Anda pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang sahabat yang selalu dikenang ….
Daripada penyenaraianpendek peribadi, saya
terkenang seorang sahabat, untuk dicatat…
********
Sekolah Menengah Simpang Empat.
1974.
Ada enam kelas semuanya untuk Tingkatan Satu pada tahun itu.
A B C D E F. Tiada perbezaan pada tahun pertama itu. Secara rambang dimasukkan,
mengikut siapa yang datang mendaftar dahulu. Tahun berikutnya barulah ada
perubahan – pertukaran kelas mengikut pencapaian pada peperiksaan penggal
ketiga, hujung tahun kelak. Itu kata guru kelas kami, Cikgu
Mohd Hatta.
Tapi kami nampak perbezaan yang cukup ketara. Tingkatan
1A-1D ada pelajarnya bercampur - lelaki dan perempuan. Kelas kami, Tingkatan
1E, serta Tingkatan 1F, semuanya pelajar lelaki!
Satu hal lagi, empat kelas bercampur itu ada pelajaran Seni
Perusahaan, manakala kami ada kelas Sains Pertanian. Ertinya, cemerlang
bagaimana pun pada hujung tahun, kami tidak akan berada di dalam Tingkatan 2A
atau 2B. Tidak akan dapat belajar di dalam kelas bercampur…
Demikianlah.
********
Saya mengenalinya sebaik memasuki tingkatan satu di sekolah
menengah yang terletak di Jalan Kangkong itu.
Saya memilih duduk di tepi tingkap. Boleh nampak kenderaan
lalu di jalanraya, alasan utamanya. Dia duduk di sebelah saya. Dia dari Sekolah Kebangsaan
Lahar Budi, manakala saya dari Sekolah Kebangsaan Kangkong. Sengaja saya tidak
mahu bersama rakan dari sekolah rendah yang sama, kerana pesan emak [pada malam
sebelumnya tatkala membelek pakaian sekolah serba baru], kalau mahu ramai
kenalan kena duduk dengan budak dari sekolah rendah yang berbeza.
Dia sentiasa tersenyum sepanjang hari pertama itu. Tidaklah
kami berapa mesra berbual, sekadar bertukar info tentang kampung asal, prestasi
semasa di sekolah rendah. Paling awal tentulah bertanya nama masing-masing.
“Hamdan…” Katanya sepatah, dua suku kata. Saya pun
menyebut nama saya sepatah, Dalam empat suku kata. Tidak kami bertanya nama
ayah masing-masing. Hanya saling membelek nama penuh yang kemudiannya ditulis
pada buku nota yang baru dibeli. Hari pertama di sekolah baru itu kemudiannya
dihabiskan dengan mendengar taklimat dan celoteh guru kelas. Ada sekali,
sebelum pulang, setiap kami diminta bangun menyebut nama penuh masing-masing
dengan kuat…
Esoknya, barulah kami mula ramah. Tidak lagi kami berpaling selepas itu. Makin hari
bertambah rapat sehinggalah hampir lima tahun kami bersahabat.
Rahsianya, rahsia saya. Pengetahuannya, pengetahuan saya. Bekalnya,
bekal saya. Minumannya, minuman saya. [Dia adalah orang pertama yang
memperkenalkan saya dengan air soya dalam botol – keluaran Yeo Hiap Seng. Tidak sedap di lidah
saya, namun demi persahabatan, tekak saya dipaksa menelan].
Keputusan peperiksaan kami sepanjang tiga tahun pertama di
SMSE itu saling bertukar kedudukan pada tiga teratas. Dia mahir Matematik dan Geografi,
saya mendahuluinya dalam Bahasa Melayu dan Sains Paduan.
Namun biarlah saya catatkan sisi lain berkait persahabatan
kami. Bukan tentang pelajaran.
Ketika itu, 1974, siri tv Combat! sedang popular di Rangkaian 2 TV Malaysia.
Setiap minggu, Isnin malam Selasa, kami menontonnya di kampung masing-masing. Saya menonton di
rumah jiran, Pakcik Yusof, atau nama asalnya Hassan, ayah kepada budak Falah, Salmiah - juga bapa saudara kepada dua beradik BF, Abdul Mutalib dan Zaitun
Natakhin Saad.
Di sekolah kami akan bercerita dan mengulas episod malam
sebelumnya secara bebas dan santai. Tentang betapa seronoknya melihat tentera
Amerika memenangi pertempuran dengan tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua
itu. Tentang masalah dalaman dalam kem Amerika. Tentang setiakawan sesama
tentera Amerika. Pendek kata, kami kagum dan teruja sungguh dengan tentera
Amerika.
Rick Jason |
Vic Morrow |
Pelakonnya pula sentiasa di mulut kami. Terutama teraju
utamanya, yang disebut jelas dalam montaj tv – Vic Morrow dan Rick Jason. Morrow melakonkan watak Sarjan Saunders
manakala Jason membawa watak Leftenan Hanley. [Morrow meninggal dunia beberapa
tahun kemudian (1982) akibat kecelakaan – kepala terkena kipas helikopter
semasa turun darinya - sewaktu berlakon dalam
siri The Twilight
Zone. Jason pula meninggal pada tahun 2000].
Satu hari, pagi selepas malamnya ada tayangan siri Combat!,
Hamdan, sahabat saya itu cukup teruja menanti saya di pintu kelas. Dia
bertanyakan samada perasan pada babak ada sekilas surat yang ditandatangani
Leftenan Hanley. Saya hanya mengangguk. Sebenarnya saya tidak pun meneliti scene itu.
Hamdan segera menarik buku dari beg sandangnya. Dia
menunjukkan tandatangannya. Hamdan. Tapi huruf H dan a sahaja yang jelas, manakala huruf m hanya
ada separuh. Macam n. diikuti sambungannya dengan kerekot yang
panjang.
“Awat?” tanya saya.
“Laaa… hang tak nampak ni….”katanya sambil jari telunjuk
kanannya ditujah tiga empat kali ke atas buku terbuka di tangan kirinya.
Tepatnya ke atas tertera tandatangannya itu.
“Betui-betui macam Hanley sign!” katanya, sambil memindahkan pandangannya ke wajah saya.
Menunggu reaksi.
Oleh kerana saya tidak meneliti babak yang disebutnya,
tidaklah dapat saya mengesahkan keirasan tandatangan berkenaan. Saya hanya tersenyum
memandang ke wajahnya, sambil mengangguk-angguk.
Hamdan mengheret saya ke meja kami.
“Aku nak tukaq sign
aku…..”katanya ketika mencapai pen mata bulat BiC yang terselit di poket atas baju
saya.
Saya tetap tersenyum. Kasihan sahabat saya ini, fikir saya,
kerana siri itu pun mahu ditukar tandangan yang digunapakai sejak dalam darjah
enam dahulu. Apalah salahnya jika dikekalkan. Rick Jason bukannya tahu dan
siapa pun tidak akan mengatakan Hamdan meniru dari siri propaganda Amerika yang
bersiaran di negara asalnya selama 5 musim di antara tahun 1962-65 itu…
“Hang tengok!” kata Hamdan setelah mengembalikan pena mata
bulat tadi ke poket saya. Dia mengibarkan buku tadi ke muka saya.
Segera saya capai untuk melihat tandatangan baru sahabat
itu. Saya memandang ke wajahnya sebaik melihat sekilas tandatangan tersebut.
Tiada perubahan pun. Cuma ada tambahan L dan t bernokhtah
pada awal tandatangan asal berkenaan.
Hamdan terus tersengih.
“Hang tengok!”ulangnya.
“Apa?”
“Lt. tu?”tukasnya.
“Awat?”
Hamdan membetulkan kolar bajunya, kemudian menaikkan sedikit
dada sambil dua sikunya. Dua ibu jari
diarahkan ke dada.
“Lieutenant Hanley…..Leftenan Hanley….”katanya.
Sehingga beberapa minggu kemudian dia menyuruh saya
memanggilnya Hanley, walaupun dalam tiga senarai cita-citanya yang ditanya
Cikgu Hatta, tidak ada pun kerjaya tentera….
Selepas beberapa minggu itu, Hamdan teruja sekali lagi.
Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Hamdan Sheikh Tahir [ kemudiannya Tan Sri diikuti
Tun – menjadi Naib Canselor USM dan kemudian lagi dilantik sebagai Yang
Dipertua Negeri Pulau Pinang] melancarkan sebuah buku tulisannya.
Hamdan teruja. Ada orang senamanya yang berjawatan tinggi di
Malaysia ini! Hamdan Sheikh Tahir.
Mulai dari hari itu pula, dia menamakan dirinya Hamdan Sheikh
Tahir… Nama penuhnya bukan begitu. Ayahnya bukan bernama Tahir….
Tapi dia tetap mahu dipanggil Hamdan Sheikh Tahir. Sekali
lagi saya akur dengan mudah. Malah saya memaklumkan nama baru sahabat itu
kepada rakan sekelas yang lain…
[Apabila di Tingkatan
Tiga, 1976, dan mengetahui Tan Sri Hamdan dilantik sebagai Naib Canselor USM,
Hamdan sahabat saya lagilah teruja].
