22 February 2015

Deman Mungkin Sempurna

Husin dan Hesba
Satu petang, saya bersama dua budak Falah {BF}, Husin Lempoyang dan Hesba Tgb berada di Hospital Sultanah Bahiyah.Niat kami mahu menziarahi anak kepada seorang lagi BF, Maria, yang telah beberapa hari terlantar di situ.

Jam sudah lama melepasi 6 petang.

Ketika berjalan menuju ke laluan utama, Hesba Tgb bercerita tentang suami Maria dari N17 P10, kerana wajahnya sering ditemui di sekitar Tebengau. Hesba Tgb mengagak kampung asal mertua Maria.

"Hang kenai ka?" tanya Husin Lempoyang.

"Kenai tu dak la. Tapi dah satu mukim...." balas Hesba Tgb, lebih kurang.

Husin Lempoyang tersenyum. Dia mengingat satu zaman....

"Mungkin Tebengau....Mungkin Kangkong..."katanya.

Diulang pula sekali lagi.

"Mungkin Tebengau....Mungkin Kangkong..."

Saya yang mulanya hanya mahu tersenyum, tiba-tiba ditendang ke satu zaman....

Zaman perFalahan.

Saya tahu itulah juga zamannya yang dikenang Husin Lempoyang.

Di dalam kelas, pelajaran bahasa ibunda,saya membaca sebuah karangan. Berbentuk surat kiriman rasmi. Pelajar yang empunya karangan itu sedang tertunduk. Maaflah. Ketika itu, memang itu gaya saya. Mesti membaca kesalahan di depan kelas dengan niat tidak diulangi oleh sesiapa juga. [Tapi niat itu kerap disalahtafsir malah dalam sesetengah kes, tidak pun diendah kerana kesalahan sama sering berulang...]

Abcabadabra bin Infiniti,
Kg. Indahrupa,
Mungkin Tebengau, 
06600 Kuala Kedah.

Demikianlah.

Mukim Tebengau, ditulis Mungkin Tebengau.

Saya tokok: Kalau mungkin Tebengau, mungkin Kangkong. [Kangkong juga adalah mukim bersempadan dengan mukim Tebengau}

Satu kelas riuh. Termasuk oleh pelajar yang awal sedikit telah saya tegur secara terbuka tentang kesalahannnya. Pun riuh ketika itu. Kiranya kini masa dia pula membalas dendam untuk tertawa atau mengilai...Si empunya karangan itu sahaja yang tertunduk. Tadinya dia juga tertawa atau mengilai sakan mendengar teguran untuk rakan terdahulu...

Kenangan itulah yang Husin Lempoyang cungkil apabila Hesba Tgb menyebut perkataan MUKIM tadi. Sementelah, guru yang mengomen itu, kini sedang berjalan seiring dengannya menuju ke pintu lif HSB. Tidak pula saya tahu samada Hesba Tgb terkesan dengan apa yang Husin Lempoyang ulang tadi....

"Mungkin Tebengau....Mungkin Kangkong..."

Dalam terpelanting ke zaman perFalahan itu, segera saya teringat beberapa kalimat yang sering muncul pada surat kiriman ...

Selain mungkin, ramai pelajar menulis deman bagi menyatakan sebab tidak dapat hadir ke sekolah. Maksudnya sudah tentulah DEMAM. Tegurlah berapa kali pun, kalimat deman tetap muncul.....

Berkaitan dengan AM, orang yang sama akan mengeja IMAM sebagai iman... Tandas awam dieja tandas awan.... Entahlah. Saya bukan pengkaji apa-apa tetapi sering saya jumpa sebegitu....

Dalam surat juga saya temui kalimat sempurna. Sempurna, bukan? Tetapi maksudnya bukan seperti yang kebanyakan anda tahu atau bayangkan, apa lagi seperti yang terdapat di dalam mana-mana kamus.

Sempurna menyambut Hari Guru pada tahun ini, saya mengambil kesempatan untuk....

Maksudnya tentulah sempena.

Demikianlah.

Kita tidak sempurna.

Ada banyak lagi perkataan yang lain maksud dengan yang ditulis. Lagi banyaklah yang lain maksud dengan yang disebut dalam perbualan harian. Bukan sahaja di sekitar AlFalah pada zaman itu, malah di merata tempat dan persekitaran...Dahulu hingga kini....

Apa lagilah jika melibatkan pula bukan bahasa ibunda....

Carilah sendiri...

Catatan ini hanya mengenang saat terpelantingnya saya ke masa silam dek imbauan Husin Lempoyang pada petang berkenaan....

*Husin Lempoyang, Hesba Tgb adalah nama BF di dalam akaun FB masing-masing. Maria pula adalah nama BF dalam akaun WhatsApp.

No comments: