KAK 6898
Jarak di antara Sungai Petani ke Alor Setar adalah sekitar
60 kilometer.
Pagi tadi, ketika bertolak dari rumahnya di Taman Setia, berdekatan Pasar
Besar Alor Setar, jalan dan jarak yang sama telah dilalui. Meski
ditambah dengan kesibukan pagi, perjalanan ke SP tidak sampai pun satu jam.
Namun, perjalanan pulang ini dirasakan cukup lama dan
panjang……
Buat pertama kali, dia memandu dengan amat perlahan dan
berbaur rasa segan.
Semuanya bermula dengan seketul batu.
Lama masa diperlukannya kelak jika mahu melupakan pagi
Sabtu yang satu itu…
******
14 November 1998.
Ketika rakan sejawatan yang lain bersedap pada awal pagi
menikmati cuti mingguan, dia bertolak ke Sungai Petani. Destinasi tepatnya
adalah Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim.
Ada acara yang perlu dihadiri sebagai wakil sekolah: Program Penataran
SPM Persijilan Terbuka.
Kalau boleh, memang dia ingin menolak tugasan tersebut pada
mulanya. Tetapi dia sedar, AlFalah hanyalah sekolah agama rakyat yang kecil.
Sedang pula menghadapi zaman gerhana…Bilangan gurunya pada ketika itu tidak
ramai. Kalau setiap guru diberikan salah satu jari dari tangan dan kakinya, masih ada baki lima
enam jari…
Guru pula terbahagi kepada dua kelompok: guru bahasa Arab
dan agama serta guru akademik. Guru akademik tidak lebih dari setengah dozen
semuanya. Sering bergilir menghadiri kursus dan taklimat. Lagi pula, semenjak
dua tiga tahun lepas, dia ditunjukkan sebagai guru peperiksaan -yang menjaga, terutamanya, urusan pendaftaran
peperiksaan peringkat kebangsaan – PMR dan SPM.
Maka dikira moleklah, dia yang mewakili sekolah pada program
berkenaan. Dengan semangat ingin berkhidmat kepada anak bangsa, dia akur dengan
arahan pengetua.
Terlepaslah peluang satu hari - seperti Sabtu yang lain - bersenang-senang
di rumah bersama keluarga, terutama dua anak yang masih kecil. Terlepas juga
satu slot kegemarannya di tv pada petang hari begitu - filem Hindi…
Pukul 8.45 pagi dia telah berada di pekan Sungai Petani.
Sudah tidak jauh dengan simpang di kiri untuknya membelok, menuju ke tempat
acara berlangsung.
Sedang diperlahankan kereta agar tidak terlepas dari simpang
berkenaan, sebuah lori dengan muatan batu kerikil, dengan lajunya, telah
melepasi keretanya.
Tanpa bau, malang pun tiba…
Seketul batu dari lori tersebut yang bahagian belakangnya
tidak sepenuhnya dilitupi kanvas.telah terpelanting. Tepat menimpa cermin
hadapan kereta berwarna merah yang dipandunya. Dalam sekelip mata, hempasan
batu itu meretakkan cermin hadapan tersebut. Pandangannya tiba-tiba terhalang oleh
ribuan retakan pada cermin di hadapannya. Dia terkejut dan terus menekan brek,
sambil melihat cermin itu remuk dengan cepat – berderai di lantai hadapan
kereta, termasuk di atas ribanya….
Lama dia di dalam kekagetan. Tidak tahu apa yang mahu dan
perlu dilakukan. Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim bagaikan berbalam-balam,
sama seperti tugasan yang diamanahkan…
Tiada siapa yang dikenalinya di Sungai Petani. Kalau pun
ada, kotak fikirnya tidak mampu untuk mengingati dalam keadaan begitu.
Tetapi Allah Maha Tahu dan Maha Pengasih.
Dihantar-Nya seorang lelaki budiman. Benar-benar budiman.
Lelaki pada usia pertengahan itu menenangkannya. Bertanyakan
destinasinya. Dia memberitahu sejujurnya dalam gigil kekagetan yang belum
hilang sepenuhnya.
Lelaki itu tuan punya syarikat bas ekspres. Kebetulan pula
berasal dari Kangkong, kampung kelahiran rakan sekerja di AlFalah – Cikgu Non.
Dia bersyukur teramat sangat.
Lelaki budiman itu menghulurkan bantuan. Lelaki budiman itu
menawarkannya mengikut hingga ke tempat penyimpanan bas syarikatnya. Kereta
Proton merah itu ditinggalkan di situ. Kemudian tauke budiman itu menghantarnya
hingga ke MPSAH dan berjanji akan datang mengambil semula apabila program telah
tamat.
Walaupun terlewat sekitar sejam, dia masih dapat mengikuti
program yang berlangsung sehingga tengah hari itu.
Di situ, ketika menikmati makan tengah hari, dia berjumpa
dengan Cikgu Azizan, wakil sekolah yang berjiran dengan AlFalah – SMA Ihya’ El
Ulum Ad-Diniah, Simpang Empat. Cikgu Azizan sendiri hairan melihatnya masuk ke
dewan tempat acara berlangsung paling lewat, malah jauh lebih lewat, berbanding
peserta lain.
Kepada rakan setugas itulah diceritakan apa yang dialaminya
di pusat bandar Sungai Petani pada pagi berkenaan.
Sebelum tauke bas ekspres yang budiman datang mengambilnya,
dia menumpang kereta Cikgu Azizan hingga ke tempat penyimpanan bas ekspres. Dia
berterima kasih kepada tauke bas yang budiman, sebelum memandu keretanya ke
sebuah bengkel untuk disedut serpihan dan butiran kaca yang berserakan di
lantai depan kereta. Cikgu Azizan menemaninya dan menunggu hingga kerja penyedutan
itu selesai.
Kemudian, tanpa cermin hadapan, dia memandu kereta itu
pulang ke Alor Setar. Cikgu Azizan mengekorinya sepanjang perjalanan itu. Di
bengkel sebelumnya sudah lebih dua jam Cikgu Azizan menemani. Kini Cikgu Azizan
harus pula memandu seperlahannya, mengawasi dari belakang.Tidak akan dapat
dilupakannya budi Cikgu Azizan yang sanggup bersusah dengan kesusahannya pada
hari itu.
Perjalanan pulang ini dirasakan cukup lama dan panjang……
Jarak di antara Sungai Petani dengan Alor Setar dirasakan amat jauh…
Buat pertama kali, dia memandu dengan amat perlahan. Rasa
segan dan malu tidak dapat lagi diungkapkan dengan kata-kata…
Tanpa cermin hadapan, angin menerobos ganas menampar kulit muka
yang terpaksa ditebalkan…
Selain itu, ada satu hal lain yang akan lama diingat: apa
sahaja yang dibuang dari kereta di hadapan akan terus masuk ke dalam keretanya…
Mujurlah pemandu dan penumpang kereta di Malaysia agak berhemah. Paling nakal dan kerap dibuang pun hanyalah plastik dan
kertas tisu….serta puntung rokok. Itulah yang dia dan keretanya terima
sepanjang perjalanan.
Kalaulah yang dibuang itu, lampin pakai buang bayi atau …bayi!
Demikianlah pengalaman yang bukan semua orang dapat menikmatinya…Apa lagilah oleh orang yang
hanya menunggang motorsikal atau basikal!
Cikgu Siti Khadijah |
Sesungguhnya, Cikgu Siti Khadijah Othman adalah insan terpilih.
Terpilih untuk merasakan debar, perih dan getir memandu kereta tanpa cermin
hadapan sepanjang lebih 60 kilometer…
1998.
Wira |
Tahun Malaysia menjadi tuan rumah Sukan
Komanwel [11 – 21 September] yang
gemilang, dengan Wira dipilih sebagai nama
maskot sukan untuk negara bekas jajahan British berkenaan….
Sapok Biki |
Tahun ramai anak sekolah ingin menjadi seperti Sapok Biki, pemenang pingat emas acara tinju di temasya
sukan empat tahun sekali itu…
El Regina [dua dari kanan] |
Tahun ramai anak muda terigau dan menyimpan foto El Regina Tajudin, yang menganggotai kuartet gimrama negara
memenangi pingat emas….
Tahun anak muda dan bapa tua diperkenalkan dengan gerakan re-for-ma-si…
Sebulan lebih selepas tamatnya sukan itu dan bermulanya gerakan
reformasi, datanglah bulan November…
Sabtu pertama bulan November…
Sabtu kedua bulan November…
Itulah. Sabtu yang kedua itulah…
14 November 1998.
Hari ini genaplah enam
belas tahun usia kejadian itu. Cikgu Siti Khadijah sekarang bertugas di SK Alor Mengkudu. Dua anak kecil yang ditinggalnya seketika pada hari tersebut kini sudah di peringkat
kolej dan universiti… Cikgu Azizan pula sudah bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
Demikian peredaran masa....
Kini, di manakah kereta yang dulunya berwarna merah itu? Masihkah
sama warnanya? Masihkah gagah melatam jajaran jalanraya?
KAK
6898
Adakah Cikgu Siti Khadijah masih mengingati kereta itu?
Adakah Cikgu Siti Khadijah masih mengingati hari Sabtu kedua
November 1998 itu?
******
Di Alor Setar, kereta kesayangannya itu dibawa sebuah
bengkel di Kawasan Perusahaan Mergong Barrage
yang terletak di belakang kilang Sime Tyres [kini
Continental]. Kedai Tian Kwang Motor.
RM 240 kos keseluruhannya. Cermin depan RM 150,
Gam RM 30, Bingkai Getah RM 20 dan upah RM 40.
Oleh kerana kejadian itu berlaku ketika
menjalankan urusan sekolah, pihak sekolah telah membayar sepenuhnya kos
berkenaan.
3 comments:
hebat....
SEDIH DAN HIBA ....NOSTALGIA DALAM HIDUP
TERIMA KASIH SAHABAT ...
Allah maha kaya ,Allah Maha Mengasihani dihantar pertolongan diwaktu insan dalam kesusahan ....
Perjuangan untuk ALFALAH ....Dlm kenangan
Post a Comment