Ahad
2 Februari 2014.
Ada 5 undangan ke kenduri kahwin hari ini. Taman Desa Kamela.
Batu Lima. Kampung Rambai. Tokai. Batas Paip. Kalaulah seseorang itu ada empat
isteri, senang-senang sahaja, setiap kenduri itu ada seorang wakil keluarga…
Ikut jumlah majlis, saya perlukan 3 jam. Perlu bermula seawal
mungkin. Malangnya semua tuan rumah mahu orang mula makan pada 12 tengah hari.
Paling awal saya dapat selesai sekitar jam 3 petang. Memang bukanlah jauh semua
lokasi itu. Dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Pendang sahaja. Tetapi kena
mengukur sama keupayaan kelongsong di dalam perut. Boleh lima kenduri itu
dihabiskan dalam sejam, tetapi mertua saya dulu tidak pernah ajar makan dengan
mengambil bau sahaja - seperti aturan mertua Abdul Wahub, Sadiq Sigaraga, dalam
filem Tiga Abdul. Saya perlukan suapan, kunyahan, penghadaman dan lebih cantik
lagi kalau berselang dengan pembuangan kumuh…
Selain bertanya perut, kena juga lihat plan lokasi. Tidak
payah berulang-alik macam bas henti-henti antara desa dan bandar. Maka Batas
Paiplah yang paling elok diawalkan…
Awal pagi saya berada di rumah peninggalan ayah emak. Menengok
sebahagian cucu-cucu emak ayah menumpang bergembira sempena musim raya orang
Tionghua. Dua jam malam sebelumnya pun saya ke situ. Melihat cucu-cucu emak
ayah terlena di rumah tokwan yang tidak sempat mereka kenal. Pada malam itulah
saya menghubungi Budak Batas Paip [BBP] yang
sedang menemani ayahnya di Hospital Sultanah Bahiyah, memaklumkan Fahrulruzi ada balik bercuti tetapi tidak tahu pun
undangan ke majlis kenduri di Batas Paip. Saya biarkan dia sendiri mengundang
Fahrul. Berhuha-huhalah
mereka dalam seminit di udara…
Sebelas jam kemudian, Fahrul dan saya terus ke Batas Paip.
Fahrul akan balik ke Perak pada petangnya sementara saya mahu memenuhi undangan
lain pada tengah hari dan awal petang nanti. Awal pun awallah ke rumah BBP.
Sebelum itu, Cikgu Rahim Daud yang saya hubungi
memaklumkan akan mencuba ke rumah BBP sekita pukul dua [ kerana ada banyak
jemputan juga]. Cikgu Non pula, sejak sehari sebelumnya
telah memaklumkan bahawa dia perlu penuhi satu jemputan lain terlebih dahulu
sebelum ke rumah BBP.
Ada hikmah kepulangan Fahrul. Saya boleh tumpang seperut…
Jam 11:53:27, melepasi rumah Nik Ainiy
yang saya kunjungi majlis perkahwinannya pada 18 Januari lalu bersama Cikgu
Non, saya hubungi BBP. Sempatlah selama 6 saat saya mendengar suara manja setiausahanya
yang disediakan oleh pihak telconya.
Sah insan berbody tinggi itu sedang
sibuk di sekitar khemah…
Jam 11: 53: 55, saya hubungi pula Saifol
Adly. Kalau-kalau boleh menjadi tablemate
di bawah khemah nanti. Selama 37 saat kami cuma berbual. Saifol sedang
menghampiri rumah sendiri setelah selesai bisnes edisi pagi.Samatua Azura
Ayob itu memang bercadang untuk datang awal juga ke rumah BBP kerana selepas
itu harus bersiap untuk melakukan rutin harian tugasan versi petangnya. Kami
berjanji untuk berjumpa di dalam majlis. Insyaallah.
Jam 11:57:03, saya hubungi pula Mohd Zairi
Mohd Ariff. Keberadaan pemastautin di
kejiranan Putrajaya itu di negeri kelahirannya, saya ketahui daripada
BBP dalam perbualan singkat malam sebelumnya juga. Dalam julat perbualan selama 41 saat, Zairi memaklumkan akan ke rumah BBP
tetapi belum pasti waktunya kerana ada kenduri juga berhampiran rumah
ayah-emaknya. Tuan rumah kenduri berkenaan dengan keluarga Zairi pula BUKAN
ORANG…
Melepasi Stesen Minyak Petronas Batas Paip, jam 11:58:51, BBP menghubungi
saya. Agaknya setelah membelek telefon pintar kesayangannya di celah-celah
kesibukan mengatur-urus makanan di atas
meja buffet. Inilah deskripsi perbualan kami yang mengambil masa 40 saat.
BBP: Halo. Assalamu ‘alaikum.
SAYA: Wa ‘alaikum salam. Jadi ‘dak kendughi haghi ‘ni?
BBP: Laa… awat tak jadi pulak? Maila!
SAYA: Kutla dok kalut di hospital…
BBP: Ada pulak…. Jadi! Kalau mai la ‘ni, boleh jumpa Cikgu Azid, dia mai ukoq tanah dekat ‘ni…
SAYA: OK. Lima minit lagi saya sampai…
Saya yakin BBP tidak percaya ‘lima minit’ yang saya sebut itu.
Ketika itu saya dan Fahrul sebenarnya sudah pun melepasi kawasan pejabat PPK
MADA A-IV, melintasi juga Kedai Mi Abbas di
Kompleks Perniagaan Nakhoda, menanti lampu isyarat bertukar ke lompang berwarna
hijau…
Kerana tidak percaya itulah, BBP tidak pun perasan dengan
kehadiran kami. Setelah Fahrul memarkir keretanya dalam 50 meter melepasi rumah
kenduri, kami berjalan kea rah rumah tersebut. Abang BBP, Hero [bukan nama sebenar] yang mendapat menantu pada
hari berkenaan tersenyum menyalami kami. BBP kelihatan sedang mengangkat timba
berisi lauk, menuangnya ke dalam salah satu tray
di atas meja buffet. Serius wajahnya memokus ke arah tray dan seperti sedang membaca sesuatu – mungkin berdoa supaya
cukuplah lauk untuk semua tetamu abangnya.
Saya mencapai pinggan polisterin sambil mata mencari-cari
seseorang yang mungkin saya kenali. Tiada kelibat seseorang seperti itu.
Saya berdiri bertentangan dengan BBP tetapi tidak pun dia
menjeling, malah melangkah pergi bersama timba lauknya. “Kalut. Tak perati tang
lain ‘dah…” kata saya kepada sepupunya, Siti Nor Bakar,
yang kebetulan sedang melintas untuk ke khemah/meja pengantin, gamaknya. Siti
Nor tersengih. Seketika kemudian, selepas saya menyenduk nasi dan sedang
membuat pilihan lauk, BBP muncul semula. Siti Nor memberitahu sesuatu
kepadanya, dan dia pun memandang muka saya.
“Laa… boh…boh… lauk ‘tu….” Kata BBP. Dia menyedekahkan
sekuntum senyuman. Tidaklah terlalu manis, kesan kenaikan harga gula agaknya…
Ya, saya akan ‘boh’ kerana yakin semua lauk di situ bukan
sekadar bahan pameran…
Cuma ada satu dilema, seperti laungan Amir UK's dulu:
Kalau kupilih di sini
apa kata di sana
Kalau kupilih di sana
di sini akan terluka
Ada dua jenis lauk yang mengikut hukum lidah saya, seperti
dari dua dunia. Emak tidak akan memasak dua jenis lauk ini serentak dalam satu
hari. Maka sejak lama saya menganggap kedua-duanya memang ditakdirkan tidak
boleh ‘berkahwin’! Satu gulai daging yang aduhai aromanya, manakala satu
lagi sup daging
dengan tulang-temulang yang menggiurkan. Kedua-duanya memang kegemaran perut
ini. Suara Rahmat muncul lagi:
Mestikah kupilih keduanya
membahagi kasih seadil-adilnya
Fahrul hanya mengambil daging sup serta kerabu pelam [ kalau di tempat mertua BBP, agaknya,
diubah nama kepada kerabu pauh, atas sebab-sebab yang munasabah…]
Saya pula, dengan keyakinan
mampu berlaku adil terhadap
kedua-duanya, bersama kerabu itu serta daging dan kuah sup, saya cedok juga
daging gulai [tanpa kuah]. Mana boleh tahan melihan organ dalaman lembu yang
timbul elok di bahagian atas kuah gulai yang masih penuh di dalam tray…
Ketika masih di depan meja buffet itu, saya membisikkan
sesuatu kepada BBP. Sebenarnya saya
sedang dalam keadaan yang cukup tidak selesa. BBP hanya tersenyum. Tidak pasti
pula kategori senyum itu – senyum kambing atau senyum sumbing.
“Amboi, tak kenai dah aih…” seorang insan yang duduk di sisi
meja tetamu paling hampir dengan meja lauk, menyambar lengan saya. Dia baru
selesai makan sebab di depannya ada pinggan dengan bekas kuah gulai. Ada
lakaran pada pinggan itu, mungkin tandatangan, dengan lebihan kuah gulai
sebagai tintanya.
“Tak nampak tadi…” kata saya dengan jujur. Sesungguhnya memang
saya tidak pun nampak wajahnya ketika tercari-cari orang yang mungkin saya
kenal.
Abdul Karim Bakar, asal Telok Bulang, hanya
tersengih mendengar pengakuan jujur itu sambil mengisyaratkan saya supaya duduk
di atas kerusi di sisi meja lain, yang masih kosong.
Saya letakkan pinggan di situ dan ke belakang sedikit mencari
air buat melembabkan tangan… Saya terpandang dua ekor ikan, dikerat dua, yang sosnya bersinar cantik, dengan sedikit
hiasan, sedang dibawa lalu ke meja pengantin. Saraf optik menghantar impuls ke otak untuk ditafsirkan. Hasilnya
kelenjar liur pun merembeskan cecair yang dengan perlahan ditolak ke dalam
kerongkong… Kalaulah dibawa juga menu itu ke meja buffet, kotak fikir saya mula
berfantasi. Tetapi segera dicelah oleh memori: BBP adalah tukang masak di hotel semasa berada
di pulau legenda Mahsuri dahulu. Nantilah suatu hari,dia akan memasak sebegitu
dan mengajak tuan kita makan… Kalau
tidak silap samatua BBP juga ada di
depan meja pengantin itu, mematut-matut mana yang perlu.
Bersama Karim Bakar [foto oleh BBP] |
Saya kembali ke meja bagi memulakan acara menyuap dan
mengunyah. Duduk di sisi Fahrul. Kemudian Karim, yang kini bermastautin di
seberang taliair di hadapan kawasan rumah keluarga BBP, ikut duduk di sisi saya.
Kami bertukar khabar. Budak Falah era awal 90-an itu, bukan asing dengan BBP,
dan bukan orang pula
dengan samatua Saifol Adly yang
sedang dalam perjalanan ke rumah kenduri itu.
BBP datang menjenguk lauk apa pilihan kami. Merasa kurang
sesuatu, dia beredar seketika, untuk muncul semula dengan tiga gelas sirap.
Mujur tidak dibawa sama tong sirap, seperti yang dilakukan ketika perkahwinan
adiknya pada hujung tahun 2012 – ketika saya hadir bersama Cikgu Non dan Cikgu
Rahim. Kalau tidak jenuhlah saya mahu menepis pandangan penuh tanda tanya dari
semua tetamu di bawah khemah…
BBP duduk di sebelah Fahrul. Mereka bercakap enam tujuh puluh
patah kata. Saya pula berbual dengan Karim yang menunjukkan secara spesifik
tempat kediamannya merangkap tempat berurusan yang boleh dilihat bahagian
belakangnya dari bawah khemah itu.
BBP memanggil seseorang yang kelihatannya sedang dalam keadaan
sibuk, datang dari arah meja pengantin, mahu menuju ke dalam rumah pengantin.
Seseorang itu berhenti seketika.
“Ni!” kata BBP sepatah, atau tepatnya hanya satu
sukukata. Dia mengunjukkan arah saya
kepada seseorang itu. Saya pun menoleh. Seseorang itu menghulurkan secangkir
senyum serta mengisyaratkan supaya saya terus makan, sebelum meminta izin untuk
meneruskan ‘perjalanannya’.
“Kak, ‘kan?” tanya saya, hanya mengambil satu sukukata akhir
dari dua patah kata. BBP mengangguk.
“Noraini?” tanya saya untuk
kepastian. Ini
bukan di negeri Jepun, main angguk-angguk! Saya teringat kata Ismeth
Ulam Raja kepada anaknya, Abdul Wahub, juga di dalam filem Tiga Abdul. Tetapi
BBP terus mengangguk sebelum mengiyakan dan menyebut nama kakaknya itu.
“Mana Cikgu Azid?” tanya saya apabila tidak pun nampak kelibat
cikgu yang sedekad berkelana di Negara Brunei Darussalam, setelah meninggalkan
AlFalah dahulu.
“Tu!” balas BBP sambil menunjuk ke arah jalan masuk,
berhampiran pintu
gerbang pengantin di tepi rumah abangnya. Nampak Cikgu Azid [Abdul Azid Husin] sedang berbual dengan seseorang. Dia
tersengih melihat saya sambil mengangguk-angguk. Saya teringat kata-kata Ismeth Ulam Raja sekali lagi.
Tetapi supaya tidak dikatakan menyongsang arus, saya pun ikut mengangguk…
Dua tiga minit saya menumpukan perhatian kepada nasi dan lauk,
dengan bergilir antara daging gulai dan daging sup, saya dapati Cikgu Azid telah
hilang dari tempat tadi. Saya tanyakan kepada BBP. Rupanya cikgu yang juga
dipanggil ustaz oleh orang sekitar Kubang Rotan itu menyertai kumpulan marhaban
di dalam rumah, selain menjenguk
tanah bapa saudaranya yang bersempadan dengan tanah keluarga BBP.
“Tunggu lagi tak ambik gambaq!” kata saya sebaik teringat
betapa BBP amat rajin mengelik mengambil foto pada setiap pertemuan atau temuan
dengan budak Falah. Fahrul tersenyum. BBP tersengih lalu membuka beg sandang
yang cukup setia tersangkut di bahunya. Dia mengeluarkan benda alah itu lalu mengelik sekali dan , gamaknyalah, terus
dimuatkan di laman fb.
Sambil mengunyah saya nampak kelibat Zulkarnain,
samatua Shahida Said, sedang bersalam dengan Hero. Saya teringat tentang entri
yang sedang saya siapkan – Bukan Orang. Tidak tahu nama penuh Zulkarnain.
“Zulkarnain samatua Shahida, bin apa?” tanya saya kepada BBP.
“Ramli” kata BBP sambil bersalam dengan seseorang yang
menghampiri meja kami. “Ha, ‘ni abang dia…” sambung BBP. ‘Abang dia’ itu
terpinga-pinga. Makin terpinga-pinga
apabila saya katakan ‘bukan orang laa…’
BBP mengekeh. Rupanya dia tidak tahu bahawa Zulkarnain baru
sahaja bersalam dengan Hero…
Zul datang dan bersalam. Berbual sepatah dua. Seronok melihat
kemesraannya dengan abang, boleh datang kenduri bersama.
Saya semakin tidak selesa. Apa yang saya bisikkan kepada BBP
tadi sedang menggaru hati saya. Rimas sungguh untuk terus berbual dan tersenyum
dengan perasaan yang tidak selesa begitu.
Ketidakselesaan itu makin bertambah apabila ada pula seseorang
menepuk bahu dan menyapa dari belakang. Saya menoleh, mendongak. Ustaz Jamal Huri,
abang Siti Nor, tersenyum manis. Lebih manis senyuman serta sedikit sengihan
apabila saya meluahkan yang sejujurnya ada di hati: Segak
ustaz hari ‘ni! Sungguh, saya seronok melihat wajah bersih anak saudara Hajah Roselah Hj Ahmad, bekas kerani AlFalah itu.
Kini dia bertugas di sekolah yang hanya sepelaung dari rumahnya – SK Seberang
Nyonya.
Karim yang merasa telah lama bersama kami, meminta diri. “Budak-budak dok tunggu…” katanya
merujuk kepada pekerjanya di seberang taliair. Oleh kerana yang diminta pun
bukanlah benda lain, tetapi dirinya sendiri, maka saya pun berilah…
Ustaz Jamal Huri mengambil alih kerusi yang dikosongkan Karim. Tiada PRK, sebab
tiada pertandingan… Ustaz Jamal Huri membawa bersama sepinggan daging sup. Asap
menerawang sehingga ke bumbung khemah. “Tadi makan gulai ‘dah…” katanya. Sah,
dia pun menganut satu fahaman dengan saya: Sup dan gulai memang tidak boleh dikahwinkan!
Fahrul bangun membasuh tangan. Saya mengikut jejaknya. Saya
jeling sedikit pinggan berisi ikan bersinar cantik di atas meja pengantin.
Sebelum apa-apa, memori segera mengingatkan: Nanti BBP masak sebegitu, tuan makanlah sepuas
hati. Pakai kain pelikat masa ‘tu. Jangan pakai seluar, payah mahu membetulkan
kedudukan perut… Ceh! Samatua BBP, kalau tidak silap masih berada di
sekitar situ. Mengatur apa yang patut.
Kembali ke meja tadi, saya dapati Fahrul duduk di kerusi yang
diduduki BBP yang menginjak ke kerusi di sebelahnya. Kerusi saya tadi telah
diduduki oleh seseorang. Saya pun duduk di kerusi Fahrul tadi. Berselanglah
satu kerusi dengan Ustaz Jamal Huri. Juga tiada PRK…
Saya makin rimas. BBP -
dan Fahrul – yang tahu keadaan awal saya mungkin tidak perasan akan kerimasan
yang makin mencanak.
Saya cuba melindungi kerimasan itu dengan menumpang Fahrul
berbual dengan BBP.
Di antaranya tentang pertukaran sahabat mereka Hamzah Yahya
dari Lumut ke Kuantan. Dikatakan, sejak mula bertugas sehingga hampir tamat
tempoh perkhidmatan, Hamzah tidak pernah berubah tempat. Sekaranglah gilirannya
untuk beralih angin seketika. Selamat berkelana untuk Hamzah!
Kemudian bercerita tentang suhu sejuk yang sedang melanda
negara. Sejuk sungguh, kata BBP. Dia berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan
setugas bahawa dia harus berfikir banyak kali untuk beriadah supaya tidak
terpaksa mandi dalam kesejukan berganda pada pagi hari… [sila lihat komen Wira Islam di bawah. Dia sebenarnya telah menapis secara berhemah apa yang BBP ucapkan secara lisan.....]
Walaupun ikut mengulas, sebetulnya, saya semakin rimas
mendengar perbualannya. Ketidakselesaan itu menjalar ke seluruh tubuh. Saya
memandang ke bumbung khemah yang sedang dipanah cahaya matahari rembang - sekadar
menambahkan kerimasan.
Soal ayah BBP yang terpaksa dikejarkan ke hospital pada hari
sebelumnya juga termasuk dalam agenda perbualan tersebut. Cuma saya terlupa di
susunan acara yang keberapa… kalau tidak silap semasa datangnya Zulkarnain
tadi. Hanya diulang sedikit semasa kami bertiga berbual itu.
Selain itu, BBP juga memaklumkan bakal menyambut cahayamata
lagi pada bulan Syawal nanti. Uniknya, dijadualkan tepat pada hari perjumpaan
raya Alumni AlFalah, pada hari raya keempat.
Berih-ihlah
BBP mengenang kesibukannya pada waktu itu, antara kegembiraan menerima ahli
baru di dalam keluarga dengan keterujaan untuk berjumpa rakan-rakan perFalahan.Saya
menenangkannya dengan firasat auta: BBP bakal menimang cahayamata paling lewat
pertengahan Ramadan. Telah dua kali saya katakan begitu. Sekali di bawah khemah
warung teh tarik, dan kali ini di bawah khemah kenduri.
BBP memaklumkan bahawa kali ini, dia dan samatuanya bakal
menimang dua cahayamata serentak – anak kembar. Kalau firasat saya betul,
nampak gayanya bertambahlah dua gantang lagi beras fitrah dari BBP.
Ketidakselesaan saya berada pada tahap 80% ketika nampak
Saifol Adly datang bersama rakannya. Dia menyapa kami sepatah dua sebelum ke
meja makanan untuk mendapatkan yang sepatutnya. Dia datang semula tetapi duduk
di meja sebelah kerana meja kami cuma berbaki satu kerusi.
