24 September 2014

24 Jam Nan Sendat



Nota: Catatan ini sebenarnya mahu diterbitkan selepas Penangan Laksam Pulau Gezambo dan No Woman No Cry (lihat senarai entri bulan Ogos), tetapi masalah telah berlaku. Harap maklum.

Khamis 14 Ogos 2014.

Malam tadi kami berkumpul sakan di Pulau Gezambo. Setelah itu, lima dari semua tetamu di rumah Yam-Zul singgah sebentar di Restoran Sofia, Batas Paip. Membasuh tekak sambil berwasap serta sedikit mengingat suasana meriah di pulau yang baru kami tinggalkan itu. Kami - saya, Zairi, Wira , Malik dan Jasni - berpecah sekitar jam 1.30 pagi.

Saya yang menumpang kereta Zairi sehingga ke Alor Ibus, berpecah lagi sekitar 15 minit kemudian. Saya bermotor sendirian membelah angin awal pagi melatam jalan pulang ke Simpang Empat. Sepanjang perjalanan itu, setiap gerak laku BF di acara memakan laksam tadinya masih menerawang di kotak fikir. Tidak malu saya tersenyum seorang di dalam kelam mengingat riuhnya suasana.Tiga watak yang muncul dahulu pastilah Babuji…diikuti Nazri… dan Wira…

Sampai di rumah, menghadap komputer, saya menyimpan foto yang saya muatkan di dalam fb grup BF, yang awalnya saya kutip dari WhatsApp grup BF, yang Wira, Helwi dan saya klik dan muatkan semasa acara berlangsung. Banyak sekali fotonya – lebih daripada 40. Jenuh kalau mahu dimuatkan di dalam blog ini. Hanya terfikir satu cara untuk semua foto – termasuk foto laksam, kacang goreng dan sirap bandung – dapat dimuatkan: melalui klip.

Saya membuka fail lagu untuk dijadikan lagu latar klip. Puas juga membelek. Dari nyanyian Dewi Yull, Grace Simon, Bob Tutupoli, Ebiet sehinggalah Ahmad Jais dan Rafeah Buang. Tiada satu pun yang hati berkenan. Kalau ada lagu Laksa Mambo dari satu kumpulan yang pernah menyertai pertandingan Juara Kugiran pada tahun 70-an dahulu, sudah pasti tugas saya senang sedikit. Malangnya, bukan setakat lagu itu tiada dalam simpanan, nama kumpulan berkenaan pun saya tidak ingat.

Saya belek foto yang ada di skrin. Dalam banyak-banyak itu, apabila terlintas kelibat Ustaz Husin Lateh menyuap laksam, saya teringat komen rakan ketika Husin baru sampai. Bob Marley!

Ya. Topi a la Bob Marley yang Husin pakai, membuatkan saya memutuskan untuk menjadikan lagu No Woman No Cry dari mendiang penyanyi reggae itu, sebagai lagu latar. Biarlah, sekali pun tiada kaitan dengan acara…Peduli apa. Pembaca blog ni bukan ribu-ribu. Drama tv yang ditonton jutaan orang pun, tidak kisah apabila menyelitkan lagu yang tidak bertadung dengan jalan cerita. Adegan tengah malam, rumah dalam kampung dibuka semua tingkap pun, tiada siapa komplen, termasuk penonton yang tidak henti menampar nyamuk sedangkan pintu dan tingkap rumah sendiri tertutup semua….

Setelah itu saya masuk ke bilik. Feel sleepy

Why?

Y?

Zzzzzzzzzz…..

Pukul 8 pagi.

Saya bermotor melatam jalan ke Kola sekali lagi. Ada dua tujuan ke situ. Pertama dan utama, mahu mengambil lima kilogram ikan kering yang saya pesan kepada Babuji. Ada jiran mahu menjadikan ikan kering goreng salah satu menu dalam majlis kendurinya. Tujuan kedua adalah untuk bersarapan dengan nasi Mat Endek…

Ketika lepas sedikit dari simpang Tandop-Telok Bagan, Zairi menghubungi saya.Bertanya lokasi serta memaklumkan kematian ayah Shakiroh Abdul Hamid.

“Jom kita mengunjung sat….kita menyoghok kut dekat sini sudahlah….”katanya. Saya menyatakan mesti ke Kola juga kerana telah berjanji dengan Babuji, sebelum bersetuju untuk ke Alor Pulai, kampung tanah tumpahnya darah Shakiroh.

Takdir tertulis: Dalam tempoh 12 jam, tiga kalilah saya kena ke rumah keluarga Zairi…

Dia siap menunggu di sisi keretanya ketika saya sampai, lalu terus ke Alor Pulai.

Dalam perjalanan itulah, kami berbual tentang salasilah keluarga sedikit. Arwah ayah Shakiroh bukan orang dengan bonda Zairi. Demikian cerita adik Abdul Khodir Mohd Ariff itu. Saya tepilanjat. Nyata kami mungkin dari satu pokok keluarga yang terlalu rendang dan rimbun. Manakan tidak, emak Shakiroh adaik beradik sebelah Tokwan saya manakala ayahnya cucu saudara Tok saya sekarang. Lama sudah saya tahu Shakiroh dengan saya bukan orang…..Cuma dengan Zairi….Kalau diteliti pokok keluarga elok-elok, mengkaji ranting, cabang, dahan dan akar serta daunnya, pasti pasti kami ada di situ… Ah, susurgalur yang membuatkan libang-libu di hati…

Orang mula memenuhi laman rumah keluarga Shakiroh, ketika kami sampai, dan Zairi memarkir keretanya di hadapan Masjid Alor Pulai. Dua pupu saya yang tinggal di rumah belakang rumah tersebut menyambut saya. Zairi bersalam dengan beberapa orang yang duduk di sebelah lain jalan ke pintu utama rumah.

Di dalam rumah, jenazah diletakkan di atas katil ruang depan rumah kampung dua lapis itu. Lima orang wanita berada di hujung kepala katil. Dua di antara mereka, yang paling hampir dengan jenazah, saya jelling sepintas, tatkala menadah tangan mendoakan kesejahteraan roh arwah Abdul Hamid. Ternyata salah seorang itu bukan Shakiroh. Mungkin dia berada di ruang lain. Salam takziah yang dititipkan oleh beberapa rakannya, seperti Mariam, Farihah dan Ashiqin, melalui WhatsApp sepanjang perjalanan tadi, tidaklah dapat saya sampaikan..

Di luar rumah, di satu sisi, saya berbual dengan dua pupu tadi serta beberapa orang di sebelah kiri dan kanannya. Zairi pula membawa haluan sendiri, berbual dengan beberapa orang lain, yang sebahagiannya mengenalinya berdasarkan raut muka, tetapi tidak tahu siapa….Maklumlah, kebanyakannya adalah daun yang berasal dari pokok yang sama…

Kami main isyarat mata untuk beredar dari laman rumah keluarga Shakiroh, sekitar sepuluh minit kemudian….

Kereta Zairi melatam kembali jalan, hinga akhirnya sampai di Kola. Di lampu isyarat sebelum membelok ke arah Jambatan Tok Pasai, Zairi sempat mengelik papantanda nama jalan. Sengaja dimasukkan ke dalam WhatsApp, untuk dilayurkan kepada seorang insan kelahiran Kola di rantau yang terlalu mengidam untuk balik kampung…

Di kedai nasi Mat Endek, selepas memesan kampuhan nasi dan lauk ala kadar, saya mendapat panggilan dari Babuji. Dia sudah menanti di kedai kopi – yang turut menjual teh, Milo, oren, Nescafe….. -  di hujung jambatan kebanggaan orang Kola itu. Saya memberitahunya lokasi kami. “Baik, baik, baik”jawabnya seperti selalu sebelum menyatakan akan datang bersama ikan kering sekotak ke tempat kami bersarapan itu.

Saya hubungi pula Wira. Mengajaknya bersarapan. Sengaja. Ingin sekali melihat pula pertembungan Babuji dengan Wira pada pagi itu. Kalaulah senario di Pulau Gezambo sepuluh jam sebelumnya berulang, tentulah akan lebih lama kenangan tentang mereka terukir di benak… Cuma kali ini tiada kuah laksam untuk acara simbahan…

Yusri a.k.a Babuji sampai diikuti oleh Wira selang beberapa minit kemudian. Kami bercerita tentang kunjungan kami ke Alor Pulai sebelum ini. Wira telah berpakat dengan Helwi untuk ikut mengunjung jenazah manakala Babuji yang baru mengetahui berita, mahu menyertai.

