Nota: Catatan ini sebenarnya mahu diterbitkan selepas Penangan Laksam Pulau Gezambo dan No Woman No Cry (lihat senarai entri bulan Ogos), tetapi masalah telah berlaku. Harap maklum.
Khamis 14 Ogos 2014.

Saya yang menumpang kereta Zairi sehingga ke Alor Ibus,
berpecah lagi sekitar 15 minit kemudian. Saya bermotor sendirian membelah angin
awal pagi melatam jalan pulang ke Simpang Empat. Sepanjang perjalanan itu, setiap
gerak laku BF di acara memakan laksam tadinya masih menerawang di kotak fikir.
Tidak malu saya tersenyum seorang di dalam kelam mengingat riuhnya suasana.Tiga
watak yang muncul dahulu pastilah Babuji…diikuti Nazri… dan Wira…

Saya membuka fail lagu untuk dijadikan lagu latar klip.
Puas juga membelek. Dari nyanyian Dewi Yull, Grace Simon, Bob Tutupoli, Ebiet
sehinggalah Ahmad Jais dan Rafeah Buang. Tiada satu pun yang hati berkenan.
Kalau ada lagu Laksa Mambo dari satu kumpulan
yang pernah menyertai pertandingan Juara Kugiran pada tahun 70-an dahulu, sudah
pasti tugas saya senang sedikit. Malangnya, bukan setakat lagu itu tiada dalam
simpanan, nama kumpulan berkenaan pun saya tidak ingat.
Saya belek foto yang ada di skrin. Dalam banyak-banyak
itu, apabila terlintas kelibat Ustaz Husin Lateh menyuap laksam, saya teringat
komen rakan ketika Husin baru sampai. Bob Marley!

Setelah itu saya masuk ke bilik. Feel sleepy…
Why?
Y?
Zzzzzzzzzz…..
Pukul 8 pagi.
Saya bermotor melatam jalan ke Kola sekali lagi. Ada dua
tujuan ke situ. Pertama dan utama, mahu mengambil lima kilogram ikan kering
yang saya pesan kepada Babuji. Ada jiran mahu menjadikan ikan kering goreng
salah satu menu dalam majlis kendurinya. Tujuan kedua adalah untuk bersarapan
dengan nasi Mat Endek…
Ketika lepas sedikit dari simpang Tandop-Telok Bagan,
Zairi menghubungi saya.Bertanya lokasi serta memaklumkan kematian ayah Shakiroh
Abdul Hamid.
“Jom kita mengunjung sat….kita menyoghok kut dekat sini sudahlah….”katanya.
Saya menyatakan mesti ke Kola juga kerana telah berjanji dengan Babuji, sebelum
bersetuju untuk ke Alor Pulai, kampung tanah tumpahnya darah Shakiroh.
Takdir tertulis: Dalam tempoh 12 jam, tiga kalilah saya
kena ke rumah keluarga Zairi…
Dia siap menunggu di sisi keretanya ketika saya sampai,
lalu terus ke Alor Pulai.
Dalam perjalanan itulah, kami berbual tentang salasilah
keluarga sedikit. Arwah ayah Shakiroh bukan orang dengan bonda Zairi. Demikian cerita
adik Abdul Khodir Mohd Ariff itu. Saya tepilanjat. Nyata kami mungkin dari satu pokok
keluarga yang terlalu rendang dan rimbun. Manakan tidak, emak Shakiroh adaik
beradik sebelah Tokwan saya manakala ayahnya cucu saudara Tok saya sekarang.
Lama sudah saya tahu Shakiroh dengan saya bukan orang…..Cuma dengan Zairi….Kalau diteliti
pokok keluarga elok-elok, mengkaji ranting, cabang, dahan dan akar serta
daunnya, pasti pasti kami ada di situ… Ah, susurgalur yang membuatkan
libang-libu di hati…
Orang mula memenuhi laman rumah keluarga Shakiroh, ketika
kami sampai, dan Zairi memarkir keretanya di hadapan Masjid Alor Pulai. Dua
pupu saya yang tinggal di rumah belakang rumah tersebut menyambut saya. Zairi
bersalam dengan beberapa orang yang duduk di sebelah lain jalan ke pintu utama
rumah.
Di dalam rumah, jenazah diletakkan di atas katil ruang
depan rumah kampung dua lapis itu.
Lima orang wanita berada di hujung kepala katil. Dua di antara mereka, yang
paling hampir dengan jenazah, saya jelling sepintas, tatkala menadah tangan
mendoakan kesejahteraan roh arwah Abdul Hamid. Ternyata salah seorang itu bukan
Shakiroh. Mungkin dia berada di ruang lain. Salam takziah yang dititipkan oleh
beberapa rakannya, seperti Mariam, Farihah dan Ashiqin, melalui WhatsApp
sepanjang perjalanan tadi, tidaklah dapat saya sampaikan..
Di luar rumah, di satu sisi, saya berbual dengan dua pupu
tadi serta beberapa orang di sebelah kiri dan kanannya. Zairi pula membawa
haluan sendiri, berbual dengan beberapa orang lain, yang sebahagiannya
mengenalinya berdasarkan raut muka, tetapi tidak tahu siapa….Maklumlah,
kebanyakannya adalah daun yang berasal dari pokok yang sama…
Kami main isyarat mata untuk beredar dari laman rumah
keluarga Shakiroh, sekitar sepuluh minit kemudian….
Kereta Zairi melatam kembali jalan, hinga akhirnya sampai
di Kola. Di lampu isyarat sebelum membelok ke arah Jambatan Tok Pasai, Zairi
sempat mengelik papantanda nama jalan. Sengaja dimasukkan ke dalam WhatsApp,
untuk dilayurkan kepada seorang insan
kelahiran Kola di rantau yang terlalu mengidam untuk balik kampung…
Di kedai nasi Mat Endek, selepas memesan kampuhan nasi
dan lauk ala kadar, saya mendapat panggilan dari Babuji. Dia sudah menanti di
kedai kopi – yang turut menjual teh, Milo, oren, Nescafe….. - di hujung jambatan kebanggaan orang Kola itu.
Saya memberitahunya lokasi kami. “Baik, baik, baik”jawabnya seperti selalu sebelum
menyatakan akan datang bersama ikan kering sekotak ke tempat kami bersarapan
itu.
Saya hubungi pula Wira. Mengajaknya bersarapan. Sengaja.
Ingin sekali melihat pula pertembungan Babuji dengan Wira pada pagi itu.
Kalaulah senario di Pulau Gezambo sepuluh jam sebelumnya berulang, tentulah
akan lebih lama kenangan tentang mereka terukir di benak… Cuma kali ini tiada
kuah laksam untuk acara simbahan…



Teruslah kami berbual sambil Wira menunggu Helwi yang
datang dari Seberang Perak. Berlaku silap faham sedikit. Dia menunggu di Kola,
sedang Helwi yang awalnya memberitahu dalam perjalanan, akan menunggu di Batas
Paip.. Maka terpaksalah perbualan kami dihentikan bagi memberi ruang Wira dan
Babuji bergerak ke simpang tiga menuju ke Alor Pulai itu.
“Tunggu aku taruh motor kat rumah mak aku sat…”kata
Babuji.
“Laaa….letak di Batas Paip la…Depan kedai Mi Abbas…. Sat
gi senang hang nak balik….”balas Wira.
“Takpa ka letak motor di situ?” tanya Babuji.
“Allah….. motor hang takdak sapa nak ambik aih….” Balas
Wira lagi.
Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, akan gaya percakapan
dua insan sebaya itu, yang sempat kakilima kedai nasi Mat Endek mendengarnya.
Saya dan Zairi menjadi saksi mata dan telinga…
Melihat mereka bertolak, kami berdua pun meninggalkan
Kola, ke rumah keluarga Zairi sekali lagi untuk berpisah kemudiannya dengan
tujuan masing-masing. Zairi perlu menyelia tugas di tengah bandaraya manakala
saya membawa sekotak ikan kering ke kejiranan di Simpang Empat.
