Aswad |
Tahun 2013, kedua-dua kali musim raya saya berjumpa Aswad Abdul Rahim.
Pertama, pada raya keempat Idulfitri 1434, di perjumpaan
raya budak Falah – bertempat di dewan awam, Taman Bersatu. Batas Paip.
Kedua, enam puluh lima hari kemudian – malam raya Iduladha –
di ruang tamu rumah Wira Osman, juga di Batas Paip.
Kali pertama itu, dia membawa bersama samatua dan dua
anaknya bertemu beberapa bekas guru dan sejumlah kawan-kawan perFalahan.
Pada pertemuan kedua, dia hadir solo, untuk menyertai saya, Saiful Adly dan
Zamri Zain
merasmikan ketupat raya Haji di rumah
Wira. Malam itu kami bersembang hingga masuk hari raya itu sendiri…
Selepas itu, kami hanya bertegur sapa sekali-sekala di laman
fb. Cuma ada sekali saya menelefonnya tatkala saya menyertai Cikgu Non dalam
kembara makan-makan di Lembah Kelang pada 30 Syaaban lalu – 34 hari sebelum
perjumpaan raya Idulfitri 1435. Kalau kena gayanya kembara kami mungkin sampai
ke rumahnya. Malangnya, ketika dihubungi, dia berada di Batu Caves. Entah apa
dibuatnya bersama famili di situ. Mungkin menarik nafas untuk bertekap
menyambut bulan puasa…
Selepas itu, adalah sekali sekala pula kami bertukar kata
melalui laman fb. Kadangkala kalau ada entri yang sesuai dari blog ini [atau
memang teringatkannya], saya kirimkan ke timelinenya.
Sebelum mahu dikenali sebagai Nangka Belangkas, dia menggunakan nama Aswad Lorongmayat di laman sosial itu.
Satu hari, minggu kedua bulan ini, saya terpandang posnya
beserta lokasinya. Dia berada di tanah tersimpan urinya dan berasa tidak sihat
– demam. Saya segera memberi respons. Dia berjanji akan menghubungi atau
berjumpa saya sebelum habis cutinya yang empat lima hari itu. Saya menunggu.
Walaupun hampir setiap hari saya berada di sekitar Kola atau
Batas Paip, tidaklah saya mahu mengganggunya, memandangkan dia sedang demam.
Lagi pula sebahagian masa di pusat P10 adalah pada waktu malam atau dinihari.
Tidak moleklah untuk saya mengajaknya berembun, apalagi berhujan…
Pagi Selasa, 14 Oktober, empat puluh lima minit sebelum
pukul 8, saya hubunginya dalam perjalanan untuk ke Batas Paip. Dua kali…
Telefonnya tidak berangkat. Masih demamkah dia atau telah pun berangkat pulang?
Saya dan Cikgu Non [mungkin bagi bekas guru Falah yang lain,
yang mahu bersahabat dengan bekas pelajar] mempunyai banyak pengalaman tentang
budak Falah yang bukan main riuh apabila berada di luar P10. Tetapi jika
mereka kembali ke kampung, atau jika mengetahui kami berada di sekitar tempat
mereka bermastautin, senyap sepi…
Adakah Aswad termasuk di dalam spesies itu?
Setelah dua panggilan itu hanya dijawab oleh mesin milik
pengendali telco, dan dengan bersangka
buruk padanya, saya menghantar mesej bertulis pula: Hehehe…agak dah… 07:37
Biarlah.
Lagi pula di Batas Paip saya masih ada orang yang mahu dan
sudi berjumpa…
Petang itu, selepas menikmati mi Pak In di Simpang Empat,
sekitar lima minit, memasuki rumah, saya mendapat mesej dari Saiful Adly, di
dalam WhatsApp dan di telefon.
Aswad msj
Sy ni nk p dinalang…. 05:06 pm.
