12 October 2014

...Bisa Tembus Ke Pintu Syurga ...

 Peringatan:
Klip tidak dapat disiarkan kerana masalah teknikal.  Akan diusahakan kemudian.
Klip boleh didapati di laman fb Alumni AlFalah.
Harap Maklum.

******************************************************************

1 2 3 4.

Cantik susunan angka itu.

Secara kebetulan saya terpandangnya.

……………………….

Tetamu terakhir malam itu adalah Saiful.

Xhbs g ka???  11.41

Demikian tanyanya ketika kami sedang riuh di ruang tamu rumah Yam dan Zul.

Mai la 11.46

Demikian pula jawapan atau ajakan Wira, yang kebetulan melihat ruang WhatsApp grup lima minit kemudian.

Suasana di dalam rumah masih seriuh tadi dengan tetamu terbahagi kepada tiga kumpulan. Hanya Babuji yang agak neutral. Berada di tengah ruang dia macam tidak tahu mahu menyertai kumpulan mana. Tersenyum melihat gelagat rakan-rakan. Selayaknyalah. Imam mana boleh memihak… Sesekali dia menyertai Zul menjeling tv..

Lalu ngn lori tgh meriah…

Dan g ka???

Plg cpt pn 15 mnt g…

Demikian 3 kali Saiful menghantar ke dalam WhatsApp dalam masa 1 minit. Tepat jam 12.00 tengah malam.

Dan lgi saipul… mai la…

Itu balasan Yam, tuan rumah bersama, seminit kemudian, 12.01.

TV3 baru memuatkan Nightline – berita akhir dari stesen tv swasta itu. Saya hanya menjeling. Baru saja tamat WWE Wrestling, rancangan kegemaran Zul, seorang lagi tuan rumah bersama. Cikgu Non telah tersandar sedikit, keletihan. Sebelum itu pun saya mendengarnya beberapa kali menyebut mengantuk, namun tiada sesiapa pun yang bergerak.

5 mnt..

Balas pula Saiful pada jam 12.08.

Di layar kaca ada berita keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Kubor. Helwi yang berada paling hampir dengan tv, tetapi membelakangkannya, hanya mendongak sekali, sebelum kembali berbual dengan Husin dan Zairi di kiri kanannya. Semua membelakangkan tv.

Saya dan Wira menghadap tv. Saya berada di atas sofa manakala Budak Batas Paip itu duduk di lantai, namun entah kerana apa sebelah lengannya berada di di atas peha saya. Walaupun menghadap tv, kami berbual bab lain. Bab yang tidak boleh diberitahu kepada orang lain kini, kerana saya sendiri lupa apakah babnya…

“Lima belas minit ‘dah… tak sampai pun Saiful…” kata saya. Saya merujuk jam digital pada kaca tv.

Ketika jam itu menunjukkan angka 12.16, Saiful muncul di muka pintu. Saya dan Wira bertukar sengihan.

Saiful menyalami semua kami, kecuali Zul yang masuk ke dapur, tepatnya ke biliknya, kerana saya nampak Yam seperti baru keluar dari situ, menuju ke ruang dapur. “Ling, bangkit bubuh laksam. Pul mai nuuu….” Kata Zul kepada samatuanya itu.  Saya gamak sahajalah. Mana saya tahu apa panggilan Zul kepada cinta hatinya itu dan mana saya tahu ayat yang Zul gunakan ketika itu. Gamakan saya berdasarkan pergerakan mereka berdua…hehehe…

Ada desahan pada hidung Saiful ketika duduk di depan saya selepas bersalam itu. Entah kerana sehabis daya mengoyak minyak untuk sampai secepat dan setepat mungkin. Entah kerana berasa lega dek melihat masih ramai yang ada di rumah itu. Entah kerana berkesempatan juga menjamah laksam, kerana hampir tiga jam yang lalu dia hanya melihat sayu foto yang dinaikkan di dalam WhatsApp. Ketika itu dia berada di Sanglang, menjalankan tugas hakikinya. Hanya mengikuti dr kejauhan… Demikian tulis Saiful pada pukul 9.32…..

Beberapa minit kemudian Saiful berjaya melicinkan sepinggan laksam yang dibawa oleh Zul. Sempat lagi memperagakan beberapa aksi kepada jurukamera sebelum dan selepas pelicinan itu berlaku. Salah satu aksi – masa menyuap – memang dinampakkan oleh jurukamera macam diada-adakan … hehehe

***********

Zairi…mcm mana minggu ni…  1.47

Tanya saya pada satu awal petang awal minggu itu. Kalau tidak silap, budak Alor Ibus yang menetap di Lembah Kelang  itu ada menyatakan terdapat tugasan di Pulau Pinang dan mungkin berkesempatan pulang ke kampungnya di P10 Kuala Kedah.

Tujuh minit kemudian pertanyaan yang dapat dibaca oleh sekumpulan BF itu mendapat respons:

Dlm proses kelulusan…adakah kenduri lakasam akan berlangsung lagi…atau tepian Kuala berkabus lagi..

Saya segera membalas, jujur, kerana semenjak terkeluar seketika dari grup, saya belum pun ‘bercakap’ sepatah dengan tauke laksam…

Xtahulah…akhir2 ini akses ke Pulau Gezambo berjerebu sikit…

Itulah sahaja. Tidak ada respons pun dari Pulau Gezambo. Orang lain pun berbual hal lain selepas itu.

Hinggalah satu hujung petang, datang utusan dari Zairi:

Serangan ke atas PG dijangka paada khamis mlm…Mampukah Zul bertahan? 6.37.

Saya tersenyum sendiri. Tidak menulis apa-apa. Zul? Masakan dia dapat menjawab kerana dia bukan peminat WhatsApp. Tetapi hampir dua puluh minit kemudian, samatua Zul memberi soalan:

Bila hmpa nak mai… 6.54

Sepuluh minit lebih  baru saya melihat skrin hape, lantas melawak: Zul xkata apa pun… 7.06

Dan satu pengesahan diperlukan dari orang jauh: Mlm jumaat ka Zairi? 7.07

Mcm tu la dijangka…7.27…balas Zairi.

Selepas solat Isyak, masuk lagi ke dalam ruang sembang, terpandang respons dari Yam:
Insyaallah boleh zul kata mai la 9.01

Bab apa tu? Saya bercendana pula walaupun sudah gaharu….

Bab mkan laksam…mnu apa hmpa nak… tanya Yam semula. Kalau mahu tafsir sendiri, macam marah pun ada ‘bunyinya’. Tapi itu dalam bentuk hurufiah, susah mahu ditafsirkan…

Hujung hari itu, Yam baru tersedar dia ‘bercakap’ seorang…

Aik pi mna habis…la ni nak tanya…jemputla semua mai dah kta mlam jumaat orait ja

Cikgu pi mana ni

 Esoknya muncul lagi Yam.

Wira tolong bagitau bapa org yg bleh datang menikmat laksam…hehehe tulisnya.

Dalam laman sosial, kependekan ejaan adalah bebas diamalkan, bebas dieja. Kenapa boleh dieja knp atau knpa atau knapa atauikut sukalah! Bapa bagi Yam bermaksud berapa, yang boleh pula dieja brp atau brpa atau brapa atau ikut sukalah…

Ditambah pula tidak lengkap dengan tanda baca yang sesuai pada utusan daripada Yam itu, dan meski tahu apa maksud sebenar, sempat lagi Wira bersenda [lebih kurang]: Yang nak pi semua bapa….tak bawa anak aih…

Hehehe..

Terpaksalah Yam membetulkan soalannya ketika dia mengakhiri sembangnya, untuk berbakti kepada sang suami tercinta:
Oklah…aku nak pi buat cucuq sat…ksian kat zul…brapa orang…hampa nak mkan nasi sama ka…aku nak masak…gulai kpla…


***********
24 September. Malam.

Selepas solat Maghrib, Zairi naikkan foto sepinggan mi berkuah. Ada udang beberapa ekor tergolek jelas di atas mi itu.. Tetapi bagi Zairi sendiri mungkin pula ada udang di sebalik mi… Sah dia dalam perjalanan ke Pulau Pinang.

Kuala Sepetang… 7.48….tulisnya.

Budak PASTI yang well-educated pasti tahu apa yang membuatkan Kuala Sepetang terkenal….

Mengena layuran Zairi.  Ramai yang terliur. Ada yang tidak tertulis, ada yang menulis mengakuinya. Yang terakhir mengaku secara bertulis adalah saya, ketika menaip catatan ini…

Lebih suku jam kemudian, Yam muncul bersembang sama. Tulisnya:
Kwan2 semuajadi no mlam esok…mai la semua  8.05

Saya membalas, lima minit kemudian:
Jadi la… Zairi dok utara Perak dah tu…. 8.10
Harap2 selat ke Pulau Gezambo tak bergelombang esok…8.10

Saya mengandaikan Zairi singgah di Kuala Sepetang pada waktu petang. Selepas solat Maghrib di mana-mana, mestilah sudah jauh ke utara Perak pergerakannya.

Entah dari mana datangnya kekuatan, Yam membuat tawaran pula:
Ok…ada permintaan special sapa nak mkan apa lgi…bgtau…cek nak masak 8.17

Jarang tuan rumah membuat tawaran istimewa begitu kepada bakal tetamunya. Hebat Yam. Bertuah siapa yang bakal menjadi tetamunya.

Dan Zairi muncul dengan permintaan kuah laksam menggunakan isi ikan tenggiri… benda sama yang menurut Yam – semasa pertemuan berlangsung - digunakannya untuk dibuat bebola ikan dan dimasak dengan stail warga negara yang berajakan Bhumibol Aduyadej - padprik. Tetapi, Zairi mendasarkan permintaannya pada kebiasaan penyedia makanan di kawasan kediamannya. Isi tenggiri digunakan sebagai alternatif kepada isi ikan kembung atau selayang kerana saiz ikan yang lebih besar itu memudahkan kerja memisahkan isi dari tulang. Kalau mahu diperisi ikan selayang atau kembung untuk dibuat kuah bagi santapan 500 orang lebih pada satu-satu masa, saban hari pula, jenuhlah juga…

Sedap? Sedap itu bukankah subjektif, maka masing-masinglah punya citarasa. Tetapi berdasarkan spesies ikan yang digunakan, pulang maklumlah tahap sedapnya…

Ketika zaman kemuncak kebanjiran haruan dan keli di kampung saya pada dekad 70-an dahulu, saya pernah merasa kuah laksam dan laksa berisikan dua jenis ikan air tawar itu.

Tidak ada permintaan lain lagi. Agaknya masing-masing sedar, sebagai tetamu tidak payahlah membuat permintaan yang macam-macam. Dapat meneguk kuah laksam dan mengunyah isinya pun sudah memadai…

Zairi lainlah. Dia tetamu dari jauh. Bukan selalu bertamu. Bukan watak sampingan macam saya yang setakat hari ini belum berusaha menguzurkan diri dalam pertemuan begitu… Malaslah mahu menyebut satu nama watak sampingan lagi yang setaraf saya. Malas melayan saman-menyaman nanti…

Saya mengingatkan Yam agar menjemput sahabat secara rasmi, sekali. Maklumlah, bukan semua bersembang di WhatsApp, kalau bersembang pun mungkin tidak kena waktu… Cadangan sahajalah. Tapi Yam meminta saya membuat jemputan. Tak tahu macam mana mahu jemput diri ini, saya memintanya atau samatuanya, Zul, ‘memanggil’ Cikgu Non, Cikgu Deja Man dan Cikgu Din… Kawan-kawan lain juga yang pernah bertandang ke situ sekali dua sebelum ini. “… Babuji dan Saiful bolehlah saya uruskan…”tulis saya. Yam meminta khidmat Wira pula selaku pengendali grup WhatsApp. Tetapi akhirnya, saya terbaca ucapan undangan dari Yam yang agak panjang, diletakkan semua nama, termasuk sahabat sepasang dari Mantin. Kepada Malek, diingatkan supaya memanjangkan jemputan itu kepada rakan rapat atau kembarnya juga, Jasni. Pendek kata tiada yang ketinggalan. Hingga mengah mahu menghabiska senarai yang ditulis Yam!

Ini respons yang paling segera dan cukup saya ingat pada kalimah yang saya sengaja tebalkan :
Insyaallah tk yah call la..dah baca dah… saya tk janji la. Klu keinginan melebihi segalanya sampaila saya…tksh yam sudi jmput 8.33

Respons daripada Cikgu Deja Man… saya tersenyum sendiri meneliti kalimah berkenaan.

Selepas itu, ruang sembang tersebut mula bercampur baur topiknya, namun pertemuan yang bakal berlaku masih menjadi yang utama. Sehinggakan pada awal hari itu, terlupa bahawa telah masuk hari Khamis, 25 September, saya menulis, menyakat Tan Sri, sahabat yang sedang mengerjakan haji, yang muncul seketika pada malam tersebut di ruang sembang:
Tan sri…mlm esok di pulau gezambo…kikiki 12.52

Tapi… betullah esok buat Tan Sri, sebab di semenanjung Arab waktu itu masih petang Rabu….hehehe

Selepas itu, saya, Zairi dan Wira ‘bersembang’ lagi hingga jam dua lebih. Zairi baru mahu pulang ke bilik hotel. Wira sedang berlunjur di ofisnya, gamaknya. Lunjuran berbayar. Saya di bilik tengah di rumah - menghadap skrin komputer.  

Namun gamakan saya tentang Wira jauh tersasar. Dia sibuk menghitung bakul ikan dari bot yang baru sampai. Siap mengelik untuk ditunjukkan kepada kami.

Jenuh mkn laksam  1.45…tulisnya sambil mengelik lagi, berkali-kali, termasuk sekali dengan wajah tauke bot…

Kuah pekat…1.47…balas saya, merujuk foto bebakul-bakul ikan hitam berkilat itu.

Nani… 1.54
Penghulu pulau gezambo… 1.54….Wira memperkenalkan abang Yam. Apa nama sebenarnya Encik Nani itu tidak pula dinyatakan.

Kuah lebih bagi babuji… 1.54 …tulis Zairi pula, masih berimaginasi tentang kuah laksam yang banyak.

Kakanda kpd Yam kasumajiwa zul … 1.55..info Wira lagi tentang Encik Nani, tetapi tetap tidak menyertakan nama sebenarnya.

Lokoeh la Wira… 1.56…tulis saya sambil tesenyum membayangkan pertelingkahan  Wira dengan Babuji pada pertemuan awal dahulu di Pulau Gezambo.

Nk lokoeh Saipa.. kita duk tunggu Toke semawa ikan ja…2.20…balas Wira. Agaknya dalam mengharap pelawaan Encik Nani, dia terlupa kejadian lucu yang dialami dahulu…

Lokoeh kena simbah dgn babuji mlm esok… 2.23…tulis saya, masih dalam tersenyum. Sah Wira tidak dapat menangkap spontan maksud saya dan Zairi…

Zairi dok tang mana la ni? …2.23…saya halakan soalan ke Pulau Pinang pula.

Baru nak hbs gheja…blk hotel …2.30…balas Zairi.

Laksam kita krg lebih 18 jam lg…2.33…sambungnya. Lihatlah tuan-puan akan keterujaannya…

Countdown…2.33 balas saya, sepatah.

Ewahh aihhh kwn kita… hunjoq kaki elok sggh…2.45…tulis Zairi apabila nampak hunjuran kaki. Kalau tidak dari telefon Wira pun kami dapat meneka tepat tuan punya kaki itu…

Tggu nk lelap mata…2.47…balas Wira, agaknya sambil dua kaki itu digoyangkan, mendodoi diri…

Tidoq bergaji…kikiki….2.45…tulis Zairi. Saya tumpang tersenyum..

Saya juga akhirnya terlelap.

Tetapi kami silap satu hal.

 Semasa Wira naikkan foto-foto tadi, samatua Zul sedang bermimpi. Ada sekawan camar menyerbu pulau kediamannya, mengeringkan laut sekeliling dengan sekali teguk, dan Yam tersenyum melihatnya!

Yam tak tahu pun abangnya membawa balik ikan yang banyak pada awal pagi itu. Zul yang masih belum lena pun tidak tahu.

Kalaulah Yam tahu…
***********

Krg lbh 14 jam ketemu laksam….
Assalamualaikum semua…. Moga ada rahmat dan barakah…7.02
Semasa menunggu anak bongsu bersiap, saya membelek WhatsApp. Di atas adalah tulisan Zairi. Tuan-puan tengoklah betapa dia menghitung masa untuk ke Pulau Gezambo…

Hg otw ka mana ni? 7. 04 …tanya Helwi, yang juga sedang bersiap untuk ke sekolah dari rumahnya, di Tandop.

Sambung gheja lg dikit kat Penang… moga sempat salju b BS …7.06 balas Zairi. Saya segera meneka maksud salju itu…

……………………………………………………

Klu keinginan melebihi segalanya…


Sesekali kalimat itu muncul di kepala sepanjang hari Khamis yang redup itu. Akankah keinginan itu lebih? Entahlah…

Seharian itu saya tidak membelek atau menyertai sembang WhatsApp. Telefon sebesar penampar itu awal-awal pagi dibawa oleh anak bongsu ke Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Rakyat. Dia bersama kumpulan rakan-rakannya mewakili sekolah dalam acara Kalam Jamaie peringkat daerah, mahu mengabadikan kenangan. Inilah tahun terakhir dia boleh menyertai kerana tidak diizinkan oleh guru kepada pelajar tahun enam kelak. Alhamdulillah, saya menyumbang ke arah kemenangan mereka kerana tidak menghalangnya membawa telefon itu, yang seandainya dihalang mungkin boleh mengganggu konsentrasi… Mereka muncul juara daerah dan kemudiannya, seminggu kemudian, menjadi naib peringkat negeri.

Tengah harinya, samatua yang mahu menziarahi sepupu yang uzur, terus mengambil anak bongsu berkenaan yang sedang diraikan oleh ustaz-ustazah j-QAF di sebuah restoran makanan segera yang menggunakan resipi Kolonel Sanders… “Malam baru balik kut…” demikian kata samatua ketika bermohon diri…

Maaflah. Kena kongsi bab ini, supaya difahami situasi kenapa rakyat marhaen nan seorang ini tidak bereaksi di ruang sembang WhatsApp sepanjang hari…

Maka hingga ke malamlah saya tidak tahu apa-apa perkembangan, termasuklah adakah keinginan sudah melebihi segalanya….?

Dan tidaklah saya terbaca soalan peribadi Zairi di dalam WhatsApp: Pukoi brp nak serang PG mlmni? yang dihantarnya pada pukul 6.40 petang.

Sambil membelek skrin komputer, saya menunggu juga panggilan Zairi pada awal petang itu kerana dalam satu jawapannya kepada soalan Helwi  dia ada ‘menyebut’ tentang salju. Ingatkan tentulah ais salji Simpang Empat yang dinikmatinya ketika pulang menyertai perhimpunan di Pulau Gezambo yang saya coretkan dalam entri Penangan Laksam Pulau Gezambo dahulu. Mungkin saya tersilap tafsir atau Zairi tertindih jadual...

Hingga masuk waktu Maghrib, tiada panggilan darinya.

Di Simpang Empat, hujan mencurah sejak hujung petang. Kalau kurang pun curahannya adalah dalam sepuluh minit sebelum kembali lebat. Reda. Lebat. Reda. Lebat. Bergilir-gilir.Tidak tahulah bagaimana keadaan di Pulau Gezambo dan kawasan-kawasan yang sama poskod dengannya. Tetapi berdasarkan cara curahan di kejiranan saya, rasanya Pulau Gezambo pun ada jangkitannya…

Jam 8.00 malam tepat, Zairi menelefon. Rasanya dua kali. Saya tidak mendengar. Lama kemudian barulah panggilan lain darinya saya jawab.

Dia bertanyakan situasi dan lokasi saya. Saya jawab seadanya. “Yam dok risau, masak banyak tu….” Kata Zairi. Saya memang bersedia untuk pergi. Tambahan samatua bersama anak bongsu mungkin berada di salah satu rumah adik ipar saya…

Hujan reda. Ada renyai tipis sahaja – situasi yang apalah sangat untuk saya redah. Sekurang-kurangnya ada dua saksi hidup yang pernah melihat saya meredah hujan yang jauh lebih lebat dan tebal

Tetapi belum pun niat itu saya zahirkan, Zairi sudah memutuskan untuk datang mengambil saya. Itu pun ok…hehehe

Saya menunggu. Nasib engkaulah Zairi. Siapa suruh putuskan begitu. Kalau Cikgu Non ikut pergi nanti, saya boleh balik bersamanya. Kalau tidak, harap pulang maklumlah kepada Zairi… Takkanlah akan dibiarkan saya melampau sampai bermalam di Pulau Gezambo…Sebab itu sehari dua sebelumnya saya pernah meminta Wira carikan saja sebuah homestay sekitar Kola….tetapi dibalasnya home sahaja yang ada, stay tiada….

Zairi tersesat di kejiranan saya. Terpusing-pusing mencari lorong ke rumah saya dan Cikgu Non. Saling bertukar panggilanlah kami. Akhirnya saya berjalan keluar dari lorong rumah dalam 300 tapak sebelum saling ternampak.

Masuk ke dalam keretanya, Zairi bertanya tentang Cikgu Non. Saya nyatakan duduk perkara. Sahabat saya itu pada awal malam biasanya menguruskan emaknya yang sedang uzur. Sejak akhir-akhir ini begitulah. Lewat sedikit  baru dapat diluangkan masa di luar. Semasa pertemuan di Pulau Gezambo pada Hari Merdeka dahulu pun, Cikgu Non datang lewat sedikit bersama abangnya. Sebelum itu, semasa pertemuan di Pantai Leman [di sisi Marina], demikian juga. Hinggakan Wira sering mengacah bahawa hubungan saya dengan Cikgu Non nampak renggang, dek selalu tidak lagi kami datang bersama di mana-mana…. Ada yang tak kena kut…. Demikian – lebih kurang - kata atau tulisnya selalu diiringi tawa yang dibuat-buat.. Saya tidak salahkan Wira. Dia juga Melayu macam saya dan tuan-puan. Bab berspekulasi, kita memang juara… hehehe…. Nantilah, apabila emak mertuanya tidak lagi menemani cucu di Batas Paip – balik ke Ketereh - tentu dia akan jarang pula berjumpa saya, dia akan tahu situasinya… Entah siapalah pula akan membuat spekulasi tentang hubungan kami….

Demikianlah kehidupan. Kita dan komitmen sendiri-sendiri…

Saya dail sekali nombor Cikgu Non. Seperti dijangkakan, tiada jawapan. Lama kemudian, ketika kami sudah pun melepasi pekan Simpang Empat, barulah Cikgu Non menghubungi saya. Saya maklumkan pergi bersama Zairi dan dia memberitahu mungkin lewat sedikit untuk turut serta. Tidak mengapalah. Dia sedang diberi peluang menjaring pahala menguruskan bonda tersayang.

Saya menghubungi Wira. Katanya hujan sedang mencurah-curah. Tetapi dia tetap akan pergi. “Kalau tak boleh pi dengan motor, saya pi dengan kereta…tengok dulu hujan macam mana…” katanya. Tawaran untuk kami menunggu di kiosk minyak Petronas berdekatan kampungnya, ditolaknya. Dia akan pergi sendiri.

Sambil memandu, sempat Zairi membelek WhatsApp. Saya bercerita duduk perkara tentang ketiadaan saya di ruang sembang sepanjang siang tadi. Setelah membelek seketika lagi, dia menyerahkan hapenya untuk saya pula membelek. Saya cari sembang awal sedikit. Hinggalah saya terjumpa yang ini, dari Cikgu Deja Man:
Sunyi ja ptg ni….sebelum Maghrib dan diikuti yang ini sesudah solat Maghrib:
Malam ni jadi ka..
Hujan dak kuala 7.35

Saya tergelak sendiri. Zairi mungkin tidak perasan. Kalau pun perasan, tentulah tidak dijumpa puncanya. Nampaknya, macam keinginan sudah melebihi segalanya….

Macam sayu pun ada membaca tulisan Yam:
Jemput mai semua no…xdan nak berwasap sibuk kat dapur 8.14

Macam ternampak kesibukannya, bercampur ternampak pula tiada orang datang kerana hujan itu.

Hujan dak 8.17 …tanya Cikgu Deja Man sekali lagi.

Hujan la c.jah oi 8.18… itu yang dijawab Sabariah dari Taman Restu, Batas Paip.

C. Jah itu merujuk kepada Cikgu Deja Man. Sengaja saya letakkan nama Deja Man kepada Siti Khadijah Hj Othman. Eleh, Deja Moss, si penyanyi dan tauke kek lapis Sarawak itu pun nama asalnya Khadijah juga. Binti Hj Moss. Tidak salahlah saya letakkan nama Deja juga untuk bekas guru Falah itu. Lainlah sedikit daripada yang memanggilnya Cikgu Kathy/Khaty. [sepatutnya Caddy atau Khaddy sebab namanya bukan Khatijah…]

Apa-apalah…

Sambil bersembang dengan Zairi saya terus membaca luahan Yam:
Rugi sapa xmai ada sampingan…hehehe… tpi kat sini hujan… 8.25

Dalam masa yang sama, ada watak antoganis juga:
Lebat gila…siap petir kilat 8.25

Wira yang menulisnya!

Kacau kalau admin grup macam mahu sabotaj. Sepatutnya dimurnikan sedikit ayat itu supaya semua terasa mahu pergi. Ini…. Lebat gila…siap petir kilat. Silap-silap yang baru londeh kain pelikat pun mula cari kain gebar…

Jangan xjadi mai pulajenuh nak makan sorang3 8.26
Macam mendayu-dayu pun ada pada ‘suara’ Yam itu.  Tetapi saya tidak tahu mahu disebut macam mana sorang yang diganda tiga itu…

Betui ka takut la nk pi 8.26…demikian kata Cikgu Deja Man.

Sudah! Nampak macam ketakutan sudah melebihi segalanya

Wira tetap lupa bahawa dia adalah admin grup. Bukan mahu dimurnikan semula. Malah dibombastikkan lagi.
Betuii 8.26
Angin kencang ombak bergelora 8.27
Siap nyanyi lagu ombak rindu 8.27

Haru!

,,,dan hantu sungguh!

Zairi tertawa ketika saya menyatakan apa yang Wira tulis itu. Sebenarnya dia sudah pun membacanya tadi.

Saya cuba membalas. Tapi mengingat yang akan naik di skrin nanti nama Zairi, saya tulis begini:
Cikgu jah.. c.din kata human ayaq saja… do sana nu. Human peluru…8.50…dengan perkataan hujan diulang tiga kali kerana dua kali pertama naik perkataan human di skrin…… Biasalah. Jari old school di atas hape newest school….

Sambil itu sempatlah bertanya tuan rumah:
Sapa sampai dah Yam 8.50

Tiada jawapan. Ketika menulis itu kami berada sekitar Restoran Awie dan beberapa minit kemudian sudah pun berada di laluan masuk ke Pulau Gezambo.

“Nampaknya kita dok awai selalu ‘ni…” kata Zairi merujuk ruang lapang di depan rumah Yam – Zul.

Hujan sedang-sedang sahaja ketika kami sampai. Pintu rumah tertutup rapat. Tak jadi apa.. bisik saya kepada Zairi… Zul tidoq dah apa… balasnya….hehehe

Saya siap mahu mendail nombor hape Zul atau Yam, namun kemudiannya terpaksa menyimpan semula hape ke dalam poket.

Zul sudah menjengul, tersenyum, sebaik membuka pintu. Siap mengeluarkan sekaki payung. Saya segera turun dari kereta sebelum payung terkembang. Eleh, bukan sempat lencun kalau melangkah bersahaja…Saya membuka enam tujuh langkah sebelum menjejak depan pintu. Biarlah Zairi yang baru keluar dari sebelah kanan kereta menjadi tetamu berpayung malam itu.

