[Seperti yang diceritakan oleh Ilyas Hj Awang pada pertemuan 5 Jun 2013, serta perbualan telefon beberapa kali bagi melengkapkan catatan].
Aku |
Sebenarnya malam ini, aku – malah semua, rasanya – dalam
keletihan. Maklumlah sepanjang petang tenaga kami perah bagi mengangkut barang
dari asrama berhampiran bilik Ustaz Man di belakang itu ke bangunan dua tingkat
ini. Entah apa alasannya, kami kena bertukar asrama dengan budak perempuan
pula. Mereka mengambil tempat kami dahulu di belakang rumah Maklong/Maklang,
manakala kami berpindah ke tempat tinggi ini – bangunan berlantai papan di
tingkat atas dan berlantai konkrit di tingkat bawah. Di bawah masih digunakan
sebagai kelas serta bilik guru lelaki.
Khabarnya, supaya keselamatan pelajar puteri lebih terjaga.
Mungkin itu alasan yang munasabah kerana bangunan ini terletak agak jauh dari
bilik Ustaz Man. Tetapi, dulu, bertahun juga budak perempuan tinggal di blok
ini tapi tidak pula bermasalah. Kakak aku pun tinggal di asrama atas kelas itu.
Mungkin ketika itu ada warden, misalnya Cikgu Ramlah dan kemudiannya Kak Om.
Atau mungkin ketika itu geng jahat di kawasan ini belum ramai… Entahlah.
Aku tak kisah sangat. Tinggal di tempat tinggi macam ini pun
ok
juga. Boleh nampak benda jauh. Boleh nampak bas lalu. Boleh tahu marka
aku sampai atau belum. Boleh mudah masuk ke kelas. Kalau terlupa kitab atau
buku, boleh dengan mudah menyelinap naik mengambilnya – tidaklah terhendap-hendap
melintas surau dan rumah Maklang/Maklong, seperti dahulu lagi.
Masalahnya satu sahaja. Bagi aku dan kesemua putera asrama. Bilik air menjadi jauh.
Ertinya tandas juga tentulah jauh. Kena ke tandas dan bilik air yang di
belakang surau itu juga, bezanya budak perempuan di bilik air berhampiran pagar
yang memisahkan AlFalah dengan rumah Bang Man/ Ustazah Rodziah, manakala kami
di blok kecil berdekatan belakang surau itu.
Aku punya agaklah, sebab itulah budak perempuan dipindahkan
ke asrama belakang. Boleh jadi mereka ada pelobi yang baik untuk berhujah di
depan Ustaz Fairose atau Ustaz Zahari. Tengok gaya Cikgu Non dengan Cikgu Din
terkerisin semasa kami diminta berpindah dua tiga hari lalu pun, aku rasa ada
yang tidak kena. Silap-silap mereka berdua yang merupakan tuan empunya cadangan
tersebut…
Tapi tak kisahlah. Kami budak asrama kena patuh. Takkanlah
mahu buat protes dengan alasan jamban jauh. Malulah kaum…
Rautin |
“Takkan mu nak tido dah, Yeh? Relaksla. Esok cuti. Meh kita
pekena kopi o!” kata Rautin sambil memperagakan koleh plastik berwarna merah di
tangannya. Ada asap melintuk di permukaannya.
Aku terpaksa bangun. Tidak tahan dengan aroma kopi yang
menyentuh deria bauku. Rautin bukannya membawa cawan lain, sebaliknya terus
mengunjukkan koleh tersebut ke mukaku. Aku capai dan tanpa berfikir panjang
malah tanpa sempat melafazkan Bismillah, mulut koleh itu kuhalakan ke bibir. Seteguk
tapi banyak kuantitinya. Panas betul. Terasa kepanasannya melintasi kerongkong.
Tetapi pure. Sedap. Pekat, melekat.
Kemudian muncul pula Md Kidam. Di tangan kanannya koleh juga
berisi teh o, di tangan kirinya sepinggan bubur asyura – lebihan petang tadi,
pemberian seorang jiran AlFalah. Aku mencapai seketul. Sejuk sahaja melintasi
kerongkong. Ditokok pula oleh seteguk lagi kopi panas Rautin. Ada rasa yang
tidak boleh aku gambarkan di tenggorokku.
Md Kidam duduk di birai katil bersebelahan. Kami menghadap,
makan-minum-bersembang. Di atas katil yang sama terbujur tubuh Fazli dan Zaha yang sekadar mendengar suara kami.
Mereka, seperti kebanyakan kami, selain keletihan mengangkut barang sendiri
petang tadi, turut kelelahan menolong pelajar puteri pula mengangkat barangan
mereka. Letih dan lelah itu ditambah pula dengan berebut memakan bubur asyura
yang baru dihantar oleh jiran AlFalah berkenaan. Dua talam semuanya untuk
putera sahaja dan bakinya itulah yang dibawa oleh Md Kidam tadi.
Di sebelah katilku adalah tempat tidur Adigun [bukan nama
sebenar], junior kami yang datang dari kampung sekitar daerah kami juga –
Pendang. Dia sekadar meniarap melihat kami dari belakang. Di sebelah katil yang
diduduki Md Kidam dan dua rakan itu pula, Nieketien [juga bukan nama sebenar]
ikut terbaring keletihan dan kekenyangan. Nieketien berasal dari Kuala Kedah.
Rakan-rakan lain kebanyakannya berada di katil masing-masing
dengan hal sendiri-sendiri. Cuma tiga orang yang kedengaran riuh berhampiran
pintu di atas tangga asrama, mengatakan jauh dan susah juga kalau tandas dan
bilik air tidak ada berdekatan asrama. Mereka adalah kumpulan pertama yang
menggunakan tandas semenjak berlaku perpindahan rasmi sejak petang tadi. Dua
dari mereka kulihat masih menepuk perut, agaknya masih terasa kembung dengan
proses penghadaman bubur asyura yang dibaham
semasa berebut senja tadi…
“Tin, malam ni cerita apa yang molek?” tanyaku, sengaja
mencari topik bagi melayan mata yang kembali segar. Memang aku tahu, selain
aku, hanya Rautin yang mampu bercerita secara lisan dengan amat berkesan!
“Malam ni malam Jumaat. Apa lagi, bab hantula…” balas Rautin
sambil mengukuhkan silanya. Dia mggaru-garu dadanya yang telanjang. Kemudian
tangan yang menggaru itu mencapai pula, seketul bubur asyura di pinggan di atas
ribaan Md Kidam. Sebaik masuk ke mulut, tangan yang sama mencapai pula koleh
kopi di tanganku lalu menghantar ke mulutnya…
“Mu ceritala dulu. Lepas mu, aku pula cerita…” kataku pula.
“Hangpa ni tak dak kerja lain. Kalau cerita mesti bab hantu.
Banyak sangatka hantu di kawasan hangpa?” tiba-tiba Nieketien mencelah. Meski
agak suram kerana lampu kalimantang yang paling dekat pun berada bertepatan
tiga katil lain dari yang aku duduki, aku nampak Nieketien yang tadinya
menelentang, berada di posisi meniarap. Kacamatanya diletakkan di hujung
kepalanya. Kepalanya ditelengkan ke arah
kami.
“Mu takutla tuuu…” kata Rautin. Dia memanjangkan leher bagi
menatap muka Nieketien.
“Apa takut? Tengok kakila, geng!” balas Nieketien. Sambil
itu dia menyelimut tubuhnya dengan kain yang dipakai sehingga ke paras dada.
“Mu cerita, Tin! Cerita langsuir di Pokok Tai tu….”Aku
bersuara. Cerita itu telah acap kali aku
dengar. Bukan sahaja dari Rautin malah dari orang tua di kampung. Tapi sengaja
aku ingin mendengar versi Rautin sebab, seperti aku, bab menokok tambah cerita
yang khabarnya asli itu, Rautin cukup cekap…
Maka Rautin pun bercerita. Tiga orang yang berada dekat
pintu tadi menghampiri katil kami. Menumpang dengar dengan jelas.
Rautin pandai mengolah cerita, seperti juga aku. Sehasta
yang kami dengar di kampung, dia tarik dan tokok menjadi dua setengah hasta.
Kalau pengarah filem atau David Teo ada, pasti ceritanya dijadikan filem seram.
Aku yang mengetahui setakat sehasta pun terpegun dibuatnya. Tapi aku juga
tertarik kepada audien di sekitar dua katil itu. Ternganga-nganga. Beberapa
kali Md Kidam menepis tangan Zaha yang terasa hampir memegang pinggangnya,
agaknya semasa adegan paling menyeramkan yang digambarkan oleh Rautin.
“Mu cerita pula, Yeh! Cerita hantu Bukit Perak!” kata Rautin
sebaik menamatkan kisah pertamanya dalam masa lima belas minit.
“Hak tu mu la cerita. Mu yang dengar molek. Aku nak cerita
hantu keretapi Kobah dulu…” balasku.
Terasa bersemangat melihat audien yang begitu memberi
tumpuan terhadap cerita Rautin tadi. Di dalam hatiku telah tersedia tambahan
yang perlu bagi mengindahkan dan menghidupkan lagi cerita ku pula.
“Teh mu ada lagi dak, Kidam? Beri sikit…” Rautin mengengsot
menjauhi tubuhku serta himpitan seorang lagi penumpang mendengar di sebelahnya.
“Ada sikit lagi di dapur nuu. Gi la ambik…dekat periuk Yeh…”
kata Md Kidam.
Rautin menoleh, seolah mencari sesuatu.
“Mu gi ambik sat, Mail!”
Rautin menyuakan kolehnya kepada Ismail Yaakob. Mail tidak bersuara. Dia
memegang besi hujung katilku. Menggeleng pun tidak. Sekadar tersengih.
“Takutla tu…” tiba-tiba terdengar suara Nieketien dari katil
di belakang katil yang diduduki Md Kidam dan dua tiga yang lain.
“Eleh, mu pun takut…. Tu tarik selimut sampai tutup kepala
dah….” Balas Rautin sambil bangun menghala ke pintu.
“Apa takut? Tengok kakila, geng!” balas semula Nieketien,
seperti tadi. Betul kata Rautin. Aku nampak hujung kain sedang menutupi separuh
hidung Nieketien…
“Ceritala Yeh!” pinta Fazli yang meniarap di belakang Md
Kidam. Dia yang kusangkakan sudah terlena rupanya sedang menanti ceritaku pula.
Makinlah aku bersemangat.
“Sabar…sabar… tunggu Tin naik dulu….” Kataku sambil sekali
lagi mengukuhkan sila. Rasa letih dan kantuk awal tadi seperti terbang entah ke
mana.
Seseorang telah memadam lampu paling hampir dengan kami
tadi. Suasama semakin suram. Hanya bergantung kepada lampu di atas tangga serta
lampu tunggal di dalam asrama di bahagian hujung menghala matahari jatuh. Lampu
dari bangunan kelas di bawah yang dipasang sepanjang malam hanya memberikan
sedikit sinarnya ke atas asrama.
Lama benar Rautin turun. Aku sudah tidak sabar. Tetapi ada juga kebaikannya. Aku dapat mengolah
skrip di dalam kepada beberapa kali. Kalau tadi aku terpegun dengan cerita
Rautin, biarlah kali ini dia pula ternganga
mendengar pengisahanku, walaupun kami sama-sama tahu isi cerita
tersebut. Biarlah yang sehasta dapat kutarik menjadi tiga empat hasta!
“Mana Tin ni?”
“Sementara tu, kalau ada sapa-sapa yang penakut, baik gi main jauh-jauh.
Mana tahu, nanti termimpi pulak, puas nak kena turut Ustaz Man buat penawar…”kataku
seolah memberikan mukadimah. “Nieketien, mu lena dak lagi?” tanyaku sambil
memanjangkan leher memerhati ke tempat tidur budak Kola yang putih gebu itu.
“Tengok kaki la geng….” Balas Nieketien dari dalam
selimutnya.
“Tengok kaki buat apa…. Tengok kain tu… Ntah dah basah….” Tiba-tiba
Rautin yang baru naik bersama kolehnya bersuara. Dia menampar sedikit peha Mail
untuk duduk kembali ke tempatnya yang tadi.
“Tengok kaki la geng….” Ulang Nieketien lagi dari dalam
selimutnya.
“Piiiiiirah!” Rautin bersuara lagi. “ Aku kenai mu…”
“Mu gi mana lama sangat Tin?”Aku bertanya sebaik Rautin berada
di sisi.
“Aku gi kecing. Jauh juga bilik air tu… Berdiri juga bulu
roma, apa lagi teringat ni malam Jumaat…” Rauntin menjawab sambil menggayakan
badan menggigil.
“10 Muharam, Tin…” kata saya.
“Mu ceritala hantu keretapi Kobah tu…” kata Md Kidam yang
semakin bosan menunggu.
“Ni nak cerita la ni…” balasku.
Buat kali ketiga aku mengukuhkan sila. Tergambar jelas apa
yang mahu dijelmakan di dalam pengisahanku.
Siaplah!
Aku mencapai bantal yang terletak di hujung katil lalu diselitkan di celah kelangkangku yang bersila kukuh… Rautin menyandar sebelah badannya pada lengan kiriku, sebentar. Menggayakan ketakutan yang amat sangat… Aku menyigungnya yang seperti mahu mengganggu permulaan cerita. Rautin tersengih.
Aku mencapai bantal yang terletak di hujung katil lalu diselitkan di celah kelangkangku yang bersila kukuh… Rautin menyandar sebelah badannya pada lengan kiriku, sebentar. Menggayakan ketakutan yang amat sangat… Aku menyigungnya yang seperti mahu mengganggu permulaan cerita. Rautin tersengih.
“Aku dengar cerita ni sejak sekolah rendah lagi…..” kataku
bagi memulakan pengisahan. Semua di depan dan di sisi terangguk menanti.
Maka kuceritakanlah apa yang aku tahu. Tetapi Jauh, terlalu
jauh, lebih rendang daripada versi asal yang aku dan Rautin dengar di kampung
beberapa tahun dahulu.
Aku tambah dengan pengenalan jalan ke stesen keretapi serta
sekitar stesen Kobah , menggambarkan suasana seseram mungkin pada waktu senja,
sedangkan aku sendiri tidak pun pernah ke situ.
Kutambahkan bunyi besi rel yang seakan berlaga sesama sendiri,
loceng stesen yang terayun tanpa disentuh sesiapa, bunyi salakan anjing
bersahutan dari arah Bukit Choras, wisel stationmaster yang berbunyi dari
beberapa tempat dan arah serentak, kemunculan tubuh bermandi darah pekat tanpa
kepala dan sebelah kaki, kemunculan adiwira berhadapan usikan, ketakutan
seorang tukang serapah yang tercirit semasa tubuh bermandi darah muncul di
belakangnya, sebuah kepala manusia tergolek di tangga keretapi lama……
Semuanya kuadun sebaik mungkin. Semua yang ada ternganga,
malah makin mendekatiku agar tidak hilang sepatah pun apa yang aku tuturkan.
Yang seronoknya, Rautin ikut ternganga, kerana mengetahui rakan sekolehnya ini
bijak menyusun cerita. Sesekali dia mengangguk dan tersenyum dalam kesuraman
malam terutama pada bahagian yang dia tahu memang aku kelentong habis. Zaha
memegang lengan Md Kidam, Fazli memegang lengan Zaha ketika aku tamatkan cerita
dengan adiwira mencacakkan bayonet zaman Jepun ke kepala yang tergolek tadi
yang segera bertukar menjadi kelapa tua yang terbenam lama di dalam kawah lumpur bekas kerbau berkubang …..
Rautin membetulkan duduknya sebaik aku berhenti bersuara. Yang bagusnya, sepatah
pun tidak dia menyampuk sepanjang aku mengambil tugas bercerita itu. Tahap
keprofesionalan kami memang terpuji…
Rautin |
“Tu tak gerun lagi…..”kata Rautin.
Begitulah selalunya kami berdua. Jika aku bercerita, pasti
kemudiannya, Rautin akan mengeluarkan kisah yang lebih seram dan sadis. Kalau keluar
pula cerita seram dan sadis dari Rautin, kalau mahu disambung, aku pula akan
berkisah dengan lebih seram, sadis dan brutal! Keluarlah cerita mana pun. A
pada Rautin, aku sambung dengan B yang lebih dahsyat, C dari Rautin, aku
sediakan D yang lebih menyeramkan. Pada waktu lain, dengan audien yang lain,
termasuk di kampung, jika aku keluarkan D sebagai cerita pertama, maka Rautin
akan menjadi C sebagai ceritanya yang lebih seram, lalu aku tokok pula cerita A
sebagai paling seram….. Begitulah…
“Ni mu semua dengar aku nak cerita….”kata Rautin selanjutnya. “
Bidan Kuala Musang dengan Mak Andam Tanjung Rimau…..”
Aku
terpaku. Tajuk itu tidak pernah ada dalam himpunan cerita
kami. Kalau bidan berkelahi dengan mak andam berebut duda lawa yang
pandai berqasidah, adalah - seperti
yang kami dengar pada satu malam kenduri di kampung. Ada sedikit unsur
pelesit bertarung dengan hantu raya. Sah
Rautin tengah mereka jalan cerita sendiri, fikirku. Memang dalam bab
bercerita kami mendapat lesen tidak bertulis untuk menyebut sebarang
tempat atau watak…. Pandai-pandailah
mengolahnya.
Aku lihat makin mendekat audien ke arah Rautin dan aku. Dari bersuara
deras kuat, mendekati tengah malam ini, suara Rautin seperti berbisik. Lalai
sesaat dua, akan terlepaslah satu dua
kalimat penting dalam jalan cerita….
Dalam masa lebih daripada 15 minit, Rautin berjaya menamatkan
cerita yang hanya sekitar 5 minit semasa kami dengar pertama kali dahulu.
Audien melepaskan sesak dada sebentar. Rautin tersengih melihatku yang ikut
tersengih dalam cahaya taram –temaram itu…
“Tu tak pa lagi….”aku pula mendapat semangat untuk mengambil
giliran. Audien menghala wajah ke mukaku semula. Rautin juga memandangku seakan bersama satu tanda tanya - cerita mana pula yang lebih gerun, Yeh?
“Tin, mu ingat dak cerita hantu tanglung menikah dengan
well-educated jin?” aku bertanya sambil memandang muka Rautin.
Rautin
tergelak. Dia tahu itu cerita rekaan kami berdua semasa
menunggu bas untuk ke asrama pada bulan puasa lepas. Rautin
terangguk-angguk. “Ingat. Mau tak ingat. Molek tu. Mu cerita …. Mu
ceritala…”katanya dalam tersengih.
“Nak
cerita la ni. Mana yang aku lupa, mu tambah na, Tin…?”
kataku pula dan Rautin masih terangguk-angguk. Aku lega. Hakcipta
bersama, mana boleh cerita berseorangan… Dan aku yakin, kalau bercerita
secara berduet, kadang-kadang unsur tokok tambah setiap kami, masing-masing pun tidak pernah menduga, apa lagi merancang!
Aku mengukuhkan sila…
“Haram jadah! Sapa meruah berak ni?” jerkah Rautin sambil meludah
sekali. Kelepuk jatuh ludahnya di atas lutut aku yang sedikit terdedah. Haram jadah,
Tin! Aku sapu kepala lututku dengan bantal yang berada di kelangkang.
“Sapa punya kerja ni?” jerkah Rautin lagi sambil bangun. Kami
terpinga-pinga. Memang ada bau tahi tapi tidak tahu dari arah mana. Rautin
meludah lagi. Kali ini lantai asrama menjadi tempat persinggahan gumpalan separa
kahaknya itu.
“Mu apa Mail?” tanya Rautin sambil menolak dada Ismail Yaakob.
Mail yang terkejut hanya menggeleng. Rautin tunduk menghidu-hidu sekitar
belakang Mail. Dia tegak semula sambil hidungnya masih mencari arah bau yang
tidak sesiapa pun dapat zahirkan dengan kata-kata di dalam bahasa apa pun…
Seseorang memasang
lampu yang terletak tiga katil dari katil aku tadi.
Aku dan audien kami tadi hanya menekup hidung masing-masing.
Rautin melompat ke katil Adigun. Junior kami yang bermuka bulat dan bermata
bundar itu mengelak sedikit apabila Rautin memijak lantai katilnya.
“Mu ka, Adigun?” tanya
Rautin. Adigun menggeleng. Rautin terus menggunakan deria baunya. Menghidu-hidu
sekitar katil Adigun. Kemudian dia seperti terperasan sesuatu.
“Awat mu tidur atas tikar mengkuang ni?” tanya Rautin. Adigun
membungkam. Mata bundarnya semakin mengecil memandang kami dua tiga orang.
“Mana tilammu?” tanya Rautin lagi. Adigun tidak bersuara. Hanya
tangan kanannya menunjukkan arah bawah katil. Ada lipatan tilam bujang lusuh
setebal dua inci di situ.
Rautin menghidu lagi.
“Awat tilam mu ni?” tanyanya. Kakinya menguis sekali dua tilam
itu.
“Aku terberak…” barulah terdengar suara Adigun yang berwajah
bulat bermata bundar itu.
“Haram jadah! Bakpa mu berak atas tilam?” soal Rautin semakin
keras.
“Aku takut nak pi jamban…”
“Jantan apa mu ni... Penakut! Mu takut apa?”
“Dengar mu dengan Yeh cerita bab hantu…” Dua tiga orang
tergelak di sisi aku. Adigun separuh mahu menangis. Tumpuan hampir semua kami
mungkin menggetarkan dadanya.
“Mu bangun gi buang tilam tu….” Perintah Rautin sambil tangan
kanannya diarahkan ke pintu. “Hisy! Mu ni laa…”
Rautin meludah sekali lagi. Kali ini baru dia buat pertama
kali menutup hidung. Aku tak tahu apakah gunanya lagi…
“Gi la cepat!” jerit
Rautin.
“Takut….” Suara Adigun kian perlahan.
Rautin memandang ke arah kami. Sekilas.
“Mail! Mu teman Adigun sat…” perintah Rautin. Mail yang sedang
mula terkernyih bagai disentap kernyihan itu. Dia menggaru-garu kepala dengan
kedua-dua belah tangan. Mail memandang mukaku.
“Mu gi la… dah namamu
yang naik….” Kataku diikuti tawa kecil Fazli dan Zaha di belakang Md Kidam.
Secara amat perlahan Mail melangkah ke katil Adigun. Secara
lebih perlahan pula Mail membantu Adigun mengeluarkan lipatan tilam usang dari
bawah katil. Rautin melepaskan nafas kasar dua tiga kali dan meludah kosong ,
juga dua tiga kali..
“Mu gi buang tempat sampah. Esok mu bakar. Minggu depan mu suruh ayahmu beli
tilam baru…” panjang sekali ungkapan Rautin sambil melihat Mail dan Adigun
mengheret dan mengangkat tilam usang tersebut.
Aku tergelak sambil bergerak untuk kembali duduk di birai
katil. Tapi tiada siapa yang tahu makna gelakku: membayangkan tahi Adigun
terbakar bersama tilamnya – di hari Asyura…..
“Haram jadah! Haram jadah! Mu buatla bagi molek sikit!”
terdengar kuat sekali jerkahan Rautin.
Aku menoleh. Dua tangan Rautin sedang menggaru bahagian belakang
kepalanya dengan kuat. Matanya terhala ke arah Adigun dan Mail. Tilam masih di
tangan mereka. Apa lagi mu ni, Tin?
Aku bangun. Berdiri di tengah asrama, laluan antara dua
bahagian katil. Rupanya, lipatan tilam Adigun tadi tidak sempurna. Ditambah dengan
ketiadaan persefahaman semasa mengangkat, tahi Adigun terburai pula ke atas
lantai asrama – semeter dari pintu utama…
Ada rakan yang tergelak sedang Rautin makin kerap meludah
kosong ke kiri kanan dan memekup hidungnya.
“Mu gi buang tilam tu. Bawa naik air dua timba. Mu cuci la ni
juga….. Hisy! Ptuih!” nampaknya seraklah suara Rautin malam ini….
Adigun dan Mail mengikut sahaja arahan Rautin. Mana pernah ada orang yang melanggar titah
perintah otai asrama itu?
Sebentar kemudian, mereka naik bersama dua timba besar air
serta pulur sabut dan berus plastik. Adigun mengepung najisnya dengan pulur
sabut lalu berlari laju ke tangga. Sebentar kemudian dia muncul semula. Sekali
lagi mengulang proses tadi – menggunakan pulur sabut mengesat bekas najis yang
tinggal. Entah di manalah, sabut bersalut najis itu dibuang Adigun… Sekejap
sangat dia berlari turun dan naik semula. Mail hanya berlari di belakang
Adigun, sesuai sebagai peneman, tidak pun membantu kerja buat Adigun.
Kasihan melihat Adigun seorang mencuci, Rautin ikut membantu,
menuang air di atas lantai, pada bekas jatuhan najis Adigun tadi. Adigun
menonyoh lantai sekuat hati. Rautin menuang air beberapa kali. Sambil itu
mulutnya tetap menyuarakan teguran kepada Adigun.
Setelah berpuas hati akan bersihnya, bau juga tiada lagi, Rautin menyuruh Adigun
meletakkan timba di atas tangga berdekatan pintu. Agaknya tidak sampai hati
lagi untuk mendera Adigun – dan Mail – menghantar semula timba tersebut serta
berus ke dapur atau ke bilik air yang jauh itu…
Berpeluh badan Adigun, serta Mail. Memercik juga keringat
Rautin ketika mereka kembali ke katil awal tadi. Sesekali kasihan juga
memandang wajah bulat dan mata bundar Adigun, junior kami yang pendiam itu.
Semoga dia mendapat satu pelajaran yang tiada di dalam kelas…
“Sambung cerita well-educated jin tadi Yeh…” kata Md Kidam
setelah agak lama kami diam. Fazli mengangguk-angguk. Zaha juga.
Belum sempat aku membuka mulut, Rautin lebih dahulu bersuara, “
Jin ka tanglung ka, gi tidur dulu.., aku letih ni….Mu tau dak?”
Md Kidam tidak bergerak. Agaknya dia menunggu suara saya bukan
suara Rautin. 'Nak tidur pun bukan boleh lena lagi...' ujarnya sedikit perlahan. Fazli dan Zaha terus mengangguk.
