Kejadian biasa di mana-mana sahaja. Di AlFalah tidak terkecuali…
Amy sedang duduk di atas motorsikal seorang rakan yang
diparkir di tepi bangunan dewan merangkap blok untuk kelasnya dan dua kelas
lagi. Dua kawan lagi bertinggung di depannya, di atas jalan tar mini yang
hujungnya adalah berhadapan tangga surau, 15 meter dari pintu asrama lelaki.
Masa rehat hanya akan tiba dalam 15 minit lagi. Ketika itu,
pelajar Alfalah sedang dalam hissah keempat. Semua kelas sedang dengan tumpuan
masing-masing terhadap proses p & p. Cuma di Tingkatan Lima, tiada guru di
dalam kelas. Semua pelajar membuat hal
sendiri-sendiri. Ada yang bersendirian melakukan kerja sekolah. Ada yang
membentuk kumpulan dua tiga orang untuk saling bertukar cerita. Ada yang
membentuk kumpulan dua tiga orang juga tetapi mengambil peranan sebagai
pengacau kepada dua tiga orang yang juga membentuk satu kumpulan lain…
Amy pun asalnya membentuk satu kumpulan tiga orang ketika di dalam kelas tadi. Berbual tentang
majlis muhadhoroh yang disertai mereka minggu sebelumnya. Seperti selalu, dia
tetap tidak berpuas hati dengan pendeklamasian puisinya. Ada ruang yang boleh
diperbaiki. Ada dua tiga tempat yang dikesannya dia gagal melontarkan penekanan
suara dengan sempurna - sebagaimana yang dihasilkan semasa berlatih di atas
surau sebelum acara yang berlangsung selepas rehat Khamis lepas itu.
Seorang kawan yang agak kebosanan mengajaknya dan seorang
lagi ahli kumpulan berbualnya itu ke luar. Ke bilik air yang terletak berdekatan
asrama lelaki. Kawan yang mengajak tadi memang membuang air kecil. Kawan yang
juga hanya mengikut tadi sekurang-kurangnya berkumur sedikit. Amy tidak pun
berbuat apa-apa di situ. Betul-betul hanya menemani.
Dalam perjalanan balik ke kelas itulah mereka singgah di
tempat parkir motor.
Amy masih mahu bercerita tentang majlis muhadhoroh. Dua
kawan yang bersamanya separuh mengeluh, tetapi mereka amat faham. Amy tidak
akan berhenti selagi apa yang mahu dikatakannya tidak terluah.
Sedang dia bercerita akan ikut serta lagi dalam majlis
muhadhoroh yang berikutnya, bagi menebus kesilapan
majlis minggu lalu, sebuah motor yang ditunggangi seorang gadis menghampiri
mereka. Amy berhenti berkata-kata. Dua kawannya telah lama berhenti mendengar….
Gadis kecil molek itu turun perlahan dari motornya. Sambil
membuka topi keledar, disedekahkan senyum kepada pengemis yang bertiga itu. Amy terlopong, sebelum membalas semula
sedekah senyum…
“Assalamu’alaikum…”ucap si gadis sambil terus bersedekah,
Tiga remaja beruniform serba putih itu menjawab salam secara
serentak. Cuma sukukata akhir salam dari Amy lebih panjang dari dua rakannya.
Lebih tiga empat harkat.
“Nak jumpa sapa ni…?” Amy bertanya ramah.
“Tang mana pejabat?”Gadis berkulit hitam manis itu tidak
menjawab soalan Amy. Dia mencapai fail kertas di dalam raga motornya.
Ketika dua rakannya hampir serentak menunjuk ke arah blok
bangunan yang di tengahnya adalah pejabat sekolah, Amy melangkah turun dari
kusyen motor yang didudukinya tadi.
“Jom ikut saya. Saya pi tunjuk…”katanya ramah.
Gadis itu tersipu. Tidak pun bergerak ketika Amy sudah tiga
langkah menuju ke arah pejabat. Amy menoleh dan terpaksa berpatah balik,
apabila dua kawannya tadi kedengarannya seperti cuba menyembunyikan tawa…
“Cik ni nak daftar tukar sekolah ka?” tanya Amy apabila kembali
menghampiri gadis berbaju kurung bercorak bunga kecil warna merah hati. Ada
anggukan dan senyuman diterima.
“Tingkatan berapa? Tingkatan lima ka?” Amy bertanya lagi.
Anggukan dan senyuman tadi berulang. Amy melihat dua rakannya yang baru bangun
dari bertinggung sedang tersengih.
“Kalau tingkatan lima, minta dok kelas saya la…”kata Amy
yang entah kenapa terangguk sedikit kepalanya,
“…sini ada dua kelas tingkatan lima….”
Loceng berbunyi. Loceng – rod besi seberat 4 kg, tergantung
di penjuru luar blok pejabat - diketuk, sebenarnya, oleh seorang budak yang
kemudiannya, berlari ke kantin. Waktu rehat.
Amy menoleh ke arah kantin yang terletak di antara blok
dewan muhadhoroh merangkap tiga bilik kelas dengan rumah keluarga Ustaz
Fairose, pengetua. Ada empat lima orang pelajar puteri sedang melangkah ke
situ, termasuk dua rakan sekelasnya. Dia memanggil nama salah seorang mereka.
Dua kali. Namun panggilannya bagai dibawa angin lalu. Tidak disahut atau diberi
tindakbalas. Amy cuma ingin memberitahu bahawa mereka akan mendapat teman
sekelas yang baru…
Dua rakannya pula, sebelum sempat Amy berkata apa-apa, ikut
bergerak ke kantin, setelah salah seorang daripada mereka mencuit pinggangnya.
Tinggallah Amy seorang. Dia menoleh ke arah gadis tadi semula, dalam sedikit
riuh pelajar Alfalah bertumpu ke kantin. Tetapi gadis itu telah tiada…
“Oi! Hang takmau pi kantin ka?”tanya seorang rakan sekelas
ketika bahunya hampir bertembung dengan bahu Amy yang sedang melangkah ke blok
pejabat.
Amy tidak menjawab. Memang selama ini pun dia jarang awal ke
kantin. Sekitar lima minit terakhir barulah dia ke situ. Selain dari tidak
payah berebut untuk mendapatkan nasi atau bihun atau mi dan minuman, boleh pula
menyakat seorang dua guru yang selalunya ada minum-minum pada waktu tersebut.
Tapi kali ini dia mempunyai sebab tambahan…
Dia melangkah masuk ke pejabat. Gadis tadi sedang duduk di
atas kerusi, membelakanginya, menghadap Kak Om, kerani sekolah.
Kak Om sedang membelek kepingan kertas yang dikeluarkan dari
fail yang dibawa gadis tadi.
“Letak di kelas saya la Kak Om… “kata Amy.
Kerani yang bertahi lalat besar di atas kening itu, menjegil
Amy. Jegilan mesra. Memang Amy, malah hampir semua pelajar Falah, mesra dengan
kerani yang berasal dari Tebengau itu.
“Kelas kami ada dua tiga meja kosong lagi…”sambung Amy. Kak
Om mengetapkan bibir – juga secara mesra. Gadis tadi menoleh kepadanya,
tersenyum. Amy membalasnya. Hatinya dipenuhi bunga sakura…
Ustaz Zahari masuk ke pejabat. Gayanya menyapu muka, seperti
baru selesai makan sesuatu di bilik guru. Kak Om mengunjukkan fail milik gadis
tadi. Ustaz Zahari mencapainya lalu membuka, membelek seketika.
“Anta….err…. Salmah …nooo…”ucap Ustaz Zahari sambil mata
masih di helaian kertas di dalam fail di tangannya. “Dulu anta sekolah mana?”
“Sungai Limau…”balas si gadis kecil molek itu.
Amy yang bersandar pada dinding berdekatan jadual waktu
keseluruhan sekolah, mengetuk-ngetuk perlahan beberapa punat mesin taip yang
terletak di atas meja kecil di sisinya. Tidak pun berbunyi. Cuma kepala
terangguk dan hatinya bernyanyi: Bakal rakan sekelas ini rupanya dari Sungai
Limau… Namanya Salmah…
“Sat gi bagi jumpa dengan Ostat Pirud…”kata Ustaz Zahari
sambil menyerahkan kembali fail berkenaan kepada Kak Om. Kerani itu mengangguk.
Ustaz Zahari mencapai buku ringkasan mengajar yang terletak
pada satu sudut meja Kak Om. “Ana ada kelas lepas ni…”kata ustaz yang juga
bekas penuntut AlFalah tahun 60-an itu.
Ustaz Zahari terhenti seketika langkahnya ketika mahu keluar
apabila terpandang Amy. Amy hanya mengangguk dan tersengih kepada Penolong
Kanan tunggal sekolah tersebut. Tidak ada sebarang ungkapan, baik pertanyaan
atau sapaan, dari Ustaz Zahari, sebelum melangkah sambil mengilik buku
ringkasan mengajar. Baginya, Amy, atau seorang dua pelajar Tingkatan Empat dan
Lima, berada di dalam pejabat, berborak
dengan Kak Om adalah perkara lazim…
“Salmah la dok di mana…?” tanya Amy. Dia membongkok, cuba
menjenguk sedikit ke wajah gadis tadi yang kembali menghadap Kak Om. Tiada
jawapan.
“Nak dok asrama ka?” Amy tidak berputus asa untuk berbual.
“Nak dok asrama buat apa? Motor ada…” Kali ini ada respons.
Tapi malangnya bukan dari mulut Salmah. Amy hanya nampak bahu Salmah bergegar,
agaknya menahan tawa.
“Dah tu Salmah dok mana?” tanya Amy semula.
“Dok rumah dia la!” Amy nampak lagi bahu Salmah sedikit
bergegar. Suara yang tidak mahu didengarnya pada waktu itu muncul lagi.
“Rumah di mana?” Amy bertanya terus.
“Sungai Limau la!” Kali ini Salmah menoleh, mendongak kepada
Amy. Tersenyum. Suara yang tidak mahu didengarnya pada waktu itu terus muncul.
Garang tapi mesra.
“Laaa…dok Sungai Limau… Pasai apa tukaq mai sekolah ni?” Amy keliru.
“Hang ni kacau betuila… Banyak sangat soalan!” Suara yang
tidak mahu didengarnya pada waktu itu masih ada. Amy makin seronok!
“Dak la….”
Belumpun sempat dia membentuk ayat nyata atau ayat tanya yang
lengkap, loceng dibunyikan – diketuk. Terdengar riuh pergerakan pelajar AlFalah
kembali ke kelas.
Ustaz Fairose muncul. Dia baru membuat sedutan terakhir
rokok kegemarannya kerana masih ada asap kecil mengikut hidungnya masuk ke
pejabat.
Kak Om bangun.
“Ostat Pirud…Ni…”kata Kak Om sambil memberikan fail yang
dibawa Salmah.
Seperti Penolong Kanannya tadi, Ustaz Fairose juga membuka
lalu membelek seketika isi fail tersebut.
“Jom masuk pejabat saya…”kata Pengetua itu kemudiannya
kepada Salmah. Dia masih membelek isi fail ketika melangkah ke pintu biliknya
yang terletak di sebelah meja Kak Om.
“Ustat Pirud… letak dalam kelas saya la nooo…”kata Amy,
tersengih tapi mengharap.
Memang kebanyakan pelajar AlFalah agak unik. Atau Sekolah
AlFalah sendiri memang agak unik. Hubungan guru dengan pelajarnya ketika itu
cukup rapat. Amy telah lama mengalaminya. Petang-petang selalu juga dia ikut
bermain bolasepak bersama Ustaz Fairose dan seorang dua guru lagi di padang
kecil depan asrama puteri. Bukan aneh pelajar lelaki dapat membentes Pengetua
itu atau Cikgu Non atau Cikgu Rahim dengan kasarnya. Lagilah tidak aneh apabila
mereka mendapat balasan bentesan yang sekali ganda lebih kasar dari guru-guru
itu…Tapi semuanya dalam suasana mesra dan ceria…
Ustaz Fairose menoleh seketika kepada Amy. “Dok buat apa lagi sini? Loceng dah bunyi
nuuu….”katanya kendur dengan wajah yang tidak tegang.
Amy tersengih lagi. Ustaz Fairose telah hilang di balik cermin
gelap biliknya. Salmah bangun dan kemudian hilang juga di balik cermin gelap
itu.
“Padan muka!…Pi!… Pi balik kelas nuu!”kata kak Om sambil
tersengih pula.
“Suruh Salmah masuk kelas saya Kak Om naa!…”kata Amy ketika melangkah
keluar. Dia menoleh sekali. Kak Om menjelir kepadanya…
Amy terlepas sesi makan di kantin. Tidak mengapa, dia tidak
lapar atau dahaga. Ada berita yang boleh dihebahkan kepada rakan sekelas. Dua
rakan awal tadi boleh menjadi saksi mata…
Kita
akan dapat kawan baru. Perempuan. Dari Sungai Limau. Salmah, namanya.
Sekejap sahaja berita itu merebak dalam bersosek-sosek
sambil menunggu guru masuk.
Ketika hissah pertama selepas rehat tamat, serentak dengan
keluarnya guru, Amy nampak Salmah sedang menghala ke motornya. Amy menerpa ke
pintu kelas. Rakan-rakan lain tertinjau-tinjau di celah-celah cermin tingkap.
“Salmah, bila mula mai?” ramah soalan kelua dari mulut Amy.
Salmah tersenyum. “Esok…”katanya dalam senyum itu. Dia
mengenakan topi keledar setelah meletakkan fail ke dalam raga motor.
“Masuk kelas ni ka?”soal Amy lagi. Hatinya berbunga.
“Ya…”balas Salmah perlahan, sambil menghidupkan enjin motor.
Amy menoleh ke arah rakan sekelasnya dengan kepala
terangguk-angguk. “Aku dok habaq dah…..” Dia
separuh membisik…
Sebelum memasukkan gear pertama, Salmah melambai perlahan ke
arah Amy. Hanya Tuhan yang tahu betapa penuhnya hati Amy dengan bunga sakura…
“Bawa motor elok-elok…”kata Amy. Dia sengaja kuatkan
suaranya melawan bunyi enjin motor dan riuh suara rakan sekelas dan suara
pelajar kelas bersebelahan yang tidak tahu apa-apa…
Amy tersenyum dan melambai ketika motor Salmah mula
bergerak.
“Jumpa lagi esok!” jeritnya, ketika Salmah sudah pun sampai
di pintu pagar kawasan sekolah..
Amy berpatah balik ke tempat duduknya – paling belakang
dalam kelas yang pada waktu tertentu boleh ditukarkan menjadi dewan itu.
“Amboiii….Sakan hang nooo”kata seorang dua rakan sekelas
yang berlainan jenis dengannya.
Amy tidak pedulikan suara begitu. Cuma ada sengihan
dibentukkan pada juring bibirnya.
Amy melonjakkan sedikit kaki depan kerusi supaya terangkat.
Dengan dua kaki belakang kerusi yang menetap di lantai, Amy menyandarkan
kepalanya ke dinding. Dia berpeluk tubuh.
Dijelingnya tiga meja kosong di kirinya.
Sebelum guru seterusnya masuk, dia nampak seperti Salmah
sedang duduk di salah satu meja itu. Berpaling kepadanya. Dan tersenyum.
Amy berlari di atas padang yang dipenuhi kuntuman sakura!
*****
Besoknya, ketika berada di dalam kelas, menjeling meja yang
kosong, barulah Amy terkesan. Salmah tiada pun di situ.
Walaupun Salmah mengakui akan masuk ke kelasnya, Amy
menghendap kelas bersebelahan. Manalah tahu…
Tingkatan Lima yang satu lagi itu boleh dilihat secara
hendapan itu melalui sambungan pemidang papan lapis mudah alih – yang dapat
dipisah dan dicantum untuk samada blok itu dijadikan dewan atau kelas…
Tiada jua kelibat Salmah di situ. Pelajarnya sedang tekun
mendengar huraian pelajaran dari seorang guru lelaki.
