Petang Isnin lalu Maklang yang sedang berjalan pulang dari rumah Ustazah Rodziah memberitahu ada surat untuk saya, di rumahnya. Terkejut juga.Makhluk manakah yang tertinggal bot dan tidak mengetahui bahawa telah lama saya tidak menggunakan alamat tersebut. Mungkinkah kekasih-kekasih lama yang baru sedar bahawa kalau pun tidak mahu dikasihi, saya patut dikasihani? Hehehehehehehe......sob....sob....sob....hik...
Sebenarnya di kad pengenalan saya masih ada alamat itu. Ringkas dan padat.
AL FALAH, KANGKONG,
06600 KUALA KEDAH,
KEDAH
Begitu saja. Pernah ketika berebut membaharui kad pengenalan dahulu, seorang pegawai Pejabat Pendaftaran mengatakan alamat itu tidak boleh dimasukkan. Alfalah itu apa? tanyanya. Kampung? Banglo? Saya buat tidak kisah kerana pada kad yang lama juga tertera alamat itu...... Akhirnya, kekal juga begitu....
Hujung pagi berikutnya, saya singgah untuk mengambil surat tersebut. Maklang/Maklong sedang makan tengah hari. Saya diajak sama, tetapi menolak kerana baru setengah jam sebelumnya saya menghabiskan sepinggan nasi di sebuah rumah emak saudara.......
Maklang bangun mengambil seberkas surat di atas almari di ruang dapur itu. Mencari sampul yang mempunyai nama saya. Apabila dibuka fahamlah saya. Sekeping surat dari sekelompok orang yang tidak perlulah saya catat di sini siapa dan untuk tujuan apa.
Saya melipat dan memasukkan ke dalam poket kiri seluar.
Maklang menuang sirap segera segelas untuk saya, setelah menolak teh o suami buang I. Sambil itu dia dan Maklong terus berselera menyuap nasi. Sempat juga bercerita itu ini begitu begini. Perbualan biasa tentang keluarga mereka dan keluarga saya. Pun tidak perlulah saya catat di sini lagi....
Di depan saya ada satu tudung saji plastik sebesar bingkai penutup kipas angin berdiri. Maklang membukanya, "Hak menyorok pagi tadi...." katanya.
Saya memandang ke arah itu.
Ada dua biji setengah. Yang dua itu sama saiznya, macam beracuan pula. Bulat, leper, tebal. Saiz standard seperti yang sering saya makan pada pagi-pagi Jumaat di Pasar Kampung Berjaya, Alor Setar.[Cerita awalnya di sini].
Maklang mempelawa saya menjamah pek nga itu. Dia meminta Maklong mengambil sebiji piring untuk diisi dengan gulai ikan temenung sebagai bahan pencicah. Belum sempat Maklong menghulurkan piring itu, lima puluh peratus dari setengah keping tadi telah berada di dalam mulut saya..... Manis rasanya.
"Dah bubuh pisang..." kata Maklong ketika saya memberitahu apa yang dirasa.
"Tu la peknga!" tokok Maklang pula. Seingat saya masa arwah emak dulu, kalau bubuh pisang dan dibalut pula dengan daun pisang, diletak di atas bara atau berlapik belanga, namanya Tempek Pisang. Ada juga bernama lempeng. Lempiang ikut slanga orang Kedah.
Nyok Kemantan |
"Yang bubuh nyok kemantan saja 'tu?" tanya saya, keliru dengan rasa yang saya makan di Kampung Berjaya atau yang menantu emak buat tatkala ada buah kelapa pra-tua itu serta kerinduan kepada peknga menggebu.....
"Yang 'tu roti kesot!" tegas Maklang.
Ooooo.
Bukan tidak pernah dengar nama roti kesot dalam usia pra maghrib ini. Cuma terlupa.
Maka berceritalah kami tentang roti kesot dan pek nga.
Kata Maklang, adik Ustaz Fairose yang tinggal di Lembah Kelang, kalau balik ke Alfalah tidak pernah lepas dari membuat atau menikmati pek nga. Kemudian dia mengenang - dengan penambahan dari saya - beberapa orang budak asrama yang rajin membuat peknga atau roti kesot. Nama mereka tidak perlulah dicatat. Manalah tahu kalau mereka sudah terlupa resipinya manakala isteri atau anak-anak pula meminta mereka membuatnya, tidakkah haru jadinya?
[Saya terkenang seorang yang cukup inovatif. Dia memecahkan serta mengaduk telur dan menuang pada setiap permukaan peknga di dalam kuali. Dinamakannya pekngalur. Wangi semasa dialih di atas kuali. Saya pernah merasanya dua tiga kali.Entah dibuat atau tidak lagi pekngalur itu setelah ia menjadi dewasa dan senang sekarang.......]
Saya sempat merakam gambar ketika peknga yang separuh telah melalui proses peristalsis di tenggorok saya. Lalu dihantar kepada seorang Budak Falah di Kay El..... Saja melayur. Memang itu niat tunggal saya.Maklang tergelak apabila saya memberitahunya. "Hangla....." katanya dalam gelak itu.
Serkap saya mengena. Budak falah itu membalas: Elehh! Smalam bru dok m'ngidam roti nyok ni.Mcm tau2 ja nak tayang kat cheq....
Roti nyok? Satu nama lagi. Sahihlah orang Kay El lupa nama sebenarnya. kalau sebut roti kesot, lagilah tidak diingatnya. Apabila saya beritahu sedang menikmati secara langsung di AlFalah, di rumah Maklang/Maklong, saya tahu berketul gumpalan liurnya melintasi kerongkong. Lg sdap ayaq tgn org tua2... tulisnya.
Setelah itu sesi makan itu saya sambung. Lebih-lebih lagi ada dua penonton.
Saya koyak kepingan kedua, benamkan ke dalam gulai ikan temenung. Putus dan hancur ikannya saya kerjakan. Kemudian gumpalan peknga, ikan dan kuah itu cepat-cepat saya masukkan ke mulut.Saya pejamkan mata. Mengunyah sambil menggeleng. Manis, lemak, pedas, masin bersatu.Fuh, sedap......
Proses itu diulang sehinggalah ikan dan kuah gulai habis. Maklang hendak menambah seekor lagi, tetapi saya menolak. Malu kalau kena tulis di dalam blog tibai sampai dua ekor ikan..... Baki peknga saya habiskan tanpa mencicah. Cukuplah manisnya pisang menjadi peneman di dalam mulut. Pun sedap.....
Kalau roti kesot, kata Maklang, dia suka mencicahnya dengan gula. Saya hanya mengangguk. Mulut tidak mengizinkan saya bercakap.....
Nanti kalau ada nyok kemantan, kata Maklang lagi, dia akan buat roti kesot. Akan disimpan tiga empat keping untuk saya. Ini pun Maklang yang kata.....
Dan saya tidak segan silu untuk menanti detik itu.....
Demikianlah.
[Foto nyok kemantan ada bersama resipi peknganya di sini.]
4 comments:
dulu2 selalu minta kat mak roti nyokk.... :) roti kesot lg laaa x pnh dengaq huhuhuhu....
Saya koyak kepingan kedua, benamkan ke dalam gulai ikan temenung. Putus dan hancur ikannya saya kerjakan. Kemudian gumpalan peknga, ikan dan kuah itu cepat-cepat saya masukkan ke mulut.Saya pejamkan mata. Mengunyah sambil menggeleng. Manis, lemak, pedas, masin bersatu.Fuh, sedap...... [ x patut.... x patutttt!!]
mmg sedap cicah peknga ngan gulai ikan tambah gula..... fuhh..... fuhh.... fuhhh mmg susahnyaaa nak dpt kat sini
nyok muda kat sini kalau dpt pun jenis parut.... mana ada feel telan teruih masuk kerongkong.... kalau kat kg, leh kopek2 potong.... paling enak dpt chew...cheww ketulan nyok muda tuh.... peerrrkkkkhhhhhhh weeeeiiihhhh!!
Post a Comment