Dua tiga malam
setelah Zairi balik ke Lembah Kelang, bersama sekotak stok lauk segar dari
laut, selepas tercetusnya peristiwa laksam Pulau Gezambo, Cikgu Non, Nazri dan
Malek serta Jasni bersidang di Restoran Awie. Mengelilingi meja yang sering
kami gunakan – menghadap skrin besar di dinding arah timur.
Nazri yang
bakal bertolak ke Madinah dan Makkah pada 27 Ogos, akan mengadakan bacaan doa
selamat di kediaman lamanya di kuarters IKBN Dusun Tua, (H)ulu Langat pada hari
Jumaat, 22 Ogos.
Maka untuk
rakan taulan di P10 [Kuala Kedah], dicadangkanlah keraian santai di pantai pada
malam Khamis, sebelum Nazri balik ke Selangor. Ada bakar-bakar… Ajak rakan
taulan berdekatan…
Agaknya demikianlah
isi sidang berkenaan. Oleh kerana saya tiada bersama mereka waktu itu, saya
pakai gamak-gamak sahaja. Peratusan betul gamakan itu besarlah juga, gamaknya…
Tiba-tiba
naik di WhatsApp nama saya. Sesiapa yang
boleh hadir sila maklumkan kepada Cikgu Din. Tulis Nazri setelah
memaklumkan adanya acara berkenaan pada tarikh tersebut. Gamaknya, itu pun
termasuk dalam agenda sidang.
Sedang
terpinga-pinga lagi, saya terus mendapat panggilan dari seorang sahabat.
Terpaksalah saya mengaku akan kewujudan acara itu walaupun tidak tahu duduk
perkara. Itu majlis Tan Sri, takkanlah ada kong kali kong pula…
Saya cuba
hubungi Nazri tetapi hanya setiausahanya yang menjawab. Tan Sri sedang sibuk.
Saya
beranikan diri menghubungi Cikgu Rahim Daud untuk memaklumkan acara berkenaan.
Dia memang berminat dan meminta saya mengingatkannya semula pada hari acara.
Cikgu Rahim
tidak dapat datang pada perjumpaan raya baru lalu kerana berada jauh dari P10
dan tidak sempat sampai ketika acara kemuncak kerana kesesakan jalan raya….
Saya hubungi
seorang lagi yang cukup ingin berjumpa BF pada 4 Syawal lalu, tetapi ada
lintangan aral – Cikgu Siti Khadijah Othman. Dia pun berminat dan bercadang
untuk hadir walaupun sekejap, kerana anaknya perlu menghadiri kelas tuisyen.
Saya
menghubungi Shabani Salleh. Dia sudah mengetahui tentang acara itu melalui
WhatsApp dan berjanji untuk cuba datang.
Saya hubungi
Abby Zek, tauke belacan Alor Ibus dari Tebengau. Dia yang baru kehilangan ibu
mertua di sekitar Kola juga, sekadar menyebut Insyaallah akan cuba datang.
[Malangnya saya terlupa untuk mengingatkannya semula pada petang hari
berkenaan…]
Siapa lagi?
Kecuali
Zairi, semua yang datang menyerang Pulau Gezambo pada 13 haribulan lalu tentu
tidak bermasalah untuk tahu dan datang…
Bagaimanapun,
bagi mendapatkan kepastian, saya hubungi Husin manakala Wira menghubungi Babuji.
Husin akan muncul manakala Babuji sedang berkursus di Alor Setar…
Yang lain?
Boleh kut… Helwi, dan Zulkifli serta samatuanya, Mariam sahaja. Malek dan
Jasni, tentulah tidak payah ditanya kerana sudah termasuk sebagai ahli yang
bersidang…
Mariam memberitahu
Sharifah Maryani akan datang dari Kuala Sala tetapi tidak pasti dengan rakan
sejenis yang lain, yang berada di sekitar Kola.
Maka, di
dalam grup diceritakanlah tentang idea spontan itu. Dinyatakan menu dengan
masing-masing mencadang dan menokok. Zairi ikut serta perbincangan walaupun
tidak dapat hadir. Pasangan dari Mantin pun, terutamanya yang berperanan
sebagai isteri itu. Tahap kejakiannya kerana tidak dapat hadir sudah mencapai
taham maksimum. Disokong pula oleh seorang sekutunya yang hanya tinggal di
Sungai Petani, yang juga tidak dapat hadir atas sebab-sebab keselamatan negara.
Hingga satu peringkat meminta hujan menenggelamkan lokasi acara…Mujurlah, sesekali
Farihah mencelah, mengharapkan majlis berjalan lancar.