Kami dipelawa masuk. Memang tiada sesiapa lagi tetamu. Yam tersenyum lalu duduk di sofa di kanan Zairi. Agaknya sejak petang tadi, inilah kali pertama Yam betul-betul duduk…Tetamu jauh itu lalu mengelik sekali kamera ke arah Yam, yang beberapa detik kemudiannya bangun menuju ke dapur.

Start dh… 9.06

Demikian ‘suara’ Aziz dari  kem tentera Sungai Petani. Saya tahu gelodak jiwanya…

Start apa ajiz oii… yam dok duty lg ni… 9.10 …balas Zairi yang tersenyum apabila foto pertamanya mula mendapat respons berunsur jaki… Saya tahu betapa merontanya jiwa Aziz… Secara terpaksa, saya biarkan sahaja. Tidak mampu memujuk atau sebaliknya menambahkan kejakiannya. Hape bukan di tangan saya…

Zul menjenguk ke luar rumah. Tiada kelibat orang lain. Dia kemudiannya keluar, entah atas urusan apa. Kata Yam kemudiannya, ada salah dengar sedikit tentang tempahan isi laksam. Antara anaknya dengan pembuat isi laksam. Entahlah. Saya mendengar sekali lalu dan Yam pun bukan mengulangnya dua tiga kali… Janji laksamnya ada….

Tinggal kami berdua. Saya dan Zairi.

Tiba-tiba muncul tetamu yang tidak dijangka.

Selamba sahaja dia melintasi depan saya dan kemudiannya di depan Zairi. Selamba sungguh. Kami yang terkejut. Tapi melihatkan keselambaannya, tidaklah terkejut kami ini membuatkan kami terlompat macam pelawak filem bisu. Saya menyuruh Zairi mengelik wajah tetamu itu. Sedang Zairi mencari sudut yang baik, tetamu itu dengan selamba pula keluar melalui pintu – juga di depan saya yang terbangun sedikit memberi hormat kepadanya.

“Silap rumah kut…”Entah saya atau Zairi yang berkata demikian. Atau kedua-dua kami serentak. Yang pasti tawa perlahan kami memang serentak.

Kami duduk semula.

Yam muncul dari ruang dapur. Kami ceritakan tentang tetamu tadi. Yam tercengang. “Biasalah…hujan-hujan ‘ni…silap rumah…” entah siapa di antara kami berdua yang berkata begitu.

Mahu dipanjangkan cerita, tiba-tiba tetamu tadi berpatah balik. Masuk semula ke dalam rumah, cuma kali ini melepasi sedikit daun pintu, merapati antara dinding bilik dan almari. Tetapi tidak lama. Betullah dia tersalah rumah. Atau dia terkejut mendengar saya meminta Zairi mengambil foto sekali lagi. Tidak sempat Zairi menyediakan kamera. Selamba lagi, tetamu tersebut berlalu. Keluar entah ke mana. Kasihan melihatnya yang basah lencun. Saya mengekori arah keluarnya, tetapi hilang jejak.

Zul muncul semula. Kami ceritakan juga tentang tetamu yang tidak sempat bersalam dengannya tadi. Zul tersengih. Cool sungguh.

Kami duduk semula di sofa. Saya masih membayangkan di mana dan bagaimana tidurnya tetamu tersebut pada malam berkenaan. Tentu kesejukan dan tidak selesa tanpa selimut, bantal dan tilam. Tapi saya tertarik pada sikap selambanya. Jarang terjumpa tikus besar seselamba itu. Tidak takut pada orang…

Sah tikus itu tersesat sebab menurut Zul tidak pernah rumahnya dikunjungi tetamu begitu. Tentang keadaan fizikalnya yang besar bulat itu, mungkin Pulau Gezambo mewah dengan makanan segar dari ladang…errr….laut.

Masih tiada tetamu lain yang sampai. Hujan masih turun dengan sedang-sedang.

Wira, di antara tetamu terdekat, belum muncul. Jarak masa saya menelefonnya tadi, kalau digunakan sudah pun sampai di depan rumah Zul-Yam.

“Usik Wira sikit… kata Sabariah juga ada di sini” bisik saya. Zairi tersenyum. Memang nama puak laghaknya itu boleh dijadikan umpan. Sebab setiap kali Sabariah muncul di ruang sembang WhatsApp, sengaja Wira menjadikan dirinya cukup teruja. Agaknya itu cara bergurau mereka satu tok nenek. Di AlFalah dahulu juga, mereka sekelas. {Apologi untuk Sabariah kerana menggunakan namanya malam itu dan di sini} Lalu Zairi menyakat:
Sabariah pun dah sampai ni 9.21

Entah apa yang Sabariah fikirkan, sebaik terbaca namanya dikaitkan. Tetapi dia tidak membalas apa-apa di ruang sembang. Mungkin dia telah terlena.

Dan entah apa pula yang meruntun minda Wira…

Saya hubungi Babuji, yang berjanji akan segera datang. Husin juga saya hubungi. “Di rumah Yam ka?” tanyanya. Laa…sejak malam sebelumnya sudah diuar-uarkan, masih lagi dia mahu mengutarakan soalan. Lalu saya selatankan jawapan…

Zairi menghubungi Helwi yang seolah terperangkap di dalam hujan. Zairi memberitahunya bahawa kami melintasi depan kejiranannya tadi, dalam keadaan hujan yang boleh tahan lebatnya…

Zul muncul dari ruang dapur bersama dua bekas, berisi kacang pancawarna dan pancarasa. Zairi segera mengelik dan menulis:
Appetizer… 9.24

Baru dua biji kacang itu berjaya geraham hancurkan, terjeling pergerakan orang di luar rumah. Bunyi enjin kereta memang tidak terkesan, dipadam oleh bunyi luruhan hujan ke atas bumi dan bumbung rumah.

Cikgu Deja Man!

Dia muncul bersama dua gadis pengiring. Disertai dua bekas plastik empat segi berisi buah tangan dari air tangannya – puding jagung, kalau tak silap.

Dia tersenyum disambut Yam. Saya tersenyum mengingat frasa Klu keinginan melebihi segalanya…

Sampai juga dia… Demikian kuatnya pengaruh keinginan

Dia duduk di sofa berdekatan pintu. Pengiringnya juga, yang merupakan anak-anaknya.

But..we hav snthing so special here… 9.29…tulis Zairi, memaklumkan kepada grup WhatsApp, lalu mengelik sekali tatkala senyum Cikgu Deja Man belum hilang.

She’s here already with 2 body guard… 9.30…tulisnya lagi selepas menaikkan foto tadi.

Pada pukul 9.34, Wira naikkan pula foto salah seorang anak kembarnya di dalam buaian. Budak PASTI pun pastilah tahu bahasa foto itu: Aku tak boleh pi lagi sebab tengah menidurkan anak…

Sambil itu kami terus berbual.

Tidak tahulah mahu catatkan bagaimana tiap butir perbualan itu. namun cukuplah saya perturunkan dua daripadanya.

Pertama, Cikgu Deja Man perkenalkan anak sulungnya dan anak bongsu. Yang sulung berusia lebih kurang 21 tahun, lulusan UiTM Merbok, manakala yang bongsu berusia 12 tahun, sedang berdebar menghadapi ulangan UPSR. Yang bongsu itu pernah menemani ibunya itu tatkala acara di Pantai Leman dahulu. Yang sulung itu pula cukup rapat dengan saya sekitar lima enam belas tahun dahulu – ketika itu dia belajar di Tadika KEMAS Kg Permatang Ibus, dan saya merupakan salah seorang yang kerap mengambilnya seusai kelas, tatkala ibunya masuk mengajar di AlFalah. Selepas ‘hilang’ dari tadika tersebut, inilah pula kali pertama saya melihatnya. Selama ini yang terpeta di minda adalah wajah anak tadika yang rompong gigi, kini berhadapan dengan seorang anak gadis yang baru meninggalkan tangga U. Tentulah banyak bezanya.

Kedua, tentang nasib Zairi. Ini sudah kali kedua berlaku. Dengan saya menjadi saksi kedua-duanya. Dulu, dalam perjumpaan raya 1435 di Taman Bersatu, Syikin, bini Men yang rabung berbual dan saling menyakat bersama Zairi di dalam WhatsApp, tidak mengenali tuan tubuh yang gondol kepalanya itu. Saya tanyakan, dikatanya tidak kenal. Apabila diperkenalkan, terlopong mulut di bawah serkupan tapak tangan manakala Zairi tersengih kerana agakannya bahawa dia tidak dikenali rakan laman sosial itu, tepat…

Kali ini berlaku ke atas Cikgu Deja Man pula. Bukan main rabung berbual dalam WhatsApp, siap tanya tentang lokasi kerja, boleh di depan tuan tubuh ditanyanya: Ni sapa?..

Kalau tuan-puan di tempat saya, gamaknya gelak tuan-puan lebih kuat dari gelak saya….

Demikianlah.

***********

Ya! Sudah mari…..

Empat lima pinggan laksam. Diletakkan di atas meja kecil di depan kami.

Lauk pauk pula diletakkan di atas lantai beralas permaidani lembut.

Fuh!

“Nak makan yang mana dulu?” tanya Yam sebelum itu sebelum dia bersama Zul mengambil acara keluar masuk dapur berganti-ganti membawa keluar laksam dan lauk-pauk. Nasi juga.

