25 February 2015

Abdullah Fahmi: Everybody Must Going To School!


Abdullah Fahmi bin Abu Bakar



 Kali pertama saya memandangnya, lebih dua tahun lalu, saya sudah meminatinya.

Seorang yang lincah, peramah dan paling penting badannya, cukup bertubuh, kalau ikut kata orang tua-tua di kampung saya.

Barang diingat, susah untuk dieja bertubuh itu bagi menepati maksud saya, dari kata orang tua-tua.

Kena tukar kepada ejaan jawi.

TUBUH itu bukan dieja ta wau bu wau ha, seperti lazimnya.

Ta mesti ditukar kepada tha dahulu. Kemudian bunyinya TU itu mesti paling kurang dalam enam harkat dan di atas ba ada tanda sabdu.

Maka, kalau dia dilihat oleh orang tua-tua di kampung saya dahulu, mesti bunyinya begini [ayat lebih kurang]:

Anak si polan tu berTHUUUUUUBBuh laaaaa….

Demikianlah.

Saya melihatnya pertama kali itu semasa mengunjungi rumah Abby Zack [Abu Bakar Zainol] di tepi Selat Melaka, tidak jauh dari Kuala Tebengau. Satu malam hujung tahun 2012 . Sila rujuk entri ini.

Dia ikut menyambut saya di muka pintu. Bulat [orang kampung saya akan sebut dengan jelas bunyi Tha bagi menggantikan Ta] badannya, tanpa sehelai benang menutupi. Ya, dia berbogel.

Ini petikan dari entri itu, sedikit tentang anak tersebut:


Di dalam rumah, saya disambut anak bongsunya yang sebiji badannya seperti Abby Zack. Berusia sekitar dua tahun, seberat 15 kg - kata isterinya - hanya menyarung lampin pakai buang..... Seronok melihat anak bersaiz badan begitu. Saya memasukkan tangan ke dua celahan ketiaknya lalu - seperti yang sering saya lakukan kepada kanak-kanak - melambungnya sepuluh kali. Anak kecil itu tergamam pada dua lambungan pertama sebelum tertawa pada lambungan lainnya. Mesra sungguh...

Ya, dialah anak Abby Zack.

Anak tunggal dari perkahwinan keduanya. Isteri Abby bernama Suhana, orang Kola, tidak jauh dari Pulau Gezambo.

Isteri pertama Abby, Sakinah, meninggal pada tahun 2003, setelah lama menderita kanser payudara. Bersama allahyarhamah, Abby dikurniakan tiga anak – dua perempuan dan seorang lelaki. Anak lelaki tersebut kini berada di sebuah pusat tahfiz di Kubor Panjang.

Abdullah Fahmi.
Image result for juara akademi al-quran musim 1
Image result for juara akademi al-quran musim 1
Abdullah Fahmi Che Nor
Itulah nama anak Abby Zack yang bulaT berTUUUBBuh itu. Nama itu adalah pilihan Abby dan samatua terinspirasi daripada kemunculan anak Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor, sebagai juara Akademi AlQuran musim pertama, anjuran dan terbitanTV9, pada tahun kelahiran bayi mereka pada tahun 2010. Abby berharap bayi tersebut akan mengikut jejak Abdullah Fahmi Kelantan itu. In shaa Allah.
Image result for belacanMenurut Abby, semenjak lepas pantang lagi, anak itu dibawanya bersama ke mana-mana tempat dia mengedarkan belacan. Terbiasa begitu, menjadikan anaknya tidak kekok berhadapan dengan sesiapa. Peramah seperti ayah dan ibu.
Bab makan… tengok kepada saiz badannyalah. Berselera sungguh. Setakat seekor dua ikan sederhana besar dihadapnya sambil lalu sahaja. Pernah sekali, satu  malam, di depan rumahnya, saya melihat dia menggonggong dua ekor ikan kembung goreng seperti anak lain sebayanya menggonggong lollipop atau chupa chups

Ketika ayahnya menghulurkan keratan ikan tenggiri hasil pancingan di laut lepas, kepada saya, Abdullah siap bertanya di mana telur ikan dan berpesan jangan diberikan sama, kerana esok dia mahu memakan telur ikan itu…

Melihat begitu, minat saya terhadapnya makin mendalam.

Pada satu pertemuan bersama beberapa BF di Pekan Rabu sementara, di Alor Setar, Abdullah Fahmi memesan tidak kurang dari tiga jenis makanan secara berturut. Seleranya tinggi. Walaupun bukan semua dihabiskan, Abby hanya membiarkan. Dia faham fiil anaknya.

Sambil melihat dan mendengar kami bersembang, Abdullah Fahmi merokok! Dua anak muda yang duduk di belakang kami tepilanjat!

Asap dihembus ke atas dengan selamba, dibiar menerawang sekejap sebelum menghilang. Hembusan berulang tiga empat kali. Dua anak muda tadi menggeleng dan tersenyum. Abby ikut tersenyum. Saya juga.

Sebenarnya, dia hanya menghisap rokok daun tanpa tembakau. Di rumahnya, telah acap kali saya melihat dia merokok begitu. Abby membiarkan.

 Saya tersenyum mengenang si ayah pada zaman perFalahan dahulu. Betapa satu hari, kami – Cikgu Non, Ustaz Fairose dan saya  - nampak Abby sedang asyik menyedut dan menghembuskan rokok di atas titi kayu berdekatan rumah datuknya di sekitar Kg Pergam. Ketika itu, Abby sedang menunggu bas atau kawan untuk ke sekolah, manakala kami dalam perjalanan ke sekolah, dari Taman Bersatu [kami kerap bermalam di rumah bujang sewaan Ustaz Fairose di taman perumahan berkenaan pada era itu – era semua kami masih solo].

Saya tidak ingat sama ada, terdapat kes lain tentang rokok itu. Tapi saya ingat betapa Cikgu Non memanggil Abby tentang tabiat merokoknya. Natijahnya, mahu dibawa ke pengetahuan keluarga. Tetapi hasrat itu terpaksa diurungkan, apabila dengan selamba Abby menyatakan seluruh keluarganya tahu bahawa dia adalah seorang perokok. Apalah ertinya lagi sebuah pemakluman kepada waris …

Berbalik tentang si anak.

Dia amat peramah. Tidak segan saya mengulang kalimat itu. Dia memanggil saya CIKGU, seperti panggilan dari ayahnya. “Cikgu nak belacan ka?” tanyanya pada satu pagi, pada musim cuti sekolah, ketika ayahnya sibuk di dalam rumah, tatkala saya membawa tiga anak saudara melihat-lihat Selat Melaka. Anak-anak saudara saya kehairanan apabila saya nyatakan itulah tauke belacan Alor Ibus…

Satu hari lain, malam, ketika melihat saya datang sendiri, dia bertanya, “Ustat Usin tak mai ka…?” Yang dimaksudkannya adalah sahabat Abby, BF dari Batas Paip – Husin Lateh – guru KAFA yang pernah mengajar di SK Tebengau. Saya cuba menyedapkan hatinya denganmenyatakan bahawa ustaz itu akan datang tidak lama lagi. Selepas saya bersalam dengannya untuk pulang sejam kemudian, dia semacam merungut, “Ustat Usin tak mai pun…” Kerongkong saya bagai tersekat.

Satu hari lain, juga malam, ketika ayahnya masuk ke dalam rumah sebentar, Abdullah Fahmi menggantikan sebagai teman berbual. Setelah sekali dua menghirup kopi o,  dia bertanya, “Ustaz Husin duduk di mana?” Saya menjawab setulusnya, “Taman Marina, Batas Paip…” Dia sedikit mengangguk. Entah tahu atau tidak di mana taman perumahan itu, kata hati saya.

“Ustat Yusri?” Tanya Abdullah Fahmi lagi. Saya tepilanjat! Sangka saya soalan tentang Husin tadi adalah yang terakhir. Saya melihat matanya yang terarah ke muka saya, menanti jawapan. Saya terbayang wajah ustaz yang baru disebutnya itu. Yusri Haron. Juga sahabat Abby. Dua anak Yusri, imam Masjid Lorong Mayat, Kola, sama berada di sebuah pusat tahfiz di Kubor Panjang. Mungkin pertemuan di situ, membuatkan Abdullah Fahmi mengenali Yusri. Saya terlupa bahawa mertua Abby adalah juga warga Lorong Mayat…

“Ustat Yusri duduk mana?” Abdullah Fahmi serius bertanya. Marah gamaknya apabila soalan tadi tidak berjawab. Saya tersengih tapi dia tetap serius. Merenung tepat ke mata saya.

“Dia pun duduk di Taman Marina juga…” balas saya. Barulah nampak sinar kepuasan pada matanya dengan kulit muka sedikit mengendur.

Saya makin meminatinya…

“Cikgu Din? Cikgu Din duduk di mana?” Laaa… Saya tepilanjat sekali lagi!

Saya menjawab dengan segera. Tidak mahu wajahnya kembali tegang.Entah dia tahu atau tidak di mana tempat yang saya berikan dalam jawaban itu.

Abby keluar bersama samatuanya. Abdullah Fahmi kembali bermain sendirian, setelah meminta Abby meletakkan rokok daun tanpa tembakau ke bibirnya. Dia mencapai pemetik api sambil berlalu.

 Ah, budak seusia empat tahun…

Dipanggil untuk bergambar, segera dia akan berada pada posisi yang saya kehendaki. Sesekali tersenyum dan kerapnya berwajah tegang. Kemudian segera mahu melihat hasil klikan peragaannya. Siap dengan komen jika foto agak kelabu atau berbayang...

Dan saya makinlah meminatinya…

Dia sedang bermain dengan kakaknya di dalam rumah tatkala saya berbual dengan Abby di dekat motor, dalam pergerakan untuk pulang.  Dia membuka tingkap, melihat kami. “Cikgu nak balik dah ka? Bye bye Cikgu….”katanya, sambil melambai.

“Assalaamu’alaikum!” saya tujukan kepadanya. Dia tersengih dalam suram di balik cermin tingkap.

“Haaa cikgu bagi salam…jawab apa?” Abby pula bersuara. Abdullah Fahmi hanya tersengih sekejap sebelum melompat kembali bermain dengan dua kakaknya….

Ah, budak seusia empat tahun…

Pagi itu, saya ke rumah Abby, yang sedang bersedia untuk memulakan operasi di gudang pengeluaran belacannya. Malam tadi dia menghantar mesej agar saya datang mengambil hasil pancingan di Selat Melaka. Ikan cencaru. Niat asal dia bersama lima rakan memancing tenggiri, tetapi ombak setinggi tiga meter menghalang. Lubuk tenggiri tidak boleh diakses seperti selalu. Di tempat lain mereka melepaskan ketagihan memancing. Cencaru dan sedikit ikan lain yang mampu dikail. “Dapat dalam 120 ekoq cencaru, pakat bedak yang tu saja la…” kata Abby sambil memasukkan enam ekor cencaru sebesar lengan setiap ekor ke dalam beg plastik yang dihulurkan oleh samatuanya, Suhana.

(Abby dan kawan-kawannya mengail tenggiri dengan menggunakan bot yang dikemudikan oleh tekong berpengalaman di Kuala Dulang, Yan. Telah sedekad Abby dan rakan-rakan mengenali tekong berkenaan. Sudah macam keluarga, kata Abby. Laut tidak pernah berjanji, tetapi selalunya jika turun memancing, ada juga ikan tenggiri yang dibawa pulang. Samatuanya seperti telah jemu dengan ikan spesies itu, maka dipotonglah sesedap tangan, lalu diagihkan kepada jiran dan kenalan. Rezeki tidak menentu, kata Abby lagi. Pernah mereka mendapat sehingga 75 ekor ikan berharga mahal itu. Pada hari bertuah itu, Abby secara perseorangan dianugerahkan nikmat menaikkan 25 ekor, dan adiknya yang datang dari Kuala Perlis, menaikkan 23 ekor. Seronok mendengar Abby bercerita bagaimana dia melayan ikan itu sehingga letih sebelum dinaikkan ke bot… Setelah masing-masing mengambil mengikut keperluan, lebihnya dijual.  Pernah sekali, 17 ekor hilang dibawa alir deras air di kuala, kerana tali bekas plastik berisi ikan itu terputus tatkala sedang diangkat ke jeti. Esoknya, ketika sekali lagi ke tempat yang sama, Abby terjumpa salah seekor ikan itu tersangkut di pintu kuala. Diambilnya dan dijadikan tenggiri masam. Satu malam, satu keratan tenggiri masam itu, berada di dalam raga motor saya. Enak digoreng begitu sahaja atau dibuat ramuan bagi kalian ikan masin, kata Abby…)

Pagi itu, saya tidak nampak kelibat Abdullah Fahmi. Selalunya, dia akan ikut menyambut saya secara jujur. Jujur, kerana dia tidak akan tersipu-sipu mencari pakaian, jika ketika itu, sedang bertelanjang bulat!

“Mana hero tu – Abdullah Fahmi?” Tanya saya.

“Hmm..dia pukui sepuluh satgi la…”kata Suhana.

“Bangkit satgi dia teghiyak dulu…kalau ada kak dia, takpa…kalau tidak, puaih dengaq sogha dia…” sambung Abby pula.

“Tak pi sekolah ka?”Tanya saya lagi. Satu soalan yang bolehlah dianggap sebagai basa-basi biasa. Tidak perlukan jawapan…

Ada jawapan dari Abby dan kami sama tersenyum selepas itu, sambil saya menerima sejujurnya dan sepenuhnya beg plastik dari tangan Abby….

Anak lelaki Abby bersama arwah isterinya, Sakinah, sedang belajar di pusat tahfiz di Kubor Panjang. Dihantar ke situ ketika mahu memasuki tahun enam SK Tebengau, setelah terpikat dengan suasana dan pelajaran di pusat tahfiz berkenaan apabila menyertai kem sempena cuti persekolahan hujung tahun semasa di tahun lima. Abdullah Fahmi pun cadangnya mahu Abby hantarkan ke situ, malah mungkin lebih awal berbanding si abang. Ada minat yang si kecil itu tunjukkan setiap kali menziarahi abangnya.

“Entahlah boleh atau tidak..”kata Abby beberapa kali dalam beberapa pertemuan kami.

“In shaa Allah…”balas saya setiap kali Abby mengungkapkan begitu. Saya teringat betapa dua anak Yusri belajar di tempat yang sama, dengan si adik bermula ketika baru berusia tujuh tahun. Abby juga bercadang menghantar Abdullah Fahmi pada lingkungan usia tersebut.

Awal tahun ini, Abby dan Suhana mendaftar anak mereka itu di PASTI. Bersemangat sekali Abdullah Fahmi pada hari pertama mengenali alam persekolahan…

“Everybody must going to school.”

Demikian kalimat yang disebut Abdullah Fahmi sebaik pulang dari pusat asuhan tunas Islam itu. Diulang lagi di depan kakak-kakaknya. Diulang pula di depan ayah dan ibu. Suhana bahagia sekali. Hati Abby berbunga. “hari pertama lagi dia sudah dapat menangkap apa yang guru ajar…”bisik hatinya. Itulah juga yang Abby ceritakan tatkala kami bertemu dalam upacara menikmati laicikang di gerai makan Pekan Rabu sementara pada pertengahan Januari lalu.

Rupanya itulah hari pertama dan terakhir Abdullah Fahmi di PASTI itu!

Esoknya dia mula buat perangai. Meraung, memberikan pelbagai alasan.  Hari berikutnya begitu juga. Ada hari pula dia membatu ketika dikejutkan. “Dia boleh buat keras badan macam batu!”cerita Abby kepada kami di gerai itu.

Saya merenung Abdullah Fahmi yang kebetulan merenung pula ke mata saya ketika ayahnya bercerita itu. Wajahnya selamba sahaja sambil memasukkan secamca air batu campur ke dalam kuah mi rebus di depannya. Saya mahu menegur tetapi sedikit terlewat. Kuah mi telah menerima secamca ABC. Ada bayangan kepuasan pada senyum Abdullah Fahmi selepas itu. Abby hanya memerhati. Cikgu Siti Khadijah di sebelah saya dan di depan Abby hanya sempat berisy-isy dua kali.

Setelah itulah si anak mencapai daun rokok, diletakkan ke bibir, lalu dicucuh di hujungnya. Dia menyedut dalam sebelum dilepaskan asap ke depannya dengan sedikit mendongak. Itulah yang menarik dua anak muda di belakang kami – tepatnya di belakang Abby dua beranak…

 “Tak taula …”keluh Abby pada satu ketika.

Ah, anak seusia itu….

Abdullah Fahmi baru mahu memasuki lima tahun. Biarlah dia menikmati alamnya sepuas-puas.

Setahun dua lagi oklah tu, Abby….

Semoga nanti Abdullah Fahmi mampu menjejaki Abdullah Fahmi Kelantan, juara Akademi AlQuran itu. Semoga Abdullah Fahmi menjadi seorang hafiz. Semoga Abdullah Fahmi akan menjadi seorang anak dan insan yang soleh. Aamiin.

Ingat Abby Zack: everybody must going to school!

No comments: