Untuk beberapa tahun, bulan puasa di rumah emak cukup
berseri.
Tiga minggu pertama Ramadan, setiap petang emak menyediakan
juadah ala kadar
untuk berbuka. Ala kadar kerana
memang tiada yang boleh dikatakan istimewa dan menjadi kelaziman di meja rumah
lain…
Tiada ayam percik,
apalagi kambing panggang. Tiada juga kebab atau roti John. Tiada murtabak atawa
burger tiga lapis. Tiada pula siakap tiga rasa mahupun terubuk bakar. Tiada
minuman 5-6 jenis.
Ustaz Man |
Yang ada cuma sepiring buah kurma. Yang ada semangkuk masak
lemak ikan kering. Atau semangkuk gulai ikan. Atau sesekali gulai ayam.
Sesekali lain ayam masak kicap. Ikan goreng. Sambal belacan. Sedikit ulam. Sedikit
kuih ‘orang
tua-tua’. Atau hirisan tembikai.
Tetapi emak puas. Sebahagian besarnya adalah dari air
tangannya sendiri. Tiga minggu pertama Ramadan begitulah emak. Menu mungkin
berubah sedikit tetapi kekal dengan ala kadar juga.
Kepuasan emak berganda kerana bukan ahli keluarganya yang
ada sahaja yang akan menjamah juadah tersebut.
Tiga minggu pertama Ramadan, emak ada tetamu. Tetamu
istimewa. Tiga empat orang. Ketuanya adalah Ustaz Man [Wae Samae Wae Mat],
diiringi oleh dua tiga pelajar pilihan yang tinggal di asrama AlFalah…
Demikianlah.
Emak cukup seronok kerana tiga minggu pertama Ramadan itu, hujung
petangnya ruang depan rumah tinggalan ayah, diisi dengan bacaan tahlil oleh
Ustaz Man dan pelajar pilihannya itu. Di balik dinding menghadap ke dapur,
setelah selesai menghidang juadah di atas satu hamparan ‘safra’ di ruang tamu,
emak ikut bertahlil dan khusyuk mengaminkan doa.
[Minggu terakhir Ramadan, biasanya Ustaz Man balik kampung
di negeri Pattani, Selatan Thailand .
Minggu terakhir itu biasanya emak menjadi wakil kepada Ustaz man bagi menerima
beras fitrah yang diberikan oleh orang kampung, terutamanya murid tua yang
belajar dengan menggunakan kitab kuning
di surau AlFalah atau surau Lebai Mat, Kg Perlis].
Saya kadang-kala turut serta bersama Ustaz Man. Kadang-kala
kerana biasanya saya selesa berbuka dengan samatua dan anak-anak di rumah di Simpang
Empat. Selesa tentunya kerana boleh hanya berkain pelikat tanpa baju dan pulun
hingga memercik peluh…
Maka keraplah saya dileteri emak. “Orang usaha mai buat
tahlil di rumah kita, kita dok kalut nak cari jalan tak mau tahlil….” Begitu
lebih kurang sebahagian intipati leteran emak. Saya menjadi serbasalah. Di sana menunggu, di sini
menanti. Walaupun samatua faham dan tidak sekali pun pernah berkata apa-apa,
kerapnya saya tetap balik berbuka puasa di Simpang Empat.
Paling emak marah [biasanya diluahkan keesokannya] ialah
apabila saya menghidupkan enjin motor ketika
rombongan Ustaz Man sudah pun menjejak gigi kampung. Saya melambai ke arah
Ustaz Man, mengisyaratkan mahu pulang dan Ustaz tersenyum sambil mengangguk
atau mengangkat sedikit tangannya.
“Dia boleh buat sorang-sorang di rumah dia. Tapi dia rai
kita. Mai rumah kita. Makan ikut apa yang kita hidang. Berjemaah Maghrib di
rumah kita.Yang kita start motor pi macam ‘tu… Buat malu saja!”
Saya tunduk sahaja. Memang salah serta serba salah.
“Macam bongkak sangat. Dok saja-saja kita dok tahlil berapa
ratus? Toksah harap!”
Dan saya bersedia untuk mendengar lagi.
“Tak tau ka pahala bagi makanan berbuka kat orang berpuasa.
Walaupun sebiji kurma! Sebiji kurma! Tau hadis saja tak guna, kalau tak mau
amal!”
Apalah yang boleh disanggah lagi. Saya hanya mendengar hadis
popular pada bulan puasa itu yang emak bunyikan juga versi bahasa Arabnya. Dua
kali emak – bekas budak Falah penghujung dekad 50-an dan awal 60-an itu - tekankan
tentang walau
sebiji kurma, baik ketika dalam versi Arab mahupun dalam versi
Melayunya.
Saya tunduk terus sambil bersandar di pintu dapur, melihat
emak menyiang ikan di kakilima dapur. Adik-adik tidak kelihatan.
Saya faham fiil emak. Kalau mahu memarahi saya, dia akan
pastikan tiada sesiapa mendengar. Bukan sekali dua, emak akan memulas telinga
saya yang sudah berusia tiga puluhan pun, jika saya dinilainya buat tidak endah
pada ajarannya atau ketika emak serius dan saya pula main.main. Tetapi pulasan
atau piatan telinga itu hanya emak dan saya yang tahu sebab kebiasaannya
berlaku ketika saya menghadap emak di atas sejadah seusai solat di biliknya… Pulasan
itu semacam member motivasi. Ketika saya gagal pada mulanya memperdengarkan hafalan Ma’thurat, misalnya,
hanya sehari selepas telinga dipulas, saya boleh lafazkan hafalan Ma’thurat
Sughra dengan lancar dan mengikut tertib!
“Huduh orang tua buat perangai macam
budak-budak…”sambung emak lagi. Perkataan huduh itu dilafazkan dengan giginya diketapkan…
Petang hari berkenaan serta sepetang dua lagi saya pun tidak
buat perangai
budak-budak itu. Berkain pelikat, berkopiah putih bersila antara
ruang depan dan dapur. Menunggu kedatangan tetamu istimewa emak. Ikut bertahlil
dan berdoa bersama Ustaz Man dan dua tiga orang pilihannya. Kemudian ikut
berbuka bersama serta ikut berjemaah solat Maghrib di depan almari di ruang
depan rumah emak. Emak akan ikut berjemaah di belakang saf kami. Selesai solat,
ikut berwirid dan berdoa. Emak mengaminkan doa dengan cukup khusyuk sambil
menekup mukanya setiap kali saya memandang ke arahnya. Saya tahu emak bahagia
kerana anak sulungnya ini mendengar kata…
Tapi selang dua hari itu,saya buat semula perangai, dan samatua
pula yang marah kerana tentunya saya sekian kalinya menghampakan emak,
Demikianlah.
Lama kemudian [emak memberitahu sendiri pada satu hari]
barulah saya tahu, setiap kali saya berbuat demikian airmata emak gugur…
“Nampak sangat takdak adab buat ustaz macam ‘tu…” kata emak
ketika bercerita betapa dia menangis itu,
selain mengulang leteran semasa marah dahulu…
*********
Tahun ini sudah tiga kali Ramadan tanpa emak. Dua tiga
Ramadan di penghujung hayatnya pun emak tidak sihat.
Ustaz Man kini kembali ke kampung halamannya, setelah
diserang minor
stroke awal tahun ini. Ada
rakan berjumpanya baru-baru ini di sekitar Pendang, menghadiri kenduri
keluarganya. Ustaz Man sudah baik sedikit kesihatannya. Teringin untuk kembali
mengajar seperti dahulu tetapi tidak lagi diizinkan oleh isterinya, Kak Jah
serta anak-anak. Keadaannya tidak mengizinkan lagi untuk menyebarkan ilmu
dengan menunggang motor tujuh malam seminggu..
Saya terlupa siapa-siapa budak Falah yang ikut bersama Ustaz
Man pada setiap petang Ramadan, berbuka di rumah emak. Saya terlupa adakah
setiap petang orang yang sama atau sering bertukar-tukar. Apa pun terima kasih kepada mereka kerana
ikut menceriakan emak pada petang-petang tiga minggu pertama Ramadan pada
ketika itu. Semoga Allah mengganjarkan rahmat-Nya buat mereka.
Saya tidak tahu bagaimana mahu menghubungkan semua ini. Sama
seperti saya tidak tahu bagaimana mahu menamatkan catatan kali ini.
Dua malam lepas, saya bersama Cikgu Non serta dua budak
Falah - Ahmad Nazri dan Malek Jamaluddin - menziarahi rumah arwah Helmi
Zakaria, bekas budak asrama AlFalah penghujung 80-an, yang meninggal dunia pada
petangnya, di kampung kelahirannya, Gajah Mati.
Asar kelmarin, saya jengah rumah emak yang tiada berorang
kerana adik yang mendiaminya keluar bekerja. Tidak langsung berubah bahagian
depan rumah itu. Sama seperti waktu menyambut Ustaz Man dan kumpulannya
beberapa tahun dahulu. Tempat saya menghidupkan motor meninggalkan rumah emak
tatkala Ustaz Man makin dekat dengan gigi kampung juga masih tidak berbeza.
Cumanya sudah tidak ada pokok belimbing, lima enam langkah dari pintu depan…
Saya lintasi kawasan asrama AlFalah yang dindingnya senget
dan usang. Nampak sedikit tapak asrama kerana bangunan asalnya telah runtuh
semua. Sunyi mencengkam kawasan bersejarah itu…
Melintasi Kg Perlis, di depan Surau Lebai Mat, di kanan
jalan adalah teratak Ustaz Man. Berdiri kaku dan usang ditinggalkan tuannya. Di
atas tangga, entah kucing tua siapa sedang dibuai mimpi.[Dikhabarkan, ketika
datang ke Pendang hari itu, Ustaz Man turut menjengah teratak tersebut].
Sekali lagi: saya tidak tahu bagaimana mahu menghubungkan
semua ini. Sama seperti saya tidak tahu bagaimana mahu menamatkan catatan kali
ini.
Tapi sepanjang perjalanan melalui ban Kg Perlis hingga ke
ban Tanah 100 sampailah ke pekan Simpang Empat, hati saya basah, dada saya sebu
dan sebak. Juraian air dari dua penjuru mata, kering oleh libasan angin petang
yang saya tantang dengan motor. Ada bekas jalurnya ketika saya melihat cermin
tatkala singgah sebuah pasar mini di Simpang Empat untuk membeli kurma…
Saya tidak tahu kenapa…
Dan hati serta dada mengulangi hal sama sedang saya
menghadap skrin dan menekan papan kekunci buat mencatat entri ini… Mata pula
berkaca, bergenang…
Entah. Saya tidak tahu kenapa…
No comments:
Post a Comment