Tapi sebelum lebih lanjut, eloklah dimaklumkan ketika yang hampir serentak, sudah mari itu adalah Malek Jamaluddin dan Jasni. Mereka ini tidak perlulah diperkenalkan kepada Cikgu Deja Man. Pernah berjumpa di Pantai Leman dan kemudiannya berjumpa lagi di tapak pasar malam Taman Nuri. Malah pada malam tersebut sempat lagi ditempahnya udang besar dari Malek yang akan berniaga di kawasan perumahan di Jalan Datuk Kumbar itu petang/malam berikutnya.


Laksam pun tidak perlulah huraian lagi.

Akan lauk pauk itu…

Gulai ikan gerut-gerut. Saya teringat janji Yam: …hampa nak mkan nasi sama ka…aku nak masak…gulai kplaSaya tidak nampak kpla. Mungkin berada di dasar mangkuk. Yang penting warna terang kuah dan baunya dalam serkupan hujan ketika itu sudah cukup mendera kelenjar liur….

Ada Apollo [meminjam istilah Re lakonan A R Tompel dalam filem Laxamana Do Re Mi bermaksud sotong] yang dimasak kicap. Bagi saya, sotong, jangankan masak kicap, masak cuka pun setara sahaja saya melayannya! Sotong dari Laut Andaman pula: segar dan cantik.

Ada ikan goreng. Ikan kembung a.k.a temenung. Maaf, malam itu saya terlupa menyentuhnya walaupun seperti orang Melayu lain, ikan yang sesetengah orang menyebut dan menulisnya sebagai termenung itu merupakan pilihan lazim dan tidak pernah jemu dimakan

Ada ulam. Biasalah. Tapi saya tidak sentuh juga. Terlupa.

Ada sambal belacan. Sepinggan, kak…. Ini pemangkin mempercepatkan suapan serta melengkapkan perisa dalam kunyahan. Masam, masin dan pedas. Saya teringat lagu Sambal Belacan nyanyian kumpulan Pea Bees dari Terengganu pada tahun 80-an dahulu. Rangkap paling diingat:
Sambal belacan sambal belacan
Segera membuka selera makan
Tanpanya ku takkan datang
Makan di rumahmu bila diundang…

Saya juga teringatkan sahabat kita, tauke belacan yang berjaya dan bergaya, Abby Zack di Tebengau. Terlupa saya mengajaknya ke Pulau Gezambo, setelah kali terakhir saya menjemputnya ke acara di Pantai Leman dahulu, yang tidak pula dapat disertainya.

Ada juga hirisan puding yang Cikgu Deja Man bawa tadi. Dua pinggan. Salah satu diletakkan bersama lauk-pauk. Untuk penutuplah gamaknya. Takkanlah mahu dikutil dan dimakan bersama nasi…

“Nak makan yang mana dulu? Ikutla…” kata Yam lagi sambil mempersilakan kami makan.

Tunggu lagi?

Cikgu Deja Man seperti serba-salah. Laksam pun mahu dimakan tetapi akhirnya mengalah kepada nasi dan rakan-rakan. “Tengok gulai rasa sedap pula…” katanya.

Mana boleh main rasa-rasa.

Pilihan saya pastilah nasi dahulu, kemudian laksam. Zairi? Manalah saya sempat ingat pilihan awalnya… Laksam dulu kut… Nasi dulu kut … Entahlah. Rasanya pilihan Zairi seperti pilihan saya juga.

Saya siap bersila ketika belum pun lauk pauk cukup korumnya. Zairi mengelik akan makanan tetapi entah disengajakan atau tidak terlekat  imej perut saya sekali. Tapi apa peduli. Kata Cikgu Ahmad Amminy pada satu hari dahulu, orang berperut seperti saya [dan Tan Sri..] pastinya tiada masalah sakit pinggang. Selalunya yang sakit pinggang orang yang berperut pepeh… Anda fikir-fikirkanlah sendiri rasionalnya.

Mantra guru dok mengadap dah… tgk gaya dia tu …tulis Zairi. Haru. Sayalah agaknya, dan gaya itu dirujuk pada bahagian depan berkenaanlah gamaknya…

Cikgu Deja Man dan anak sulungnya duduk, ikut melengkungi juadah. Saya mengengsot sedikit memberi ruang Zairi ikut duduk. Demikian pula Jasni di sebelah saya dan Malek di sebelahnya. Dua sahabat itu tidak mahu menjamah nasi. Mereka hanya mahukan laksam. Tauke ikanlah katakan…. Biasalah dengan hidangan lauk-pauk begitu…

Kami, pelanggan tauke ikan ini, yang teruja dengan lauk-pauk. Cikgu Deja Man, dari bersimpuh terus bersila! Zairi mengawal keterujaan dengan mengambil pinggan nasi secara perlahan amat. Saya? Kena baca sudut pandangan orang lainlah, kalau ada catatannya…

Saya cedok isi gulai. Mulanya mahu berbasa-basi, mengambil hanya sebahagian kecil dari satu ketul ikan. Tetapi entah bagaimana terambil terus seketul! Terlajak… Saya cedok kuah hingga ke taraf banjir. Saya gaul agar nasi dan kuah sebati bersalut atau terbalut. Merah kekuningan atau kuning kemerahan jadinya. Saya tidak boleh makan sambil pinggan di atas lantai, macam zaman baru menjadi pengantin dulu. Era telah berubah. Fizikal pun demikian pula. Saya kena letakkan pinggan ke atas peha supaya hampir dengan perut…

 Saya suap semulut. Sebelum mengunyah saya mencari dahulu rasanya. Dua tiga detik kemudian barulah saya mengunyah. Lulus. Proses peristalsis pula. Sebaik hasil kunyahan pertama itu masuk ke kawasan toreks, saya cedok pula sambal belacan sesudu penuh. Saya letakkan pada satu bahagian hujung pinggan. Saya kuis sedikit sambal itu masuk ke dalam nasi yang telah tersedia cebisan lauk di dalamnya. Saya menyuap lagi. Proses mencari rasa berulang. Ada kelainan. Kunyah. Telan. Sebelum suapan ketiga, saya cedok pula sotong seekor atau sekepala sebab kepala berjanggutnya terpisah hingga memerlukan saya cedok dua kali. Kuahnya yang hitam cair tidak saya pedulikan. Tidak mahu merah kuning atau kuning merah gaulan nasi tadi terubah tona warnanya.. Dua kali tekan dengan jari, sotong tidak terputus. Akhirnya saya gunakan kaedah selalu – menokak badan sotong dan menarik dengan tangan. Terputus dua. Bahagian yang tinggal di mulut saya segera jodohkan dengan suapan nasi yang siap membalut cebisan isi ikan dan sedikit kuisan sambal belacan. Fuh…. lain lagi rasanya.

Demikianlah. Suapan demi suapan demi suapan… Saya berada dalam dunia sendiri. Namun saya masih mendengar Cikgu Deja Man berbual sambil dia menyuap. Dua kali memuji air tangan Yam. Sempat lagi bertanya rempah apa, rempah mana… dan terdengar juga kalimah rempah bancuh….rempah Kola...bla-bla-bla…

Saya hanya berbual sedikit dengan Jasni yang terpesona melihat saya makan agaknya hingga dia terhenti seketika menyuap laksam…

Terlupa mahu dicatat. Ketika itulah, 9.41, Babuji sampai. Dia duduk di sisi Zairi. Tidak juga mahu nasi. Cukup dengan laksam. Seorang lagi tauke ikan, walaupun separuh masa…

Akan dua anak Cikgu Deja Man itu: yang sulung ikut memakan nasi tetapi tidak berkuah walau setitik. Tidak tahulah saya mendeskripsikan bagaimana rasanya kerana saya tidak pernah makan secara itu. Yang bongsu pula hanya memakan laksam. Yang sulung itu, kata si ibu, memang tidak memakan laksam. Mujur Yam buat tambahan menu. Kalau tidak, kunyah kacang dan keropok/maruku sahajalah Kaklong itu…

Kemudian sampai Cikgu Non , Atan [kawan Jasni/Malek yang ikut pada perjumpaan di Pantai Leman dahulu] dan Wira.

Saya tidak pasti siapa yang dulu sampai. Tapi semuanya menolak nasi. Semua mahukan laksam. Semua kekenyangan untuk menjamah nasi. Terutama Wira. Ini terbukti apabila kemudiannya dia gagal menghabiskan laksam di pinggannya. Mulanya saya ingatkan dia bergurau apabila pinggan laksam yang dihulurkan kepadanya diminta dikurangkan isi. “eleh, macamlah tak kenal…” bisik saya. Tetapi ternyata dia bukan main-main. Tiga empat sudu laksam ditinggalkan di pinggan. “Macam nak termuntah dah…”katanya merujuk tenggorokannya yang hampir tepu. Entah sesedap mana masakan mertuanya di rumah tadi…

Cikgu Non mencapai satu hirisan puding jagung dari satu pinggan lain sebelum pinggan laksam dicapainya. Babuji memakan laksam tanpa banyak melihat ke arah pinggan di tangan. Tumpuan penglihatannya banyak terarah antara muka kami yang masing-masing mengunyah dengan gaya tersendiri. Maklumlah ada yang sudah bukan cukup lagi set gigi di dalam mulut…

Dua kali tambah nasi. Itulah saya. Orang lain tidak saya kira bertambah atau tidak. Selesai nasi pun saya masih meratah dua ekor Apollo yang masih berbaki banyak di dalam mangkuk. Ada yang tidak makan makhluk invertebrata itu – takut resdung menghurung hidung… gamaknya.