“Nanti
aku cerita hantu tahi mu tak lena kut!....” tingkah Rautin yang
menyebabkan Md Kidam cepat-cepat bangun untuk ke katilnya. Demikian pula
Zaha
yang sebelum ini tidur bersama Fazli di sebelah katilku.
Lampu yang tiga katil jauhnya dari katilku dipadam oleh
seseorang. Suram semula. Sunyi semula.
Aku cuba untuk lena walaupun Rautin yang menumpang tidur
bersamaku di atas katil masih merungut tentang Adigun. Aku betul-betul letih dan lelah. Hal siang,
hal malam di asrama tadi hanya menambah pengalaman berada di rantau demi
mencari sedikit ilmu….
Z. Zzzzzzzz………
“Haram
jadah!” aku terkejut mendengar suara Rautin lagi. Entah pukul berapa
waktu itu tetapi rasanya baru sebentar saja aku terlelap.
“Awat Tin?” tanyaku separuh sedar.
“Hidungmu mapuh ka, Yeh?”
“Apa?” Aku tercabar. Bab 'mapuh-mapuh' bukan boleh dibuat main!
“Mu tak bau tahi ka?”
Aku berasa seperti bermimpi. Lampu yang tiga katil jaraknya
dari katilku dinyalakan seseorang. Tiada orang lain yang bangun, melainkan Md Rautin, sahabatku. Dia terhidu-hidu seperti
tadi. Tapi kali ini ke arah yang berlawanan. Sebelah katil Fazli.
Aku ikut menggunakan deria bau. Mencari arah datangnya bau yang seteruk kalaupun bukan lebih teruk dari tilam Adigun tadi
Aku ikut menggunakan deria bau. Mencari arah datangnya bau yang seteruk kalaupun bukan lebih teruk dari tilam Adigun tadi
“Mu pula meruah berak, Nieketien?” terdengar Rautin menjerkah.
Dan meludah sekali. Tepat dihalanya ke arah Nieketien.
Nieketien bangun, mencapai kacamatanya di hujung bantal dan
memakainya.
“Aku minta maaf….. aku terberak…. Takut nak pi jamban …..Takut...”
Rautin meludah sekali sambil bercekak pinggang. Dia meleteri
sesuatu yang tidak kudengar. Yang pasti tentulah bab 'tengok kakila, geng' ada disentuhnya...
“Mail!” kemudian terdengar panggilannya. Mail tidak menyahut. Meski
telinganya mendengar, agaknya dia memejamkan mata hingga berkerut kening.
“Md
Kidam!” panggil Rautin lagi. Md Kidam juga seperti Mail. Agaknya,
hanya telinga tidak berdaya ditutup, sedang hidung dan matanya ditutup
sedikit di bawah selimut. Selimut itu kelihatan bergerak-gerak...
“Zaha!”
Tiada jawapan.
“Tidur mapuh semua…” rungut Rautin. Aku tergelak.
“Yeh!” tiba-tiba namaku disebut.
“Tak kan aku kut Tin…” aku seperti memprotes, tapi perlahan sahaja nadanya.
“Dah tu mu nak hidu tahi dia sampai pagi esok?”
Aku diam.
“Yeh! Mu plak gi teman Nieketien…”
Aku diam terus.
Aku |
“Yeh!”
“Mu gi la… dah namamu yang naik….”
Ada satu bisikan amat perlahan dari katil Fazli, disusuli kekehan yang juga
amat perlahan.
“Yeh! Telinga mu pun mapuh ka?”
“Nak gi la ni…..” kataku sambil bangun berdiri, membetulkan
kain. Ada nada geram sedikit. Bab 'mapuh-mapuh' bukan boleh dibuat main!
“Mu usung tilam dengan Nieketien, gi buang……”
Haram jadah mu, Tin!
Nota:
Atas sebab-sebab perundangan, nama Adigun dan Nieketien terpaksa disamarkan. Hehehehe.
No comments:
Post a Comment