Aswad hubungi saya pada pukul 5:19. Selama 2 minit 31 saat kami berbual. Selain
basa-basi, dia bercerita akan kunjungannya ke SMA Fauzi, Yan untuk berjumpa
Cikgu Hj Mohd Faisal Abd Hamid, di tengah jadualnya menziarahi keluarga di
Sungai Kering. Dia memberitahu akan balik ke Selangor keesokannya dan mahu
berjumpa saya sebelum itu. Dia
menyalahkan saya kerana memanggilnya pagi tadi pada waktu yang terlalu awal!
Tetapi dia terkejut apabila saya katakan ketika itu saya memang dalam
perjalanan ke Kola. Dia lebih terkejut apabila dinyatakan saya pernah dua kali
dalam sehari ke kawasan sekitar itu….
Ditanyanya tentang Restoran Ais Salji Dinalang. Memanglah
ketika itu restoran berkenaan masih dibuka tetapi rasanya ada empat faktor yang
menyebabkan niat berjumpa di situ terpaksa diurungkan. Pertama, dalam sekitar
sejam sahaja lagi kedai itu akan ditutup. Kedua, hujan sedang turun dengan
lebat. Orang Eskimo pun akan ketawa jika diberitahu di tengah hujan begitu ada
lagi hamba Allah mahu mencedok salji …… Ketiga, apalah sangat yang boleh
dibualkan dalam masa begitu, tambah di tengah kesibukan pekerja menjeling kita
sambil menyimpan peralatan di dalam kedai. Keempat dan terutamanya, Aswad menyatakan
ketika itu dia masih di Sungai Kering, lebih dua puluh kilometer dari Simpang
Empat!
Maka diputuskan untuk kami berjumpa pada pukul lapan pagi
esoknya di Kola. Malam itu pun dijadualkan saya ke sekitar itu, tetapi tidak
mahulah saya mengganggunya. Dia yang baru kebah demam perlukan rehat untuk
memandu pada hujung pagi esoknya ke Selangor.
Saya maklumkan hal dan keputusan bersama kepada Saiful. …dia dok sg kering lg…esok dia ajak kita
menyoghok di mat endek.. ok ka. 8.30.
Insyaa
Allah… Sy usahakan ke arah itu…. balas Saiful. Titik.
Hujan masih mencurah…. Hingga ke awal malam.
Benarlah, hujung malam itu, sehingga jam dua pagi, saya
menyertai Cikgu Non berkongsi meja dengan Malek Jamaludin di restoran kegemaran
yang memang berdekatan rumahnya – Restoran Awie… [Sebelum itu, Wira ada bersama
menunggu kami. Cikgu Non ada komitmen lain pada awalnya. Ketika kami baru
bertolak, Wira pula perlu memenuhi tuntutan komitmennya…]Jam 2.22 pagi barulah
saya dan Cikgu Non pula berpisah…
Wira tergelak dalam bentuk tulisan apabila saya menyatakan
kepadanya di dalam aplikasi WhatsApp bahawa lagi lima jam akan ke Kola semula…
Tepat jam 8 pagi Aswad menghubungi saya. “Bagi 10 minit …”
kata saya sambil menunjukkan kekuatan melakukan sesuatu yang cukup tidak saya
suka: mengoyak minyak!
Saya tidak menghubungi Saiful berdasarkan kefahaman tentang
kalimahnya di dalam WhatsApp petang sebelumnya…
Jalan masuk ke jeti LKIM lama itu cukup teruk. Batu kawi
hitam yang baru dihancurkan dibancuh pula oleh air hujan semalaman. Bayangkan cantiknya adunan yang terhasil…Likat,
pekat, melekat! Tayar depan motor pun tercari-cari lorong yang elok untuk
melintasi tambahan baru sepanjang 5 meter itu. Niat orang yang menurap jalan tersebut, mungkin untuk
memalam lopak-lopak berair, memanglah baik. Cuma dia tidak bernasib baik kerana
hujan memang sedang bermusim…
Aswad berada di meja yang selalu saya duduki jika menunggu
orang lain, apabila berjanji mahu berjumpa di situ. Saya tidak nampak matanya
dek silau dari kaca berbingkai di mukanya, tetapi saya nampak senyumnya.
Tidaklah terlalu lebar, tapi cukuplah untuk menyambut makhluk seperti saya…
Ada seminit lebih kami berbasa basi sebagai mukadimah. Yang
saya ingat, slanganya berbaur, tidak berloghat Kedah piau atau Kola piau…
Selepas memesan minuman, saya bangun pula memilih lauk. Tak
perlulah saya sebutkan jenis dan bilangannya. Takut orang yang mengidam dan
yang taksub dengan kedai nasi itu, berlenja pula air ludahnya. Kasihan pula kepada
kelenjar liur yang terpaksa bekerja lebih…
Di depannya sudah ada segelas minuman panas. Minuman untuk
saya sampai ketika saya kembali duduk bersama sepinggan nasi tadi. Aswad tidak
makan. Entah kenapa. Asyik disuruhnya saya makan. Dua tiga kali dipelawa masih
saya sahaja yang disuruhnya makan. Patutkah saya kisah?
Saya meneka dengan tepat. Dia sudah kekenyangan kerana
bersarapan dengan masakan bondanya di rumah. Dia bercerita betapa tiada kerja
lain yang dilakukan sepanjang pulang bercuti ini selain makan, makan,makan dan
makan. Bonda memasak bermacam-macam menyambut kepulangan anak menantu dan cucu
dari Kuala Selangor ini. Pendek ayat, namakan saja, maka dia akan mendapatnya…
Aswad memerhatikan saya makan. Silu juga diperlakukan
begitu. Kalau setakat mahu berjumpa sahaja, di tangga masjid lama Kola pun
boleh. Di hujung Jambatan Tok Pasai pun ok. Di depan Balai Polis pun tidak
mengapa. Tetapi kenapa saya didera untuk makan berseorangan lalu ditenung
menerusi cermin tebal berbingkai yang memalam matanya itu? Entahlah….
Kami berbual mencakupi hal-hal peribadi terkini dalam saya
menyuap dan mengunyah itu. Hal-hal yang tidaklah mahu saya muatkan semua di
sini…
Diberitahunya tentang isi pertemuan dengan Cikgu Hj Faisal
Abd Hamid di SMA Fauzi, Sg Yan, pagi sebelumnya. Betapa seorang rakan guru
cikgu kesayangannya itu berdecit-decit mengagumi seorang bekas pelajar mencari
bekas guru sebegitu…
Saya mencungkil bagaimana jodoh menyapanya. Dia bercerita
dengan telus. Tiga bulan berkenalan, terus berkahwin. Orang Kuala Selangor.
Tiada cintan-cintun… Isterinya suri rumah sepenuh masa. Tidak dibenarkannya
bekerja seperti ketika zaman dara dahulu. Cukup sebagai penjaga rumahtangga,
makan minum dan anak-anak. Ketika saya bangkitkan betapa ramai yang saya kenal
masa mencari lagi sudah menghendaki bakal isteri bekerja, tegas dia menjawab: Pendirian saya lain!
Saya tidak berkata apa-apa lagi apatah pula ternampak
matanya yang lebih besar dari saiz normal di dalam kanta kacamata tebalnya.
Seram…
Lalu saya tukar bab. Cungkil sejarah lama. Bertanya zaman
perFalahan dahulu. Tidakkah ada tersangkut hati pada sesiapa… Biasanya kalau
orang lain akan terkekeh-kekeh mencari jawapan sambil hati digaru kenangan.
Tetapi Aswad sekali lagi menunjukkan ketegasan atau ketelusan dalam menjawab: Sapa
nakkan orang macam saya, cikgu…..