Selesai membasuh tangan, saya tidak berganjak lagi – bukan tidak mahu tetapi tidak boleh. Wira terkekeh melihat saya macam terseksa mahu mencapai gelas minuman yang terletak di belakang. Sebelum itu pun dia terkekeh melihat saya macam terseksa mahu mengambil pinggan nasi tambah yang agak jauh, sehingga memerlukan bantuan huluran dari Cikgu Deja Man…. Tak apalah …Kalaulah dia nanti berada di dalam kasut saya….hehehe

Yam yang duduk di belakang kami sambil memerhati juga ikut terkekeh. Zul? Bohonglah kalau saya kata dia pun terkekeh. Tanpa melihat pun, saya tahu: Zul sedang tersenyum…

Lama sedikit baru saya bangun menuju ke sofa bulat, di belakang Wira.“Saya nak meninggi diri sikit ni…”kata saya. Wira terkekeh lagi.

Membiarkan tubuh berehat sambil proses penghadaman berlangsung, dengan kebanyakan tetamu masih di dalam lengkongan tadi, saya ternampak kelibat Husin Lateh. Dia muncul sambil tersenyum.

“Ni la Ustaz Chin….Chin Tukang…” Kata saya kepada Cikgu Deja Man, yang terakhir itu merujuk nama ustaz tersebut dalam akaun WhatsApp. Dia mendongak melihat Husin yang masih tersenyum mengulum, manja sekali.

Husin berkupiah benang berkait a la Bob Marley. Di pinggangnya terikat longgar pouch berisi gajetnya dan tembakau dan rokok daun.

“Oooo…yang ni ka…Ingat dah….” Balas Cikgu Deja Man.

Tukang kita sampai dah… 10.08 …tulis Zairi.

Selepas menyalami semua yang sejenis, Husin terus duduk di tempat yang baru saya tinggalkan. Belum habis Yam bertanya mahu laksam dulu atau….. Husin sudah mencapai pinggan nasi. Berseoranganlah dia memakan nasi sambil berbual. Dia menjadi tumpuan kerana semua yang lain sedang membiarkan perut bekerja… Ketika itu Babuji sudah berkisar sedikit menghadap Atan dan Jasni di sebelah almari, yang bersandar pada dinding bilik Yam –Zul.

“Cikgu tak tengok mak dia….”saya memecah keheningan seketika. Cikgu Deja Man tersentak. “empat kali dari Neelofa…cantiknya…Husin noooo….”

Husin tergelak, matanya terarah kepada saya sebelum berpaling kepada Cikgu Deja Man.

“Cikgu ingat muka saya lagi noo?” tanya Husin dalam senyum yang masih menguntum sambil mengukuhkan sila menghadap pinggan nasi.

“Ingat aih…”balas Cikgu Deja Man, separuh tergelak. Mungkin kerana keletah Husin atau membayangkan bagaimana orang yang semasa mudanya, empat kali lebih cantik dari Neelofa….

Apa-apalah.

Kembali kepada anak seorang ibu yang masa mudanya empat kali lebih cantik dari Neelofa itu. {Sila rujuk enti bertajuk Apalah Sangat Dengan Neelofa}

Husin cedok gulai. Husin cedok sotong. Husin capai pinggan sambal belacan. Husin ambil ulam. Husin suap. Husin kunyah. Husin telan. Husin tambah nasi.

Sekali.

Dua kali.

Semuanya kami tengok. Ada yang hanya diam dan ada yang terus tertanya: Tang mana Husin letakkan semua yang ditelan itu dengan keadaan perutnya yang pipih dan rata?

Husin tersengih. Cikgu Deja Man tertawa. Cikgu Non juga. Yusri, menoleh, terpejam mata, tersenyum. Zairi tersenyum secubit. Wira? Saya tidak nampak kerana duduk di hadapan sebelah saya dengan sebelah lengannya berada di atas peha saya.

Dari suapan pertama lagi saya sudah terpesona dengan gayanya. Gaya unik yang tidak pernah saya lihat di tempat makan, tetapi segera teringatkan sesuatu. Gaya orang mencedok simen ke dalam kereta sorong! Zairi  yang bersila di belakang Husin juga mengakui terpesona dengan cara Husin mengangkat nasi dari pinggan untuk dipindahkan ke mulut. Unik!

“Ada makna ni…”kata Husin, apabila hal itu dibangkitkan. “Tanda semua rezeki kita raup masuk…takdak tolak keluaq.”

Ramai tertawa mendengar penjelasannya.

Husin terus membongkok ketika menyuap. Tidak peduli lebih sedozen biji mata memerhatinya.

“Boleh dia makan steady saja, orang dok tengok…” kata saya, tergelak, tatkala ada yang tersenyum melihat dia menambah pada kali ketiga.

“Tengok pi… “ kata Husin, lebih kurang, dengan beberapa patah kata tambahan lagi yang saya tidak ingat, tetapi ada kaitan dengan keredaan makan tanpa peduli siapa yang memerhati. Mujur dia tidak gunakan kalimat: Ada aku kisah?

Seseorang bertanya kenapa Helwi belum tiba sedangkan sela masa waktu Zairi menelefon tadi sudah agak lama berlalu.

“GPS dia tak jumpa jalan nak mai sini kut…” kata Husin sambil menyuap nasi. Saya tertawa.

Kebetulan sekali, dua suapan sahaja Husin lakukan selepas itu, Helwi muncul. Tersenyum sambil menjinjing beg kecil berisi gajetnya. Dia memilih duduk di belakang Husin, tepatnya rapat dengan tv yang terlekat di dinding. Helwi tidak mahu menyertai  Husin melayan nasi. Dia hanya mahu menikmati makanan kegemarannya: laksam.

Selain itu, Helwi juga datang untuk mengambil serunding yang ditempahnya beberapa hari terdahulu. Yam yang menyangka Helwi mahu gunakan serunding untuk disandingkan dengan ketupat atau lemang pada hari raya nanti telah tersilap. Sebelum raya pun Helwi mahu menjodohkan serunding itu dengan pulut biasa, pada hari-hai biasa. Orang kaya sahaja yang boleh berbuat begitu. Yalah. Bukankah dinyanyikan orang, kalau kaya, hari-hari adalah hari raya…

Semasa bersalam dengan Helwi tadi, saya sempat nyatakan apa yang Husin komen tentang kelewatannya. Husin mendongak, tersenyum, dengan pandangan seolah membuat apologi kepada sahabatnya itu. Tetapi tangannya tetap tidak berhenti dari menggaul-gaul nasi di dalam pinggan…dan mulutnya tidak terhenti mengunyah…

Zairi bergerak menyertai Helwi di hadapan tv itu. Walaupun tidak mendengar apa yang dibualkan, rasanya semua yang mengetahui kemahiran dan minat Helwi tahu apa subjek utamanya. Melihat dia mengeluarkan benda alah yang digunakan sebagai satu demonstrasi di tempat sama dua tiga bulan lalu – hingga Husin terpesona dan terkesima – pun ramai yang sudah boleh mengagak. Cuma kali ini saya nampak kerap pula Husin menjeling ke arah Helwi…

Di hadapan Cikgu Non, tidak jauh dari lauk-pauk itu ada sepinggan laksam yang belum disentuh. Lama terbiar dan mula mengembang. Kuahnya juga menyejuk. Beberapa ketika setelah selesai melayan nasi dan rakan-rakannya tadi, ada saranan untuk saya melayan laksam pula. Saya mengangkat tapak tangan kanan, menolak dahulu. Mahu membiarkan lebih jauh nasi tadi berada di dalam usus. Sebelum balik pastilah laksam itu akan saya selesaikan…

Saya sedang mengunyah kacang ketika Husin membuat suapan nasi yang terakhir. Puas agaknya malam itu dapat menghabiskan tiga empat pinggan nasi. Tetapi perutnya tetap begitu juga. Tidak perlu menyelaraskan tali pouch di pinggangnya.

Saya nampak Husin membasuh tangan. Kemudian dengan sopan pinggan berisi air basuhan tangan itu ditolaknya ke sisi kanan, berhadapan Babuji yang bersila kukuh memerhati rakan sekejiranan di Taman Marina itu. Saya nampak dua kali Husin mengilir tapak dan kekura tangan kanan yang masih basah ke atas tapak tangan kiri. Kemudian dua tiga kali pula tangan kanan itu dikilir pada peha kanan seluarnya.

“Tu laksam sapa?”tanyanya, sambil menuding ke arah pinggan laksam yang saya ceriterakan tadi.

“Takdak sapa aih… Cikgu Din tak mahu lagi tadi…” kata seseorang di antara yang di depan Husin.

Cikgu Deja Man mengangkat pinggan tersebut lalu menghulurkan kepada Husin. Saya bersedia untuk menyambutnya dari tangan Husin dengan jangkaan ustaz itu sekadar menjadi pengantara.

Tetapi…

Maaf tuan-puan. Ketika mahu mencatat inilah saya terhenti lama sekali. Berkali-kali begitu jadinya hingga melambatkan entri ini berjaya dimuatkan. Ada sekali saya renggah gelak sendirian di depan komputer dan akhirnya terpaksa bangun menjauh….

Husin….Husin… sebuah kenangan yang cukup sukar mahu ditumpahkan ke dalam bentuk tulisan…

Husin bukannya menyambung menghulur pinggan tersebut kepada saya yang sedang bersedia mengacungkan ke dua-dua belah tangan. Sebaliknya, Husin berpusing sedikit menyisikan lauk pauk tadi, menghadap saya dan Wira, membelakangkan Babuji. Selamba sahaja dia mencedok dan menyuap laksam tersebut ke dalam mulutnya…

Tuan-tuan dan puan-puan, bukankah baru sangat Husin membasuh tangan sebaik selesai memakan nasi? Tangan kanan itu pun bukan kering betul lagi!

