6 February 2014

Ketidakselesaan Pada Sebuah Kenduri



Ahad
2 Februari 2014.

Ada 5 undangan ke kenduri kahwin hari ini. Taman Desa Kamela. Batu Lima. Kampung Rambai. Tokai. Batas Paip. Kalaulah seseorang itu ada empat isteri, senang-senang sahaja, setiap kenduri itu ada seorang wakil keluarga…

Ikut jumlah majlis, saya perlukan 3 jam. Perlu bermula seawal mungkin. Malangnya semua tuan rumah mahu orang mula makan pada 12 tengah hari. Paling awal saya dapat selesai sekitar jam 3 petang. Memang bukanlah jauh semua lokasi itu. Dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Pendang sahaja. Tetapi kena mengukur sama keupayaan kelongsong di dalam perut. Boleh lima kenduri itu dihabiskan dalam sejam, tetapi mertua saya dulu tidak pernah ajar makan dengan mengambil bau sahaja - seperti aturan mertua Abdul Wahub, Sadiq Sigaraga, dalam filem Tiga Abdul. Saya perlukan suapan, kunyahan, penghadaman dan lebih cantik lagi kalau berselang dengan pembuangan kumuh…

Selain bertanya perut, kena juga lihat plan lokasi. Tidak payah berulang-alik macam bas henti-henti antara desa dan bandar. Maka Batas Paiplah yang paling elok diawalkan…

Awal pagi saya berada di rumah peninggalan ayah emak. Menengok sebahagian cucu-cucu emak ayah menumpang bergembira sempena musim raya orang Tionghua. Dua jam malam sebelumnya pun saya ke situ. Melihat cucu-cucu emak ayah terlena di rumah tokwan yang tidak sempat mereka kenal. Pada malam itulah saya menghubungi Budak Batas Paip [BBP] yang sedang menemani ayahnya di Hospital Sultanah Bahiyah, memaklumkan Fahrulruzi ada balik bercuti tetapi tidak tahu pun undangan ke majlis kenduri di Batas Paip. Saya biarkan dia sendiri mengundang Fahrul. Berhuha-huhalah mereka dalam seminit di udara…

Sebelas jam kemudian, Fahrul dan saya terus ke Batas Paip. Fahrul akan balik ke Perak pada petangnya sementara saya mahu memenuhi undangan lain pada tengah hari dan awal petang nanti. Awal pun awallah ke rumah BBP. Sebelum itu, Cikgu Rahim Daud yang saya hubungi memaklumkan akan mencuba ke rumah BBP sekita pukul dua [ kerana ada banyak jemputan juga]. Cikgu Non pula, sejak sehari sebelumnya telah memaklumkan bahawa dia perlu penuhi satu jemputan lain terlebih dahulu sebelum ke rumah BBP.

Ada hikmah kepulangan Fahrul. Saya boleh tumpang seperut…

Jam 11:53:27, melepasi rumah Nik Ainiy yang saya kunjungi majlis perkahwinannya pada 18 Januari lalu bersama Cikgu Non, saya hubungi BBP. Sempatlah selama 6 saat saya mendengar suara manja setiausahanya yang disediakan oleh pihak telconya. Sah insan berbody tinggi itu sedang sibuk di sekitar khemah…

Jam 11: 53: 55, saya hubungi pula Saifol Adly. Kalau-kalau boleh menjadi tablemate di bawah khemah nanti. Selama 37 saat kami cuma berbual. Saifol sedang menghampiri rumah sendiri setelah selesai bisnes edisi pagi.Samatua Azura Ayob itu memang bercadang untuk datang awal juga ke rumah BBP kerana selepas itu harus bersiap untuk melakukan rutin harian tugasan versi petangnya. Kami berjanji untuk berjumpa di dalam majlis. Insyaallah.