Orang
macam saya!
Saiful |
Macam klise sahaja jawapan itu tapi nadanya lain. Ketika
mahu diminta pencerahan, telefon berbunyi memberitahu ada mesej sampai.
Saiful menghantar menanyakan kepastian dia diajak sama.
Rupanya dia memang dalam perjalanan ke tempat pertemuan itu… Telah pun berada
berdekatan lampu isyarattunggal dalam pekan Kola itu. Hanya seminit kalau
berjalan kaki ke meja yang kami duduki…
Selepas Saiful sampai barulah perbualan menjadi semakin rancak. Sudah jadi tiga
penjuru, bukan lagi dua hala seperti awalnya.
Kali pertama saya bertemu Aswad sejak bergelar bekas budak
Falah adalah pada satu tahun, di belakang Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai
dulu dan heboh kemudiannya….
Ketika itu dia bekerja di sebuah bengkel pendinginhawa,
kalau tidak silap. Aswad sendiri terlupa tentang itu. Saya ceritakan betapa
seorang gurunya tertawa apabila saya beritahu berjumpa Aswad yang sudah
bekerja. “Aswad boleh kerja?” kata guru itu sambil terus tertawa… Sampai hari
ini saya nampak wajah tertawa itu…
Selepas adanya fb barulah saya berjumpa Aswad semula. Terima
kasih, Zuckerberg!
Aswad bercerita betapa dia pernah bekerja di Key El. Tetapi
jiwanya meronta. Tidak sesuai dengan fiil rakan-rakan sekerja dan serumah. Fiil
yang mahu ditinggalkan. Fiil yang tidak payah berkelana hingga ke ibu kota
untuk mendapat atau membuatnya. Di Kola pun ada…
Dia mahu mencari kedamaian. Menjadi anak yang baik. Mematuhi
harapan ayahnya untuk meninggalkan Kuala Kedah dan mencari penghidupan yang
baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Keinginan dan kemahuan itu membawanya jauh dari ibukota. Ke
Kuala Selangor. Di situ dia mendapat kerja. Membina kehidupan baru hingga mampu
membeli rumah, sebelum akhirnya bertemu jodoh… dan kini berbahagia dengan
sepasang cahayamata…
Demikianlah.
Dan ada dua bab lagi yang mahu saya kongsikan dengan anda
tentang perbualan kami. Tulis banyak-banyak pun, ada pula yang kata terlalu
panjang, hingga difahamkan kelabu mata untuk membacanya…..hehehe
[i]
Aswad.
Nama yang cukup popular di AlFalah pada zamannya. Selain di
kalangan pelajar, namanya ada di minda hampir semua guru!
Orang macam saya! Katanya tadi.
Saya mencungkil semula kalau-kalau ada dia ….. tapi itu juga
jawapannya.
Dia mengaku, dan saya boleh mengesahkan, bahawa dia popular
kerana kenakalan, bukan sangat kerana masalah disiplin atau seumpamanya. Sebab
itu katanya, kerana sedar diri, dia tidak pernah ada pengarang jantung selama
di AlFalah.
Kalau melibatkan budak Falah, hanya sekali pernah dia keluar
dengan seseorang rakan berlainan gender. Tetapi itu pun hanya setelah tidak
lagi berstatus pelajar di situ…
Telus sungguh Aswad bercerita. Polos.
“Tapi saya macam tu pun, semua acara muhadhoroh ka, apa ka..
saya tetap ambik bahagian…”katanya separuh tergelak. Barangkali ada episod lucu
yang menerjah ke cermin kenangannya sewaktu melontarkan kata-kata itu.
Benarlah.
Majlis muhadhoroh bukan semua orang boleh sertai. Peluang memang
diberikan. Hanya yang ada keberanian dan kemahuan yang akan mampu berdiri di
depan khalayak rakan-rakan dan guru-guru. Ada bekas pelajar – sekurang-kurangnya
lima orang - secara tulus, mengaku dalam
empat lima tahun di AlFalah, tidak pernah sekali pun disertainya majlis
muhadhoroh yang di adakan setiap dua minggu atau sebulan sekali itu… Mereka
inilah yang berdecit-decit mengagumi rakan-rakan yang berani muncul untuk
bersajak, bersyarah, berkuiz, bernasyid, berqasidah dan seumpamanya… Mahu
diapakan, memang mereka tiada keberanian…
“Saya…habaqla apa pun… saya boleh masuk…”kata Aswad.
Sekali lagi saya boleh sahkan.
Majlis muhadhoroh ada penerajunya mengikut zaman. Bermula
Latif Rahim pada tahun 1983-85, diikuti Basri Zakaria 1986-88. Tahun selepasnya
tentulah ada lagi tapi saya terlupa sedikit. Maaf. Mereka inilah yang
memastikan acara itu ADA dan terisi. Kalau peserta yang sepatutnya
menghilangkan diri – ponteng dengan sengaja atau ketiadaan bahan – peneraju
inilah yang akan mengisi slot yang kosong itu. Bersajaklah, bersyarahlah,
berkhutbahlah…..semuanya.
Pada era Aswad di AlFalah, Ramli Muhammad sebagai peneraju.
Aswad selalu muncul sebagai peserta. Sebab itulah, dalam pening melayan
kerenahnya di dalam waktu lain, guru-guru pun selalu tabik atas kesediaannya
muncul di pentas muhadhoroh…
Ada kesan penampilan di acara itu. Bukan seorang dua yang
mengaku penyertaan mereka membawa keyakinan tidak tertulis dalam menghadapi
perjalanan hidup. Berani berdiri di depan khalayak. Berani bersuara yang
didengari ramai, bukan cakap-cakap dari belakang kerusi…Tidak gentar.
Bagaimana dengan Aswad?
Yang sempat diingat….
“Saya masuk pertandingan nasyid masa di ILP Jitra….depa
suruh” katanya. “Dapat nombor tiga…” sambungnya. Tidak kurang tiga kali dia
menyebut tentang dapat nombor tiga itu dengan rasa bangga.
Apa istimewanya nombor tiga itu?
“Entah-entah ada tiga peserta saja….”celah saya. Saiful
tergelak.
“Steady Budak Falah!” jerit seorang rakannya di dalam dewan
ILP hari itu. Memang ada seorang rakan yang belajar di SM Tengku Laksamana
{Telok Chengai} mengetahuinya belajar di AlFalah. Sama-sama menaiki bas semasa
belajar. Hingga ke ILPlah Aswad dipanggil Budak Falah…
Aswad kumpulkan beberapa rakan. Dia tentukan lagu. Dia yang
ajar mereka berlagu. Dia yang tentukan formasi. Dia yang menjadi tekong…
Lagunya?
Aswad pernah sekali mendengar nasyid itu di dewan AlFalah
dahulu. Persembahan sekumpulan senior. Diketuai oleh Nor Ashiqin Hassan dan dianggotai
sama Hasliza Said, dua nama yang masih diingatnya.
Aswad melagukan sebaris di depan kami, di dalam kedai Mat
Endek itu. Yang lainnya dia sudah lupa.
“Pertemuan….”
Jangan tanya penyanyi asalnya atau tajuk lagu. Dia tidak tahu.
Apabila diminta menyertai pertandingan nasyid itu, dia
teringat lagu tersebut. Tanpa tahu pun siapa penyanyi asal atau tajuk lagu, dia
menulis semula lirik yang HANYA SEKALI didengarnya di dewan AlFalah itu.
Diserahkan kepada rakan kumpulan, dilatih nada, dan akhirnya dibuat
persembahan.
“Steady Budak Falah!” masih terngiang suara rakan tadi.
Aswad memimpin kumpulannya naik ke pentas. Meremang bulu
roma saya mendengarnya bercerita itu pun, apa lagilah kalau saya ada di dewan
berkenaan…
“Kami dapat nombor tiga…”bangga sungguh Aswad ketika menyebut nombor tiga
itu buat kali keempat…
Tabik kita untuk Aswad...
[Di rumah, kemudiannya, saya hantar mesej kepada Nor
Ashikin. …tolong bagi lirik nasyid masa di falah dulu…”Pertemuan…
Sekejapan saya mendapat lirik lengkapnya. Terima kasih Nor
Ashiqin. Rupanya ada cerita tentang lagu itu…
Ini yang Nor Ashiqin tulis kepada saya:
Asal
lgu tu cptaan pelajar taufikiah,lps tu lirik tu dbwa ke kl oleh sorg
plajar.lagu tu dieksploitasi,dbagi kt kumpuln brothers...km gak yg
mlepas..depa jnji nk bgkak bw nk.bt rekod ngn kumpulan d
taufikiah..akhirnya dipopular oleh brother,km sama2 cipta lagu tu..xdak
rezeki... ]
[ii]
Pernah dulu saya catatkan betapa bertuahnya Wira, si Budak
Batas Paip itu, kerana mendapat mertua yang baik. Wira menjadi seperti raja,
minta teh, pasangan mertuanya siap datang menghidang… Samatuanya akan bersalin,
hampir sebulan lebih awal mereka datang dan menunggu pula sehingga habis
pantang…
Saya sudah bertemu dengan mertuanya itu.
Kini, saya cukup teringin berjumpa bapa mertua Aswad…
Jarak rumahnya di Taman Raja Musa, Kuala Selangor dengan
rumah mertua adalah seperti Kuala Kedah dengan Pekan Simpang Kuala. Tidaklah
jauh. Berjalan kaki pun boleh ulang-alik empat lima kali dalam sehari…
Mertuanya ada tiga menantu lelaki. Yang dua lagi kurang
rapat dengan mertua, mungkin terutamanya kerana agak pendiam.
Dengan Aswad?
Memang seperti satu kepala!
“Kalau tiada rokok, saya tidak susah hati….rokok mertua
ada…..”Aswad tersengih. Saya yang sudah lama tiada bermertua lagi serta tidak
pula merokok tidak terasa apa-apa. Biasa sahaja.
Lagi pula, Wira juga berkeadaan begitu dengan mertua
lelakinya. Boleh berkongsi rokok daun dan tembakau proses sendiri lagi…
Bapa mertua Aswad, selain berkongsi rokok itu?
“Saya dengan pak mertua selalu lawan [bermain] dam!”kata
Aswad.
Kali ini barulah saya melopong seketika sebelum tertawa
bersama Saiful.
Demikian akrabnya mertua menantu sehingga pernah ditegur
emak mertua!
Demikian saja.
Dua jam lebih kami berbual.
Dua tiga kali Aswad membelek jam pada hujung pertemuan itu.
Dengan harapan dapat bertemu lagi, kami memberi izin Aswad
bangun, mengambil beberapa bungkusan nasi Mat Endek yang lebih awal
ditempahnya…
Puas bersembang pada pagi itu.
Ketika bersalam dengannya, dalam mengucap selamat, sempat
saya titipkan pesan, “Jagalah pak mertua elok-elok!”
Dan saya berharap suatu hari dapat pula bertemu bapa
mertuanya itu…
Aswad tertawa kuat.
Kami melihat dia berlalu.
Tidak lama lagi dia akan bertolak ke Kuala Selangor, pulang
ke kejiranannya, yang tidak jauh dari kampung mertuanya…
1 comment:
peneraju mustadi mahammad...insyallah nnt sy kasi pic kami perform kat ilp,syg...xdak video..
insyallah umur pjng murah rezeki jumpa jgk dgn pak mertua sy..hihi
Post a Comment