Wira tertawa kuat. Yang lain juga, cuma agak perlahan. Saya? Tidak dapat menahan diri, saya terpaksa bangun meluah kacang yang sedang dikunyah, di luar pintu rumah. Berlinang airmata menahan tawa…

Husin…Husin…

“Hang boh tang mana, Usin….Tengok perut kecik saja,” kata Cikgu Non, lebih kurang, ketika saya kembali duduk di sofa, ketika reda sedikit tawa para saksi.

Husin tersengih. Wira terus tertawa. Ada dua sebab: pertama , seperti kami, dia masih terbayang aksi Husin tadi. Kedua, dia terbayang macam mana saya yang seolah bersedia menerima pinggan, tetapi terpaksa menurunkan tangan semula, apabila Husin menyuap laksam ke mulut sendiri….

Demikianlah.

Selepas itu, acara menyembang baru bermula secara rasmi. Yam pun baru ada peluang bersimpuh berbual dengan Cikgu Deja Man yang ikut meninggi diri di atas sofa..Dua anak cikgu itu membelek hape, duduk di antara si ibu dengan Yam.

Cikgu Non bersembang dengan Malek.

Atan, Jasni dan Babuji masih di sudut tadi, melanjutkan perbualan.

Husin menyertai Zairi dan Helwi di hadapan tv, tetapi apa yang ada di skrin benda alah hasil inovasi John L. Baird itu tidak mereka pedulikan.

Saya dan Wira masih di latitud tadi. Memerhati semua. Wira mengelik mengambil foto dari arah tempat duduknya. Siap disunting setiap foto itu dengan menambahkan maklumat pada tiga foto.

Pada foto kumpulan Babuji, Atan dan Jasni diletakkan Geng Toke Ikan.

 Memang dari awal lagi, Wira sudah menamakan begitu pada geng Babuji. Ketika sengaja Wira mengajaknya berbual, Babuji menolak dahulu. “Nanti la…ni dok bincang dengan depa ni….”katanya serius. “Amboi hang….jumpa toke ikan tak mau sembang dengan aku dah aih….”canda Wira. Dua rakan bual Babuji tersengih. “Tentula… jumpa toke kaya…hang orang susah…buat apa...”balas Babuji. Serius juga nadanya. Kami yang mendengar, terutama yang tahu sangat dengan dua watak budak Falah itu, tergelak…

Foto Yam bersama Cikgu Deja Man anak beranak dinamakan Geng Cikgu.

Foto Cikgu Non dan Malek ditandakan Geng Forex.

Tidak pula diletakkan atau dinamakan geng pada foto Husin, Zairi dan Helwi. Mungkin Wira terlupa atau kekurangan bekalan perbendaharaan kata ketika itu…

Zul?

Tidak ada foto Zul pada waktu itu kerana tuan rumah memang tidak berada di dalam rumah. Sibuk sungguh dia. Setelah tadinya kalut menghidangkan makanan, selepas itu, keluar masuk dapur menambah kandungan jag yang kurang atau kosong. Tapi kali  ini dia memang tiada di dalam rumah.

Mana Zul?

Sebentar kemudian dia masuk bersama seikat buah mata kucing. Rupanya dia bertemu adiknya di luar. Dia masuk dengan senyum yang begitu-begitu juga. Yang selalu-selalu juga.

“Hai, mata kucing pulak….” Sapa seseorang di sisi Wira.

“Haaa… Mata kucing pulak…makanla…pokok belakang rumah ni….” balas Zul, tersengih, sambil merungkai ikatan getah pada tangkai buah itu untuk dibahagiduakan gugusan buah itu. Satu diletakkan di depan saya dan Wira, manakala satu bahagian lagi dihulurkan kepada Cikgu Non untuk diletakkan di hadapan Cikgu Deja Man dan anak-anak.

Boleh tahan juga daya kecindan Zul ni…..

Maka mata kucinglah pula yang dimasukkan ke mulut kami. Ada foreshadow [imbasmuka] pelik awal tadi apabila saya dan Zairi menatap mata tikus….

Selepas dua biji masuk ke mulutnya, Wira tidak menyia-nyiakan kulit yang ditanggalkan. Digunakannya untuk membaling belakang Babuji. Imam muda itu menoleh. Serius wajahnya. Saya sangkakan akan ada geruh malam itu. Tetapi Babuji kembali berpaling menghadap dua rakan bualnya. Ternyata keseriusan itu adalah pada isi perbualan mereka… Hampalah untuk melihat reaksi tegang Wira dengan Babuji….hehehehe…

Wira tidak berputus asa. Selepas mengoyak buah berikutnya, sekali lagi kulit diperuntukkan kepada belakan Babuji. Anehnya, Babuji tidak macam selalu. Paling jauh, dikuisnya tempat dituju macam menguis nyamuk. Tidak dipedulikannya Wira. Serius sungguh perbualan yang disertainya itu…

Sementara itu saya bergambar dengan Cikgu Non sambil memperagakan puding jagung yang masih berbaki pada satu pinggan. Eloklah. Sekurang-kurangnya foto itu dapat menepis dakwaan bahawa kami sudah tidak sejalan dan sehaluan….hehehehe.. Macam artislah pula..Tukang ambil gambarnya? Siapa lagi. Yang membuat spekulasi itulah – Wira!

Sebentar kemudian, Cikgu Deja Man bangun untuk berundur.

“Lewat dah ni…” kata cikgu beranak tiga itu. [Anak tengah [kedua] lelaki, katanya, sedang belajar di sebuah kolej puak laghak MARA di Alor Setar].

Yam masuk ke ruang dapur. Saya dapat mengagak tujuannya, kerana semasa kami tengah riuh tadi, ada seketika Yam dilihat sedang memegang dua tiga uncang plastik …

Sementara itu, saya bertanyakan jalan balik tiga beranak itu kelak, samada melalui Jalan Datuk Kumbar atau terus ke Telaga Bata, bersebelahan Hospital Sultanah Bahiyah untuk ke rumahnya di Kg Alor Gandak. Kemudian muncullah pelbagai saranan dari beberapa orang tentang jalan pendek dan pintas, berdasarkan peta yang ada di minda masing-masing.

Yam muncul bersama bekas plastik yang tadinya berisi puding. Di atasnya ada bungkusan, pastilah laksam dan gulai ikan, berdasarkan pujian berkali-kali tentang sedapnya dari Cikgu Deja Man, sebagai ‘balas bekas’ kata orang kampung saya. {Esoknya baru saya tahu gulai tidak termasuk di dalam bungkusan tersebut, berdasarkan ‘perbualan’ Cikgu Deja Man di WhatsApp. Tidak mengapalah kerana samatuanya yang memang menunggu kepulangan dapat juga menyantap segera laksam Pulau Gezambo…}

Cikgu Deja Man bersalam dengan Yam. Siap berlaga-laga pipi.

“Terima kasih semua noooo….” Kata Cikgu Deja Man kepada kami, agaknya bagi menggantikan acara berlaga pipi itu….kikiki….

“Cikgu dok mana?” tanya Husin tiba-tiba.

Seruang tamu itu dipenuhi tawa kuat kami. Hamba Allah itu sudah mahu pulang dan sudah pun meminta diri, tiba-tiba boleh muncul soalan itu. Dari Husin pula…Itulah yang membantu menguatkan bunyi tawa kami…

Cikgu Deja Man seperti mahu terduduk, menahan gelak.. Untuk tidak menghampakan, disebutlah nama tempat dan arah rumahnya.

 Rupanya, Husin yang asyik bersembang dengan Zairi dan Helwi, terdengar kalimat Telaga Bata tadi.

“Saya pernah buat rumah area tu…. Banglo….” Katanya.

“Rumah Cikgu apa…” kata saya, tumpang semulut.

Cikgu Deja Man menafikan. Begitu juga Husin. Dia sempat bercerita betapa banyak kali dan banyak hari juga dia berada di sekitar situ, menunjukkan bakat bertukangnya.

“Tapi kalau Cikgu panggil Husin, ingat bab nasi tau….”kata saya, ketika Cikgu Deja Man mahu melangkah keluar.

Cikgu Deja Man tergelak. “Kena masak banyak ka…takpa…” katanya.

“Tapi sungguh….”tingkah Husin, “makan di situ berselera sungguh…. Saya beli nasi sebungkus besar, licin saya makan….”

Husin menunjukkan saiz bungkusan nasi itu dengan dua tapak tangannya sebagai sempadan hujung ke hujung…

Kami tergelak.

Dia tidak perlu membuktikan hingga ke situ. Kami menjadi saksi sebentar tadi….

***********

Kembali kami berbual. Cuma posisi sudah berubah.

Atan dan Jasni menyertai Cikgu Non dan Malek. Tidak lama kemudian, datang seorang lagi kenalan, Tarmizi, pakar komputer dan telefon. Tarmizi menikmati laksam sambil mata tertumpu ke skrin lappy…

Saya masih di atas sofa,  dengan Wira juga masih duduk di lantai, di sisi saya. Ada bekas buah mata kucing untuk kami hadap. Sambil itu saya mencapai hape Malek. Mengelik dari beberapa sudut untuk dimasukkan ke dalam grup WhatsApp. Nanti boleh dihantar pula ke dalam laman fb utuk tatapan lebih ramai. “Kira apa…bukan guna filem macam dulu….”kata saya sambil menghala lensa kea rah Malek sendiri. “dulu bolehla takut habis filem….”