Zairi
meramalkan agak kurang meriah majlis kerana ketiadaan Babuji yang menjadi pokok
perhatian semasa di Pulau Gezambo dahulu. Tetapi saya yakin akan ada kemeriahan
dalam bentuk lain dari orang lain pula. Kini ada pula kelibat Cikgu Non dan
Cikgu Khadijah serta Cikgu Rahim juga Sharifah Maryani dengan Shabani…
Saifol Adly,
si Budak Taman Bersatu, pula, seperti minggu sebelumnya, tidak dapat bersama
pada malam berkenaan kerana tuntutan tugas.
Saya yang
mula menjangkakan sekitar 10 orang, akhirnya dengan penyertaan Cikgu Rahim dan
Cikgu Khadijah [mungkin bersama pengiring masing-masing] menukar angka kepada
15 orang. Itupan sudah maksimum. Saya umumkan angka akhir itu di dalam grup.
Dan satu
ketika Nazri menelefon. “Berapa orang yang dijangka, cikgu?”
Lima belas,
kata saya. Maksimum. “Cikgu Non habaq dak lagi?”tanya saya.
“Dia tahu
dah….”kata Nazri sambil tertawa. Pasti tertutup rapat matanya ketika tertawa
begitu. Tidak pula dimaklumkannya bahawa acara itu sudah dibincangkan dengan
Cikgu Non.
“Senang saya
nak beli kambing….”kata Nazri ketika bertanyakan jumlah yang akan hadir itu.
Maka
menjelang hari yang ditetapkan, selain riuh di dalam grup, ada beberapa hal
berkaitan telah terjadi.
Entah di
mana fikiran dan hatinya, Nazri menyangkakan majlis itu berlangsung pada Selasa
malam Rabu, lalu siap membeli kambing. Sedangkan dia yang memaklumkan dari awal
bahawa sidang memutuskan acara berlaku pada hari Rabu malam Khamis. Gelabah
juga saya terutama telah memaklumkan hari kepada dua bekas guru yang memang
tidak menyertai kumpulan WhatsApp. Saya ingatkan Nazri bahawa ketika dia
menelefon saya itu, Malek serta Jasni sedang berniaga ikan di pasar malam
Tandop… Ya ka?, tanyanya dalam mamai itu…
Helwi
menelefon saya bertanyakan betul tidaknya acara itu dan bertanyakan sumber
dana. Saya sahkan serta menyatakan penaja telah tersedia, walaupun sebetulnya
saya tidak tahu siapa dan berapa.
Shabani
keliru samada jadi atau tidak majlis kerana ada percanggahan di ruang WhatsApp,
dek kerenah orang Mantin. Saya tegaskan supaya menghubungi pihak berautoriti
seperti Cikgu Non atau Malek.
Tengah hari
Rabu, Malek muatkan foto udang, sotong dan ikan yang bakal menjadi mangsa pada
malamnya. Pelbagai reaksi muncul. Yang negatif pasti datangnya dari Mantin dan
disokong oleh wakil SP…
Dalam chat
grup itu juga, saya bercadang untuk membawakan sama ketupat, sempena masih
musim raya, dan mengimpikan serunding Mariam sebagai pelengkapnya. Kemudian
baru saya teringat, Mariam sedang ada kelas tahsin di Alor Setar. Mujurnya
sebaik pulang dia sempat menjeling sembang grup lalu bertanya samada betul saya
mahu membawa ketupat, sebab dia mahu mengacau serunding. Saya akui dan
menjelang Maghrib serunding itu pun siap. Cekap dan cepat sungguh proses
penyediaan serunding oleh Mariam… Patutlah samatuanya cool dan steady sepanjang
waktu…
Malam.
Saya hubungi
Cikgu Non untuk memberitahu saya perlu pergi dahulu untuk mengambil ketupat
yang saya tempah, sana dengan yang saya bawakan pada dua perjumpaan raya yang
lalu. Namun telefon jiran saya itu tidak berangkat. Mungkin ada urusan.
Panggilan kali kedua pun begitu juga keadaannya. Mungkin dia akan lewat sedikit
kerana menguruskan ibunya yang sedang uzur.
Saya ke
tempat ketupat diproses. Saya klik dua foto – daun palas yang baru dibuka serta
ketupat yang telah siap direbus. Asap masih berkelun….
Bagai
dijangka serangan jaki pun semakin hebat dari Mantin. Apa sahaja yang
dimuatnaik selepas itu dikondemnya dengan penuh iri. Hinggakan keupayaan kamera
kami pun direndahkan tarafnya kerana menghasilkan foto yang kelabu di matanya
yang juga sedang kelabu… Disokong oleh wakil SP, mereka berdualah yang mengulas
setiap foto yang dimunculkan di grup sehingga majlis tamat…
Biarkanlah
si Luncai terjun dengan labu-labunya…
Melepasi
Teluk Bagan, saya cuba hubungi Nazri. Setiausaha juga yang menjawab. Namun
selepas beberapa ketika, Nazri membuat panggilan balas bertanyakan lokasi saya.