Kami, kecuali Wira, pun bersarapan dengan nasi yang ditemani lauk pilihan masing-masing, Wira rupanya telah siap mengalas perut di tempat lain – mungkin sekitar Kelonchor – berhampiran ofisnya. Berkali-kali Babuji menyuruhnya memesan nasi tetapi ditolak dengan perlahan oleh Wira. “Aku tak belanja, hang kata aku tak mau belanja. Aku nak belanja, hang tak mau pula….”kata Babuji, sambil memegang dompetnya. Nadanya seiras waktu pertembungan di Pulau Gezambo itu. Saya lihat ada sengihan di wajah Zairi dan Wira.. Saya? Manalah saya nampak muka sendiri!

Ada sedikit putik-putik sengketa dari keseriusan pelawaan dan rungutan Babuji pagi itu. Tetapi setakat itu sahajalah. Putik itu tidak berkembang pun. Benarlah kata Wira selalu, kalau dalam kumpulan yang ramai barulah mereka seronok bertekak. Setakat seorang dua seperti pagi berkenaan, mereka tidak ada semangat untuk bertelagah… Kembali bercakap biasa-biasa dan mesra, Cuma nada atau lontaran suara mereka kadangkala berunsur tegang!

Teruslah kami berbual sambil Wira menunggu Helwi yang datang dari Seberang Perak. Berlaku silap faham sedikit. Dia menunggu di Kola, sedang Helwi yang awalnya memberitahu dalam perjalanan, akan menunggu di Batas Paip.. Maka terpaksalah perbualan kami dihentikan bagi memberi ruang Wira dan Babuji bergerak ke simpang tiga menuju ke Alor Pulai itu.

“Tunggu aku taruh motor kat rumah mak aku sat…”kata Babuji.

“Laaa….letak di Batas Paip la…Depan kedai Mi Abbas…. Sat gi senang hang nak balik….”balas Wira.

“Takpa ka letak motor di situ?” tanya Babuji.

“Allah….. motor hang takdak sapa nak ambik aih….” Balas Wira lagi.

Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, akan gaya percakapan dua insan sebaya itu, yang sempat kakilima kedai nasi Mat Endek mendengarnya. Saya dan Zairi menjadi saksi mata dan telinga…

Melihat mereka bertolak, kami berdua pun meninggalkan Kola, ke rumah keluarga Zairi sekali lagi untuk berpisah kemudiannya dengan tujuan masing-masing. Zairi perlu menyelia tugas di tengah bandaraya manakala saya membawa sekotak ikan kering ke kejiranan di Simpang Empat.

Tamat episod siang.

Malam.

Cikgu Non memang ada tugasan di UUM. Ikut mengendalikan sukan antara sekolah agama seluruh Malaysia. Malam sebelumnya, ketika kami berkumpul di Pulau Gezambo, dia memang tidak ada peluang untuk ikut serta. Malam ini cadangnya kami akan bertemu di Jitra – masing-masing bertolak dari Kola dan UUM.

Saya menunggu isyarat dari Kola atau Alor Ibus. Sehingga jam 10, isyarat tidak muncul. Melepasi suku pertama jam itu baru ada tanda. Sekali lagi saya ke rumah keluarga Zairi. Hairan agaknya pokok rimbun di tepi jalan masuk ke rumahnya melihat ulang-alik saya dalam tempoh dua hari ini….

Mula-mula kami menanti Wira di Batas Paip. Sambil itu dua tiga kali saya menghubungi Cikgu Non. Setiausahanya sahaja yang menjawab. Bosnya tentu sedang sibuk. Kemudian, kami ke lorong rumah Malek untuk mengambil tauke makanan laut itu.

Ke mana kita? Masing-masing tertanya. Meski tanpa jawapan pasti, Zairi tetap menghalakan keretanya ke arah bandaraya ibu negeri.

Sekali dua lagi saya hubungi Cikgu Non. Akhirnya setiausaha tidak mampu menahan bosnya bercakap dengan saya.

Rupanya, hari itu asyik ada salah faham.

