![]() |
Husin Lateh |
Husin muncul hampir 40 minit kemudian. Kami berbual terus, dari satu hal ke hal yang lain. Berbaur semua. Nostalgia di Falah, kehidupan dan isu terkini serta bab mencandat sotong dan mengail tenggiri...
Saya meminta diri setelah masuk hari baru. Tinggallah Abby melayan Husin kemudiannya, entah sehingga jam berapa...
Pagi besoknya, agak lewat saya melihat mesej personal yang Husin kirimkan melalui aplikasi WhatsApp.
Ada perkhabaran duka: Adiknya, Azren, hilang di laut ketika sedang bekerja di atas sebuah bot.....
Begitulah lebih kurang.
Saya terkedu. Tidak membalas apa-apa sepatah pun mesej Husin itu.
Azren. Azman.
![]() |
Azren [foto tahun 2012] |
Akhirnya, saya nampak wajah Azren. Dapat membezakan sedikit imej wajahnya tanpa tahi lalat di pipi.
![]() |
Azman Lateh |
Azman, anak kedua pasangan Lateh dan Che Olah mempunyai tahi lalat sebesar hujung jari kelingking pada pipi kirinya...
Mereka bertiga berselang masing masing dua tahun usia. Husin, 39 tahun. Azman, 37 tahun. Azren, 35 tahun.
Saya terduduk di depan komputer. Niat untuk menulis entri blog ini tentang satu majlis walimah terpaksa diurungkan.
Seperti selalu, apabila melibatkan BF, saya akan segera terpelanting ke masa silam... Sekurang-kurangnya saya terjumpa satu saat berharga yang pernah bersama kami alami...
Azrenlah yang berduet bersama Husin mengalunkan nasyid syahdu Di Pondok Kecil pada majlis muhadhoroh dua dekad dahulu. Memori saya tercalar sedikit, tidak pasti samada Azren atau Azman yang diajak Husin berduet itu, namun ada rakan mereka yang masih basah ingatan akan majlis itu menyatakan Azren yang muncul.
Namun suara baru baligh Husin serta mersik suara adiknya masih melekat di minda....
Paling jelas tatkala si adik mengalunkan bait:
wahai abangku
ke mana ayah
kusayang ayah
kucinta ayah
lalu disambut oleh suara belajar garau Husin:
duhai adikku sayang
jangan bersedih
ayahmu pergi menyambut seruan Ilahi
tapi ingatlah adikku
ayahmu pergi menyambut seruan Ilahi
tapi ingatlah adikku
pesanan ayah
berjuangan dan berkorban
berjuangan dan berkorban
walau di mana jua
Tanpa mengganggu Husin, lama kemudian, saya hubungi Abby Zack bagi mendapatkan info terkini tentang anak ketiga dalam keluarga En. Lateh itu. Abby pun tidak tahu perkembangan yang lebih lanjut dari yang saya tahu...
Petang sedikit saya menghantar mesej kepada Husin. Lama sedikit barulah mendapat jawapan dari ustaz muda itu. Tiada perkembangan terbaru dan dia berjanji akan memaklumkan sekiranya ada.
Selepas meninggalkan AlFalah, hampir tidak pernah saya berjumpa Azren - tidak seperti seringnya saya bertemu Husin. Kali terakhir rasanya, itu pun dalam sapaan dan sembang yang pendek, adalah tatkala Azren membantu Husin menyiapkan ruang pejabat yang disewa BF yang mengusahan penerbitan buku - Muzammil Soliheen Musa - di tingkat atas sebuah rumah kedai di Kompleks Perniagaan Nakhoda, Batas Paip. Namun sekali lagi saya keliru: Azrenkah atau Azman yang bersama Husin ketika itu....
Semoga Azren selamat, doa saya lagi.
Malamnya saya hubungi dua tiga BF terdekat dengan Husin. masih tiada perkembangan terbaru.
Hari kedua, saya hubungi Husin. sempat bercakap beberapa patah sebelum hubungan dibuat secara bertulis. Tiada perubahan. Dia baru balik dari Sungai Udang, Yan, tempat operasi mencari oleh pihak berwajib berpusat.
Hari ketiga pun demikian juga.
Saya hubungi Abby dan Wira. Masih sama jawapannya.
Hari keempat pun serupa. Tiada apa makluman.
Malamnya, saya yang tidak diberitahu apa-apa, dihubungi oleh Hesba Tgb, rakan sekelas Husin di AlFalah yang menetap di Tandop. Dia membuat dua makluman: Dia bersama beberapa orang lain bercadang mengunjungi rumah Husin [atau keluarganya] dan saya termasuk dalam senarai cadangan itu. Dimaklumkan juga cadangan itu terbatal keraba Husin yang dihubunginya mencadangkan pula agar , untuk malam itu, kami tidak ke rumahnya. Mungkin dia menguruskan hal-hal berkaitan dengan pihak yang berwajib...


Akhirnya, khabar duka - yang hampir dijangkakan - itu disahkan....
Khamis, malam Jumaat. 19 Mac.
Ada mayat dijumpai di perairan Pulau Pinang. Keluarga diminta ke hospital di Pulau Mutiara itu untuk proses pengecaman. Husin antara yang ke sana.
Khabar itu segera beredar di kalangan ramai rakan BF. Saya sendiri mendapat mesej dari Husin, diikuti oleh beberapa rakannya yang lain.
Saya pula menyebarkan khabar kepada beberapa orang.
Paling dekat adalah kepada Cikgu Non yang setakat pagi Jumaat itu belum mengetahui berita penemuan mayat Azren. Sambil menjamah juadah kenduri di rumah jiran kami sebelum solat Jumaat, saya memaklumkan hal itu.
Paling jauh adalah kepada Nangka Belangkas [bukan nama sebenar], rakan Azren dari Lorong Mayat, Kuala Kedah, yang kini menjadi warga negeri Selangor. Dia, hampir setiap hari menanyakan perkembangan menerusi aplikasi WhatsApp.
Jenazah bakal dibawa balik. Tidak pasti samada dibawa ke rumah terlebih dahulu atau sebaliknya.Yang pasti, solat jenazah akan dilakukan di Masjid Telok Kechai, jangkaannya pada waktu Asar.
Sekali lagi saya hubungi Abby. Dia memaklumkan akan berada di masjid berkenaan pada waktu Asar nanti. Seperti saya, dia juga tidak dapat menjangkakan waktu yang tepat jenazah akan sampai ke Telok Kechai.
Ketika menitipkan doa buat arwah Azren sebelum solat Jumaat tengah hari itu, sukar sekali menggambarkan perasaan ini. Bulan Mac ini, dua orang BF -kebetulannya kedua-duanya berusia 35 tahun - telah mendahului kita...
Awal bulan , Mohd Subki Hj Ali dari Kangkong.
Kini, tiga minggu kemudian, Azren Lateh pula, dari Batas Paip.
Bertambah satu lagi nama dalam senarai BF yang lebih awal dijemput pulang kepada Pencipta...
Kita?
Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
....bersambung...
1 comment:
Post a Comment