Dia meminta saya ke rumah keluarganya untuk mengambil daging kambing siap
berperap kerana dia mungkin lambat sedikit ke acara.
Saya
menghubungi Cikgu Rahim, mahu mengingatkan acara nanti. Sayangnya, sekali lagi,
bekas guru Sejarah dan BM AlFalah itu terpaksa melangsaikan kerja di satu
tempat yang jauh dari Kola… Tak apalah. Akan ada lain kalinya, Insyaallah.
Saya masuk
ke kampungnya, memarkir motor di sisi sebuah kereta. Iparnya muncul lalu
memanggil Nazri yang sedang mandi di bilik air di luar rumah. Nazri kemudiannya
keluar, membawakan bungkusan daging kambing dan masuk dua kali lagi untuk
mengambil dua jenis sos – sos lada hitam dan sos perapan. Dia akan lambat kerana
ada tetamu – bapa saudaranya dari Kulim – yang datang menziarahinya.
Saya
menggunakan jalan ban berturap cantik dari Kg Alor Ibus hingga ke Taman Bersatu
dan Taman Marina sebelum sampai ke jalan utama menuju ke Kola. Melatam jalan
itu pula sehingga sampai Jambatan Tok Pasai, membelok ke kiri, melintasi
jambatan berhampiran jeti nelayan, dan seterusnya menghala ke Marina Harbour.
Tidak sukar mencari khemah yang didirikan oleh Malek dan Jasni serta
rakan-rakan di sebelah marina. Khemah biru dengan limpahan cahaya lampu dari
sumber tenaga generator mudahalih. Bagaimana pun saya terkejut juga melihat
deretan tiga kereta serta ramai anak-anak di dalam khemah sedang Malek dan
Jasni berada di dalam gelap menyelia bara api. Saya tidak tahu Malek, Jasni dan
seorang rakan mereka membawa anak isteri ke acara itu. Isteri masing-masing
berada di dalam kereta kerana tidak ada lagi kelibat Mariam serta rakan
segender…
Saya melihat
Malek membelek WhatsApp di dalam kelam itu, lalu bertanya “Dok tang mana?”
hehehe. Entah ada jawapannya atau tidak, tidaklah saya peduli kerana tidak pula
saya melihat skrin telefon lagi kerana telah tahu grup sedang dikuasai oleh dua
insan tadi…
Saya
melangkah pagar jalan sambil membawa daging kambing, ketupat dan botol-botol
sos. Anak-anak tadi turut membantu. Saya letakkan semuanya di atas meja kembar
dua yang di atasnya telah ada sebekas minuman, seperiuk nasi, sebeg plastik
buah dokong dan dua talam – satu berisi pasca -bakaran manakala satu lagi
pra-bakaran. Ada bekas berisi sotong, ikan dan udang bersama tiga empat
pemanggang biasa – bukan pemanggang yang kononnya ajaib itu..
Jauh
sedikit, di luar khemah, di atas pasir pantai, ada dua bekas bara dipisahkan
oleh kotak besar polisterin berisi ikan kembung. Acara pembakaran telah bermula
awal lagi dan anak-anak telah mula meratahnya pada setiap kali pemanggang
berisi hidupan laut yang siap masak di bawa ke talam pasca-bakaran. Meriah
sekali. Dan saya menumpang semulut. Mengoyak isi ikan yang mengekluarkan asap
dan aroma yang aduhai lalu memasukkan ke dalam mulut… Fuh…panas! Kali kedua
saya benamkan isi ikan ke dalam sos .. fuh…fuh..fuh.. Panas dan lemak dan
manis…
Daging
kambing berperap tadi saya letakkan ke dalam talam. Masih melekat kepingan
daging itu kerana baru dikeluarkan dari freezer di rumah keluarga Nazri. Lagi
pula ia telah dua malam terperap lantaran kemamaian Nazri. “Saja aku bagi payah
sikit, takut takdan kat aku….”kata Nazri ketika datang hampir sejam kemudian.
Matanya terpejam dalam kelam ketika berkata begitu…
Kepayahan
meleraikan seluruh isi kambing itu membuatkan Malek menghubungi Mariam yang
baru mahu bertolak dari Pulau Gezambo, agar membawa sama pisau. Sambil itu,
yang berjaya dileraikan, kami letakkan di dalam pemangggang, diletakkan ke atas
bara api, diletakkan ke dalam talam pasca-bakaran, diletakkan ke dalam tapak
tangan, diletakkan ke dalam mulut dan akhirnya tenang diparkir ke dalam usus….
Meraung kerongkong bersebelahan esofagus, kepanasan, semasa proses peristalsis.
Bakaran
kambing juga dibawa kepada para isteri di dalam kereta, yang sabar menunggu,
memerhati kelaku suami dan anak-anak masing-masing. Saya mencadangkan agar
semua diajak turun bagi memenuhi ruang di bawah khemah. Tidak perasan pula
siapa yang dulu turun. Mungkin setelah melihat kelibat Mariam a.k.a Yam yang
datang bersama The Only Zulkifli
a.k.a Zul
Kemudian,
tidak secara tertib susunannya, muncullah Wira, Helwi, Shabani, Sharifah
Maryani a.k.a Pah dan Cikgu Non. Pasangan Yam-Zul membawa anak-anak mereka.
Demikian pula dengan Pah.
Bakaran berterusan.
Masak sahaja, terus disambar tangan-tangan halus dan tangan-tangan kasar…
Riuh rendah
ketupat di dalam bekas yang saya bawa apabila melihat Yam mengeluarkan pasangan
mereka – serunding ikan. Pasangan itu
pun disandingkan di atas dua kerusi agar dapat dilihat oleh semua tetamu… Jauh
sedikit dari meja berkembar tadi. Peminat ketupat pun tidak melepaskan peluang.
[Lebih 12 jam kemudian baru saya tahu bahawa Helwi tidak perasan akan kehadiran
pasangan mempelai tersebut…dan tidaklah dapat meraikan mereka…]
Cikgu
Khadijah menghubungi saya. Dia yang bersama guru sekolahnya yang membawa
beberapa anak yatim sekolah menghadiri acara di pusat bandar, bertanyakan jalan
ke Marina Harbour. Dia menyatakan keinginan untuk hadir sekejap tetapi rasa
takut memikirkan waktu pulang nanti. Saya katakan: Kola aman dan terang
benderang. Pulang nanti lalauilah jalan semasa datang. Insyaallah selamat….
Nasi yang
mulanya terasa dipinggirkan, akhirnya dirasmikan oleh Cikgu Non. Saya yang
mulanya mahu meratah sahaja ikut mengambil nasi dua tiga senduk. Beberapa yang
lain mengikut.
Udang kami
koyak, sotong kami koyak, ikan kami koyak. Asap kesan bakaran berkelun
menerawang ke udara tempat yang bernama Pantai Leman itu. Bersaksikan marina
yang hanya 200 meter dari tapak khemah, semua koyakan tadi kami benamkan ke
dalam nasi, lalu dihantar ke mulut untuk proses lanjutan. Kuah? Mana ada!
Sedikit calitan sos serta adunan bahan perapan masing-masing telah amat
menyelerakan untuk kami langsung tidak bertanya “adakah kuah…” Cikgu Non
mengaku menambah nasi tiga kali, saya pula dua kali. Yang lainnya tidak sempat
saya ambil pengakuan masing-masing…
Satu hal
yang saya perasan, kebanyakan yang mengambil bakaran daging kambing tidak pula
memakannya bersama nasi. Lebih senang diratah begitu sahaja. Agaknya untuk
lebih menikmati rasa serta menghayati tekstur daging tunggal bukan dari laut pada
malam itu… Tidak tahulah ada atau tidak yang kempunan, kerana sehingga
datangnya Nazri, bakaran daging kambing masih ada.
Sedang riuh
dan bersaing untuk memenuhkan tembolok itulah Cikgu Khadijah sampai bersama
anak bongsunya. Diparkir keretanya berdekatan deretan kereta lain di pinggir
jalan berdekatan khemah. Sangkanya boleh melintas begitu sahaja. Tetapi ada
hadangan. Pagar jalan setinggi tiga kaki lebih. Kami menyuruhnya meronot tetapi
dia enggan. Pada zaman kemuncaknya dulu, rasanya untuk melompat halangan
setinggi itu bukanlah masalah besar kepada cikgu dari Kg Alor Gandak itu.
Akhirnya dia dan anak terpaksa mengambil jalan jauh, mencari kawasan tidak
berpagar untuk sampai ke khemah.
Wira yang
sebelumnya aktif makan dan berebut tiba-tiba menjadi aktif pula memegang
hapenya. Tidak seperti selalu mengambil foto pegun, kali ini Wira menggunakan
kemudahan kamera ‘hidup’. Rajin pula dia mengambil foto sekeliling, tetapi
fokusnya bermula dan berakhir pada Cikgu Jah. Buktinya terpancar pada salah
satu klip yang dinaikkannya ke dalam grup WhatsApp dan fb.
“Cikgu
Jah…..” terdengar suara Wira, bapa yang masih dalam pantang itu.
“Sudahlah
aih…”balas si cikgu yang difokus. Jurugambar tertawa sebelum menghalakan lensa
ke arah lain…
Maka
teruslah kami bermakan-makan…
“Kat Lan
habaq dak?” tanya Helwi sebelum keriuhan menyambut Cikgu Jah itu.
“Lan
mana?”tanya saya kembali.
“Lan…Ustaz
Mazlan Mansor…” balas Helwi.
Saya
menyatakan tidak. Tepatnya saya terlupa langsung ustaz yang tinggal berdekatan
Masjid Tunku Tajuddin di mana Babuji menjadi imam itu.
Sedang gigi
dan lidah saya selesa memisahkan biji buah dokong dari isinya yang manis, bahu
saya dicengkam dari belakang. Sodap… Saya menoleh. Ustaz Mazlan segak berbaju
biru tersenyum. Kiranya selepas bertanya tadi, Helwi terus menghubungi rakan
sekelasnya semasa di AlFalah itu.
Makin meriahlah
jadinya walaupun seperti Shabani, Mazlan juga bukan spesies suka berebut
seperti saya dan geng seminat… Sekurang-kurangnya, mereka ikut meramai dan
memeriahkan majlis dengan berbual bersama kawan rakan.
Nazri muncul
selepas itu dengan terus memanggil binatang kesayangannya. “Kambing…mana
kambing….” Setelah dijumpai, respons pertamanya adalah: “Mujoq kambing tu beku
sikit… kalau tidak, takdan kat aku…” Insan yang diraikan itu pun menggunakan
giginya menyiat daging kambing setelah mata terpejam selepas ucapan itu terbuka
semula…
“… kata lima
belas orang saja…” katanya separuh berbisik kepada saya sambil menunggu
kunyahannya dibawa ke usus.
“Mana saya
tau. Ingatkan macam makan laksa di Pulau Gezambo minggu lepas. Tak sangka
budak-budak pun ada…”balas saya sambil melihat Nazri menyuap lagi bakaran
daging kambing ke mulutnya.
“Kalau tau,
saya beli banyak lagi…”katanya sambil mengunyah. “Tah tak cukup apa….”
Sambungnya lagi, seolah-olah bimbang.
“Cukup aih.
Ikan pun banyak. Hak Malek bawa dah ada. Yam pun bawa mai juga. Paling takdak
pun kita makan temenung bakaq…”balas saya, cuba menenangkannya yang melingas
mata berkeliling melihat tetamu yang lebih dari jangkaan.
Maka makan
dan bersembanglah kami sepuasnya. Hanya saya dan Wira mengelik mengambil foto
dengan sesekali disertai oleh Helwi. Kami naikkan ke dalam grup WhatsApp untuk
kemudiannya diulas secara negatif oleh dua BF yang telah berpakat untuk
menafikan hakikat… Lucunya, apabila terlihat foto Cikgu Jah, sekutu orang
Mantin di SP seperti menjerit, “Cikgu Jah!” Mungkin dia tidak menyangka
kemunculan bekas gurunya itu. Tetapi segera pula diingatkan oleh orang Mantin,
bahawa mereka berdua sekarang berperanan sebagai antoganis – mesti nafikan
semua, negatifkan semua….
Acara makan
berterusan ketika ada di antara kami berbual-bual di tepi pantai itu. Hujan
renyai menyejukkan suasana, dan menyuruh kami berkumpul seketika di bawah
khemah. Helwi dan Cikgu Non berlindung sekejap di belakang kedai berhampiran
Marina Harbour disertai seorang dua lagi yang tidak dapat saya cam kerana
kelamnya kulit mereka dan suramnya cahaya serta kaburnya pandangan… Tetapi
tidakjlah lama. Cukuplah untuk Cikgu Non menghabiskan sebatang rokok sekerit [cigarette].
Kemudian
kami berbual semula di luar khemah sambil membiarkan yang mahu meneruskan
mengisi tembolok berada di bawah khemah… bersama-sama kaum sejenis Yam yang
membawa anak kecil dan besar. Lama sedikit barulah Nazri yang diraikan berada
di atas kerusi di bawah khemah ditemani Wira dan Malek pada satu ketika
manakala pada ketika lain bersama Cikgu Non yang ditemani Malek.
Saya
sendiri, selain bersama Nazri itu, sempat juga berbual serba sedikit dengan
semua BF yang hadir itu. Orang lain tak taulah apa yang mereka bualkan tanpa
kehadiran telinga saya. Kalau mereka ada blog, anda rujuklah di situ……
Saya sempat
mengusik Shabani agar segera dapatkan samatua baru sedang tauke butik pengantin
itu banyak bercerita tentang perjalanan bisnesnya. Sempat perkenalkan tauke itu
kepada Cikgu Jah yang mulanya tidak teringatkan kelibat Shabani semasa di
AlFalah. Tokoh Pemuda itu sentiasa tersenyum dan makan sedikit sahaja. Patutlah
perut saya dan perut Nazri, terutamanya, asyik memandang ke arah perutnya… rata
dan datar.
Sempat
bertanyakan khabar samatua Pah yang tidak hadir kerana menguruskan perniagaan
pakaian bundle di Kuala Sala,
sepulangnya dari mengajar. Hebat Pah datang bersama anak-anak membelah kelam
malam. Helwi bercerita tentang Pah yang merupakan sepupunya. Kata Helwi, arwah
Borhanuddin Talib dahulu hairan melihat rapatnya hubungan dua rakannya itu. Rupanya mereka bukan orang.