Tamat episod siang.
Malam.
Cikgu Non memang ada tugasan di UUM. Ikut mengendalikan
sukan antara sekolah agama seluruh Malaysia. Malam sebelumnya, ketika kami
berkumpul di Pulau Gezambo, dia memang tidak ada peluang untuk ikut serta.
Malam ini cadangnya kami akan bertemu di Jitra – masing-masing bertolak dari
Kola dan UUM.
Saya menunggu isyarat dari Kola atau Alor Ibus. Sehingga
jam 10, isyarat tidak muncul. Melepasi suku pertama jam itu baru ada tanda.
Sekali lagi saya ke rumah keluarga Zairi. Hairan agaknya pokok rimbun di tepi
jalan masuk ke rumahnya melihat ulang-alik saya dalam tempoh dua hari ini….
Mula-mula kami menanti Wira di Batas Paip. Sambil itu dua
tiga kali saya menghubungi Cikgu Non. Setiausahanya sahaja yang menjawab.
Bosnya tentu sedang sibuk. Kemudian, kami ke lorong rumah Malek untuk mengambil
tauke makanan laut itu.
Ke mana kita? Masing-masing tertanya. Meski tanpa jawapan
pasti, Zairi tetap menghalakan keretanya ke arah bandaraya ibu negeri.
Sekali dua lagi saya hubungi Cikgu Non. Akhirnya
setiausaha tidak mampu menahan bosnya bercakap dengan saya.
Rupanya, hari itu asyik ada salah faham.
Cikgu Non menjangkakan kami akan menghubunginya awal
malam untuk bertemu di Jitra. Kami pula perlu menunggu Zairi selesai misi utama
pulang ke lubuk pada waktu begitu – tugasan majikan di pusat bandaraya. Maka
kami sangkakan menjelang hujung malamlah senang untuk bersantai… Rupa-rupanya,
ketika kami dalam perjalanan itulah, Cikgu Non sedang dalam waktu puncak
tugasannya – membuat persediaan untuk acara hari esok. Terpaksalah hajat untuk
bersua dan bersuara berjemaah di pusat pentadbiran daerah Kubang Pasu diurungkan…
Ke mana kita?
Ikut bancian penduduk, saya memang tergolong sebagai
warga bandaraya. Demikian juga rasanya Wira dan Malek. Tetapi terus terang
cakap, untuk menyatakan manakah tempat yang hidup pada waktu malam di bandaraya
ini, saya kena angkat tangan. Ampun. Saya memang tidak tahu. Sudah lama saya
tinggalkan hobi menyimpan alamat dan maklumat lokasi tumpuan warga Alor Setar
setelah mentari berlabuh. Selain sekitar Simpang Empat, Tokai, Tanah Merah,
Kubor Panjang serta Kota Sarang Semut, saya hanya mahir jalan-jalan dan tumpuan
orang Tebengau, Telok Bagan, Alor Ibus, Taman Bersatu, Batas Paip dan
Kola…Adalah sedikit lagi sekitar Simpang Kuala dan Tandop.
Wira pun begitu. Malek pun demikian. Gamaknyalah.
Maka berputarlah seketika di pusat bandar, mulanya
mencari gerai kuetiau. Malam Jumaat bukan waktu terbaik untuk melepak di Alor
Setar rupanya. Sunyi. Banyak gerai tidak beroperasi atau berada di peringkat
mahu menghentikan operasi…
Akhirnya, kami singgah di Jalan Langgar. Ada deretan
gerai sedikit yang masih berorang di hadapan UNITAR dan Open University, yang
dahulunya menjadi tapak pasaraya Hankyu Jaya dan The Store.
