27 February 2015

Sekian Kali Terakhir


Panas membahang pada pertengahan Februari itu.  Tepatnya pada hari orang Melayu buta sejarah menyambut hari memperingati kekasih.

Saya sampai sekitar jam 3.30. Serentak dengan Encik Yazid, abang kepada Mashitoh Md Arif dan kakaknya, Che Puteh, BF era 80-an.
Saya berjalan beriring dengan tauke telur masin dari Teluk Bulang itu.
“Selamat datang diucapkan kepada Abang Jid…tauke teloq masin kita…dan Abang Din kita…” terdengar suara garau lemak sang dj.

Sedikit terkejut, saya terus mencari khemah dj. Kebetulan terletak bertentangan jalan masuk yang muat untuk dilalui sebuah kereta pada satu-satu masa. Saya memerhati, mencari siapa dj yang ramah menyapa kami berdua.

Rosli Mansor tersengih. Tukang rumah dan dj rumah kenduri dari Alor Pulai itu mengangkat tangannya tatkala mata kami bertembung. Saya membalas lambaiannya dengan mengisyaratkan mengajak makan. Dia mengisyaratkan menyuruh saya sahaja yang ke khemah tetamu.

Dua tiga langkah kemudian saya nampak Fadzilah. Dia memberitahu ayahnya, “Cikgu mai..” lalu ketika bersalam dengan si ayah, Encik Ahmad, atau di kampungnya dikenali sebagai Abang Din, dia memanggil cikgu kepada saya. Sambil itu, dalam sibuk menyalami sama tetamu yang mahu beredar, Abang Din mempersilakan saya ke dalam khemah.
Abu Yazid


Saya nampak kelibat Abu Yazid Ismail sedang membuat dua tiga suapan terakhir laksa. Di meja bersebelahan, Zamri Dahaman sedang membuat suapan nasi berlauk ayam masak merah. Saya duduk di sebelah Zamri dan anaknya. Ada lagi sepasang tetamu lain di meja itu.


Lega. Ada juga rakan untuk bersembang. Kena pula, rakan sembang itu budak Falah…Saya paling susah hati jika datang ke khemah kenduri dengan table-mate membuat hal masing-masing. Tanya sepatah dijawab hanya satu dua sukukata. Makan dan selepas itu blah…

Melihat saya terus duduk, Fadzilah datang menyuruh saya mengambil makanan.  “Laksa pun ada..”katanya. Saya mengisyaratkan untuk duduk sahaja dahulu. Penat, kak. Panas lagi. Awal sedikit sudah saya nyatakan kepada Zamri: ini kenduri ketiga dalam empat jam! Perut sudah mengeluh sejak kenduri kedua tadi…

 Fadzilah berlalu setelah sempat tunjukkan adiknya, Fadzil Nor yang sedang berbual dengan seorang tetamu yang mahu pulang, tidak jauh dari khemah tempat Rosli Mansor berceloteh.

 Memang saya tidak mengenali Fadzil Nor jika dilihat dari belakang. “Yang baju merah tu….”kata Fadzilah.  Kebetulan Fadzil sedang menoleh. Dia mengangkat tangan, saya mengangguk. Berbeza amat saiz badan Fadzil berbanding dengan bayangan tatkala dia dalam pakaian seragam pengawas di AlFalah.

Abu Yazid, BF dari Kg Perlis, kemudiannya bangun, berdiri di sisi kami. Nampak macam tergesa-gesa sedikit. Berbual sepatah dua kemudian, saya pun faham. Dia memang datang meraikan majlis, kerana pada ketika yang sama kakaknya di Selarong Batak juga mengadakan majlis kenduri kahwin – pernikahan anak sulung.

“Ni nak kena patah balik ke sana pulak…”kata Abu Yazid, yang kebanyakan rakan memanggilnya Paksu. Kalau tidak silap, rumah kakaknya bersebelahan rumah Nik Ainey, BF yang tidak sempat saya menjadi gurunya tetapi sudi diundangnya ke majlis perkahwinannya tidak lama dahulu. Malam tadi saya melihat ada dua tiga tenda putih di tepi rumah Nik Ainey…

 Saya meminta izin Abu Yazid untuk mengelik wajahnya, untuk simpanan arkib. Saya gunakan aplikasi WhatsApp. Klikan pertama tidak menjadi kerana ada gawangan tangan. Kali kedua barulah ok sedikit. Muncullah wajah Paksu berbaju denim seketika kemudian di grup WhatsApp AlFalah yang sudi menjemput saya sebagai ahli. {Difahamkan ada tujuh grup melibatkan BF, dua tiga mengikut tahun belajar ahlinya, yang memang tidak relevan dengan orang tua ini…}


“Tu nak masuk dalam facebook la kut…”kata Abu Yazid, anak bongsu Paklang Mail Kg Perlis. Saya tidak menjawab, kerana dia sendiri tahu jawapannnya.


