Dia berasal dari mukim Tebengau. Kampung yang tepat
tidak berapa pasti. Tidaklah mahu saya berteka-teka walaupun tekaan itu 80%
mungkin tepat….
Sejak meninggalkan AlFalah, saya hanya pernah
bertembungnya sekali dua. Bertembung – lebih kepada berselisih di jalanan.
Tidak sempat bersapaan. Tapi saya masih ingat namanya. Nama abangnya juga, yang
turut merupakan budak Falah….
Bulan September lepas, saya nampak kelibatnya dalam
sekian banyak tetamu yang silih berganti memenuhi khemah kenduri di rumah bapa
saudara saya di Kg Alor Penyengat, Alor Mengkudu.
Saya tidak sempat menyapanya. Sekadar berbalas senyum
ketika dia mula menyuap nasi ketika saya memerhatinya dari jarak 3 meter. Bapa
saudara saya ada besan di Kg Pergam, Tebengau. Dia mungkin sebahagian puak
laghak keluarga mertua sepupu saya…demikian agakan yang hinggap di minda ketika
itu.
Dalam riuh dan kalut suasana kenduri – apalagi dengan
ramahnya dj berseloka dan memutar qasidah – saya terlupa mengelik sekali ke
arahnya. Hujung malam, di rumah, dalam membelek foto-foto sekitar majlis siang
itu, yang saya klik dan yang sepupu-sepapat klik – termuat dalam grup WhatsApp
keluarga, barulah saya teringat akan BF itu…
Segera saya teringat akan wajahnya pada satu foto lama
yang – kalau tidak silap – dimuatnaikkan oleh Hj Ahmad Nazri Hj Hashim, di grup
FB BF. Saya cari di alam maya itu untuk
pengesahan kilatan yang munculdi minda. Ya. Ada.
Fauzi [tengah, sedang memegang kamera] |
Dia memegang kamera pada acara santai memakan bekalan
atau nasi bungkus dalam satu lawatan BF yang sememangnya tidak saya sertai…
Mohd Fauzi Othman.
Dia merupakan salah seorang budak Falah yang mula
menjejak ke sekolah agama rakyat itu pada hujung dekad 80-an. Abangnya, Abdul
Hafiz, yang saya kenang sebagai seorang yang agak pendiam di dalam kelas,
muncul di situ setahun dua lebih awal.
Abdul Hafiz Othman [tengah] |
Abdul Hafiz Othman– sebaya Ustaz Husin Lateh dan
Abby Zack, dua BF yang pernah saya sebut di dalam beberapa entri lain –
meninggal dunia ketika masih bergelar pelajar AlFalah. Saya tidak ingat samada
tahu atau tidak tentang keberangkatan allahyarham ketika itu. Semoga rohnya
dicucuri rahmat.
Sabtu lepas, 17 Januari, sekali lagi saya terserempak
dengan Fauzi. Kali ini, juga di rumah bapa saudara di Alor Penyengat, sempena
kernduri kesyukuran serta aqiqah. Kali ini pun, saya menjangkakan Fauzi datang
setelah diundang sebagai sebahagian puak laghak besan bapa saudara dari Kg
Pergam.
Saya silap.
Fauzi [depan berbaju cerah] |
Tengah hari itu, saya telah selesai menghadiri dua
kenduri lain. Pertama, di kejiranan saya, rumah tauke Bismi Cergas, peniaga
ayam terkenal sekitar bandar kecil Simpang Empat. Lima belas minit selepas
meninggalkan kanopi di depan rumah agam di jalan masuk ke kejiranan itu, saya
berada di Tebengau – rumah Cikgu Am [penggerak kutipan bantuan mangsa banjir di
Masjid Tebengau baru-baru ini]. Ada kambing panggang, sup kambing dan gulai
kibas. Ada lagi ais kacang, putu mayam, laksa dan apom balik. Namun tiga
terawal yang saya catat itulah yang menjadi pemangkin menyegerakan saya menjadi
kelompok tetamu terawal – selepas kumpulan marhaban dan berendoi…
Setengah jam kemudian barulah saya ke Alor Penyengat.
Kambing tiga ekor digulaikan dengan umbut pisang. Ada yang lain tapi yang saya
catat itulah yang menyebabkan saya mencedok nasi lagi…
Berbual-bual seketika dengan saudara-mara, pupu-poyang
- diselangi dengan acara meratah kepala kambing bersama sekumpulan sepupu,
ditutupi dengan secangkir kopi o pekat melekat serta dua tiga keping kek, mata
menjadi amat layu…
Saya mahu meminta diri. Saya tinggalkan rumah sepupu
yang menjadi pusat berkumpul kami, mahu kembali ke rumah bapa saudara, bagi
membuat pamitan. Saya kasihankan perut yang mungkin lebih sengsara jika saya
berlama lagi di itu…
Tetamu tidak serawai awal tadi. Ruang depan rumah bapa
saudara itu agak lengang. Selalunya kenduri kesyukuran begitu, waktu puncaknya
tidak lama. Sehingga petang, akan adalah sekumpulan dua tetamu dari jauh
bergilir datang dan pulang…
Ketika itulah saya nampak Fauzi. Dia sedang menyenduk
nasi dengan sedikit kesukaran. Saya menepuk bahunya. Dia menoleh. Memandang
tepat ke muka saya. Tangan kirinya memegang pinggan nasi yang di atasnya baru
ada sedikit ikan goreng. Belum berkuah, belum berkambing…
Fauzi [paling depan] |
Saya mencapai tangan kanannya. Baru saya tahu kenapa
nampak sukar benar di menyenduk nasi tadi. Tangan kanannya agak kecil, tangan
yang telah lama kehilangan upaya. Saya memegang seketika tangan itu.
“Rasa macam kenai…”kata Fauzi ketika tangannya saya
lepaskan.
Macam kenal?
Maknanya dia tidak pasti siapa saya?
Saya terkenang betapa sebelum itu pun ada BF yang tidak
lagi mengenali diri nan seorang ini. Saya harus terima kenyataan, daya ingatan
semua orang tidaklah sama…Faktor masa, faktor usia, dan ada seorang pernah
menyebut faktor mata…Saya sering tambah, ada satu lagi faktor: saiz mana-mana
bahagian atau seluruh badan…
Untuk memudahkannya, saya bertanya Fauzi, “Pernah
mengaji di Falah dulu?”
Fauzi mengangguk, separuh terkejut setelah mulutnya
menyebut sekali nama sekolah yang sekarang sedang terjajah itu.
Saya baru mahu menokok, tetapi Fauzi lebih cepat bersuara,
“Cikgu apa ‘ni…?”
Matanya tepat memandang
mata saya. Termos nasi menjadi saksi…Saya mengangguk.
“Cikgu…Cikgu Din ka ‘ni?”
Saya melanjutkan anggukan.
“Laaaa….” Itu saja yang
terkeluar dari mulut Fauzi. Ada semacam kegelisahan atau keserbasalahan dalam
bahasa badannya. Macam mahu diletakkan dahulu pinggan nasi pada tangan kirinya.
Dia menoleh kiri dan kanan.
“Isy…”luahnya. Entah apa
yang ada di fikiran Fauzi ketika itu.
“Cikgu….lama tak
jumpa…isy…” itu yang terkeluar dari mulutnya.
“Ni rumah pak penakan
saya…”kata saya. Entah untuk apa kata-kata itu dizahirkan tidaklah saya tahu.
Tiba-tiba terkeluar.
“Saya menantu Wa Omar…”
balas Fauzi.
Subhanallah.
Kenapa saya tidak tahu. Wa
Omar, mertua Fauzi, adalah abang ipar bapa saudara saya. Rumah mertuanya hanya
nun… di seberang jalan, hanya sejarak 500 meter dari rumah kenduri yang sedang
kami hadiri itu…Mungkin salah satu kenduri kahwin di rumah Wa Omar yang pernah
saya hadiri adalah kenduri sempena pernikahan Fauzi…[Wa Omar juga pernah
menjadi BF pada tahun awal pembukaan pondok oleh Almarhum Ustaz Azizan dan
Almarhum Ustaz Fauzi dahulu – sebaya ayah Norliza dan Saidin Saad dari Alor
Ibus atau ayah Yasmin dan Nurrezini
Nayan dari Teluk Bulang…]
Anehnya… atau malunya…
telah lama dia menjadi sebahagian puak laghak bapa saudara, saya tidak pun
tahu.
“Hangpa kenai ka?”
tiba-tiba datang soalan dari bapa saudara saya. Rupa-rupanya sejak awal dia
telah menyaksikan pertemuan saya dengan Fauzi. Tidaklah hanya termos nasi
sebagai saksi…
“Kenai….”balas Fauzi, “cikgu saya di Falah dulu…”
Bapa saudara, yang juga BF sebaya Encik Saad Alor Ibus
dan Encik Nayan Teluk Bulang, tersenyum. Dia pun baru tahu anak saudaranya ini
dan menantu abnag iparnya rupanya ada pertalian…
“Tapi memang tak kenai tadi…”kata Fauzi lagi.
Saya tersenyum. Mata saya mengekori pergerakan matanya
yang turun naik memerhatikan saya. Sudah dapat diagak. Dia sedang mencari
kata-kata yang sesuai untuk melanjutkan bicara.
“…dulu dia bukan lagu 'ni!” itulah frasa yang Fauzi
jumpa. Dah agak dah…lagi pula matanya tadi berhenti agak lama pada bahagian
perut saya…Ketika menuturkan itu pun sekali lagi matanya melorot ke perut ini...
Pandai Fauzi... Nampaknya faktor saiz yang dijadikan alasan kenapa tidak mengenali saya awalnya...
Kami sama-sama tergelak.
Saya tidak boleh lama lagi. Silap-silap perut akan
meraung jika duduk semeja pula dengan Fauzi. Takkanlah mahu dibiarkan Fauzi
seorang melayan tekak…
Lagi pula mata macam mahu meragam,marah kerana tidak dilayan...
Lagi pula mata macam mahu meragam,marah kerana tidak dilayan...
Saya harus pamit.
Namun sempat juga saya bertanya sedikit tentang Fauzi.
Dia tingal di kuarters penjara Pokok Sena. Bertugas
sebagai warden di situ.
Fauzi sempat bertanyakan tentang Cikgu Non dan Ustaz Zahari. Saya pun menjawab setakat yang saya mampu...
Fauzi sempat bertanyakan tentang Cikgu Non dan Ustaz Zahari. Saya pun menjawab setakat yang saya mampu...
Ketika mahu menulis ini, saya hubungi emak saudara
isterinya di Alor Penyengat. Difahamkan tangan kanannya kehilangan upaya lama sebelum
berkahwin. Khabarnya akibat kemalangan. Kini Fauzi telah dikurniakan dua orang
cahaya mata.
Demikianlah.
Telah merata budak Falah bertebaran…
Bahagialah semua, hendaknya.
2 comments:
pjk...perut jalan ke depan
gambar kedua tu rosli, jefry, hashimah, ku hasnawiyah, hafizoh, kak nani,fauzi, nazri yang hujung tu siapa ya...ada lagi gambar ni semoga sahabat semua berada dalam keadaan sihat sejahtera kali terakhir berjumpa ku hasnawiyah bulan puasa 2013 dia tiggal kat mergong alor setar terlupa ambil no telefon...
Post a Comment