1 October 2014

Ayo Ayo Ayo Pulau Gezambo




Nota: Cakap pun tak guna. Mujur isi entri sudah siap. Kalau tidak, tidak adalah entri hari ini. Saya mahu buat klip untuk pertemuan di Pulau Gezambo awal bulan ini, sempena cuti. Entah apa dibomohkan komputer, aplikasi yang saya gunakan buat hal. Agaknya mahu tuntut royalti. Tengah asyik susun foto, LUP, terpadam program itu. Komputer [monitor] tidak mengapa, Cuma tersengih. Ulang semula, macam itu juga. Seminit dua, LUP juga. Ada dekat sedozen kali. Ah, akhirnya saya bangun bacuh susu, minum hingga meleleh ikut dagu… Biarlah. Cuma ada satu cara: ikut program punya aturan. Biarkan dia buat kerja. Automovie. Masalahnya susunan fotolah lintang pukang. Tak teghtib, yang dulu tak didahulukan… Ada foto naik sampai dua kali. Ada yang tak naik langsung. Maaflah kalau foto anda yang hadir itu tidak naik atau tidak banyak. Bukan saya tidak mahu masukkan. Program ini merajuk kalau saya pandai-pandai tukar foto. Terus LUP. Cuma sempat buang kredit yang ada nama tuan program…. Maaflah ya.   Saja nak bagi seri entri ini dengan klip. Kalau foto saja, jenuh juga nak saya klik masuk semua… Demikian adanya.

Semua pembaca terutamanya kamu
Saya berharap janganlah jemu
Di Pulau Gezambo ulang bertamu
Pastilah laksam akan dijamu

Pagi itu lebih jam delapan
Saya diajak sama bersarapan
Di masjid lama Kola empunya depan
Nasi Mat Endek menjadi umpan

Orang Mantin satu keluarga
Zul dan Yam serta orang ketiga
Siapa dia semua boleh duga
Kalau bukan Wira yang ada juga

Kiranya mereka sudah pun tamat
Nasi berlauk dikunyah lumat
Tinggal berbual mulut terkumat
Tika saya sampai dengan selamat

Selepas acara bersapa bersalaman
Saya dipelawa berjumpa dengan Man
Si penjual nasi yang kaya senyuman
Dibubuhlah dua tiga lauk idaman

Sambil melihat saya makan
Mereka terus berborak sakan
Dari yang ya kepada yang bukan-bukan
Orang keliling tidak dipedulikan

Zul dan Yam sudah ada plan
Sempena cuti pertengahan bulan
Membawa anak pergi jalan-jalan
Ke Titi Hayun bersama bekalan

Sebelum itu sempat berbincang
Di grup WhatsApp telah dirancang
Makan laksam sampingannya kacang
Kecur liur dada pun kencang

Bergeraklah dua berwatak isteri
Setelah bini Men bermohon diri
Bahan laksam mahu dicari
Di pasar merangkap pekan sehari

Tinggallah kami duduk bersembang
Topik lelaki tapi berimbang
Bukanlah takut cumanya bimbang
Anak-anak Men macam dok bang…

Dua isteri pergi tak lama
Dalam 45 minit semula menjelma
Apa dibeli kami tak tahu nama
Sikap lelaki, 90% sama!

Sebelum berpisah Yam pelawa
Katanya ada ikan segar dan lawa
Kepada samatua bolehlah dibawa
Tak mahu gulai, buatlah serawa!

Bab malu kucing Melayu sama
Dalam menolak, saya terima
Buat apa buang rezeki percuma
Itu bukan ajaran agama

Wira pula sudahlah lali
Di pelantar ikan bot bertali
Tetapi saya tidak peduli
Dengan dia diajak sekali

Segan nanti sendiri di laman
Wira dibuat sebagai peneman
Boleh juga bertukar senyuman
Senyum seorang nanti dicop tak siuman

Sambil menanti ikan ditangkap
Kami melihat sebelah tingkap
Wira bertindak dengan cekap
Dikliknya alamat yang lengkap

Zul pelawa masuk dahulu
Kami tidak terus melulu
Masih kenal hilir dan hulu
Orang nak berjalan kenalah diberi lalu

Seplastik ikan bertukar tangan
Beratnya, tanyalah lengan
Jenisnya pula tiga empat bilangan
Termasuk todak yang kan jadi hidangan

Berpisahlah saya dengan Wira
Tidaklah lama cuma sementara
Saya pulang dengan gembira
Dia ke tempat kerja arah utara

Di WhatsApp saling berhubungan
‘malam nanti’ tajuk perbincangan
Diselit juga bentuk undangan
Tak payah bersuara cuma guna tangan

Saya hubungi CikJah dan Babuji
Seorang di rumah, seorang sedang mengaji
Ceritakan hidangan bakal disaji
Dua-dua selitkan Insyaallah dalam janji

Yang lain tentu sudah pun tahu
Terutama rakan seganding bahu
Makan laksam siapa yang tak mahu
Sambil dapat berhuha-hahu

Jemputan lain tentu Yam uruskan
Cuma pesan Cikgu Non jangan dilupakan
Dahulu pun dia tak dapat makan
Ada tugas di UUM berkaitan sukan

Kita puji Yam rasanya tidak salah
Masuk Asar masih di tempat berkelah
Menjelang Maghrib kuah disiap telah
Bab tangkas tentu ramai yang kalah
 
Saifol teringin juga ikut merasa
Setelah dulunya tiada masa
Saya menjawab mudah bahasa
Awal pun dilayan seperti biasa

Cik Jah bertanya plan ke lokasi
Di dalam WhatsApp jawapan dikasi
Sampai di Kola janganlah sangsi
Akan diiring pada dua sisi

Paling awal rasanya Deja Man
Dia di Kola saya masih di kediaman
Bini Men diminta cepat meneman
Biar cikgu itu selesa, nyaman

Membelah malam saya memecut
Katak di jalan hatinya kecut
Yang tengah melintas melatah “opocut!”
Mujur tali minyak tidak terlucut

Masuk rumah Zul nampaklah CikJah
Serta semua yang berseri wajah
Pekena laksam sepinggan tapak gajah
Kacang tak lupa menumpang tujah
 
Pasangan Mantin mencari selesa
Mereka membuat dua fasa
Setelah anak-anak ikut merasa
Dihantar pulang ke tempat biasa

Bersembanglah kami aneka fesyen
Ada dilantai, ada di kusyen
Sesekali ada menjeling televisyen
CikJah tak boleh lama, anak ada tuisyen

 
Dikeluarkan pinggan untuk saya
Semua yang lain pakat tak terdaya
Sudah membaham sehabis daya
Siap bergambar aneka gaya

Selepas itu datang berturutan
Siapa dahulu tiada catatan
Kalau tidak salah ingatan
Saifol dan Aziz yang mula kelihatan



Saifol sedang di dalam perjalanan
Mengambil pekerja itu peranan
Singgah sebentar agar tak kempunan
Dengan laksam dia cukup berkenan
Aziz pula memang bercuti
Saat begitu lama dinanti
Bersimpuh malu di depan Cikgu Siti
Maklumlah masih teruna sunti

Saifol bercerita tentang tugasan
Jenama ayam goreng yang CikJah perasan
Lalu si cikgu berikan ulasan
Isu disiplin yang tauke sering pesan

Aziz masih diam membeku
Sesekali belek WhatsApp dan mukabuku
Di alam maya bukan begitu kelaku
Agaknya segan, kakak ada di bangku

Setelah lama Saifol berbicara
Barulah Aziz keluarkan suara
Lembut dan sopan sama tara
Tidaklah berserabut bercempera
 
Najib Ariffin lama tak jumpa
Entah sudah tahun keberapa
Kini telah pun menjadi bapa
Mertuanya di Kelantan, jajahannya saya lupa

Tersenyum Najib, isteri pun serta
Anak tertidur dalam kereta
Pabila lama tidak bertentang mata
Maka keluarlah pelbagai cerita

Misalnya abangnya polis, bukan tentera
Ustaz Zubaidi sahabat yang mesra
Mengahwini BF di awal era
Tinggal di Baling setelah bersara

Najib sendiri macam bermisteri
Terlupa ditanya kepada isteri
Ada yang kata bekerja sendiri
Menjadi tauke satu industri
 