Entah apa puncanya dia ikut berada di kantin, bersarapan
dengan dua tiga rakan sehingga loceng dibunyikan. Dalam melihat kerenah
rakan-rakan dan pelajar junior – terutamanya yang tinggal di asrama – berurusan
di kantin, dia terlupa untuk ke pejabat, menemui Kak Om, seperti lazimnya.
Mengambil buku kedatangan dan kapur tulis serta menyakat kerani itu serba
sedikit. Dan pagi tersebut tentulah dapat bertanyakan tentang Salmah…
Entah kenapa rutin itu tidak terjadi kali ini…
Mungkin Salmah tidak datang lagi hari ini. Mungkin esok…
Tidak mengapalah. Kalau ada masa terluang atau pada waktu
rehat nanti, Amy akan tanyakan kepada Kak Om.
Hissah keempat. Pelajaran Kesusasteraan Melayu. Telah hampir
sebulan tiada guru bagi matapelajaran berkenaan. Cikgu Abdurrahim Daud telah
melepaskan jawatannya di AlFalah. Mujurlah pelajaran Sejarah yang juga
matapelajaran kegemaran cikgu itu telah diambil alih sementara oleh Cikgu Non,
guru Matematik.
Amy mahu bangun untuk ke pejabat, bertanyakan tentang
ketiadaan Salmah di dalam kelasnya. Tetapi seorang rakan di depannya meminta
nota Sains yang tidak sempat disalinnya pada sesi hari sebelumnya. Mengingat
guru Sains yang kuat berleter itu, tidak pula sampai hatinya membiarkan rakan
tadi menjadi sasaran. Tambahan pula leteran itu sudah pasti akan dihadapi
secara berjemaah oleh seluruh kelas…
Amy duduk semula. Mencari nota Sainsnya di antara sesusun buku
nota terletak di dalam beg yang disangkut pada belakang kerusi.
Tiba-tiba kelas yang sedikit riuh, terdiam sepenuhnya. Amy
menoleh ke depan.
“Bangun!” Sederap pelajar bangun.
Serentak pelajar mengekori ketua tingkatan memberi salam.
Salam pun dijawab.
“Saya guru Kesusasteraan Melayu, juga akan mengajar
Sejarah.”
Macam adegan di dalam filem sahaja sesi perkenalan singkat
itu. Guru baru menulis namanya di papan hijau. Besar-besar.
SALMAH BINTI AHMAD
“Minta semua perkenalkan diri…”kata Cikgu Salmah. “Kita
mulakan dari belakang…”
Semua mata memandang ke belakang, kanan. Ada dua orang pada
meja berkembar itu.
“Paling kanan…”kata Cikgu Salmah, “Sila..”
Amy mendengar permintaan atau suruhan itu. Dia tidak bangun
sehinggalah hampir separuh kelas memanggil namanya. Seperti mengejutkannya,
menyuruhnya bangun dan bersuara.
Amy bangun dalam longlai.
“Saya…” Dia membuka mulut.
“Suhaimi, bukan?”tanya Cikgu Salmah. Amy mengangguk. “Bin?”
sambung Cikgu Salmah.
Amy serius bercerita |
Selepas itu Amy kembali duduk. Dia benar-benar tidak
bermaya.
Bunga sakura sepadang layu serta merta, berserakan disepak
dan diinjak rakan-rakan sekelasnya…
Ah…Amy…Kejadian biasa di mana-mana sahaja. Di AlFalah
tentulah tidak terkecuali…
Amy |
*****
Cikgu Salmah Ahmad adalah seorang guru sementara di AlFalah.
Saya tidak ingat tempoh mengajarnya di sekolah itu. Suhaimi amat rapat dengan
guru itu kemudiannya. Suhaimi masih mengingati bagaimana hari terakhir Cikgu
Salmah di AlFalah, dia mendapat hadiah beberapa buah buku dari guru itu…
Kini, Cikgu Salmah dan suami serta anak-anaknya , tinggal di
Pulau Pinang. Salah seorang kakaknya tinggal di Kampung Permatang Ibus. Dahulu,
abang iparnya yang seusia sayalah yang membawanya mencari pengalaman sedikit di
AlFalah…
1 comment:
ambikkkkkk
Post a Comment