Oleh kerana terbiasa dengan panggilan Hamdan Sheikh Tahir,
walaupun tanpa kehadirannya, akhirnya melekatlah panggilan Sheikh untuk Hamdan,
hingga ke hari ini! Apabila disebut Sheikh, maka fahamlah kami, bekas rakan
sekelasnya malah sesekolah, bahawa Hamdan sahabat sayalah yang dimaksudkan
itu….
Sayangnya, tidak pernah dilihatnya tandatangan tokoh
akademik itu, maka dikekalkanlah sign Lt.
Hanley. Kalau tidak…
Pada awal tahun 1977, hanya dua hari di Tingkatan Empat
SMSE, kami, sekitar 20 orang, ditawarkan ke SM Dato’ Syed Omar, Jalan Sultanah, Alor
Setar. Ketika itu – dan beberapa tahun sebelumnya - hanya sekolah berkenaan berpengantar
Bahasa Melayu yang ada aliran Sains, di sekitar ibu negeri. SM Sultanah Bahiyah berdekatannya, baru memulakan
aliran berkenaan pada tahun 1977 itulah . [Sekolah berpengantar Bahasa Inggeris
adalah Kolej
Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Menengah Sultanah Asma]. Pelajar dari
Langkawi, malah dari Yayasan Sabah dan Yayasan Sarawak juga di hantar ke situ.
Kami tiada pilihan kerana dulunya berada di kelas Sains Pertanian. Pelajar dari
kelas Seni Perusahaan boleh memilih sekolah tersebut, selain berpeluang juga ke
Sekolah Menengah Teknik, di Batu Dua, Jalan AS-Sungai Petani.
Di SMDSO, saya masih ditakdirkan sekelas dengan Hamdan a.k.a
Sheikh. Seperti di SMSE dahulu, kami memang tidak ditakdirkan bersama pelajar
perempuan!
Tahun sebelum kami, 1976, memang ada pelajar perempuan
semasa di tingkatan empat. Tetapi untuk tahun 1977, seperti saya catatkan di
atas, SMSB sudah mula mengambil pelajar aliran Sains. Semua pelajar perempuan,
termasuk dari SMSE, dihantar ke situ….
Macam pihak jabatan atau kementerian sengaja mempelajartirikan kami. Betapa tidak.
Tahun kami di Tingkatan Lima, 1978, ada pula pelajar perempuan di Tingkatan
Empat SMDSO. Kelas di SMSB penuh, demikian kata guru kelas kami, Cikgu Yan Shaari, ketika diajukan ketidakpuasan hati
kami…
Lantaklah!
Ada empat kelas semuanya untuk Tingkatan Empat tahun itu.
Saya dan Hamdan diletakkan di dalam kelas 4Sains3, bersama
sekumpulan pelajar dari Langkawi, Pendang dan Kuala Nerang dan dua orang
pelajar tajaan Yayasan Sarawak. Tingkatan 4Sains3 ini berbeza dari kelas lain
hanya pada pelajaran Matematik. Kelas kami belajar Matematik Moden [Pilihan C].
Tiga kelas lagi, 4Sains1, 4Sains2 dan 4Sains4, belajar Matematik Biasa [Pilihan
B]. Pelajaran lain sama sahaja. BM, BI, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik,
Kajihayat, Geografi dan Pengetahuan Agama Islam.
Mengingat sekali lagi kelas lain dan tunggal, saya pernah mengatakan kepada Sheikh : Kalau ada
budak perempuan tahun ni, kita nampaknya PUN tak dicampur dengan mereka… Sheikh
tersengih.
Pada era berkenaan, masih ada lagi ragging [acara suaikenal] pelajar
baru. Saya dan Hamdan serta beberapa rakan dari SMSE bernasib baik kerana ragging itu hanya pada peringkat
sekolah. Bayangkan rakan-rakan yang tinggal di asrama yang terpaksa menghadapi
ragging pula di asrama….[Saya hanya tinggal di asrama pada tahun 1978, setelah
kerap ditangkap kerana selalu lewat sampai, dengan bas terakhir… Tahun
tersebut, ragging seperti diharamkan
terus. Cuma ada yang dibuat secara diam-diam oleh penghuni yang teruk dikenakan
pada tahun sebelumnya. Tapi tidaklah teruk sangat acara terlarang itu. Saya dan
teman senasib cuma diminta menjadikan batang penyapu sebagai senapang dan
disuruh merangkak di bawah katil dalam setiap dorm seluruh tingkat….Ingat,
pengaruh Combat!
masih ada pada waktu itu….]