Ustaz Husin juga timbul
Memakai kopiah tidak berjambul
Perutnya rata tidak tersembul
Doa nak jadi gitu, belumlah makbul…

Saya faham sangat fiil ustaz ini
Jarang bercakap kalau seramai begini
Cuba dua tiga orang di hari dini
Idea dan ceritanya berguni-guni

Masuk pula Wira Islam
Semua kenalnya luar dan dalam
Tahu kisah kini dan silam
Bab berhujah mulut tak boleh palam

Kawan sebaya terutama wanita
Tak putus menasihat malah mengata
Tumpukan masa ke keluarga tercinta
Jangan hingga awal pagi masih melata

Bukan Wira tidak terima
Isteri berpantang anak lima
Persoalan yang paling utama
Lepak di luar sudah senama

Datang pula Farihah Abdullah
Jenguk mula ada Cikgu Din, “malulah!”
Tuan rumah seakan bertanya, “apa salah?”
Akhirnya masuk, tiada masalah

Dia datang dengan samatua
Juga anak buah yang dua
Ceria melihat rakan semua
Setelah lama tidak bersua
 
Diperkenalkan saya si guru lama
Ketika duduk di sofa yang sama
Saya pun jadi sedikit terkesima
Dek dua kali huluran tangan diterima

Samatua Cik Ah orang Sabah
Aziz pun dapat rakan mencambah
Mereka berbual dengan tajuk tak berubah
Kami yang lain menjadi nasi tambah


Men yang balik melihat anak
Atau memuaskan perut yang senak
Terujanya naik mencanak-canak
Melihat Najib yang lama wujud di benak

Bab samatua Cik Ah samalah pula
Tidak ditanya sedari mula
Setelah berbual berjela-jela
Diberitahu baru garu kepala

Melihat kemeriahan makin ketara
Teringat kekawan seluruh negara
Bilakah pula dapat bermesra
Memadam rindu yang selalu membara

Ada bertanya di mana Malek
Bertandang ke Pokok Sena sudahkah balik
Ke dalam WhatsApp ada membelek
Jangan-jangan dah tidur mata tak celik

Saya hubungi Tok Imam kita
Adakah lupa lalu pejam mata
Kesalnya bagai tidak terkata
Ada urusan kariah yang serta merta

Helwi pula menghantar utusan
Member sebab berlapik beralasan
Meski laksam memang tak bosan
Tetamu jauh perlukan pemberesan

Akan Tan Sri usah dikenang
Banyak lautan perlu direnang
Doakan saja supaya senang
Mengerjakan haji dengan tenang

Terlambat catat janganlah bentak
Asyik menjurus ke satu petak
Pada masa hampir serentak
Laksam dimakan diangkat diletak

Seorang saja nampak ketara
Suami Cik Ah empunya perkara
Laksam bukan selari selera
Hanya kacang di celah suara

Ada lagi satu fakta
Ketika berjalan terus cerita
Ada yang bangu diri diminta
Kerana sebab yang amat nyata

Saifol terpaksa mula bergerak
Mengambil pekerja lokasi berselerak
Memang tugasnya itulah corak
Tak dapatlah lama duduk berborak

 
Cik Jah pun terpaksa balik dahulu
Masa kelas anak sudah berlalu
Takut guru tuisyen naik berbulu
Memang tak sakit tapi kut malu

Diucapkan terima kasih daun keladi
Bersalam tuan rumah berlaga pipi
Tapi bukan dengan dua-dua sekali
Zul wakilkan bini Men sebagai ganti

 
Cikgu Non datang bersama kekanda
Pasangan Mantin berdebar dada
Bercadang nak balik ke rumah bonda
Terpaksa dahulu ditangguh tunda

Duduk sahaja si cikgu itu
Wira bersandar di dekat pintu
Daun rokok ada di situ
Mula dibalut lepas satu, satu

Cikgu Non hubungi tauke ikan
Bertanya kenapa tak datang makan
Segan bukan pantang pun bukan
Malek kata kesihatan tak mengizinkan

Kepada Helwi disuruh kata
Datang saja jangan banyak cerita
Bawa sama tetamu berserta
Malu apa sama-sama kita

Tapi tiada yang hantar balas
Mungkin segan atau pun malas
Situasi Helwi tentu dah jelas
Jam dah lebih pukul sebelas


Bijak Zul Yam dalam mengurus
Juadah dihidang secara terus
Laksam wajib, kacang harus
Ada sekata ada yang tirus
  
Awal tadi kami leka bercakap
Zul faham bertindak cekap
Keluar ikut pintu bukan tingkap
Membeli kacang tambah agar lengkap

Masa masuk semula semua tak perasan
Mungkin hanya saya yang dapat kesan
Dibawa sama satu bungkusan
Kacang buat bekalan kecemasan

Macam-macam kami bualkan
Dari yang serius kepada bukan-bukan
Ehwal hidup di kampung di pekan
Ini dua contoh dapat diberikan

Yam bertanya kepada Farihah
Seronokkah beraya di negeri Sabah
Saat ini saya pun mencelah
Samatuanya ada takkan jawab bercanggah

Cikgu Non bercerita hal udang
Harga beratus pernah dihidang
Men ikut sama berdendang
Akhirnya saling bertukar pandang

Anak Najib terjaga lena
Tetapi seperti ada yang tak kena
Sapaan Men empunya kerana
Si anak pun tak mahu ke mana-mana

Puas Najib dan juga pasangan
Mengajak masuk menarik lengan
Serta tuan rumah campur tangan
Anak itu tetap pada pegangan

Akhirnya Najib masuk bersalam
Lagi pula hari sudah hujung malam
Kesal juga kami di dalam
Si anak terlihat secara berbalam

Laksam sepinggan ditambah lagi
Cukup bertahan hingga ke pagi
Sedikit-sedikit buat lekat di gigi
Berhenti mengejut tentulah rugi

Suara-suara memenuhi rumah
Sama melayan dengan ramah
Bersambung tiap patah kalimah
Tak pasti siapa isinya lemah

Aziz guna telinga dan mata
Tidak banyak mengeluarkan kata
Agaknya dia menapis fakta
Tak mahu zahir hal auta
 
Wira tersandar di daun pintu
Tertawa pabila lucu sesuatu
Garu kepala macam ada kutu
Jika ada perkara buntu

Melihat adiknya yang dipanggil Paksu
Abang Cikgu Non banyak membisu
Bukanlah kerana letih dan lesu
Cuma tak mahu mencelah isu


Sesekali bini Men ikut mencelah
Macam si laki dia tak mahu mengalah
Kira apa, hentam sajalah
Ini rumah Zul, bukannya Falah

 

Zul pula seperti selalu
Tersenyum tertawa di tempat perlu
Jag kosong dia bangun dahulu
Ditambah kacang, bukan baulu

Yam bersimpuh tepi Sulaiman
Yang lelap terlena dengan nyaman
Bertukar memerhati wajah teman-teman
Sentiasa di muka ada senyuman
  
Apa agaknya di dalam hati
Tentu terluah waktu pulang nanti
Samatua Najib/Cik Ah asyik perhati
Gaya perbualan macam mahu bergusti

Harap mereka tidaklah hairan
Geng Falah begitulah peran
Pertemuan begitu sebagai hiburan
Apa  terbuku semua diteran

Bukan senang berjumpa begitu
Sepuluh tahun belumlah tentu
Seperti geng Hawa malam itu
Dari suami diperlukan restu
 
Tiap yang mula ada penamat
Setelah laksam dihadam lumat
Semua bergerak menuju matlamat
Harap sampai dengan selamat

Atas semua yang dijamu tadi
Penghargaan buat Zul-Yam nan berbudi
Tapi terima kasih itu ada daun keladi
Dijemput lain kali, saya tetap sudi….


Kalau seloka tak tepat gambaran
Spontan dari saya punya fikiran
Senyum sajalah jangan baran
Silalah komen atau buat teguran


 Tinggallah Gezambo pulau kenangan
 jemputlah lagi jika ada hidangan
 mengundang kami seganlah jangan
 semoga kiant eratkan hubungan



   












1 comment:

pawangnujum said...

MARI MENYUSUN BUNGA SEROJA
BUAT HIASAN REMAJA TERLAJAK
APA GUNA CERITA SAHAJA
DIAJAK TIDAK DPELAWE PUN TIDAK