Saya sudah tidak dapat bertahan. Rimas sungguh. Tidak lagi
mampu menunggu Cikgu Azid datang ke bawah khemah. Tidak lagi dapat menanti
Saifol selesai makan. Tidak lagi saya peduli untuk melihat siapakah sebilangan
orang bertuah yang dapat menikmati ikan
bersinar cantik di atas meja pengantin.
Saya mengajak Fahrul pulang. Fahrul akur.
Kami bersalam dengan semua tablemate.
Saya hampiri Saifol yang agak terkejut kerana dia sendiri baru saja dalam fasa
awal acara menyuap dan mengunyah. Saya bisikkan apa yang telah saya bisikkan
kepada BBP awal tadi. Saifol tersenyum.
Saya keluar ke tepi rumah Hero dan bersalam dengannya.
Pembantunya yang lengkap berbaju melayu berwarna biru menghulurkan satu
bungkusan buah tangan , yang kemudiannya dikampuhkan dengan bungkusan untuk
Fahrul, cukup sebagai buah tangan untuk lima enam orang anak saudara bawah umur
di rumah.
Darjah kerimasan segera menurun sebaik kami berada di jalan
utama Batas Paip – Yan. Saya tidak nyatakan hal itu kepada Fahrul.
Kami bercakap tentang
lauk yang tidak boleh dipadukan, kalau mengikut kebiasaan keluarga kami. Di
bawah khemah tadi, Fahrul terlepas peluang memakan bubur selepas membasuh
tangan, kerana ketika itu, katanya, senduk masih belum muncul – agaknya belum
bersedia - untuk memberikan khidmat.
Kemudian kami berbual tentang bidang kerja Fahrul dan Hamzah.
Tentang pangkat dan rutin harian, juga tentang tahun untuk bersara.
Sambil berbual itu, dalam ketidakselesaan yang makin
berkurang, saya terkenang akan apa yang telah dibisikkan kepada BBP dan Saifol.
Itu satu peringatan dan pengalaman. Belum pernah saya berbuat
begitu dan semoga tidak akan berulang. Saya benar-benar telah belajar.
Sebenarnya, kerana mahu menghematkan masa serta tanpa
persediaan awal ketika datang ke rumah emak ayah, saya tidak pun mandi sebelum
menaiki kereta ke Batas Paip. Pakaian pun tidak berganti. Sepagian bersama
anak-anak buah, merantau ke beberapa
kampung jiran – sehingga berpeluh-peluh, saya sudah menjangkakan ketidak
selesaan akan muncul di bawah khemah kenduri di Batas Paip.
Benarlah jangkaan itu. Saya menggelisah. Seperti ada miang
kecil berdenyut ke seluruh tubuh ketika mentari semakin terik di atas bumbung
khemah. Apa lagi jika mendapat pula bantuan peluh yang terhasil dari memakan
nasi dan kuah sup yang panas…
Saya percaya bukan berseorangan tidak mandi pada hari itu. Malah
berdasarkan hearsay tentang sejuknya
waktu pagi, dan segan mandi jika bukan dalam terma wajib, saya yakin
sekurang-kurangnya kenal seorang yang
juga tidak mandi pada hari itu. Bezanya mungkin dari aktiviti masing-masing sebelum
muncul di khemah di tepi rumah Hero…
Hanya yang pernah alami akan faham apa yang saya
maksudkan. Mahu dihurai panjang-panjang
pun, telah lebih 2800 patah kata ditaip untuk entri ini.
Anda cubalah sendiri. Caranya cukup mudah.
Selepas solat Subuh, pakai pakaian lengkap. Buatlah kerja atau
aktiviti yang boleh menyihatkan badan. Tepatnya menghasilkan peluh. Apa-apa
pun. Selepas itu, sekitar jam 12, silalah penuhi satu undangan kenduri. Di
bawah khemah yang mendapat panahan cahaya matahari yang terik, duduklah di sisi
mana-mana meja yang dipenuhi undangan lain. Anda hiruplah sup panas atau
gaulkannya dengan nasi panas.
Itu saja.
Kalau anda rasa selesa juga, tiada perbezaan apa-apa, syabas.
Sah, kita bukan satu spesies!
2 comments:
Sejuk sgguh.....Nk ehem ehem pun malas...sbb nk kena mandi lama
Bukan Rahmat Ekamatra..... Amir Ukays...
Post a Comment