Kami berulang-alik ke sekolah, dengan menaiki bas United Transpot Company
[UTC] hingga ke stesen Jalan Langgar, sebelum menaiki bas The Jalan Langgar
Bus Company dari situ ke Jalan Sultanah, di mana terletaknya SMDSO
dan SMSB.
Dalam berulang alik itulah, satu hari saya terkejut, apabila
Sheikh memberitahu hatinya telah dicuri!
Saya terperanjat. Tapi tidaklah saya hebohkan kerana
bersekali dengan pemberitahuan itu, ada permintaan agar dirahsiakan dari rakan
sekelas…
Di stesen bas Jalan Langgar, dia tunjukkan gadis pencuri
hati itu. Seorang pelajar Tingkatan Empat SMSB. Berambut keriting, orang Titi
Keling – Batu Empat, Jalan Alor Setar – Sungai Petani. Waktu itu, dalam dua
puluh orang pelajar perempuan, pun payah lagi untuk berjumpa seorang yang
bertudung…
Tiga hari berturut-turut kami menaiki bas bersamanya, duduk
di belakangnya. Hinggalah hari keempat, awal lagi Sheikh meminta saya menulis surat perkenalan kepada
hamba Allah itu.
“Jangan letak tarikh. Tak tau nak bagi bila….”pesannya.
Saya pun memenuhi permintaannya. Isi surat itu memang dengan
niat untuk berkenalan. Tanpa kata-kata bombastik, dan tanpa juga kalimah
penutup ‘pecah kaca pecah gelas’…
Satu masalah sedia timbul.
Bas UTC ke Tokai, destinasi akhir Sheikh , bernombor 8. Ada
bas bernombor 6
[ke Pendang], nombor 2 [Sungai Petani], nombor 3 [Gurun] dan nombor 1 [Simpang
Empat].
Saya yang akan turun di Simpang Empat boleh memilih
mana-mana bas. Demikian pula dengan pencuri hati Sheikh , kerana tempat
turunnya hanya di Titi Keling-Batu 4, manakala Sheikh hanya ada satu pilihan – bas nombor 8. Maka
terngangalah Sheikh jika ketika turun
dari bas Jalan Langgar, telah menunggu di stesen bas yang lain dari nombor 8.
Kalau ada bas nombor 8 pun, ada kalanya, bas bernombor lain juga sedang
menunggu. Pilihan saya dan pencuri hati Sheikh cukup banyak. Kebarangkalian pencuri hati Sheikh
untuk menaiki bas bernombor 8 adalah 1 daripada 5. Maka berdoalah Sheikh setiap hari agar dapat pencuri hati itu
menjadi bus-matenya….
Akan surat itu, hingga hujung penggal 1977 tidak diberikan.
Disimpan kemas di dalam buku Matematik Tambahan – pelajaran kegemarannya.
Kepada saya, selalu Sheikh bisikkan, dia tidak yakin untuk menghadapi
kenyataan, andainya surat itu tidak berbalas… Baginya, biarlah pencuri hati itu
kekal dengan hanya dia dan saya sebagai insan yang tahu. Akan tiba nanti, di
hujung pengajian, keberanian untuk bersemuka dan menzahirkan hasrat…
Saya yang naïf hanya mengangguk. Saya tidak tahu apa-apa. Saya
lagilah tidak yakin. Bukan hingga untuk menulis surat, berilusi untuk berkenan
pun tidak. Seperti telah digetu perasaan
saya untuk terpikat kepada insan berbeza jenis pada ketika itu. Pada ketika
itu…!
Cuti hujung tahun itu, kami tidak bertemu. Saya memang tidak
pernah ke rumahnya. Dia juga tidak pernah ke rumah saya. Demikianlah hubungan
kami. Hanya berjumpa dan berborak sepanjang tempoh persekolahan. Namun
kemesraan tidak pernah pudar oleh cuti pendek atau panjang.
Awal tahun 1978, saya mula tinggal di asrama. Masa dengan Sheikh
menjadi sedikit pendek. Cuma waktu
pembelajaran di kelas atau ketika bertemu pada setiap Sabtu di bandar. [Kalau
minggu tidak balik ke kampung, kami di asrama, dibenarkan keluar ke bandar,
sehingga jam 6 petang. Sheikh – dan kebanyakan pelajar yang berulang dari rumah
– akan menggunakan pas bulanan bas, untuk keluar ke bandar].