Kiranya kami menjejakkan kaki ke universitilah malam itu…
Duduk di meja di atas kakilima paling hampir pintu masuk
UNITAR, kami memesan minuman. Sambil menunggu, Zairi menghubungi Tan Sri yang
berpecah dengan kami selepas pertemuan di Pulau Gezambo hampir 24 jam yang
lalu. Tan Sri memang sedang menuju ke sebuah bank untuk menambahkan wang tunai
ke dompetnya. Cantik sesangatlah… Saya masih mendendaminya kerana ketika kami
menunggunya di Restoran Sofia awal pagi tadi, dia yang beria-ia untuk turut
serta sekadar menghantar utusan harafiah [lebih kurang]: Maaf, kena balik tidoq, esok aku
kerja….keh35x…..
Minuman sampai. Baru dua kali hirup, mahu memesan
kuetiau, kami dapati tuan gerai itu sedang menyelimutkan kuali dan rak di atas
basikal roda tiganya… Takdir tertulis begitu… Kita hanyalah pembawa watak…
Maka kami pun membuat hirupan penutup untuk bangun
sebelum Tan Sri sampai. Takut hamba Allah itu mengamuk hingga ke pengtahuan
Datuk Bandar akan ketidakpuasan hatinya..

“Kita pi Jalan Pegawai…” cadang seseorang yang segera
dipersetujui sebulat suara.
Malek menaiki kereta Tan Sri sebagai teman berbual. Saya
dan Wira terus bersama Zairi.
Saya menghitung-hitung lokasi kedai - kalau masih dibuka
- sekitar Jalan Pegawai…
Tan Sri memandu laju. Zairi mengikut. Tidak Tan Sri
membelok ketika sampai lampu isyarat pasar lama. Tidak mengapa. Ada satu
simpang lagi berhampiran stesen petrol dan bangunan Dewan KIA, selepas Kompleks
Hijau Kuning. Pun Tan Sri tidak membelok malah laju sahaja melepasi simpang
berkenaan.
“Dia ni tau ka Jalan Pegawai ni….”kami bertukar-tukar
soalan.
“Malek ada…”
“Dia nak pi ikut Simpang Kola kut…”
Zairi terus mengekori Tan Sri. Memasuki Jalan Kuala
Kedah, pun laju Tan Sri memandu, melepasi lampu isyarat ke Jalan Pegawai. Laju
juga melintasi lampu Isyarat Masjid Aman. Selepas itu, terperasan sesuatu,
termasuk jerkahan kami dari dalam kereta Zairi, agaknya, berhadapan pagar SMK
Tun Sharifah Rodziah, barulah Tan Sri memperlahankan kereta.
“Awat tak singgah Jalan Pegawai?”
“Yang laju sangat ni nak pi mana?
Itu dua soalan pokok dari kereta Zairi, sebaik kedua-dua
kereta berada seiring.
Tan Sri tersengih. Saya mendengar jawapannya tetapi
sekarang tidak ingat lagi. Dibawa deruan angin menjelang pagi Jumaat itu….Hanya
sengihannya yang berbekas di minda.
Ke mana kita?
Akhirnya kami putuskan untuk singgah di gerai minuman di
depan kedai francais Berjaya Group – 7 Eleven – bertentangan Taman Seri Kota.
Sama seperti kedai yang dimiliki lesen oleh grup Vincent Tan tersebut, gerai
berkenaan juga beroperasi 24 jam. Ada nasi lemak dan kuih-muih – menimbun terutamanya
pada awal pagi dan hujung petang.
Di situlah.
Di situlah selama lebih dua jam kami duduk-duduk..
Di situlah selama lebih dua jam kami minum-minum….makan-makan
nasi lemak dan kuih…
Di situlah selepas lebih dua jam saya makin kenal empat
budak Falah itu…
Di situlah.
Dalam banyak-banyak pertemuan, inilah rasanya yang paling
ilmiah isi perbualannya. Hampir 75%. Selalunya, kalau ada pun cumalah sekitar
20-25%. Bagi pengamatan sayalah. [Bagaimanapun, rasanya semua yang berempat BF
tersebut tentu terkesan juga kelainan itu. Sekurang-kurangnya seorang mengakui
di telinga saya semasa perjalanan pulang…]
Seluloinya secara santai bersembang tentang kerja dan
kerjaya, hal-hal peribadi, mengimbau nostalgia, mengimbasmuka kehidupan, selit
sedikit bab siasah atau hiburan.
