Atas urusan peribadi, saya ke Langkawi pada satu pagi, minggu
terakhir Syaaban 1435.
Urusan berjalan lancar dan selesai dengan selesanya.
Alhamdulillah.
Namun, sehingga awal pagi esoknya saya terkesan sesuatu.
Sesuatu yang cukup aneh di hati. Ada
kekurangan dalam hampir 24 jam itu. Puas saya cari. Apa dan kenapa….
Sekitar jam 10 pagi ketika berada di atas pasir Pantai
Chenang, saya mendapat panggilan daripada Siera Nizam, budak Falah 1983-1988,
yang pada malamnya telah saya hubungi bagi memaklumkan keberadaan saya di pulau
itu. Dia bertanyakan lokasi saya dan akan segera datang mengambil saya untuk
berjalan-jalan dan makan tengah hari. Katanya dia sengaja offkan
tugas pada hari itu…
Barulah saya terjumpa apa dan kenapa tadi.
Saya naikkan status tentang kesunyian
itu dalam laman fb. Rakan fb merangkap budak Falah, Nasir Hassan, terperasan
dan meneka seolah saya berada dalam kesedihan…
Benar.
Buat pertama kali – dalam tempoh yang lama – saya
mengharungi satu hari tanpa melihat kelibat budak Falah!
Saya lahir di kampung
hanya di belakang AlFalah. Kebetulan tertulis pula menjadi sebahagian
pengajar di AlFalah. Dua puluh tahun sebagai guru kecil di sekolah nan terpencil
itu…. atau guru terpencil di sekolah nan kecil itu. Setiap denyut nadinya saya
hafal dan hadam…
Meninggalkan AlFalah hanya di atas kertas atau bahan arkib,
sedang hakikatnya rumah dan tanah kelahiran saya masihlah di belakang AlFalah.
Setiap hari saya pasti terjumpa atau berjumpa
sekurang-kurangnya seorang budak Falah. Di mana-mana.
Bermula dari rumah Ustazah Rodziah yang memang bersempadan
dengan pagar AlFalah sehinggalah habis Kg Perlis di arah utara, ada sahaja
bekas budak Falah yang pernah sekurang-kurangnya belajar sebaris ayat dengan
saya. Malah tidak kurang pula yang pernah terguris dengan ayat-ayat aya…
Melintas di kawasan itu, paling tidak saya akan temui Romli
Ahmad atau Abdul Latif Ismail atau Hafizal Zainol. Terkadang nampak kelibat Nazri Shuib atau
Naim Shuib [bukan dua beradik]. Kadng kala berselisih jalan dengan Jefri Ismail
a.k.a Jepun… Ada juga sesekali Habibah Ali berdiri di
depan rumahnya. Atau nampak kelibat Norhayati Ishak bertandang ke rumah
emaknya. Atau paling kerap terjumpa
aktivis siasah yang tidak asing lagi, Zulkifli Ismail…..
Ke selatan – Kg Permatang Ibus – bermula dari sempadan
kampung tinggalan Tokwan, sehingga bertemu jalan ke Simpang Empat, juga seperti
itu. Ada budak
Falah yang pernah saya hadapi di dalam kelas dalam tempoh dua dekad.
Melintas sepanjang
jalan mini hingga ke hujung kampung, paling tidak saya terjumpa Zamakhshari
Zakaria di atas motor, atau Nasir Hasan di depan rumah atau Nasir Saud di
pondok di depan rumahnya. Tidak jarang saya berselisih jalan pula dengan
Mashuki Hj Ismail atau Ahmad Hj Hashim atau Salmiah Hassan dan Norbi Hashim.
Kalau nasib baik saya terserempak dengan Zamri Khamis atau Nizam Ramli, yang
masing-masing tidak lagi tinggal di situ ….
Ke mana lagi?
Di pekan Tebengau? Macam yang saya catatkan dalam entri Bertemu Mahathir….
Ramai budak Falah. Cumanya antara masih saling mengenal atau tidak.
Sementara itu, sekurang-kurangnya di tiga pasaraya dengan
mudahnya saya dapat bertemu 6-7 orang budak Falah, walaupun pada waktu-waktu
kemuncak.