Cikgu Non menjangkakan kami akan menghubunginya awal malam untuk bertemu di Jitra. Kami pula perlu menunggu Zairi selesai misi utama pulang ke lubuk pada waktu begitu – tugasan majikan di pusat bandaraya. Maka kami sangkakan menjelang hujung malamlah senang untuk bersantai… Rupa-rupanya, ketika kami dalam perjalanan itulah, Cikgu Non sedang dalam waktu puncak tugasannya – membuat persediaan untuk acara hari esok. Terpaksalah hajat untuk bersua dan bersuara berjemaah di pusat pentadbiran daerah Kubang Pasu diurungkan…

Ke mana kita?

Ikut bancian penduduk, saya memang tergolong sebagai warga bandaraya. Demikian juga rasanya Wira dan Malek. Tetapi terus terang cakap, untuk menyatakan manakah tempat yang hidup pada waktu malam di bandaraya ini, saya kena angkat tangan. Ampun. Saya memang tidak tahu. Sudah lama saya tinggalkan hobi menyimpan alamat dan maklumat lokasi tumpuan warga Alor Setar setelah mentari berlabuh. Selain sekitar Simpang Empat, Tokai, Tanah Merah, Kubor Panjang serta Kota Sarang Semut, saya hanya mahir jalan-jalan dan tumpuan orang Tebengau, Telok Bagan, Alor Ibus, Taman Bersatu, Batas Paip dan Kola…Adalah sedikit lagi sekitar Simpang Kuala dan Tandop.

Wira pun begitu. Malek pun demikian. Gamaknyalah.

Maka berputarlah seketika di pusat bandar, mulanya mencari gerai kuetiau. Malam Jumaat bukan waktu terbaik untuk melepak di Alor Setar rupanya. Sunyi. Banyak gerai tidak beroperasi atau berada di peringkat mahu menghentikan operasi…

Akhirnya, kami singgah di Jalan Langgar. Ada deretan gerai sedikit yang masih berorang di hadapan UNITAR dan Open University, yang dahulunya menjadi tapak pasaraya Hankyu Jaya dan The Store.

Kiranya kami menjejakkan kaki ke universitilah malam itu…

Duduk di meja di atas kakilima paling hampir pintu masuk UNITAR, kami memesan minuman. Sambil menunggu, Zairi menghubungi Tan Sri yang berpecah dengan kami selepas pertemuan di Pulau Gezambo hampir 24 jam yang lalu. Tan Sri memang sedang menuju ke sebuah bank untuk menambahkan wang tunai ke dompetnya. Cantik sesangatlah… Saya masih mendendaminya kerana ketika kami menunggunya di Restoran Sofia awal pagi tadi, dia yang beria-ia untuk turut serta sekadar menghantar utusan harafiah [lebih kurang]: Maaf, kena balik tidoq, esok aku kerja….keh35x…..

Minuman sampai. Baru dua kali hirup, mahu memesan kuetiau, kami dapati tuan gerai itu sedang menyelimutkan kuali dan rak di atas basikal roda tiganya… Takdir tertulis begitu… Kita hanyalah pembawa watak…

Maka kami pun membuat hirupan penutup untuk bangun sebelum Tan Sri sampai. Takut hamba Allah itu mengamuk hingga ke pengtahuan Datuk Bandar akan ketidakpuasan hatinya..

Saya tidak pasti Zairi sempat hubunginya atau tidak, kerana ketika kami berada berhampiran kereta Zairi, duta baju Pagoda tersebut telah siap berdiri di situ. Mujurlah moodnya baik. Tiada tanda-tanda angin akan naik.

“Kita pi Jalan Pegawai…” cadang seseorang yang segera dipersetujui sebulat suara.

Malek menaiki kereta Tan Sri sebagai teman berbual. Saya dan Wira terus bersama Zairi.

Saya menghitung-hitung lokasi kedai - kalau masih dibuka - sekitar Jalan Pegawai…

Tan Sri memandu laju. Zairi mengikut. Tidak Tan Sri membelok ketika sampai lampu isyarat pasar lama. Tidak mengapa. Ada satu simpang lagi berhampiran stesen petrol dan bangunan Dewan KIA, selepas Kompleks Hijau Kuning. Pun Tan Sri tidak membelok malah laju sahaja melepasi simpang berkenaan.