Sebelum Paksu beredar, saya klik juga wajah Zamri. Juga dua kali untuk mendapat hasil yang memuaskan dari amatur seperti saya. Kami membelek bersama sebelum tanda ok di WhatsApp grup ditekan.


Zamri
Ada dua foto sebagai bahan untuk fb alumni, fikir saya. Sedang memikirkannya, dan melihat Zamri mengerah seluruh tenaga pada jarinya mengumpul semua baki nasi untuk membuat suapan terakhir, saya pula bangun ke meja makanan. Saya cedok dua senduk nasi, sedikit kuah gulai ikan kering, dan seketul ayam. Saya tidak membelek yang lain lagi. Mahu segera kembali ke meja, bimbang Zamri akan bangun , membiarkan saya seorang melayan nasi…

Fadzilah datang semula. Berbual dengan pasangan tetamu di meja kami. Memperkenalkan saya sebagai bekas gurunya…Apa-apalah. Saya sekadar mengangguk kepada pasangan itu sebelum mula menyuap.

Fadzilah bertanyakan tentang Cikgu Non. Saya memaklumkan bahawa sahabat merangkap jiran saya itu ada menyatakan tidak dapat ikut memeriahkan majlis kenduri  berkenaan kerana ada hal di Sungai Udang, Yan. Pada masa yang sama Cikgu Non mungkin [jangkaan saya] akan turut melawat anak sulungnya di MRSM Merbok.

Saya bertanyakan pula tentang Cikgu Deja Man, kerana menjelang masuknya waktu Zuhur tadi, melalui grup WhatsApp, cikgu dari Alor Gandak itu ada bertanyakan saya samada telah pergi atau belum ke Sungai Papan. Kata Fadzilah, Cikgu Deja Man mungkin sampai lewat sedikit berdasarkan perbualan telefon mereka awalnya.

Sebentar kemudian, Fadzilah kembali bersama ayahnya di depan khemah, menyambut tetamu yang baru sampai serta berterima kasih kepada yang mahu pulang…

Saya kembali berbual dengan Zamri yang ditemani seorang anaknya.

Setengah jam sebelum berita tentang kematian Tuan Guru Nik Aziz tersebar, malam Jumaat 12 Februari, saya menerima panggilan dari Fadzilah. Panggilan pertama dan mungkin terakhir darinya untuk saya…

Selepas memberi salam, dia memperkenalkan diri, “Saya Fadzilah, yang mengaji di Falah dulu…”

“Fadzilah Ahmad ka?” tukas saya.

“Isy…ingat nooo…” saya mendengar dari hujung sana.

Saya tidak menjawab. Cuma hati berkata, sepanjang di AlFalah dulu dalam empat lima orang sahaja bernama Fadzilah. Masing-masing dari Kg Perlis, Alor Ibus/Selarong Batak, Kola Kedah dan Tebengau… Ada Fadzilah Idris juga sekelas dengan Fadzilah Ahmad ini. 

Dia terus ke matlamat panggilan. Menjemput saya sekeluarga ke rumah ayahnya. Kenduri kahwin adiknya. Hari Sabtu, 14 Februari.

Kenduri Sabtu, jemputan dibuat pada malam Jumaat. Entah mimpi apa yang memungkinkan saya menjadi salah seorang calon tetamu…Nampaknya rombakan perjalanan ke dua lagi kenduri pada hari berkenaan,yang jemputannya sebulan dahulu, terpaksa dilakukan, jika mahu memenuhi undangan Fadzilah.

“Fadzin ka yang kahwin….?” Saya menebak walaupun yakin masakan adik lelakinya itu  masih membujang lagi pada usia menghampiri empat dekad.

“Dak aih.. Fadzin anak dua dah…”balas Fadzilah, mungkin sambil tersenyum.  “Ni kenduri adik kami…. Yang terakhir….” 

Tidak pun dipesan supaya saya menjemput sama Cikgu Non. Ertinya, tentulah Fadzilah akan hubungi sendiri bekas guru matematiknya itu. Entah dari mana diperolehnya nombor telefon kami…[Pada hari kenduri itu barulah saya tahu rakan sekelasnya dahulu, Hj Mohd Nazri Hashim yang memberikan nombor itu..]

Sebaik selesai berbual, saya keluar untuk ke rumah jiran yang bakal bertolak mengerjakan umrah pada pagi besoknya. Berbual-bual bersama beberapa jiran lain sambil menikmati juadah atau menikmati juadah sambil berbual-bual bersama beberapa jiran lain…Ikutlah mana yang anda berkenan untuk dibayangkan…

Sedang bergebang di rumah jiran – yang memisahkan rumah Cikgu Non dengan kediaman saya – itulah,  Fadzilah menghubungi saya semula untuk menjemput sama Cikgu Non, kerana cikgu itu sedang di dalam satu mesyuarat, ketika dihubunginya. Samatua sayalah yang tolong mengambil pesanan Fadzilah kerana telefon saya sengaja ditinggalkan di rumah…

“Ni kenduri adik kami…. Yang terakhir….” Kata Fadzilah.

“Yang terakhir….”

Kalah…
 Selama ini saya memang kalah kalau orang sebut kenduri ‘yang terakhir’…. Lebih-lebih lagi orang itu Budak Falah…Selepas ini, tidaklah saya tahu…Mungkin bergantung kepada kudrat juga. Dengan izin Allah.

Tidak lama dahulu, mungkin dalam dua tahun, Sofiahmad Din pernah menjemput saya [serta Cikgu Non dan Cikgu Rahim] ke kenduri terakhir, perkahwinan adik bongsunya. Saya pergi bersama Cikgu Rahim, Wira Osman dan anaknya. Cikgu Non menghadapi lintangan aral, tetapi pernah pergi ke kenduri kedua terakhir beberapa bulan sebelum itu…

Md Rautin Md Desa pernah menjemput saya [serta yang lainnya] ke kenduri terakhir, perkahwinan adik bongsu juga. Saya pergi bersama Ustaz Husin Lateh.

Demikian pula dengan Ustaz Mazlan Mansor. Dia menjemput saya ke kenduri terakhir, juga perkahwinan adik bongsu. Saya pergi bersama Wira Osman a.k.a Wira Islam.

Semuanya menyebut ‘kenduri terakhir’ ketika menjemput…

Semuanya sempat saya coret seadanya di blog ini… Alhamdulillah.

Kini Fadzilah pula menyebut ‘kenduri terakhir’.

Itu yang menyebabkan saya ‘kalah’. Kekalahan hanya dapat ditebus dengan pergi ke kenduri terakhir itu!
 Demikianlah intipati cerita saya kepada Zamri sambil perlahan-lahan mengunyah nasi bersalut kuah  juga merangkap pembalut lauk.

 Ada tajuk lain juga yang akhirnya membawa kami beredar dari khemah utama. Zamri ke khemah dj bersama anaknya. Saya tersekat sedikit perjalanan kerana bertembung dengan Mansuruddin, BF yang kini mewarisi perniagaan kain baju di pekan sehari dari ayahnya. Seperti selalu, Mansuruddin tidak banyak bercakap, menjawab hanya apa yang ditanya. Tiada soalan darinya. Selebihnya dia hanya tersenyum.

Meninggalkan Mansuruddin, barulah saya bertemu dengan Fadzin. Sempat masing-masing bertukar pandangan pada kontur perut. Mengagah mencucuk sekali dua dengan jari telunjuk.

Semenjak dia meninggalkan AlFalah, inilah kali pertama bertemu. Dua dekad sudah pasti. Banyak yang mahu ditanya dan dibualkan tetapi kondisi tentulah tidak sesuai. Cuma sempat bertanya dulu tentang keluarga, kerjaya dan kediaman/tempat bermastautin. Sebelum melangkah, saya minta dia tunjukkan abang iparnya, samatua Fadzilah, lantaran sukar untuk meneka kerana ahli lelaki di dalam keluarga mereka tidak memakai sedondon seperti ahli perempuan.. Fadzin tunjukkan seorang lelaki muda dengan tuala putih membalut leher, berdiri sejarak 20 meter dari kami, di depan pintu rumah ayahnya dan saya mengangguk.

Saya nampak kelibat Asparini Ismail, BF yang juga sepupu Fadzilah dan Fadzil. Saya gamit Fadzilah yang kebetulan berada di tepi meja buffet. Saya memintanya memanggil sepupunya itu, yang seperti kebanyakan BF lain, tidak lagi saya temui setelah meninggalkan AlFalah. Bukan jauh kampung Asparini dengan AlFalah. Tetapi …entahlah. Memang diskripkan begitu…

Fadzilah
Fadzilah mendekati Asparini yang kelihatannya sibuk di sebuah khemah berdekatan tempat bersemayamnya adik bongsu Fadzilah/Fadzil dan samatuanya. Kelihatan Fadzilah berbisik sesuatu. Sesuatu yang saya dan anda boleh tahu intinya. Saya nampak Asparini menoleh ke arah saya, melaju datang sambil entah tersengih atau tersenyum lebar…Maaflah, saya kehilangan kata-kata untuk mencatat tentang pertemuan itu. Bukanlah kerana terlalu terharu tetapi memang saya terlupa apa yang Aspa [panggilan rakan-rakannya] kata…Yang saya ingat hanyalah pada baris entah ke berapa “Makan dah, cikgu?”
Aspa & Fadzilah

Kemudian saya minta untuk merakam gambar wajahnya. Solo. Kemudian lagi, saya merakamkan dia bersama Fadzilah. Foto Fadzilah sendiri ada dua tiga keping sempat saya klik sebelum dan selepas itu. Kemudian lagi-lagi, Aspa cadangkan untuk merakamkan wajah saya pula bersama mereka. Memikirkan berada di tengah panas memijar [itu pun masih ok], di sisi dua tiga khemah dengan bergantang mata memerhati [ini yang tidak oknya…], saya mengambil keputusan drastik. Saya berlari terus ke khemah dj…Entah apa yang Aspa kata di celah-celah dia mencari telefon berkamera, tidak saya peduli. Maaflah, kak…

Di khemah dj, saya sebumbung semula dengan Zamri. Saya duduk di kerusi bersebelahan Rosli a.k.a Li Chot. Dj bersuara garau itu mengalu-alukan tetamu yang baru sampai dan mengucapkan selamat jalan kepada yang mahu pulang. Kemudian dia mainkan sebuah lagu dangdut yang tidak pernah saya dengar. Hentam sajalah, Labu…

Setelah itu barulah dia mengubah kedudukan sedikit untuk berbual dengan saya. Sekejap sahaja kerana matanya perlu memerhatikan tetamu yang sedang bersalaman dengan tuan rumah sambil memerhatikan skrin tv di sisinya.

“Sedap sogha dj….sogha jantan…”kata saya. Rosli tersengih. Banyak juga saya pergi ke rumah kenduri yang menggunakan khidmat Rosli sebagai dj tetapi inilah kali pertama saya duduk berbual dengannya.

Ada meja khas di sisi meja terletaknya peralatan milik Rosli. Di atas meja itu ada tiga pinggan berisi kuih pelbagai nama dan rasa, ada dua jag air. Satu jag air sirap dan satu lagi – dengan baki air lebih kurang dua gelas – jag berisi air kehijauan…
“Ayaq ketum apa….?”usik saya tatkala Rosli mempelawa saya minum.

“Huisy… ayaq tebu tu…”tukas Rosli, tersenyum manis.
Rosli [kiri]
Saya meminta Zamri merakam wajah saya dan Rosli.

Rosli Mansor adalah BF hujung 80-an. Dia muncul di AlFalah sebagai pelajar yang mengambilulang peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP], setelah gagal sebelumnya di SM Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat.
Rumah Zamri dan rumah Rosli berada di jalur jalan yang sama. Yang berbeza hanyalah nama kampung. Alor Pulai dan Sungai Nonang. Jadi mereka tentunya saling mengenal. Berbuallah kami dengan sesekali Rosli berceloteh di corong pembesar suara.


Zamri bercerita tentang rutin kerjanya sebagai pemandu lori muatan besar. Tentang perjalanan pergi pulang dan memuatnaik /menurunkan barangan termasuk bahan kimia. 