Di masjid, samada Masjid Alor Pulai atau Masjid Selarong
Batang, kadangkala hampir sedozen budak Falah boleh ditemui, samada bersalam
dengan saya atau sekurang-kurangnya menghulurkan senyum atau mengangkat kening
atau berlalu begitu sahaja…
Di pekan sehari – Pekan Khamis – di Simpang Empat,
senang-senang saya boleh bertemu setengah dozen lagi budak Falah yang kini
sudah bergelar ayah atau ibu. [Ada
seorang budak Falah di sekitar Tebengau telah pun bercucu…]
Di pasar, bukan setakat budak Falah menjadi pelanggan. Yang
menjadi penjual pun tidak cukup lima
jari kalau mahu dikepak satu-satu untuk
menghitungnya…
Menghadiri perjumpaan waris di sekolah, tdak jarang bertemu
budak Falah yang juga membawa anak ketiga atau anak keempat…
Menghadiri kenduri sekitar kampung dan mukim, seluloi pula semeja dengan budak Falah
atau sekurang-kurangnya samatua budak Falah…
Mendengar ahli siasah yang selalunya berhujah tentang
betulnya dia dan salahnya orang dalam sesuatu perhimpunan, selalu berjeromoh dengan budak Falah, yang samada
terus menegur atau sekadar terkerisin, kehilangan kata-kata…
Mengunjungi dua pasar malam paling dekat dengan kejiranan
saya, lagi banyak budak Falah yang ditemui. Baik memegang peranan sebagai
pengguna atau peniaga…
Selain itu, supaya aroma
budak Falah sentiasa dekat di hidung saya, bukan sekali dua saya bertandang ke
Batas paip dan kawasan jajahan takluknya untuk bertemu penghulunya, Budak Batas
Paip serta secara bergilir selang Husin Latih, Yusri Haron, Malek Jamaluddin,
Zulkifli Shamsuddin, Saifol Adly Hassan serta Sazaziz Saad…
Demikianlah.
Dahulu, ada seorang pembaca berita sukan di TV3 mengakhiri
slotnya dengan menyebut Tiada Hari Tanpa Sukan.
Teringat itu dan memandang ke dalam diri, saya gubah sedikit
kalimat itu menjadi Tiada Hari Tanpa Budak Falah…
Benarlah begitu.
Hal ini terjadi kerana kebetulan saya memang berada di
sekitar AlFalah manakala sebahagian budak kampung sekitar juga merupakan
sebahagian budak Falah.
Maka, terasalah betapa peliknya jika satu hari saya tidak
langsung melihat kelibat walau seorang budak Falah….. Apabila bertemu Sierra
Nizam pada hujung pagi yang saya nyatakan itu dan bersamanya sekitar 170 minit,
saya rasa lega yang amat sangat!
Budak Falah…
Di kalangan bekas guru AlFalah, selain saya, Ustaz Zubaidi
Ariffin boleh menggunakan kalimat Tiada Hari Tanpa Budak Falah, cuma dia lain
sedikit. Meski kini jauh di pantai timur, kalimat itu tetap relevan kerana dia
berkahwin dengan budak Falah bernama Rubiah Baharom dari Baling. Ada lagibekas guru lain
yang begitu situasinya? Ada .
Jika anda budak Falah, anda carilah…
Kalimat yang sama boleh juga digunakan oleh beberapa orang budak
Falah sendiri [sekadar menyebut nama yang sempat diingat di depan papan kekunci
ini]:
Zulkifli Shamsuddin, Muzammil
Solehin Musa, Zainol Abidin Zain, Saifol Adly Hassan, Mohd Rosdi Azhari, Mustadi
Mohamad, Abdullah Chik, Zulkarnain, Zahari Saad, Ku Mohd Badri Ku Saad, Rosli
Basari, Rosli Jasin, Mariam Ismail, Nor Ashiqin Hassan, Shuhada Said, Azura
Ayob, Siti Hajar,Yusnita Yusof, Sharifah Mohd Zain, Alina Razak, Muniroh
Mohammad,Rozinatun Hanim Talib dan Suhaida Rashid,
Sepanjang usia perkahwinan masing-masing, sama ada susah atau senang, bahagia atau derita, bagi
mereka, sesungguhnya: Tiada Hari Tanpa Budak Falah…
Demikian aturan takdir.
Di Langkawi itu, selain bertemu dan berborak panjang dengan
Sierra Nizam, sempat pula berbual dalam talian dengan dua lagi budak Falah:
Ramli Mus dan Azizan Md Zain. Tidak sempat berjumpa tetapi kami saling berjanji
akan bersua juga pada kesempatan lain.
Balik dari Langkawi pada petangnya, disambut oleh samatua
dan anak terakhir…
Kami singgah di Restoran Irfan, Lencong Barat untuk mengisi
usus. Melangkah saja saya terserempak dengan budak Falah yang lama tidak saya
temui – Norhashimah Sharif. Dulunya tinggal di Tebengau. Kini menetap di sebuah
kawasan perumahan empat fasa di Jalan
Lencong Barat itu. Dia bersama anak daranya sedang menunggu tempahan siap.
Ketika menunggu samatua selesai makan – jarak masa tamat
makan antara kami berdua adalah sekitar 20 minit – saya ternampak Muhsin
Hassan, budak Falah generasi 1984, masuk
menempah makanan sambil menepuk perut. Saya menggamitnya yang
kemudiannya datang hampir baru mengenali saya.
Kami berborak lama…
Demikianlah.
Sesungguhnya, Tiada Hari Tanpa Budak
Falah!
No comments:
Post a Comment