4 January 2014

Menghitung Hari

Ada yang tak berapa faham apabila membaca entri awal tahun  Kau Yang Tersendiri.

Buktinya, masih ada yang menghubungi,  melalui fon dan PM, bertanya 'benarkah AlFalah sudah dibuka semula?' serta beberapa frasa yang seputar itu.

Saya tidak silap taip seperti yang seorang lain katakan di dalam PMnya. Saya taip 2015, bukan 2014 sebagai tahun pembukaan semula AlFalah - dalam bentuk dan niat asalnya. Bukan pusat tahfiz atau yang lainnya, tetapi sebuah sekolah rakyat. Tidak kiralah peringkat rendah atau menengah. Janji, sekolah.

Tetapi ada terma dan syaratlah. Supaya mudah difahami, biarlah saya terangkan begini: Mungkin dibuka pada tahun 2015, SEKIRANYA benar janji pihak yang menduduki bumi AlFalah sekarang bahawa mereka akan mengangkat kaki pada hujung tahun 2014. Setahun setelah mereka mendapatkan lagi satu penangguhan dengan alasan sekolah/bangunan yang disediakan untuk pemindahan budak mereka dari Alfalah itu masih belum siap sepenuhnya.


Maka terigau-igaulah saya untuk melihat jalan masuk ke AlFalah, tidak lagi di tembok yang budak Falah bersama Ustaz Fairose dirikan dulu, ada tin tanda seperti di sebelah ini. Rimaslah, bang. Sudah hampir sedekad tin itu dilekatkan ke situ. Sehinggakan konduktor bas yang muda remaja tidak tahu lagi bahawa di tapak itu sehingga awal milenium ini dahulu adalah Sekolah Falah atau Madrasah AlFalah atau AlFalah sahaja. Tersiat hati apabila dalam satu insiden terpaksa naik bas, konduktornya berkali-kali bertanya setelah saya katakan mahu turun di AlFalah. Dahulu, kalau sebut AlFalah, konduktor faham dan terus berikan tiket dengan nilai yang sepatutnya. Hari itu, konduktor yang buta sejarah AlFalah itu tanyakan, 'AlFalah itu batu berapa?' Aduh.... Bayangkanlah, bang, bagaimana hati tidak terasa bagai disiat-siat.

Tidak kiralah sekolah rendah atau menengah, saya berdoa cepatlah AlFalah balik ke pangkal. Ada yang bertanya siapa pentadbir baru, siapa mudir baru? Saya mahu jawab bagaimana, bang. Saya bukan kira siapa jadi itu, siapa jadi ini. Yang saya mahu, AlFalah kembali jadi sekolah semula. Sekolah yang dalam erti kata sebenar.


Malulah, bang. Kalau sebut alamat KM 17, Jalan Yan sahaja, sampai ke Tanjung Piai di hujung Asia pun penduduknya akan terus membayangkan budak-budak bertubuh kering dengan pergerakan yang perlahan datang ke pintu kereta atau berdiri di depan pintu bank serta pintu kedai makan, bersama barang jualan yang entah apa-apa tetapi tidak pernah tinggal dengan buku resit. 'Minta derma untuk sekolah anak yatim, cik.....' itu frasa yang mereka bawa sama dengan sedikit pengubahsuaian di mana-mana yang patut.

Sudah popular dengan cara yang salah alamat itu. Disebut dibincang di pelbagai medium. Ada di tv, ada di akhbar. Ada dalam fb, ada dalam blog serta ada dalam Youtube..

Tak popular pun tidak mengapalah, bang....

Marilah bersama kita mendoakan yang terbaik untuk tanah yang ramai wakafkan itu. Wakaf dikutip demi dan atas nama sekolah, maka marilah kita mendoakan AlFalah dikembalikan kepada bentuk yang diniatkan dan disangkakan oleh pewakaf yang banyak itu. Bukan tidak bagus wujudnya pusat tahfiz, tetapi tengoklah pusat tahfiz yang beroperasi di bumi AlFalah itu. Tidak semacam pusat tahfiz yang tulen. Macam main-main jer... Macam ada kepentingan jer... Macam tak percaya jer...

Ketika saya menaip ini, ada lagi 361 hari untuk memasuki tahun 2015. Sudah tidak lama. Tinggal. lagi 52 minggu...

Marilah kita pakat berdoa ya, bang.

Cepat dan lancarlah hendaknya AlFalah dapat berada di atas landasan yang asal!

1 comment:

Pawang Nujum said...

Moga Yang Terbaik Akan Menyingsing Di Fajar 2015....