Sepupu. “Dia tak tahu kami dok bermain sekali dari kecik-kecik dulu…” kata
Helwi. Terlupa pula bertanyanya apa permainan semasa berada di negeri tercantik* itu. Main macak-macak** atau main tawin-tawin***….
Cuma sempat ditanya kenapa Helwi bukan bernama penuh Syed Helwi
Shahril…sedangkan Pah berpangkal nama Sharifah berayahkan Syed. Saya lupa
jawapannya, tetapi rasanya samada ayah @ emak Helwi dua beradik dengan emak Pah
yang bukan berpangkal nama Sharifah…
Tiba-tiba kami teringatkan arwah Borhanuddin
[panggilannya Borhan] yang sentiasa bersongkok dan tersenyum manis itu. “Dah
dua puluh tahun nooo…” kata saya. “Ya….dah dua puluh tahun….” Kata Helwi pula
merujuk kematian Borhanuddin ketika mereka menunggu keputusan SPM dua dekad
lalu…{Kerongkong saya senak. Tidak saya zahirkan kepada Helwi bahawa ketika itu
saya sedang berfikir, andai ada hayat hingga kini, taraf manakah Borhanuddin
yang cukup cemerlang dalam peperiksaan SPM itu….Saya masih ingat mengalir
airmata melihat keputusan peperiksaan cemerlang itu selepas 4-5 bulan
kematiannya….]
[Ada
sekali dua kami teringatkan Husin Lateh dan Yusri Haron .a.k.a Babuji yang
tidak hadir.
Husin
letih kut bertukang, kata seorang rakannya. Tetapi dia memaklumkan dua hal
bercanggah di dalam WhatsApp dan telefon. Pertama, dia ingat kut tak jadi….
Kedua, ditulisnya baru balik mengunjung…Entahlah yang mana betul atau
kesemuanya betul…
Akan
Babuji pula memang tidak dapat meninggalkan kursus yang dihadirinya, walaupun
pada satu peringkat, kata Wira, sebaik dimaklumkan ada kambing bakar, dia
menyatakan untuk cuba ‘loncat pagar sat’….
Saya
tersenyum apabila Helwi mengulang kalimat Babuji mahu menyimbah Wira dengan
kuah laksam Yam pada pertemuan di Pulau Gezambo dahulu. Rupanya, ramai yang
masih segar mengingati ‘acara’ itu malam berkenaan. Saya telah siap catatkannya
di dalam entri Penangan Laksam Pulau Gezambo, Cuma belum dinaikkan
ketika itu di dalam blog. Masih di dalam fail. Esoknya barulah saya bercadang
mahu naikkan. Sebabnya? Saya tidak mahu BF yang hadir di Pantai Leman
membacanya lagi. Tidak mahu mereka membincangkan atau mengulasnya. Takut mereka
tidak beraksi secara natural… Bukan sekali dua saya menjumpai BF yang enggan
beraksi atau bercakap di hadapan saya di dalam sesuatu pertemuan. “Nanti cikgu
tulis di dalam blog’” “Tu dok pikiaq nak tulih la tu….” Itu lazim saya dengar.
Macamlah saya tidak ada langsung self-censorship dalam taman hati…. Contohnya, Nazri.
Dia paling kerap terdiam ketika nampak saya tatkala sedang riuh memperkatakan
sesuatu. Ini terutamanya berlaku pada awal kemunculan blog ini dahulu. “Tu nak
tulih apa pulak tu….”katanya sambil mata dipejamkan. Setiap diam saya dikiranya
sedang menyimpan maklumat. Pernah sekali di dalam kereta dia terlajak mengulas
tentang satu isu. Segera dibreknya lidah. “Cikgu jangan tulih hak tu na….”katanya. Apalah yang dapat saya lakukan selain
dari mengangguk dan tersengih….]
Sempat
bertanyakan khabar Encik Mansor, ayah kepada Maizura, Mazlan, Mazni dan
Mazliana yang uzur kerana terjatuh tidak lama dahulu dari Ustaz Mazlan sendiri.