Malek tersenyum, mengakuinya. Sementara saya mengelik pada sudut lain, dia terus berbual tentang forex dengan sifunya, Cikgu Non, disertai Atan yang siap menghadap lappy di atas meja kecil yang menunjukkan jalur-jalur pergerakan kewangan antarabangsa….

Babuji?

Dia kini keseorangan di tengah ruang. Tidak tahu kumpulan mana mahu disertai. Nampaknya hasrat saya untuk melihatnya bertingkah dengan Wira tidak kesampaian. Dia hanya tersenyum bergilir memandang dua kumpulan di dua sudut berbeza dan sesekali ke arah saya. Habis sudah agaknya perbualan tentang perikanan…

Mujurlah keadaan itu tidak lama. Zul yang sibuk sejak tadi, duduk di sisinya. Posisi berdua menghadap ke arah saya tetapi mata mereka ke arah tv. Satu-satunya wanita di ruang tamu itu, Yam, ikut duduk di belakang samatuanya, Zul. Sempatlah dia berehat seketika, menarik nafas sambil membelek hape, pastinya grup WhatsApp..

“Tak peraya nooo….”kata Wira kepada Zul yang nampak begitu asyik matanya ke skrin tv. Rancangan kegemaran Zul – Wrestling WWE – sedang bersiaran…

Zul menoleh. Tersenyum malu kerana keasyikannya dikesan oleh Wira…

“Tak peraya…” kata Zul,” …minat….” tambahnya, sambil membuka sedikit kampuhan silanya, meletakkan dua tapak tangan ke atas lantai di belakngnya supaya sudut pandangan mendongaknya ke tv lebih selesa.

Wira tergelak sebelum bangun menyertai Husin, Helwi dan Zairi. Isi perbualan mereka yang paling utama adalah tentang pelayaran internet tidak terhad serta hal-hal terkait. Rupanya Husin, dalam setiap malam bertemu kami telah merahsiakan sesuatu: dia telah juga ada kemudahan pelayaran tanpa had itu, melalui rundingan sulitnya dengan Helwi…. Patutlah tidak pernah lekang ustaz itu dengan gajetnya…

Leka sungguh mereka berbual. Demikian pula dengan geng forex tadi. Zul dan Babuji menghala tv.

Saya?

Saya capai hape Malek sekali lagi. Membelek WhasApp. Seketika membelek foto dan komen,  TOINK…. naik satu rezeki di situ untuk menggaru hati Wira…

Amboi raya sakan hampa no 11.23

Demikian tertulis di grup. Saya perhatikan pengirimnya sekali lagi.

“Wira…. Sabariah bagi komen ni…” kata saya.

Terlompat Wira membuka hapenya. Peka sungguh admin grup itu. Terus dia membalas.
Awat cek xmai cek oi 11.24

Lalu membuat satu klik tentang kedudukan di satu sudut rumah. Lia punia muka ata senium oo…

Hg tak nampak ka aku dok blkg pokok tu… 11.25… balas Sabariah.

Wira tidak membacanya. Takkanlah setiap kali Sabariah muncul, mesti saya maklumkan. Sendiri mau ingatlah…

Tetapi rupanya ada seorang lain ikut membaca, lalu membalas – Zairi:
Xkan blkg pokok pun jd kot… 11.28

Entah apa yang membuat Sabariah rajin pula membelek, dan membuat lawak:
Jadi hantu ikut hampa balik rumah. 11.30 …tulisnya sambil menyertakan 6 tengkorak pada hujung binaan ayat itu.

Wira menjeling jawapan Sabariah, lantas menulis:
Sabariah masuk seron ka. 11.31

Tiada respons lagi selepas itu. Masing-masing sibuk berbual atau kehilangan frasa sesuai manakala Sabariah mungkin sudah masuk seron selepas menghantar 6 tengkorak tadi..…

Saya mengelik lima kali ke arah Zul dan Yam untuk simpanan arkib…tiga sahaja dinaikkan ke WhasApp. Dua lagi, fotonya menampakkan mata Zul yang terpejam manakala Yam kelihatan macam menjegil ke arah kumpulan Helwi…Tidak sesuai dengan tema perjumpaan…lalu saya tekan butang X pada skrin telefon….hehehe.  Dua kali lagi saya klik kemudiannya dengan disertakan wajah Babuji di dalam frame

Tengok gusti bersama al imam 11.38. … tulis saya di bawah foto berkenaan dengan nama Malek sebagai pengirimnya…

Satu lagi posisi Babuji, Yam dan Zul saya klik. Ketiga-tiga mereka sedang merenung skrin tv. Zul yang paling asyik. Penggusti kesayangannya sedang membelasah ‘geng jahat”….

 ‘Geng jahat’ tumpas, disambut tepukan dan sorakan penonton… Kepuasan tentulah terpancar di wajah Zul… Yam kemudian bangun ke ruang dapur atau ke bilik.

“Mengantuk dah aih…”terdengar suara Cikgu Non. Dia membiarkan geng forex mengerumuni Tarmizi yang sedang menunjukkan sesuatu di lappy…

Wira bangun untuk kembali duduk di sisi saya.

“Pul kata nak mai….” bisiknya.

Saya membelek skrin hape. Ada komunikasi rupanya antara Saiful, Wira dan Yam…

Saya menghabiskan buah mata kucing di dalam bekas di atas riba.

Tidak lama lagi sampailah Saiful, kalau berdasarkan apa yang ditulis di dalam WhatsApp.

Kami menunggu.

***********

Selepas makan laksam, Saiful yang duduk bersama grup Helwi tadi menikmati puding jagung pula. Zul ikut duduk di situ buat pertama kali, maklumlah entah berapa kali asyik membawa masuk minuman sejak awal tadi. Bermula dengan ais, di selangi dengan kopi o. Hingga hujung pertemuan, masih ada kedua-dua jenis air di dalam jag.

Tidaklah lama Saiful sempat berbual sama. Tapi cukup untuk budak Falah paling junior di antara yang hadir itu, menghebahkan secara simbolik akan kehadirannya kepada rakan sebaya di kem tentera Sungai Petani….

Cikgu Non telah menyebut ‘mengantuk’ buat kali ketiga. Saya pula mahu pulang bersamanya. Pulang maklumlah…

Zairi mengelik lagi sekali pada sudut pilihannya.

Penutup. [12.22] tulis Zairi selepas menaikkan foto itu.

Wira bangun untuk meminjam bilik air Zul. Minuman tadi serta buah mata kucing agaknya sedang menuntut hak dari Wira…

Sebentar kemudian, Zairi pula menuju ke ruang dapur, juga mahu meminjam bilik air…

Berselerak pinggan, mangkuk, gelas, cawan di merata ruang tamu rumah Zul-Yam. “Takpa..” kata tuan rumah yang berdua…

Apabila Wira dan Zairi muncul semula, kami semua sudah bangun. Semuanya bersalam dengan tuan rumah yang satu jantina. Tapi tidaklah kami sampai berlaga-laga pipi…. Zul tetap tersenyum. Yam pun.

Terima kasih Yam, Zul dan anak-anak yang cukup bekerjasama member peluang kami makan dengan selesa. Terima kasih juga untuk penghulu dan warga Pulau Gezambo kerana sanggup bertahan dengan keriuhan kami sehingga awal pagi…

Terima kasih juga kepada ‘yang buat kenduri’ seperti kata Wira dalam WhatsApp sebaik dia sampai ke rumah kemudiannya setelah terbaca ucapan terima kasih kepada tuan rumah oleh Saiful, pada jam 1.12 pagi.

{Tidak samakah tuan rumah dengan tuan kenduri? Saya sendiri jangkakan sama pada awalnya, tetapi apabila terbaca tulisan Yam, barulah saya sedar. Untuk kali ini, tidak sama. Begini yang Yam tuliskan: syukur Alhamdulillah jamuan mlam ni berkat dari pemberian seseorg….semoga Allah memurahkan lgi rezeki…kpadanya….saya cuma masak je… 1.20

Siapakah seseorang yang Yam maksudkan? Tanyalah pada dia. Saya tahu menerusi Wira yang tahu secara kebetulan pada malam itu. Tanyalah juga kepadanya. Hehehe.

Tidak mengapalah. Terimakasihlah kepada penaja dan pemasak. Selalu pun penaja dan pemasak orang yang sama. Sesekali, jika ada penaja baguslah. Cuma saya tidak tahu penaja itu memberitahu awal atau pada hujung-hujung…

Tetapi, sekali lagi, tidak mengapalah. Semua ada peranan dan memainkan peranan. Yang datang berhimpun pun ada peranan. Peranan apa? Lagi mau tania ka… hayya?}

Semoga ukhuwah yang terjalin kian terus kukuh ‘hingga bisa tembus ke pintu syurga berkat rahmat-Nya’. Amin

Ketika melangkah meninggalkan jenang pintu, saya lihat skrin telefon cokia yang baru dikeluarkan dari poket.

12:34

Pagi Jumaat.

Secara kebetulan saya terpandangnya.

Cantik susunan angka itu.

1 2 3 4.

***********

.
Mungkinkah ada lagi saat-saat indah itu
Agar dapat kita bersama lagi….

Lirik lagu Taman Astakona - SLASH


1 comment:

pawangnujum said...

pg...hang tunggu...aku maiii