“Dia ni tau ka Jalan Pegawai ni….”kami bertukar-tukar soalan.

“Malek ada…”

“Dia nak pi ikut Simpang Kola kut…”

Zairi terus mengekori Tan Sri. Memasuki Jalan Kuala Kedah, pun laju Tan Sri memandu, melepasi lampu isyarat ke Jalan Pegawai. Laju juga melintasi lampu Isyarat Masjid Aman. Selepas itu, terperasan sesuatu, termasuk jerkahan kami dari dalam kereta Zairi, agaknya, berhadapan pagar SMK Tun Sharifah Rodziah, barulah Tan Sri memperlahankan kereta.

“Awat tak singgah Jalan Pegawai?”

“Yang laju sangat ni nak pi mana?

Itu dua soalan pokok dari kereta Zairi, sebaik kedua-dua kereta berada seiring.

Tan Sri tersengih. Saya mendengar jawapannya tetapi sekarang tidak ingat lagi. Dibawa deruan angin menjelang pagi Jumaat itu….Hanya sengihannya yang berbekas di minda.

Ke mana kita?

Akhirnya kami putuskan untuk singgah di gerai minuman di depan kedai francais Berjaya Group – 7 Eleven – bertentangan Taman Seri Kota. Sama seperti kedai yang dimiliki lesen oleh grup Vincent Tan tersebut, gerai berkenaan juga beroperasi 24 jam. Ada nasi lemak dan kuih-muih – menimbun terutamanya pada awal pagi dan hujung petang.

Di situlah.

Di situlah selama lebih dua jam kami duduk-duduk..

Di situlah selama lebih dua jam kami minum-minum….makan-makan nasi lemak dan kuih…

Di situlah selepas lebih dua jam saya makin kenal empat budak Falah itu…

Di situlah.

Dalam banyak-banyak pertemuan, inilah rasanya yang paling ilmiah isi perbualannya. Hampir 75%. Selalunya, kalau ada pun cumalah sekitar 20-25%. Bagi pengamatan sayalah. [Bagaimanapun, rasanya semua yang berempat BF tersebut tentu terkesan juga kelainan itu. Sekurang-kurangnya seorang mengakui di telinga saya semasa perjalanan pulang…]

Seluloinya secara santai bersembang tentang kerja dan kerjaya, hal-hal peribadi, mengimbau nostalgia, mengimbasmuka kehidupan, selit sedikit bab siasah atau hiburan.
 
Kali ini bab hukum-hakam, bab fekah dan tauhid, yang fardu ain dan kifayah… Maaflah kerana saya tidak dapat mencatatkan satu persatu, secara detail.

Tetapi kesimpulannya, cukup menarik perbualan awal pagi Jumaat itu.

Setiap hal ada ulasan berdalil. Siap disebutkan tajuk kitab. Pengalaman di beberapa tempat dikongsi lalu diulas bercanggah atau tidak hukumnya, relevan atau tidak kerja buatnya, berpadanan atau tidak dengan mazhab pegangan…

Mengenangkan semua itu, meski hanya perbualan di gerai kaki lima, jangan tidak tahu ahli panel yang ada: berapa ustaz telah Wira berguru di beberapa masjid; selain AlFalah, Tan Sri dan Malek adalah anak murid almarhum Ustaz Niamat Yusof di Pondok Derang, malah Tan Sri sentiasa berbahas hal-hal agama di mana-mana dan dengan sesiapa saja; Zairi, maaflah saya tidak perasan guru khususnya, tetapi bukan calang juga ilmunya yang sebahagian pernah diadaptasi ke kejiranannya…

Lompang masa semenjak mereka tinggalkan AlFalah sehinggalah bertemu semula setahun dua lalu bukanlah satu masa yang pendek. Tidak tahulah pula selama mana dan seramai mana mereka berguru.

Sayang sekali, tidak ada Babuji bersama atau Ustaz Chin … Kalau ada mereka, tentu akan ada perbedaan pendapat, dengan kes-kes tempatan, yang akhirnya akan mencambahkan lagi ilmu masing-masing.

Dua jam lebih. Setiap orang memesan paling kurang dua kali minuman, tambah dengan nasi dan kuih.