Selain tentang itu, saya sempat mendengar Ustaz Mazlan bercakap tentang
kematian mudah, termasuk yang terbaru [sepupu Wira – yang ikut mendengar dan
mengesahkannya] sehari sebelum itu. Intipatinya ialah bahawa mati itu boleh
datang dalam pelbagai bentuk dan masa dengan lapik sebab yang biasa-biasa…
Saya bertanyakan Mazlan bila agaknya bakal mengerjakan haji seperti
Nazri. Terlupa saya bahawa guru J-QAF itu pernah memberitahu dahulu bahawa dia
telah menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun 2002, ketika masih menuntut
di Mesir. Beruntungnya Haji Mazlan…
Sempat
memperkenalkan Malek yang memang Cikgu Jah tidak kenali kerana mereka
berselisih tahun semasa hadir di AlFalah. Tetapi atas nama AlFalah, mereka
boleh berbual panjang juga malam itu. Malek bersedia jika Cikgu Jah perlukan
udang, ketam sotong dan ikan kembung sekali pun dalam kuantiti banyak… Semoga akan ada satu hari dapat kami
menyerbu Alor Gandak untuk menikmati laksa Cikgu Jah pula…
Cikgu Jah
meminta diri paling awal berbanding yang lain. Niatnya untuk datang ‘jenguk-jenguk
sat’ sebelum pulang menyertai rakannya di ibu negeri tidak kesampaian. Dia
berlama di Pantai Leman itu, malah sudah malas untuk ke tempat berkumpulnya
anak-anak yatim dan miskin tadi. Dia mahu terus balik ke rumah.
Ada lagi
ikan di dalam tong polisterin. Siap disiang oleh Malek & Geng. Yang di atas
bara juga boleh tahan banyaknya. Kami tawarkan ikan di dalam tong kepada Cikgu
Jah, manakala ikan yang siap berbakar kami faraidkan kemudiannya kepada
beberapa orang, termasuk saya. Ketupat difaraidkan juga, termasuk kepada Cikgu
Jah. “Untuk samatua…”kata saya ketika menghulurkan bungkusan ketika Cikgu Jah
hampir ke keretanya. Dia tergelak sambil tidak lupa berterima kasih dua tiga
kali.
Mulanya meronta-ronta
juga ketupat-ketupet apabila mengetahui mereka akan dipisahkan - menuju ke Alor
Gandak, Simpang Empat, Pulau Gezambo serta Taman Harapan [rumah Jasni]. Saya
tahu bagaimana memujuk mereka.
Mengekek gelak mereka apabila
dijanjikan akan dibawa pergi bersama serunding. Yang akan dibawa ke Pulau
Gezambo lagilah teruja. “Ada lebih lagi serunding di rumah…” kata Yam. Tidak
kami tahu bahawa Helwi tidak pun terhidu kehadiran ketupat dan serunding pada
malam itu…
Zul yang
sibuk di bahagian dapur sejak waktu
sampainya ke situ, hampir tidak sempat saya sapa. Ada sekali dia pulang
menghantar anaknya yang mengantuk. Datang semula, masih sibuk di bahagian tadi.
Mujurlah, sebelum balik, sempat berbual sedikit. Disertai Wira dan semestinya
juga ada samatuanya, Yam. Seperti dulu, Zul cukup cool, mendengar dengan baik serta amat jarang menyampuk. Wira bercerita betapa dia seperti raja di
rumahnya. Semua permintaan hatta segelas teh tarik akan disediakan mertuanya.
Dia hanya duduk di kerusi. Pernah sekali kedua-dua mertua melayannya
mendapatkan teh.. Bukan di Batas Paip sahaja. Di Ketereh pun layanan serupa
diterimanya. Saya bertanya adakah lagi adik iparnya yang masih solo. Ada dua
tiga orang, kata Wira. “Nak buat apa?”tanyanya pula. “Kira bagi kat Zul sorang.
Dia pun teringin ada mertua macam tu…”balas saya merujuk kata Yam sebelum itu:“bertuah
punya menantu”, kepada Wira. Yam tertawa. Zul? Dia tetap cool. Senyum bagaikan dipatenkan ke wajahnya. Dalam pada itu, berkali-
kali Yam mengajaknya berundur kerana anak telah lama ditinggalkan di rumah. Zul
seperti serba-salah untuk meninggalkan kami yang masih ramai di tepi pantai.
Atau segan untuk berlalu dengan khemah masih belum dipunggah dan peralatan lain
belum dikemaskan. Saya faham keserbasalahan Zul yang masih ingin membantu. Dibiarkan
ajakan Yam itu berlalu dibawa angin ke arah Restoran Anjung Kuala lalu dikirim
ke Selat Melaka. Akhirnya, saya ambil tangan Zul untuk bersalam dan menyuruhnya
balik! Barulah selesa sedikit untuk Zul kemudian bersalam dengan rakan-rakan
lain, meminta diri. Yam tergelak besar.
Sedang kami
berbual seterusnya, khemah dipunggah, peralatan dikemaskan oleh Malek & Co.
Malek serta rakan-rakannya, termasuk Jasni, memang patut diberikan penghargaan
tinggi. Tidak hanya pada malam itu, sebetulnya mereka telah mula beroperasi
semenjak pagi: mendapatkan bekalan ikan, udang, sotong [termasuk menyiang dan
memerap apa yang patut diperap], menentukan tapak khemah [termasuk mendapatkan
kebenaran pihak Marina Harbour awalnya], mendirikan khemah, menyediakan
peralatan memanggang dan membakar, menghidupan api, menyediakan bara, memasak
nasi dan membancuh air, ikut membakar dan memanggang sehingga akhirnya
memastikan tapak perkhemahan itu kembali seperti sebelumnya… Ketika yang lain
terus balik ke rumah sambil menggosok perut dan tekak, Malek dan gengnya
membawa balik peralatan tadi – terutamanya talam, tray dan bekas plastik untuk
dibasuh. Fuh…. bukan calang-calang orang yang bersedia melakukan kerja itu.
Tiada rungutan. “Seronok macam tu,” kata Jasni di dinihari itu ketika
melepaskan lelah di Restoran Awie.
Ya, selepas
semua pulang, Wira, Cikgu Non, Nazri dan saya singgah di restoran yang cukup
intim dengan Malek itu. Jasni dan Malek hanya datang selepas tugasan membasuh
tadi selesai. Ada kelelahan ketara pada wajah mereka tetapi berbalut kepuasan.
“Tak reti dok saja. Kena sambil buat kerja…”sambung Jasni. Walaupun bukan BF,
tetapi kemesraannya dan dua lagi teman, yang saya terlupa nama mereka, bagaikan
budak dari sekolah agama rakyat itu juga. Seperti tiada sempadan. Berbual dan
bersenda.
Saya
mewakili semua BF malam itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka.
Allahlah sahaja yang dapat membalas budi dan jasa mereka.
Kami hanya
minum sambil berbual. Ada seperti post-mortem sedikit tentang acara tadinya.
Akan ada penambahbaikan untuk lain kali. Insyaallah. Nazri masih tidak lupa
tentang jangkaan tetamu yang saya sebutkan. Ada sedikit kesal, kalau-kalau
tetamu tidak puas, tetapi kami yakinkan bahawa makanan sememangnya cukup.
Cikgu Non
paling awal meminta diri dahulu. Sesuatu yang hampir jarang berlaku sebelum
ini. Kami faham keletihannya yang baru sahaja selesai berurusan membawa
pasukannya menjuarai acara pingpong Sukan Sekolah-Sekolah Agama Seluruh
Malaysia.
Nazri pula
menurutinya sebentar kemudian. Bintang utama malam itu akan bertolak ke H[u]lu
Langat malam berikutnya. “Jumpa lagi minggu depan,”katanya. Namun sehingga dia
bertolak ke Madinah, saya tidak menjumpainya lagi… Semoga dia dapat mengerjakan ibadah haji
dengan sempurna, pulang dalam keadaan sihat walafiat.
Wira pun
mahu berundur. Tetapi apabila Malek dan Jasni meminta minuman kedua, dia ikut
meminta sama. Entah hingga pukul berapa pula mereka bersidang, kerana saya
terlebih dahulu pamit – melatam lagi jalan beraspal lembab sambil
mencongak-congak isi entri tentang tiga jam di pinggir Marina Harbour itu…
“Nanti kita
bakaq unta pula….”
Saya
teringat kata-kata Nazri di Pantai Leman tadi, setelah memakan bakar daging
kambing…. Saya tersenyum mengingati bagaimana seorang sahabat meminta Nazri
jangan berjanji lagu
‘tu….. Fokus untuk mengerjakan haji sahaja bersama samatuanya….
Ah, Nazri…
Saya terus
membelah kabus….atau sebenarnya gerimis dinihari…..
* Negeri Tercantik – tajuk puisi Nahmar Jamil [rujuk di bawah]
** main masak-masak
*** main kahwin-kahwin
Negeri Tercantik
Tahukah
negeri tercantik dan sayu
ialah negeri yang kita tinggalkan
semasa menjadi kanak-kanak dan dibesarkan alam
Sebuah negeri yang menyimpan pengalaman
negeri yang menyanyikan keharuan
negeri yang menyambut kepulangan
ketika kita tua, lelah dan kebosanan
Ia terbenam di celah-celah kenangan
ditelah masa, disisih kehidupan
ia adalah negeri tercantik dan sayu
apabila kita pulang dengan mimpi dan rindu.
1985
- NAHMAR JAMIL
Tahukah
negeri tercantik dan sayu
ialah negeri yang kita tinggalkan
semasa menjadi kanak-kanak dan dibesarkan alam
Sebuah negeri yang menyimpan pengalaman
negeri yang menyanyikan keharuan
negeri yang menyambut kepulangan
ketika kita tua, lelah dan kebosanan
Ia terbenam di celah-celah kenangan
ditelah masa, disisih kehidupan
ia adalah negeri tercantik dan sayu
apabila kita pulang dengan mimpi dan rindu.
1985
- NAHMAR JAMIL
1 comment:
alangkah nikmatnya dan manisnya malam itu...namun dari kejauhan......
Post a Comment