Kami boleh dikatakan masih belajar bersama seperti dahulu. Selalu diberikan kerja rumah matematik untuk saya
selesaikan di asrama. Saya tetap – seperti sejak di Tingkatan Satu – memberikan
sinopsis cerpen atau novel yang saya baca. Sheikh minat dengan sastera tetapi
‘malas’ berlama membelek cerpen di akhbar/majalah, apalagi membelek novel. Maka
setiap cerita yang saya baca akan saya berikan sinopsisnya secara lisan. Sheikh
pendengar yang baik, begitu menumpukan perhatian pada apa yang saya tuturkan…
Tidak hairanlah isi novel-novel seperti Juara [karya S Othman Kelantan],
Sejuk-sejuk Tokyo [Wijaya Mala/Abu Yazid Abidin], Desa Pingitan [Ibrahim Omar] Interlok
[Abdullah Hussain], Badan Bertuah [Ismail Alfalah], secara lisan juga, dapat
dipindahkannya kepada orang lain dengan tepat,
persis yang saya sampaikan …
Dan ceritanya masihlah cerita saya. Setiap perkembangan yang
dilihat pada pencuri hatinya diberitahu kepada saya. Sehinggakan bas nombor
berapa yang pencuri hati itu naik pada hari sebelumnya, awal pagi lagi telah
dimaklumkan kepada saya! Malah dapat dirasakan betapa makin hampir waktu untuk
surat yang saya tulis tidak bertarikh dahulu, diberikan kepada pencuri hati itu…
Namun, selepas cuti penggal pertama, Sheikh ditimpa sakit. Saya tidak tahu apa
sakitnya. Dia mula jarang dapat ke sekolah. Saya hanya mendapat maklumat jika
sesekali dia datang.
Akar keceriaannya bagai dicabut. Tidak lagi bercerita banyak
tentang doa agar pencuri hati menaiki bas nombor 8. Malah tidak disinggung hal
itu, kecualilah jika saya bertanya separuh menggiatnya. Sheikh lebih bercakap
tentang sakit dan rawatan, selain tentang pelajaran.
Satu hari, dia memberikan buku latihan Matematik Tambahan
serta buku Log kepada saya. Memang saya selalu merujuk pelajaran itu kepadanya.
Dia salah seorang murid kesayangan Cikgu Chee Kok Hong,
guru Matematik Tambahan kami dan Cikgu Yan Shaari,
guru Matematik Moden merangkap guru kelas kami.
“Hang guna….kut-kut aku tak boleh mai minggu depan…”katanya,
dengan nafas seperti tersekat-sekat.
Saya membelek tanpa berasa apa-apa. Memang ungkapan tak boleh mai minggu
depan sering diucapkan pada setiap hari Khamis, sebelum waktu
pulang. Cuma apabila membuka bahagian belakang buku latihan yang tebal,
berbalut kertas minyak perang itu, saya ternampak sampul surat yang saya tulis
dahulu… Masih kukuh digam sampulnya. Hanya tertulis Kepada: pada bahagian depan sampul
itu.Tulisan tangan Sheikh sendiri…
Benar, minggu berikutnya Sheikh tidak datang. Dia sakit. Demikian Cikgu Yan
diberitahu oleh abang Sheikh , yang kebetulan belajar di situ di Tingkatan Enam
Atas. Saya tidak rapat, malah tidak pernah berbual dengan abang Sheikh itu. Cuma kenal ketika berjumpa sesekali
semasa di SMSE dahulu. Dia di Tingkatan Lima manakala kami di Tingkatan Tiga.
Minggu seterusnya juga demikian…
Saya tidak lagi bertemu Sheikh .
Keadaannya, saya dan rakan sekelas mendapat maklumat dari
rakan sekampungnya, yang sama belajar di SMDSO – Abd
Rashid Abdullah, Abd Rashid Hamid dan Shahbanar Shaari.
Yang amat dikesalkan hingga kini, barangkali keadaan semasa,
tidak sekali pun saya menjengahnya di kampungnya. Memang jauh rasanya jarak di
antara kampung kami, dengan jalan masuk bertanah bendang hitam yang
kelebarannya hanya muat untuk sebuah
basikal…Jangankan ke kampungnya yang jauh dari jalan utama itu, ke pekan Tokai
pun saya [serta kawan-kawan dari sekitar kampung saya] tidak pernah sampai
dengan basikal….
Bulan Julai 1978.
Seluruh negara meriah. Pilihanraya Umum pertama dan terakhir
semasa pentadbiran Dato’ Hussein Onn, sebagai Perdana Menteri.