Jam 11:57:03, saya hubungi pula Mohd Zairi Mohd Ariff. Keberadaan pemastautin di  kejiranan Putrajaya itu di negeri kelahirannya, saya ketahui daripada BBP dalam perbualan singkat malam sebelumnya juga.  Dalam julat perbualan selama  41 saat, Zairi memaklumkan akan ke rumah BBP tetapi belum pasti waktunya kerana ada kenduri juga berhampiran rumah ayah-emaknya. Tuan rumah kenduri berkenaan dengan keluarga Zairi pula BUKAN ORANG…

Melepasi Stesen Minyak Petronas Batas Paip, jam 11:58:51, BBP menghubungi saya. Agaknya setelah membelek telefon pintar kesayangannya di celah-celah kesibukan mengatur-urus  makanan di atas meja buffet. Inilah deskripsi perbualan kami yang mengambil masa 40 saat.

BBP: Halo. Assalamu ‘alaikum.

SAYA: Wa ‘alaikum salam. Jadi ‘dak kendughi haghi ‘ni?

BBP: Laa… awat tak jadi pulak? Maila!

SAYA: Kutla dok kalut di hospital…

BBP: Ada pulak…. Jadi! Kalau mai la ‘ni, boleh jumpa Cikgu Azid, dia mai ukoq tanah dekat ‘ni…

SAYA: OK. Lima minit lagi saya sampai…

Saya yakin BBP tidak percaya ‘lima minit’ yang saya sebut itu. Ketika itu saya dan Fahrul sebenarnya sudah pun melepasi kawasan pejabat PPK MADA A-IV, melintasi juga Kedai Mi Abbas di Kompleks Perniagaan Nakhoda, menanti lampu isyarat bertukar ke lompang berwarna hijau…

Kerana tidak percaya itulah, BBP tidak pun perasan dengan kehadiran kami. Setelah Fahrul memarkir keretanya dalam 50 meter melepasi rumah kenduri, kami berjalan kea rah rumah tersebut. Abang BBP, Hero [bukan nama sebenar] yang mendapat menantu pada hari berkenaan tersenyum menyalami kami. BBP kelihatan sedang mengangkat timba berisi lauk, menuangnya ke dalam salah satu tray di atas meja buffet. Serius wajahnya memokus ke arah tray dan seperti sedang membaca sesuatu – mungkin berdoa supaya cukuplah lauk untuk semua tetamu abangnya.

Saya mencapai pinggan polisterin sambil mata mencari-cari seseorang yang mungkin saya kenali. Tiada kelibat seseorang seperti itu.

Saya berdiri bertentangan dengan BBP tetapi tidak pun dia menjeling, malah melangkah pergi bersama timba lauknya. “Kalut. Tak perati tang lain ‘dah…” kata saya kepada sepupunya, Siti Nor Bakar, yang kebetulan sedang melintas untuk ke khemah/meja pengantin, gamaknya. Siti Nor tersengih. Seketika kemudian, selepas saya menyenduk nasi dan sedang membuat pilihan lauk, BBP muncul semula. Siti Nor memberitahu sesuatu kepadanya, dan dia pun memandang muka saya.

“Laa… boh…boh… lauk ‘tu….” Kata BBP. Dia menyedekahkan sekuntum senyuman. Tidaklah terlalu manis, kesan kenaikan harga gula agaknya…

Ya, saya akan ‘boh’ kerana yakin semua lauk di situ bukan sekadar bahan pameran…
 
Cuma ada satu dilema, seperti laungan Amir UK's dulu:
Kalau kupilih di sini
apa kata di sana
Kalau kupilih di sana
di sini akan terluka
….
Ada dua jenis lauk yang mengikut hukum lidah saya, seperti dari dua dunia. Emak tidak akan memasak dua jenis lauk ini serentak dalam satu hari. Maka sejak lama saya menganggap kedua-duanya memang ditakdirkan tidak boleh ‘berkahwin’! Satu gulai daging yang aduhai aromanya, manakala satu lagi sup daging dengan tulang-temulang yang menggiurkan. Kedua-duanya memang kegemaran perut ini. Suara Rahmat muncul lagi:

Mestikah kupilih keduanya
membahagi kasih seadil-adilnya

Fahrul hanya mengambil daging sup serta kerabu pelam [ kalau di tempat mertua BBP, agaknya, diubah nama kepada  kerabu pauh, atas sebab-sebab yang munasabah…]

Saya pula, dengan keyakinan  mampu berlaku  adil terhadap kedua-duanya, bersama kerabu itu serta daging dan kuah sup, saya cedok juga daging gulai [tanpa kuah]. Mana boleh tahan melihan organ dalaman lembu yang timbul elok di bahagian atas kuah gulai yang masih penuh di dalam tray

Ketika masih di depan meja buffet itu, saya membisikkan sesuatu kepada BBP.  Sebenarnya saya sedang dalam keadaan yang cukup tidak selesa. BBP hanya tersenyum. Tidak pasti pula kategori senyum itu – senyum kambing atau senyum sumbing.

“Amboi, tak kenai dah aih…” seorang insan yang duduk di sisi meja tetamu paling hampir dengan meja lauk, menyambar lengan saya. Dia baru selesai makan sebab di depannya ada pinggan dengan bekas kuah gulai. Ada lakaran pada pinggan itu, mungkin tandatangan, dengan lebihan kuah gulai sebagai tintanya.

“Tak nampak tadi…” kata saya dengan jujur. Sesungguhnya memang saya tidak pun nampak wajahnya ketika tercari-cari orang yang mungkin saya kenal.

Abdul Karim Bakar, asal Telok Bulang, hanya tersengih mendengar pengakuan jujur itu sambil mengisyaratkan saya supaya duduk di atas kerusi di sisi meja lain, yang masih kosong.

Saya letakkan pinggan di situ dan ke belakang sedikit mencari air buat melembabkan tangan… Saya terpandang dua ekor ikan, dikerat dua, yang  sosnya bersinar cantik, dengan sedikit hiasan, sedang dibawa lalu ke meja pengantin. Saraf optik menghantar  impuls ke otak untuk ditafsirkan. Hasilnya kelenjar liur pun merembeskan cecair yang dengan perlahan ditolak ke dalam kerongkong… Kalaulah dibawa juga menu itu ke meja buffet, kotak fikir saya mula berfantasi. Tetapi segera dicelah oleh memori: BBP adalah tukang masak di hotel semasa berada di pulau legenda Mahsuri dahulu. Nantilah suatu hari,dia akan memasak sebegitu dan mengajak tuan kita makan… Kalau tidak silap samatua BBP juga ada di depan meja pengantin itu, mematut-matut mana yang perlu.
Bersama Karim Bakar [foto oleh BBP]

Saya kembali ke meja bagi memulakan acara menyuap dan mengunyah. Duduk di sisi Fahrul. Kemudian Karim, yang kini bermastautin di seberang taliair di hadapan kawasan rumah keluarga BBP, ikut duduk di sisi saya. Kami bertukar khabar. Budak Falah era awal 90-an itu, bukan asing dengan BBP, dan bukan orang pula dengan samatua Saifol Adly yang sedang dalam perjalanan ke rumah kenduri itu.

BBP datang menjenguk lauk apa pilihan kami. Merasa kurang sesuatu, dia beredar seketika, untuk muncul semula dengan tiga gelas sirap. Mujur tidak dibawa sama tong sirap, seperti yang dilakukan ketika perkahwinan adiknya pada hujung tahun 2012 – ketika saya hadir bersama Cikgu Non dan Cikgu Rahim. Kalau tidak jenuhlah saya mahu menepis pandangan penuh tanda tanya dari semua tetamu di bawah khemah…

BBP duduk di sebelah Fahrul. Mereka bercakap enam tujuh puluh patah kata. Saya pula berbual dengan Karim yang menunjukkan secara spesifik tempat kediamannya merangkap tempat berurusan yang boleh dilihat bahagian belakangnya dari bawah khemah itu.

BBP memanggil seseorang yang kelihatannya sedang dalam keadaan sibuk, datang dari arah meja pengantin, mahu menuju ke dalam rumah pengantin. Seseorang itu berhenti seketika.

“Ni!” kata BBP sepatah, atau tepatnya hanya satu sukukata.  Dia mengunjukkan arah saya kepada seseorang itu. Saya pun menoleh. Seseorang itu menghulurkan secangkir senyum serta mengisyaratkan supaya saya terus makan, sebelum meminta izin untuk meneruskan ‘perjalanannya’.

“Kak, ‘kan?” tanya saya, hanya mengambil satu sukukata akhir dari dua patah kata. BBP mengangguk.

Noraini?” tanya saya untuk kepastian. Ini bukan di negeri Jepun, main angguk-angguk! Saya teringat kata Ismeth Ulam Raja kepada anaknya, Abdul Wahub, juga di dalam filem Tiga Abdul. Tetapi BBP terus mengangguk sebelum mengiyakan dan menyebut nama kakaknya itu.

“Mana Cikgu Azid?” tanya saya apabila tidak pun nampak kelibat cikgu yang sedekad berkelana di Negara Brunei Darussalam, setelah meninggalkan AlFalah dahulu.

“Tu!” balas BBP sambil menunjuk ke arah jalan masuk, berhampiran pintu gerbang pengantin di tepi rumah abangnya. Nampak Cikgu Azid [Abdul Azid Husin] sedang berbual dengan seseorang. Dia tersengih melihat saya sambil mengangguk-angguk. Saya teringat kata-kata Ismeth Ulam Raja sekali lagi. Tetapi supaya tidak dikatakan menyongsang arus, saya pun ikut mengangguk…

Dua tiga minit saya menumpukan perhatian kepada nasi dan lauk, dengan bergilir antara daging gulai dan daging sup, saya dapati Cikgu Azid telah hilang dari tempat tadi. Saya tanyakan kepada BBP. Rupanya cikgu yang juga dipanggil ustaz oleh orang sekitar Kubang Rotan itu menyertai kumpulan marhaban di dalam rumah, selain menjenguk tanah bapa saudaranya yang bersempadan dengan tanah keluarga BBP.

“Tunggu lagi tak ambik gambaq!” kata saya sebaik teringat betapa BBP amat rajin mengelik mengambil foto pada setiap pertemuan atau temuan dengan budak Falah. Fahrul tersenyum. BBP tersengih lalu membuka beg sandang yang cukup setia tersangkut di bahunya. Dia mengeluarkan benda alah itu lalu mengelik sekali dan , gamaknyalah, terus dimuatkan di laman fb.

Sambil mengunyah saya nampak kelibat Zulkarnain, samatua Shahida Said, sedang bersalam dengan Hero. Saya teringat tentang entri yang sedang saya siapkan – Bukan Orang. Tidak tahu nama penuh Zulkarnain.

“Zulkarnain samatua Shahida, bin apa?” tanya saya kepada BBP.

“Ramli” kata BBP sambil bersalam dengan seseorang yang menghampiri meja kami. “Ha, ‘ni abang dia…” sambung BBP. ‘Abang dia’ itu terpinga-pinga.  Makin terpinga-pinga apabila saya katakan ‘bukan orang laa…’

BBP mengekeh. Rupanya dia tidak tahu bahawa Zulkarnain baru sahaja  bersalam dengan Hero…

Zul datang dan bersalam. Berbual sepatah dua. Seronok melihat kemesraannya dengan abang, boleh datang kenduri bersama.

Saya semakin tidak selesa. Apa yang saya bisikkan kepada BBP tadi sedang menggaru hati saya. Rimas sungguh untuk terus berbual dan tersenyum dengan perasaan yang tidak selesa begitu.

Ketidakselesaan itu makin bertambah apabila ada pula seseorang menepuk bahu dan menyapa dari belakang. Saya menoleh, mendongak. Ustaz  Jamal Huri, abang Siti Nor, tersenyum manis. Lebih manis senyuman serta sedikit sengihan apabila saya meluahkan yang sejujurnya ada di hati: Segak ustaz hari ‘ni! Sungguh, saya seronok melihat wajah bersih anak saudara Hajah Roselah Hj Ahmad, bekas kerani AlFalah itu. Kini dia bertugas di sekolah yang hanya sepelaung dari rumahnya – SK Seberang Nyonya.

Karim yang merasa telah lama bersama kami, meminta diri. “Budak-budak dok tunggu…” katanya merujuk kepada pekerjanya di seberang taliair. Oleh kerana yang diminta pun bukanlah benda lain, tetapi dirinya sendiri, maka saya pun berilah…

Ustaz Jamal Huri mengambil alih kerusi  yang dikosongkan Karim. Tiada PRK, sebab tiada pertandingan… Ustaz Jamal Huri membawa bersama sepinggan daging sup. Asap menerawang sehingga ke bumbung khemah. “Tadi makan gulai ‘dah…” katanya. Sah, dia pun menganut satu fahaman dengan saya: Sup dan gulai memang tidak boleh dikahwinkan!