Kali ini bab hukum-hakam, bab fekah dan tauhid, yang
fardu ain dan kifayah… Maaflah kerana saya tidak dapat mencatatkan satu
persatu, secara detail.
Tetapi kesimpulannya, cukup menarik perbualan awal pagi
Jumaat itu.
Setiap hal ada ulasan berdalil. Siap disebutkan tajuk
kitab. Pengalaman di beberapa tempat dikongsi lalu diulas bercanggah atau tidak
hukumnya, relevan atau tidak kerja buatnya, berpadanan atau tidak dengan mazhab
pegangan…

Lompang masa semenjak mereka tinggalkan AlFalah
sehinggalah bertemu semula setahun dua lalu bukanlah satu masa yang pendek.
Tidak tahulah pula selama mana dan seramai mana mereka berguru.
Sayang sekali, tidak ada Babuji bersama atau Ustaz Chin …
Kalau ada mereka, tentu akan ada perbedaan pendapat, dengan kes-kes tempatan,
yang akhirnya akan mencambahkan lagi ilmu masing-masing.
Dua jam lebih. Setiap orang memesan paling kurang dua
kali minuman, tambah dengan nasi dan kuih.


“Hak kupang-kupang tu buanglah. Upah kira…” kata Tan Sri.
Serius suara dan wajahnya. Pekerja itu tersengih, tidak tahu apa yang mahu
dikatakan berhadapan pelanggan, yang mungkin tidak ditemui spesies begitu
setiap hari…
Kami berpecah seperti tadi. Malek bersama Tan Sri. Wira
yang bersama saya dan Zairi, turun di Batas Paip. Saya pula meninggalkan rumah
keluarga Zairi entah pukul berapa. Terlupa saya mahu melihat jam di telefon.
Sampai di rumah pula terlupa juga melihat jam di dinding. Tetapi berdasarkan
wajah samatua yang agaknya dua tiga kali bertukar episod mimpi sebelum saya
sampai, kiranya lewat jugalah masa pulang itu….
Sebelum tidur, saya memindahkan foto pertemuan tadi dari
WhatsApp grup ke fb. Takut terpadam dan terlupa…
**********************
Pagi Jumaat.
Sedang bersarapan dengan samatua, saya membelek WhatsApp.
Ada foto Tan Sri dan Zairi menyoghok di Batas Paip, berjumpa pula Wira.
Alkisahnya Zairi bertemu pula dengan Malek kemudiannya untuk mengambil beberapa
jenis hidupan laut untuk di bawa pulang ke Lembah Kelang…
Bila mereka tidur? Berapa jam?
Ingin saya tanyakan soalan itu di dalam WhatsApp.
Tetapi tidak sempat. Soalan itu muncul secara lisan dari
mulut samatua. Namun bukanlah ditujukan kepada empat budak Falah itu…
Err…err.. entah! Bila waktu lelap tak tau. Berapa jam?
Janganlah tanya dalam jam, cek oi. Tanyalah dalam minit. Barulah dapat angka
yang banyak…
Demikian jawapan saya. Terangka di dalam minda. Tidak
dapat dizahirkan kerana mulut dipenuhi ketayap berinti kacang, ditunda pula
dengan teh o suam…
“Tu nak mengadap komputer lagi la tu…” kata samatua
ketika saya bangun dari kerusi di ruang dapur.
“Dak aih….” Kata saya.
Macam mana dia boleh tahu niat saya?
Maka bagi membuktikan kata , tidaklah saya membuka
komputer untuk mencatat pertemuan awal pagi itu…
********
Hujung September, Zairi akan balik lagi.
Mungkin akan ada pertemuan di mana-mana. Di Pulau
Gezambo, besar sekali kemungkinannya… Di tempat lain, tidaklah pasti.
Akan adakah percambahan ilmu seperti dahulu? Jika ada, siapakah pula ahli panel pengganti tempat Tan Sri?
Hanya Allah Yang Maha Tahu.
1 comment:
hadam
Post a Comment