Sekolah beroperasi seperti biasa. Pelajar calon SPM seperti
kami diberi perhatian sebagai harapan sekolah. Masing-masing sibuk dengan
pelajaran, terutama yang tinggal di asrama. Siang dan malam berada di sekolah.
6 Julai. Khamis. Kami yang tinggal di asrama diminta pulang
ke kampung semuanya. Sabtu, 8 Julai, adalah hari mengundi. Kempen semakin
rancak.
Sudah lama tidak begitu. Maklumlah, PRU 1974, kurang
meriahnya kerana banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding – BN disertai sama
PAS. Tahun 1978, PAS berada di luar BN. Tentulah sengit pertarungan antara dua
pihak.
Undilah tuan dan puan
Bulan Julai 8 haribulan
Pilihanraya di Malaysia
Undilah undilah bersama-sama
Suara Zainal Alam melagukan
rentak boria dari lagu mengundi lama yang diberi lirik baru kedengaran setiap
hari. {Zainal Alam adalah seorang tokoh penyiaran dan seorang penyanyi. Antara
lagu yang pernah dirakamkan ialah Durian, Rose Rose I Love You dan Rumput Di Padang. Beliau
diingati juga sebagai pengacara pertarungan bersejarah Muhammad
Ali – Joe Bugner merebut gelaran juara
tinju dunia heavyweight di Kuala Lumpur pada tahun 1975}
Saya yang memang belum layak mengundi, sempatlah bersama
rakan sebaya meronda hingga ke Simpang Empat pada dua malam terakhir berkempen
itu. Semua markas yang kami temui kami masuki tanpa mengira parti. Kami makan
dan minum.
Hari Sabtu itu, saya hanya duduk-duduk di rumah sambil
melihat orang dewasa bersiap keluar mengundi….
Awal malam keputusan mula diketahui. Saya tidak peduli
sangat. Yang mahu didengar bukan tentang pilihanraya umum, tetapi pengumuman
‘cuti umum’ pada hari Ahad…
Ahad cuti. Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar. Mingguan Malaysia
dan Utusan Zaman
serta Berita
Minggu. Memang tidak ada keputusan pilihanraya. Cuma berita dan foto
sekitar hari mengundi. Tapi, seperti setiap Ahad, saya hanya mahu membaca
cerpen di ketiga-tiga akhbar itu.
Isnin saya ambil cuti sendiri. Saya mengayuh ke Simpang
Empat. Membeli akhbar. Ada keputusan penuh pilihanraya umum.
Selasa, malas pula mahu ke sekolah. Saya mengayuh ke Simpang
Empat. Membeli akhbar.
Rabu…. Ah, tidak padan hanya dua hari belajar…. Saya
mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar.
Khamis, saya ambil lagi cuti sendiri… Saya mengayuh ke
Simpang Empat. Membeli akhbar. Dan meninjau peniaga di pekan sehari – Pekan
Khamis.
Jumaat.
Tengah harinya, saya ke Masjid Alor Pulai. Tidak pernah saya
disambut orang setiap kali ke situ. Tetapi hari itu berbeza. Belumpun sempat
menghabiskan doa sesudah wuduk, tangan saya ditarik seseorang.
Zainuddin Yahya. Kawan sekelas saya dari
darjah satu hingga tingkatan tiga.. Dia tinggal di Sungai Nonang. Oleh kerana
ketika itu, yang terkenal di radio dan tv adalah pelakon Zainuddin Zimbo [Presiden SENIMAN yang pertama], semua
kami memanggilnya dengan nama Zimbo…
“Hang pi mana, tak pi sekolah ka?”tanyanya.
Hairan. Dia yang berada di Tingkatan Lima SMSE boleh
bertanya begitu kepada saya. Mana dia tahu tentang cuti saya?
“Depa tanya hang…..cari hang merata …..”katanya. Wajahnya
serius.
“Awat?”tanya saya. Ada kejutan sedikit melihat wajahnya itu.
Macam mustahak sahaja gayanya.
“Hang tak tau lagi….Sheikh dah tak dak!…”kata Zimbo. Badannya lebih besar
dari badan saya. Selepas kalimah akhir itu dia memeluk saya sambil menangis.
Saya ikut menangis. Tiada ucapan Innalillah..
“Bila?”soal saya dalam kami berpelukan itu. Pandangan orang
keliling berdekatan kolah masjid tidak kami pedulikan.
“Senayan hari
tu….”balas Zimbo, diikuti pertanyaan yang tidak akan saya jawab, “hang pi
mana?”
Saya meraung.
Sheikh!
Senayan. Isnin. 10 Julai.
Saya di rumah. Membelek dua akhbar – bertulisan jawi dan
rumi – yang saya beli di Simpang Empat.
“Semua kawan kita ada….kelas hang boleh kata pi semua…”kata
Zainuddin yang sudah reda sendunya. Dia pula seperti menggosok belakang saya
yang masih terhinggut-hinggut menangis…. “…kawan yang di sekolah Simpang Empat
pun pi….”
Sheikh!
Saya mendengar khutbah malah bersolat Jumaat dengan pipi
yang lembab. Sesekali sedan muncul. Ingatan terhadap Sheikh amat membekas.
Ketika doa dibacakan imam, saya berdoa sendiri. Lebih
panjang dari doa imam. Ketika semua jemaah meraup tangan mengakhiri mengaminkan
doa, tangan saya masih terngadah…
Sheikh !
Aku sahabatmu yang paling rapat tetapi aku yang paling akhir
tahu tentang pemergianmu….
Sahabat apakah dan bagaimanakah aku ini?
Sepanjang mengayuh pulang, saya terus menangis di dalam hati
dengan pipi terus lembab…. Sampai di rumah, saya hanya mampu memeluk emak
sambil teresak. Emak kehairanan. Hanya setelah puas dipujuknya barulah saya
ceritakan duduk perkara…
Di asrama pada petang Sabtunya, saya dihukum kerana ponteng
asrama empat hari. Saya menerima denda dan hukuman tanpa rasa malu dan
bersalah. Saya hadapi tanpa rasa apa-apa sebenarnya. Hati masih bersedih.
Kawan, sahabat paling akrab, teman berkongsi meja , berkongsi cerita, berkongsi
ilmu sepanjang lebih empat tahun, telah tiada…
Sepanjang petang, malam membawa ke esoknya, saya tidak
bercakap apa-apa dengan sesiapa! Rakan-rakan di asrama seperti mengerti,
bersimpati. Mereka tahu bagaimana hubungan saya dengan Sheikh. Saya cuba
bertenang. Cuba menahan airmata dari jatuh. Tapi saya lemah….Dilemahkan oleh
satu soalan dari beberapa rakan sekelas yang tidak tinggal di asrama, malah
guru kelas: ke mana, di mana pada hari Isnin itu? Saya tidak menjawab sepatah
pun. Kerana jawapannya terkumpul pada takungan air yang tertahan di dua penjuru
mata …
Lama juga masa yang saya – dan rakan sekelas – ambil untuk
melupakan kelibat Sheikh, sahabat yang mesra, sentiasa tersenyum yang sering
menjadi jurutunjuk jalan kira Matematik…
Setiap kali ada PRU saya terkenang Sheikh. Setiap tahun, 10
Julai tidak pernah saya lupa. Saya titipkan doa buat sahabat saya itu - sebelum
lama kemudian saya tambahkan pula titipan doa buat arwah isteri, arwah ayah dan
arwah emak…
Akan pencuri hatinya dahulu, tidak lagi saja jumpai setelah
tamat Tingkatan Lima. Surat untuknya yang saya tuliskan bagi pihak Sheikh masih
saya simpan beberapa tahun kemudian sebelum hilang entah di mana. Kali terakhir
saya melihat surat bersampul itu adalah pada tahun 1984, tahun saya mula
tinggal di asrama AlFalah yang baru diwujudkan. Surat itu mungkin terselit
antara buku-buku lama yang kemudiannya samada dibakar atau dimakan anai-anai…
Demikianlah.
Coretan kenang-kenangan terhadap seorang sahabat yang
bersama melatam denai awal remaja…
*********
Ustazah Rohana [kiri] dan Ustazah Rodziah |
Ustazah Rohana memang berasal dari Kg Lahar Budi. Telah
hampir sedekad dia mengajar di AlFalah.
Dua kali saya ke rumahnya kerana memenuhi kenduri di rumahnya. Ketika berada di
khemah kenduri itu, hati tergaru juga ingin tahu, di manakah lokasi rumah
Syeikh?
Saya jarang berbual lama dengan ustazah yang agak pendiam
itu. Hanya jika ada yang agak perlu sahaja, barulah kami berbual. Hairannya,
dalam perbualan yang sedikit itu pun, tidak pernah saya bertanya tentang
Sheikh, walaupun tahu mereka sekampung. Walaupun setiap 10 Julai saya
mengingati sahabat saya itu.
[Kawan-kawan sekelas dahulu pun saya ingatkan tarikh sedih
itu. Mereka kagum dengan ingatan saya tentang tarikh itu. Sebenarnya, saya cuma
ingat berdasarkan tarikh mengundi tahun itu, yang terdapat di dalam lagu Zainal
Alam. Dua hari selepas mengundi itulah Sheikh meninggal].
*********
Hujung millennium lalu, menjelang hujung-hujung penglibatan saya
sebagai guru di AlFalah, juga hujung perkhidmatan Ustazah Rohana di situ
sebelum bertukar ke Madrasah An Nahdzoh, Bukit Besar. Suatu hari, pada satu
waktu selepas rehat, dalam langkahan ke bilik guru lelaki, saya terpandang tong
sampah terbuka di kakilima, di bawah bangunan yang di atasnya menjadi asrama
lelaki.
Ada gumpalan kertas fotostat yang banyak. Putih bersih. Saya
ambil sekeping yang jatuh di luar tong sampah. Saya luruskan kertas itu. Sebuah
salinan kad pengenalan yang agak tebal dakwatnya.
Saya terpandang wajah di salinan kad pengenalan itu. Macam
pernah saya lihat. Saya belek bahagian namanya.
Budiman bin Abdul Hamid
Kg Lahar Budi
…………
Kenapa ada di situ?
Saya belek sekali lagi wajah pada kertas putih itu. Juga
namanya sekali lagi. Alamatnya…
Budiman bin Abdul Hamid
Benarlah.
Budiman itulah abang Sheikh, yang di Tingkatan Enam, semasa
saya dan Syeikh di Tingkatan Lima…
Saya bergegas ke bilik guru perempuan. Membawa bersama bekas
gumpalan kertas tadi.Ustazah Rohana sedang menulis di buku ringkasan. Tiada kelibat
dua lagi guru perempuan - Cikgu Siti Khadijah dan Ustazah Rodziah - di situ.
“Ni kertas fotostat sapa?”tanya
saya seraya mengangkat kertas tersebut di depan Ustazah Rohana.
Ustazah itu terkejut. Agaknya dengan cara soalan mengejut
pula yang diterimanya.
“Saya buang tadi….dakwat lebih sangat….”katanya lembut. Dia
yang berhenti menulis memerhati ke arah kertas yang saya pegang.
“Budiman ni dengan Ustazah jadi lagu mana?”tanya saya lagi.
Dada sedikit berdebar.
“Abang saya….”balas Ustazah Rohana.
“Jadi Ustazah ni adik arwah Hamdan la…?”debaran saya makin
kuat. Saya tidak perlukan jawapan lagi sebenarnya.
“Ya….Awat, Cikgu Din kenai ka?”
Subhanallah.
Sheikh! Sedekad adikmu bertugas bersamaku, hari ini baru aku
tahu!
Saya keluar tanpa menjawab soalan Ustazah Rohana secara
lisan. Saya hanya mengangguk…
Saya masuk ke bilik guru lelaki. Ustaz Mohammad dan Ustaz
Zahari sedang berbual di tepi meja yang di atasnya ada peti tv. Mereka menoleh
hampir serentak ke arah saya. Saya yang tidak tentu arah, berundur. Laju saya
ke bilik air di belakang surau. Tidak mempedulikan satu panggilan dari arah
kantin. Tidak pasti pula samada itu panggilan Bang Man, si tauke kantin atau
panggilan salah seorang rakan setugas…
Saya basuh muka dengan dua tiga raupan air. Saya berkumur
dua kali.
Subhanallah.
Sheikh!
Saya benar-benar teringatkannya.
Kecil betul dunia ini.
Sedapatnya saya tidak mahu menggunakan frasa yang agak klise
di atas. Tetapi frasa yang entah siapa dan bila mula gunakan itu memang ada
kebenarannya. Tidak pernah saya terfikir boleh bertemu dengan darah daging
sahabat yang tidak pernah hilang terus dari ingatan itu.
Kecil betul dunia ini.
Apatah lagi saiz dan jarak di antara AlFalah dengan Kg Lahar Budi…
Kenapalah selama ini tidak pernah saya tanyakan Ustazah
Rohana samada mengenali atau tidak Sheikh dari Kg Lahar Budi itu. Sepatutnya,
hari atau minggu pertama ustazah berkenaan melaporkan diri di AlFalah dahulu,
sudah saya tanyakan soalan tersebut…
Saya tidak tahu mahu menangis atau apa. Tetapi dada mula
bergelombang…
Saya tahu, dua tiga hari pulalah diperlukan untuk
menstabilkan perasaan…
Sheikh!
Leftenan Hanley…
Hamdan bin Abdul Hamid.
Sahabat dan teman saya!
1 comment:
Sahabat dunia akhirat
Post a Comment