Dua jam lebih. Berkali-kali Zairi membelek jam di lengannya. Dia mesti berada di kejiranannya menjelang Isyak, atas janji bersama seorang prospek pelanggan berprofil tinggi. Sebelum itu, dia perlu menyusul sekali lagi ke tempat yang diselianya siang serta awal malam tadi. Mesti bertolak balik sebelum tengah hari. Semua itu perlu dilakukan dalam tempoh sepuluh jam dan dia juga perlukan tidur! Agaknya itulah yang difikirnya di celah perbualan yang menarik, dan itulah yang membuatnya membelek jam berkali-kali…

Dua jam lebih. Wira paling kerap memesan minuman.  Dengan perbualan yang ilmiah, suara yang tidak dikawal, muka masing-masing yang tampak serius, tidak hairanlah, ketika kami bangun menuju ke kaunter berdekatan meja kuih dan nasi lemak pelbagai lauk dan bentuk bungkusan, pekerja gerai berkenaan terketar-ketar mengira harga. Tersasul-sasul menanyakan apa yang kami minum dan makan. Akhirnya, Tan Sri yang memegang kalkulator, bertanya apa yang rombongannya makan dan minum. Pekerja itu tersipu-sipu. Ada sen di hujung ringgit yang Tan Sri hitung itu.

“Hak kupang-kupang tu buanglah. Upah kira…” kata Tan Sri. Serius suara dan wajahnya. Pekerja itu tersengih, tidak tahu apa yang mahu dikatakan berhadapan pelanggan, yang mungkin tidak ditemui spesies begitu setiap hari…

Kami berpecah seperti tadi. Malek bersama Tan Sri. Wira yang bersama saya dan Zairi, turun di Batas Paip. Saya pula meninggalkan rumah keluarga Zairi entah pukul berapa. Terlupa saya mahu melihat jam di telefon. Sampai di rumah pula terlupa juga melihat jam di dinding. Tetapi berdasarkan wajah samatua yang agaknya dua tiga kali bertukar episod mimpi sebelum saya sampai, kiranya lewat jugalah masa pulang itu….

Sebelum tidur, saya memindahkan foto pertemuan tadi dari WhatsApp grup ke fb. Takut terpadam dan terlupa…

**********************
 Pagi Jumaat.

Sedang bersarapan dengan samatua, saya membelek WhatsApp. Ada foto Tan Sri dan Zairi menyoghok di Batas Paip, berjumpa pula Wira. Alkisahnya Zairi bertemu pula dengan Malek kemudiannya untuk mengambil beberapa jenis hidupan laut untuk di bawa pulang ke Lembah Kelang…

Bila mereka tidur? Berapa jam?

Ingin saya tanyakan soalan itu di dalam WhatsApp.

Tetapi tidak sempat. Soalan itu muncul secara lisan dari mulut samatua. Namun bukanlah ditujukan kepada empat budak Falah itu…

Err…err.. entah! Bila waktu lelap tak tau. Berapa jam? Janganlah tanya dalam jam, cek oi. Tanyalah dalam minit. Barulah dapat angka yang banyak…

Demikian jawapan saya. Terangka di dalam minda. Tidak dapat dizahirkan kerana mulut dipenuhi ketayap berinti kacang, ditunda pula dengan teh o suam…


“Tu nak mengadap komputer lagi la tu…” kata samatua ketika saya bangun dari kerusi di ruang dapur.

“Dak aih….” Kata saya.

Macam mana dia boleh tahu niat saya?

Maka bagi membuktikan kata , tidaklah saya membuka komputer untuk mencatat pertemuan awal pagi itu…

********

Hujung September, Zairi akan balik lagi.

Mungkin akan ada pertemuan di mana-mana. Di Pulau Gezambo, besar sekali kemungkinannya… Di tempat lain, tidaklah pasti.

Tetapi kali ini, Tan Sri tidak dapat bersama. Dia dan samatuanya berada di Makkatul Mukarramah…

Akan adakah percambahan ilmu seperti dahulu? Jika ada, siapakah pula ahli panel pengganti tempat Tan Sri?

Hanya Allah Yang Maha Tahu.




1 comment:

pawangnujum said...

hadam