Ini salah satu foto hasil ziarah kita dahulu ke asrama
AlFalah. Ketika merakamnya kita membelakangkan tapak bangunan surau. Surau
tersebut [dengan dua kelas dibawahnya – seperti yang kita ingat] sebenarnya
kini cuma tinggal sejarah setelah dirobohkan oleh pihak Pusat Tahfiz Amal bagi
didirikan sebuah surau setingkat tanpa dinding kiri kanan….
Lihatlah bumbung asrama yang tinggal sedikit itu
baik-baik……
Nampak almari keluli dan almari kayu itu?
Jom kita mendekati mereka.
Hanya dua almari ini yang tinggal. Di dalamnya ada sedikit
bahan tanda pernah wujudnya sebuah sekolah agama rakyat, yang tidak sempat
mengikut rakan-rakan
yang telah dibawa ke pusat kitar semula…. Kedua-duanya tidak berada di bawah
bumbung yang tinggal sedikit itu. Lihatlah zink yang melindungi almari keluli
serta kepingan plywood yang menjadi bumbung almari kayu. Itu pun hasil
inisiatif Maklang yang takut air hujan memasuki kedua-dua almari tersebut.
Pintu almari keluli sukar dibuka kerana berat berkarat manakala pintu almari
kayu cukup mesra untuk dibuka – maka Maklang menampannya dengan sekeping papan
tebal lebar sekaki…
Nampak tiang tengah di sebelah almari keluli? Secara
keseluruhan ada hampir sedozen tiang mengikat struktur usang ini. Nampak daun tingkap
nan sepasang serta deretan kepingan asbestos putih di atasnya?
Nampak?
Di atas ini pasangan daun tingkap di lihat dari belakang –
ditampal kepingan kayu berpaku serta diperkukuhkan dengan satu sendeng papan
yang dipaku pada tiang bersebelahan. Tujuannya bagi mengelakkan mereka terpisah
– kerana khabarnya mereka pernah bersumpah untuk sehidup semati dan berjanji sanggup
menghadapi masa susah dan senang bersama….
Sebelum saya menyambung catatan, ingat kata kunci ini: bumbung
nan sedikit, tiang
sedozen dan tingkap nan sepasang serta juga tembok/dinding bata bersama penunjuk arah AlFalah ini betul-betul.
Sudah ingat?
Baiklah.
“Sudah sampai hukum Tuhan…..” kata Labi ketika menyelimutkan
sekali muka majikannya, Hj Bakhil, yang berpura-pura demam di dalam filem Nasib
Si Labu Labi……
14 Mac 2013. Hari Khamis. Pagi. Sekitar jam sepuluh.
Rumah ibu Maklang/Maklong
mengalami kebocoran bumbung sedikit.
Ingat pada Md Saad Awang a.k.a Azmi yang saya sebutkan dalam
catatan ziarah asrama dahulu? Dia insan serba boleh. Pertukangan rumah termasuk
di dalam senarai serba boleh itu.Pertolongannyalah yang ditagih Maklang/Maklong
bagi membaiki kebocoran tersebut. Lagi pula dia jiran terdekat, selain cukup
rapat dengan keluarga AlFalah sejak sekian lama.
Azmi yang sama usia dengan Ustaz Ahmad Fairose datang pagi
itu bersama peralatan sepatutnya – tukul dan bekas paku. Di kawasan rumah, dia
tidak menjumpai tangga untuk digunakan menaiki bumbung dapur, sebelum ke
bahagian bumbung rumah yang lebih tinggi.
Dia ke bahagian belakang. Mencari di sekitar tapak asrama
yang tinggal sedikit bahagian berbumbung. Ada tangga tersandar di dinding yang
juga tinggal sedikit akibat lekang, reput dan tercabut. Sambil mencapai tangga
dia terdengar suatu bunyi pelik entah apa. Berkeriut semacam.
Di pintu belakang rumah, dia memaklumkan bunyi tersebut
kepada Maklang. Tuan rumah itu tidak mengulas apa-apa, sambil berlalu menghala
ke arah dapurnya.
Lima minit berlalu. Maklang masih di dapur – menyediakan
menu makan tengah hari.
VROOM!
Bunyi kuat dari belakang rumah menerjah gegendang
telinganya.
Mi? Tanya hatinya.
“Mi!” jeritnya sekali sambil meluru ke arah pintu belakang
dapur. Dari situ, dia nampak bumbung
yang tinggal sedikit di bahagian bucu bekas asrama telah menghempap bumi. Ada
gumpalan debu kecil beterbangan di sekelilingnya.
Mi? Tanya hatinya sekali lagi. Manalah tahu…..
Manalah tahu jika tadinya Azmi turun semula untuk mengambil
sesuatu di bawah bumbung itu. Manalah tahu jika Azmi tidak sempat melarikan
diri… Manalah tahu jika ….
“Mi! Hang dok tang mana?” laung Maklang berbaur bimbang.
Tiada sebarang pergerakan dari bahagian bumbung yang terlungkup di atas lantai
asrama itu.
“Mi!!” Maklang melaung sekali lagi. Darjah kebimbangannya
melonjak apabila masih tiada sebarang respons. Matanya masih terarah ke serkupan bumbung
di atas lantai….
“Woi! Äku dok atas ni!” Demikian jawaban mesra yang
diterima.
Mendengar suara Azmi dari atas bumbung rumahnya, Maklang
melepaskan nafas lega. Syukur….
Sebaik turun dari bumbung, Azmi melahirkan rasa terkejutnya
mendengar deruman runtuhan tadi. Maklang lagilah sakan versi terkejutnya
beserta bimbang kalau-kalau…..
“Patut aku dengaq macam bunyi pelik tadi – ‘ntah-‘ntah
isyarat tiang nak tumbang…..” kata Azmi.
“Äku ingat hang ada di bawah bumbung ‘tu….”kata Maklang pula
kepada Azmi yang bersandar pada jenang pintu belakang dapur.
“Kalau aku dok bawah tu tadi, hang jenuh bela anak bini
aku…..” balas Azmi sambil tersengih. Selamba dan bersahaja.
Maklang ikut tersenyum dalam kelegaan.
Petangnya, dia mengajak dua tiga orang anak Azmi membersihkan bumbung dan tiang dari atas lantai......
Demikianlah aturan takdir.
Inilah wajah asrama tanpa secubit pun bumbung.
Almari itu pun terbiar dan terdedah kepada cuaca yang tidak menentu. Sambil ia membilang bilah masa .......
Nota:
Tidak akan anda faham sepenuhnya jika anda tidak dahului membaca entri Dia Yang Pernah Kita Dampingi
No comments:
Post a Comment