Fahrul bangun membasuh tangan. Saya mengikut jejaknya. Saya jeling sedikit pinggan berisi ikan bersinar cantik di atas meja pengantin. Sebelum apa-apa, memori segera mengingatkan: Nanti BBP masak sebegitu, tuan makanlah sepuas hati. Pakai kain pelikat masa ‘tu. Jangan pakai seluar, payah mahu membetulkan kedudukan perut… Ceh! Samatua BBP, kalau tidak silap masih berada di sekitar situ. Mengatur apa yang patut.

Kembali ke meja tadi, saya dapati Fahrul duduk di kerusi yang diduduki BBP yang menginjak ke kerusi di sebelahnya. Kerusi saya tadi telah diduduki oleh seseorang. Saya pun duduk di kerusi Fahrul tadi. Berselanglah satu kerusi dengan Ustaz Jamal Huri. Juga tiada PRK…

Saya makin rimas. BBP  - dan Fahrul – yang tahu keadaan awal saya mungkin tidak perasan akan kerimasan yang makin mencanak.

Saya cuba melindungi kerimasan itu dengan menumpang Fahrul berbual dengan BBP.

Di antaranya tentang pertukaran sahabat mereka Hamzah Yahya dari Lumut ke Kuantan. Dikatakan, sejak mula bertugas sehingga hampir tamat tempoh perkhidmatan, Hamzah tidak pernah berubah tempat. Sekaranglah gilirannya untuk beralih angin seketika. Selamat berkelana untuk Hamzah!

Kemudian bercerita tentang suhu sejuk yang sedang melanda negara. Sejuk sungguh, kata BBP. Dia berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan setugas bahawa dia harus berfikir banyak kali untuk beriadah supaya tidak terpaksa mandi dalam kesejukan berganda pada pagi hari… [sila lihat komen Wira Islam di bawah. Dia sebenarnya telah menapis secara berhemah apa yang BBP ucapkan secara lisan.....]

Walaupun ikut mengulas, sebetulnya, saya semakin rimas mendengar perbualannya. Ketidakselesaan itu menjalar ke seluruh tubuh. Saya memandang ke bumbung khemah yang sedang dipanah cahaya matahari rembang - sekadar menambahkan kerimasan.

Soal ayah BBP yang terpaksa dikejarkan ke hospital pada hari sebelumnya juga termasuk dalam agenda perbualan tersebut. Cuma saya terlupa di susunan acara yang keberapa… kalau tidak silap semasa datangnya Zulkarnain tadi. Hanya diulang sedikit semasa kami bertiga berbual itu.

Selain itu, BBP juga memaklumkan bakal menyambut cahayamata lagi pada bulan Syawal nanti. Uniknya, dijadualkan tepat pada hari perjumpaan raya Alumni AlFalah, pada hari raya keempat.  Berih-ihlah BBP mengenang kesibukannya pada waktu itu, antara kegembiraan menerima ahli baru di dalam keluarga dengan keterujaan untuk berjumpa rakan-rakan perFalahan.Saya menenangkannya dengan firasat auta: BBP bakal menimang cahayamata paling lewat pertengahan Ramadan. Telah dua kali saya katakan begitu. Sekali di bawah khemah warung teh tarik, dan kali ini di bawah khemah kenduri.

BBP memaklumkan bahawa kali ini, dia dan samatuanya bakal menimang dua cahayamata serentak – anak kembar. Kalau firasat saya betul, nampak gayanya bertambahlah dua gantang lagi beras fitrah dari BBP.

Ketidakselesaan saya berada pada tahap 80% ketika nampak Saifol Adly datang bersama rakannya. Dia menyapa kami sepatah dua sebelum ke meja makanan untuk mendapatkan yang sepatutnya. Dia datang semula tetapi duduk di meja sebelah kerana meja kami cuma berbaki satu kerusi.

Saya sudah tidak dapat bertahan. Rimas sungguh. Tidak lagi mampu menunggu Cikgu Azid datang ke bawah khemah. Tidak lagi dapat menanti Saifol selesai makan. Tidak lagi saya peduli untuk melihat siapakah sebilangan orang bertuah yang dapat menikmati  ikan bersinar cantik di atas meja pengantin.

Saya mengajak Fahrul pulang. Fahrul akur.

Kami bersalam dengan semua tablemate. Saya hampiri Saifol yang agak terkejut kerana dia sendiri baru saja dalam fasa awal acara menyuap dan mengunyah. Saya bisikkan apa yang telah saya bisikkan kepada BBP awal tadi. Saifol tersenyum.

Saya keluar ke tepi rumah Hero dan bersalam dengannya. Pembantunya yang lengkap berbaju melayu berwarna biru menghulurkan satu bungkusan buah tangan , yang kemudiannya dikampuhkan dengan bungkusan untuk Fahrul, cukup sebagai buah tangan untuk lima enam orang anak saudara bawah umur di rumah.

Darjah kerimasan segera menurun sebaik kami berada di jalan utama Batas Paip – Yan. Saya tidak nyatakan hal itu kepada Fahrul.

Kami bercakap  tentang lauk yang tidak boleh dipadukan, kalau mengikut kebiasaan keluarga kami. Di bawah khemah tadi, Fahrul terlepas peluang memakan bubur selepas membasuh tangan, kerana ketika itu, katanya, senduk masih belum muncul – agaknya belum bersedia - untuk memberikan khidmat.

Kemudian kami berbual tentang bidang kerja Fahrul dan Hamzah. Tentang pangkat dan rutin harian, juga tentang tahun untuk bersara.

Sambil berbual itu, dalam ketidakselesaan yang makin berkurang, saya terkenang akan apa yang telah dibisikkan kepada BBP dan Saifol.

Itu satu peringatan dan pengalaman. Belum pernah saya berbuat begitu dan semoga tidak akan berulang. Saya benar-benar telah belajar.

Sebenarnya, kerana mahu menghematkan masa serta tanpa persediaan awal ketika datang ke rumah emak ayah, saya tidak pun mandi sebelum menaiki kereta ke Batas Paip. Pakaian pun tidak berganti. Sepagian bersama anak-anak buah, merantau ke beberapa kampung jiran – sehingga berpeluh-peluh, saya sudah menjangkakan ketidak selesaan akan muncul di bawah khemah kenduri di Batas Paip.

Benarlah jangkaan itu. Saya menggelisah. Seperti ada miang kecil berdenyut ke seluruh tubuh ketika mentari semakin terik di atas bumbung khemah. Apa lagi jika mendapat pula bantuan peluh yang terhasil dari memakan nasi dan kuah sup yang panas…

Saya percaya bukan berseorangan tidak mandi pada hari itu. Malah berdasarkan hearsay tentang sejuknya waktu pagi, dan segan mandi jika bukan dalam terma wajib, saya yakin sekurang-kurangnya  kenal seorang yang juga tidak mandi pada hari itu. Bezanya mungkin dari aktiviti masing-masing sebelum muncul di khemah di tepi rumah Hero…

Hanya yang pernah alami akan faham apa yang saya maksudkan.  Mahu dihurai panjang-panjang pun, telah lebih 2800 patah kata ditaip untuk entri ini.

Anda cubalah sendiri. Caranya cukup mudah.

Selepas solat Subuh, pakai pakaian lengkap. Buatlah kerja atau aktiviti yang boleh menyihatkan badan. Tepatnya menghasilkan peluh. Apa-apa pun. Selepas itu, sekitar jam 12, silalah penuhi satu undangan kenduri. Di bawah khemah yang mendapat panahan cahaya matahari yang terik, duduklah di sisi mana-mana meja yang dipenuhi undangan lain. Anda hiruplah sup panas atau gaulkannya dengan nasi panas.

Itu saja.

Kalau anda rasa selesa juga, tiada perbezaan apa-apa, syabas. Sah, kita bukan satu spesies!


2 comments:

wiraosman said...

Sejuk sgguh.....Nk ehem ehem pun malas...sbb nk kena mandi lama

Pawang nujum said...

Bukan Rahmat Ekamatra..... Amir Ukays...