Fadzil datang semula dan duduk di sisi saya. Saya klik foto wajahnya. Melihat saya memegang jag berisi sedikit air tebu, dia mencapainya lalu membawa pergi. Dalam hati teruja untuk menikmati air tebu dalam cuaca membahang, Fadzil datang bersama sejag air sirap. 

“Ayaq tebu habih…”katanya. Apa nak dikata…

Fadzilah dan Aspa datang semula. Mahu merakam gambar bersama saya, sempat lagi Aspa mengomel tentang langkahan meninggalkan tempat mahu bergambar tadi. Mereka berdiri di belakang saya. Sayang, terlupa pula untuk menggunakan sama telefon saya. Maka foto kami hanya tersimpan di kamera samada Fadzilah atau Aspa…

Dengan telefon saya, dirakam pula saya bersama Fadzil. “Ambik… ni cikgu Sains aku ni….”katanya, mungkin untuk menggantikan kata ‘cheese’ yang biasa disebut sejak berzaman oleh orang yang mahu bergambar…

Fadzil Nor Ahmad. 

Pelajar Kelas Peralihan AlFalah tahun 1991, sama seperti sepupunya, Aspa. Berada di sekolah agama itu sehingga tamat SPM. Kini bertugas sebagai anggota tentera di Negeri Sembilan, sayangnya saya terlupa bandar kediamannya. Bermertuakan orang Kelantan. 

“Mana laki hang? Panggilla mai sini…berkenalan…” kata Zamri kepada Fadzilah. Anak sulung Abang Din itu tersengih lalu memanggil samatuanya yang kebetulan berada di sisi mertuanya di depan khemah utama. 

“Kut-kutla jumpa ataih lebuhraya ka…boleh kenai…”Zamri menyambung lagi sebaik samatua Fadzilah menyalami kami. 

Fadzilah memperkenalkan saya sebagai gurunya dahulu. Si suami tersenyum dan mengangguk. 

“Mana bini hang? Panggilla mai sini…berkenalan…” kata Zamri kepada Fadzil. Anak lelaki tunggal Abang Din itu tersengih lalu memanggil samatuanya yang kebetulan berada di sisi mertuanya di depan khemah utama. 

“Kut-kutla jumpa ataih lebuhraya ka…boleh kenai…”Zamri menyambung lagi sebaik samatua Fadzil menyalami kami.

Dua perenggan di atas itu hanyalah ilusi. Saya hairan kenapa Zamri tidak menjadikannya sebagai satu realiti… 

Samatua Fadzil pastinya berada di dekat-dekat situ juga…Bertambah seorang lagi BF, yang saya tahu, bertemu jodoh dengan orang Kelantan – Najib Ariffin, Helwi Shahril Ariffin, Wira Osman dan Zamri Zain [yang terakhir itu ada kaitan juga dengan Terengganu]

Setelah berbual sedikit, samatua Fadzilah meminta diri untuk meneruskan peranan di khemah tetamu dan sekitarnya. Demikian pula Fadzilah.

Fadzilah Ahmad. 

Pelajar Kelas Peralihan AlFalah tahun 1989. Berada di sekolah agama itu sehingga tamat SPM. Kini bertugas sebagai guru pendidikan khas di Alor Setar, sayangnya saya terlupa nama sekolahnya. Bermertuakan orang Kedah. 

Saya, Zamri dan Rosli kembali berbual kisah masa lampau di AlFalah. Kedua mereka bertanyakan majlis perjumpaan raya BF yang hanya diketahui dari rakan-rakan. Saya menjawab seadanya… 

Ketika itulah saya nampak Cikgu Deja Man dalam busana serba hitam, demikian pula cermin mata, menuju ke khemah utama, diiringi oleh anak sulungnya. Saya tidak tahu samada dia tersenyum ketika melihat kami di khemah dj, atau wajahnya begitu kerana menongkah terik mentari petang yang menyengat. Rosli tentulah tidak mengenali Cikgu Deja Man. Kalau tidak pastilah sang dj itu akan mengalu-alukan kedatangan dengan sebutan khas, sepertimana ketika saya sampai awal tadi. 

Sebentar kemudian, Zamri yang telah berkali-kali diajak pulang oleh anaknya, bangun meminta diri. Ada persediaan jamuan harijadi seorang ahli keluarga di rumah, katanya. Kami melepaskan kepulangannya dengan harapan akan lebih kerap bertemu. 

Fadzilah datang kemudiannya, bersama satu beg kertas berisi buahtangan termasuk dua bunga telur, sebuah beg plastik berisi nasi dan tiga jenis lauk  -  ayam merah dan gulai talang dan ikan goreng. 

Saya menerimanya lalu meletakkan di atas kerusi. Mahu dirakamkan dapatan itu untuk diperagakan kepada ahli grup WhatsApp. Saya pun manusia biasa tentulah mahu meniru perbuatan biasa manusia biasa lainnya… 

Sedang mencari posisi yang baik, Fadzil pula datang dengan sebuah beg kertas lain dengan bahan berbeza. Selain makanan ringan, ada buku kecil mengandungi surah Ya Sin, kaifiat tahlil dan doanya serta kaedah mengerjakan solat sunat. 

“Boh hak ni sama…”kata Fadzil, tersengih. 

Saya mengelik sekali lalu terus dihantar kepada ahli… 

Melihat beg-beg itu, terbayang pula akan berat kaki melangkah ke motor dengan berdozen mata pasti memerhati… 

“Tuan-tuan dan puan-puan jangan kata apa. Saya ni bekas cikgu kepada Fadzilah dan Fadzil. Depa kahwin dulu tak jemput saya. Pasai tu hari ni depa bagi sebanyak ni…” 

Kalau boleh, itulah yang mahu saya katakan melalui pembesar suara Rosli sebelum melangkah pulang nanti… 

Saya tinggalkan beg itu dahulu. Saya hampiri Cikgu Deja Man yang sedang menyuap nasi bersama anaknya di bawah khemah yang agak ke tengah. 

Terus saya merakam dan mengirimkan fotonya ke grup WhatsApp. Dua kali.  Ada sedikit kekok hamba Allah itu menyuap tetapi tidak pula menolak untuk dirakam. Cikgu Deja Man juga manusia biasa. Maka dia tahu, kelak foto-foto itu boleh disimpan sebagai kenang-kenangan. 

Setelah berbual tidak sampai 150 patah kata dengan Cikgu Deja Man, sambil berdiri di depan mejanya, saya pun berundur.  Letih. Lagi pula takut sahabat itu tersilap menghalakan suapan ke hidung… 

Tambah kapsyen
Alhamdulillah.Tiga undangan kenduri telah selesai dipenuhi. Sebagai lelaki biasa, tidaklah saya masuk ke rumah untuk melihat bilik pengantin. Saya kembali ke khemah dj untuk mencempung semua beg yang diberikan. Sebelum itu, saya bersalaman dahulu dengan Abang Din. Dia menghulurkan dua bunga lagi lalu saya tolak sambil menunjuukan beg di atas kerusi di sisi Rosli. Dia faham. 

Di atas motor, ketika keluar ke jalan utama, saya teringat sesuatu. 

Sayang, tidak sempat saya tahu atau mengenali emak Fadzilah dan Fadzil. Terlupa untuk bertanya. Sedangkan saya masih ingat pada hari pertama Fadzilah masuk ke AlFalah, ketika membelek surat beranak semua pelajar di atas mejanya, saya membisikkan kepada Ustaz Fairose, “Pirud, mak budak ni muda setahun daripada aku, sama umoq dengan hang. Tapi anak dia dah 13 tahun…” 

“Isy nooo….kita tak tau lagi tang mana dok anak kita….” balas Ustaz Fairose, pengetua AlFalah itu. 

“Nak mai kut mana… kalau gu dia pun taktau dok tang mana…”kata penolongnya, Ustaz Zahari yang kemudiannya tertawa tanpa bunyi sehingga terpejam mata. 

Perli la tu… 

Saya dan Ustaz Fairose serentak merenung Ustaz Zahari yang cuba melindungkan senyum dan tawanya dengan salah satu surat beranak yang sedang kami belek…. 

Ah, memori…

Nampaknya tidak adalah peluang untuk mengenali emak Fadzilah, Fadzil Nor serta adik-adik mereka – Fadzliana dan Fadzliani  - kerana kenduri yang saya hadiri itu merupakan kenduri terakhir…

No comments: