesuaian situasi.
Jom!
Kita bermula dari rumah emak ayah saya. Nampak bangunan berwarna biru di sebelah kanan? Itulah rumah pasangan Ustazah Rodziah Ahmad [bekas pelajar dan pengajar AlFalah] dan Abdul Rahman bin Abdul Samad atau Abang/Paklong Man – pengendali kantin AlFalah dari zaman kemuncak hingga zaman kemuncupnya…..

Bumbung yang kelihatan sedikit di kawasan Alfalah itu adalah dari rumah Maklang/Maklong.
Jom kita mula berjalan……

Kita melintasi kawasan berpagar zink. Kemudian barulah kita berjumpa pagar dawai. Mahu masuk melalui pintu kecil di situ pun boleh. Tetapi eloklah kita masuk melalui pintu pagar besar. Namun sebelum itu, mari kita jengah melalui pagar dawai.

Aik?

Nampak rumpun hijau renek selepas dua batang paip pvc? Itulah tapak dapur Ustaz Wan Osman Wan Mat. Tepatnya, tapak kolah air di ruang dapur itu. Kenapa jadi begitu? Jawapan skimanya: kesan peralihan masa…..

Biar dulu. Jom kita masuk melalui pintu pagar utama. Jangan silap – bukan pintu pagar utama AlFalah tetapi  pintu pagar ke rumah Maklang/Maklong. Pintu pagar AlFalah sedang dikuasai orang lain…..

Sebaik berada di sisi rumah Maklang/Maklong, inilah yang kita nampak – laman depan asrama yang dulunya cukup meriah. Tempat di mana pelajar putera memperagakan badan – kerapnya dengan hanya bertuala, berulang-alik  bergilir menggunakan bilik mandi atau ke dapur atau ke rumah Maklang/Maklong bagi meminjam kukur kelapa dan seumpamanya… Jangankan pokok pisang, anak cucu rumput pun sukar untuk bernafas ketika itu!

Kita bergerak sedikit ke kiri. Dari arah surau.


Dulu, selepas asrama ini bertukar gender, ada pemidang zink di tempat kita berdiri ini.Menghadang pemandangan  ke arah asrama dan memudahkan pergerakan penghuninya bergerak bebas sesama mereka. Cuma bagi yang putera yang aktif akan menggunakan tingkat atas surau bagi memancing puteri pilihan muncul menampakkan muncung….. Ada banyak kes begitu tersimpan kemas di arkib memori beberapa orang…..

Biarlah dulu.

Jom kita ke asrama itu.

Kita lompat ke kaki lima depan ‘kediaman’ Ustaz Man. Nah, itu pun pintu masuk asrama….

Apa sudah jadi?

Yang terjadi tetaplah terjadi. Peralihan masa…. Tiada lagi tingkap di kiri kanan pintu itu. Tiada lagi daun pintu hatta bingkainya pun….. Demikian ganas dan hebatnya putaran masa!
Hilang lama sudah kelibat beberapa putera yang agak nakal meniarap di katil tingkat atas berhampiran tingkap, dengan seorang dua lagi bertenggek di jenang tingkap, berbual kosong terutama pada hari Jumaat dan Sabtu, sambil menanti kelibat puteri  asrama menuruni tangga asrama yang terletak lebih 100 meter ……

Mari pula kita duduk atau berdiri di muka pintu itu. Tolehlah ke belakang – ke ‘rumah’ Ustaz Man.

Ini dia.


Yang tiada bertembok itulah pintu masuk utama. Di bahagian kanan tidak bertembok itu pula pintu dapurnya.

Tembok [dinding] di antara pintu utama dan pintu dapur itu punya sedikit cerita. Ia bukanlah binaan asal bersama bahagian lainnya. Ia dibina semula oleh Encik Md Saad Awang a.k.a Azmi, adik/sepupu Ustazah Rodziah. 

Puncanya?

Telah berlaku suatu peristiwa manis pada suatu tengah hari dalam tahun 1987/88. Sebuah van volkswagen berwarna maroon terletak elok di hujung kaki tangga surau arah mentari naik. Kuncinya ditinggalkan oleh si empunyanya. Dua anak muda masing-masing berusia 17 dan 18 tahun, atas rasa ingin mencuba serta mempunyai keyakinan yang tinggi, telah menghidupkan enjin kenderaan lasak buatan Jerman itu. Siap dimasukkan gear dan menekan pedal minyak. Entah menjerit atau tidak di antara keduanya, van bermuka kukuh itu terus menghentam bahagian dinding tersebut.

Di sebalik tiang dan dinding itu, Ustaz Man yang berkain pelikat,, bersinglet putih sedang menikmati makan tengah hari bersama isterinya, Kak Jah dan anak mereka, Bushro.
 

Bahagian depan ‘rumah’ Ustaz Man dahulu. Lihat lepaan simen pada tanda
bulat. Berbeza dengan lepaan di sebelah kiri foto – tanda lepaan baru
akibat hentaman van VW itu.

Hentaman kuat itu tentulah mengejutkan mereka. Bersepai pinggan dan piring yang elok tersusun sebelumnya dihempap serpihan tembok konkrit yang baru dihentam itu. Mujur tiada sebarang kecederaan menimpa insan tiga beranak itu….

Ustaz Man keluar, melihat dua muridnya yang terkapa-kapa di atas van tersebut.  Imej tukul, gergaji, penumbuk, tulang ikan dan api pasti muncul di kepala Ustaz Man… Berbanding kepada dua pelajar tersebut, rasanya, Ustaz Man tentulah lebih memarahi si empunya van yang lalai membiarkan kunci di tempatnya berdekatan stereng itu…. Si empunya hanya tertunduk di sisi saya di dalam rumah Maklang/ Maklong, yang ikut menjengah melalui tingkap belakang sebaik mendengar gemuruh hentaman tadi….
Petang itu juga, terpaksalah Azmi –merangkap rakan sepermainan kami -  dipanggil untuk  menaksirkan kerosakan dan membaikinya secepat mungkin…….

[Untuk cerita khususnya sila ke entri VW: Das Auto yang telah lama saya muatkan]

Kita tinggalkan sisi depan asrama itu. Jom kita ke belakang pula.

Di mana silapnya papan tanda ini?
Tiada silap pada arah yang ditunjukkan. Itulah arah AlFalah kita dahulu. Cumanya ia terbalik dan ditampalkan di di bahagian belakang asrama sedangkan tempatnya dahulu adalah di tembok pada muka jalan ke AlFalah – nun di jalan Batas Paip di luar sana – berdekatan tempat kita menunggu bas MARA itu… Peralihan masa mengalih pula kedudukannya…………..

 

Tidak percaya memang begitu kedudukan terkininya? Lihatlah tingkap tunggal di bahagian belakang ini. Lihat pula tanda nama Alfalah tadi. Sekarang anda sudah percaya, bukan? Masih ingat tingkap ini yang tidak jarang digunakan rakan nakal anda untuk melompat ke luar asrama bagi mengelak ditemui oleh Ustaz Man setiap menjelang waktu solat? Anda pun pernah ikut serta?

Jom kita berjalan ke arah belakang lagi.

Nah, itulah dapur kita dahulu. Meski tiada lagi tingkap atau dinding malah bumbung, masakan anda lupa pelbagai kenangan di tempat ini….. Di sini anda memasak segalanya – nasi (serta nasi rendang kicap…), lauk berkuah atau bergoreng, kuih, mi segera, kacang tanduk serta air kosong! Di bahagian luar inilah tempat anda membuang hampas kelapa dan hampas teh dan kadang kala kepala ikan tamban atau tulang ikan temenung…..
Nampak pokok kelapa di kiri foto? Yang sedikit kelihatan binaan di belakangnya itu adalah bilik air kita dahulu.

Jom kita menjengahnya.

Melepasi belakang dapur,berhampiran perdu pokok pukul lima yang telah lama menyembah tanah, tampaklah bilik air merangkap bilik mandi dan tandas itu. Sayangnya, telah ada sempadan yangmenghalang kita dari melihat ke dalam. Masih adakah kolah besar tempat takungan air? Masihkah ada dua tandas di dalamnya?  Masih elokkah kayu sekeliling tandas separas bertinggung yang anda gunakan sebagai tempat mencacakkan lilin pada malam sepi tatkala perut meronta meminta diberikan haknya untuk merasa sedikit kebebasan?
Di situlah silih berganti tahun, munculnya bakat anda menyanyi, terutamanya. Mengikut zaman, di situ pernah muncul Herman Tino AlFalah, Razis Ismail AlFalah, Nassier Wahab AlFalah, Sudirman AlFalah, Jamal Abdillah AlFalah, Jamal Mirdad AlFalah, malah Ramlah Ram AlFalah versi lelaki! Panjang lagi senarai itu – dengan Dato’ Shakenya, Shideenya, Amynya, Awienya serta Mama Juwienya. Di situlah tempat anda meluahkan segala pendaman – yang ada di hati dan di usus serta  di pundi kencing!

Kalau sudah terhalang pandangan begitu, apalah daya kita.

Sila toleh semula ke dapur tadi. Inilah jalan ke situ. Nampak pintu dapur itu? Ah, di antara pintu dapur dan bilik air ini pun banyak yang boleh kita kenang….

Di sini tempat anda sesekali melahap mi segera bersama-sama teman rapat atau secara solo. Kerap juga anda mengetuk periuk hitam, membuang kerak nasi semalamnya. Sering pula berdiri sambil menunggu teh atau kopi di dalam koleh plastik menjadi sedikit suam sebelum meneguknya. Seluloinya. di ruang ini anda menyiang ikan tamban atau temenung yang dibeli dari Pak Dan, si penjaja ikan dan sayur yang nyaring suaranya itu…… Di sini juga, pada petang-petang redup, bukan sekali dua anda berbisik kepada rakan intim tentang senyum yang tidak berbalas atau sebaliknya dari seseorang tambatan hati di kelas pada paginya………..

Mari kita hampiri dapur itu sekali lagi.

Bagai terdengar lagi riuh pada tengah hari dan menjelang Maghrib. Bergemerincing bunyi lagaan pinggan, piring, gelas serta botol minyak tanah. Anda turut berada di situ, memeriahkan suasana. Masing-masing berkain pelikat tanpa mengenakan baju. Ada juga – agaknya bagi mengubat rindu – memakai kain batik milik emak…..


Serasa masih ternampak: anda yang masih dalam kain pelikat bercorak petak kecil – tanpa baju - melambung-lambung nasi di dalam tangan yang masih panas bersama palutan kuah yang dipinjam sedikit dari rakan di sebelah yang hanya bertuala kusam – juga tanpa baju.. Anda menghembus sekali dua kepalan nasi tersebut lalu menyuap ke mulut. Mengunyah. Tiba-tiba anda yang terkial-kial menelannya  cemas meminta koleh plastik berisi air kosong dari rakan berdekatan. Kelegaan terpancar di wajah anda sebaik selesai meneguk, membantu proses peristalsis berjalan sempurna…. Anda dan kawan tadi serta saya yang menjadi saksi menggeleng, bersyukur. Kemudian proses penyuapan dan pengunyahan diteruskan sehingga butiran nasi yang terakhir!

Ah, kenangan……….

Lama anda tidak ke sini, bukan?

Mujurlah masih ada sedikit rangka bangunan asrama untuk ditunjukkan kepada anak-anak. Lihatlah sepuas-puasnya. Entah bila pula anda akan berkunjung semula. Akan diri saya, tidaklah menjadi hal – hampir setiap hari saya boleh menjengah ke sini – jika mahu……

Namun seakan tidak percaya, tempoh laku foto dan catatan di atas hanya sehingga pagi 14 Mac 2013. Segalanya tidak sama lagi selepas itu…..
Bersambung……

No comments: