16 January 2014

Saya Yang Telah Terlanjur



Sedar-sedar, saya sudah lama rupanya terlanjur!

Saya hanya mula berblog pada tahun 2007, setelah tahu bagaimana mengoperasikanya dari bimbingan adik saya. Komputer masih saya tak punya ketika itu. Berblog pun hanya mengikut kekosongan penggunaan komputer adik. Blog umum. Adalah pengikut sekerat dua. Buka lagi satu blog. Kemudian buka lagi. Tapi dengan komputer dan dan talian internet pun menumpang orang, banyak manalah sangat sempat saya naikkan entri. Tambahan pula, saya tidak boleh menulis di tempat lain lalu menaip atau naikkan pada waktu lain. Mesti semasa menghadap komputer dan  semasa ‘online’ sahaja barulah ilham tiba. Susahlah, kan? Tapi nak buat macam mana…

Itulah tantangannya untuk saya buka blog Budak Falah lebih awal. Isi atau bahannya banyak dan pelbagai ada di minda. Tetapi komputer dan talian internet? Saya hanya Cipher …

Demikianlah sebabnya maka hanya selepas adanya  pertemuan raya budak Falah, barulah dapat saya buka blog ini. Kebetulan ada pula hamba Allah yang tidak ambil tahu bab IT tawarkan satu set komputer yang tidak lagi anaknya gunakan,  dengan harga yang, kebetulan lagi, Cipher mampu…

Bermulalah blog ini.

Rahim Jpsb
ARBD
Awalnya ramai budak Falah yang tidak tahu siapa Cipher. Seronok juga. Mereka terlupa nama itu yang pada zaman perFalahan dulu sering muncul di hujung kertas soalan Sains, BM, Kesusasteraan Melayu malah ada sekali dua – kerana ketiadaan guru khusus - pada kertas Sejarah  dan Jo’rafia! Nama yang kadang-kala terselit di celah sebaris ‘askar memegang senapang’ yang dibentuk hasil tindanan /&)( dari mesintaip… Mungkin mereka juga sudah lupa di hujung kertas soalan dari seorang ahli Sejarah AlFalah [sehingga hujung dekad 80-an], ARBD – Cikgu Abdur Rahim Bin Daud – yang  tidak pernah tertinggal meletakkan kalimat ‘Berfikir Sebelum Bertindak’

Kerana tidak tahu siapa Cipher,  ada beberapa budak Falah menghantar komen yang #!~@&^tut**>tut`|+<? -  meluahkan dendam lama tentang seorang guru AlFalah, dikenali sebagai Cikgu Din!. Saya membacanya dengan seronok sebab baru tahu bagimana perasaan budak Falah terhadap guru itu. Adalah juga yang memuji, tetapi kebanyakan komen bukan dalam bentuk itu. Saya bercadang tidak mahu memadam komen awal tersebut, tetapi malangnya bahasa yang digunakan rasanya tidak pernah diajar di dalam kelas BM di AlFalah...

Lagi pula blog ini dari awal lagi bukan sahaja dibaca oleh budak Falah Kangkong. Ada budak Falah Kemaman dan budak Falah Perak, yang mulanya tersangka tentang sekolah mereka tetapi walaupun tahu hanya tentang AlFalah Kangkong, mereka terus membacanya kerana kata mereka apa yang dicatat berunsur universal…

Ada juga orang yang tidak pernah pun dengar nama AlFalah di mana-mana sebelum ini, menjadi pengikut blog kerana memang minat membaca dan menjelajah dari blog ke blog. Kata mereka [ yang kini menjadi sahabat maya saya] hidup ini singkat, mustahil dapat merasakan sendiri semua, maka yang dicatat di dalam blog ini sekurang-kurangnya memberikan mereka pengalaman dan pengetahuan baru. [Terima kasih kepada mereka dari kelompok ini. Kalau mengharapkan hanya budak Falah Kangkong sahaja membacanya, berapalah sangat. Bukan semua budak Falah ada akses internet. Daripada yang boleh mengakses pula bukan semua minat membaca blog. Daripada yang suka membaca blog pula, bukan semua akan baca blog ini. Daripada yang membaca blog ini pula, bukan akan mengikutnya sepanjang waktu…Buktinya, ada yang ‘lihat’ kemunculan entri baru di laman fb grup Alumni AlFalah tetapi tidak pun mengelik untuk membacanya. Yang lawak lagi, siap dengan mengelik butang ‘like’, tapi tidak baca pun, sehinggakan ‘like’ itu sendiri kehilangan maknanya…]

 Maka memantaulah saya setiap tengah malam memadam apa komen yang tidak sesuai gaya bahasanya itu agar tidak dapat dibaca oleh pembaca blog ini keesokannya. Lama-lama komen begitu tidak datang lagi apabila agaknya dikesan TIDAK muncul pun di ruang komen di bawah sesuatu entri. Maka, sehingga kini, hampir kontang ruang komentar yang memang disediakan di hujung setiap entri. Hanya dalam satu entri, juga awal-awal dulu, kerana bahasanya tidaklah hodoh, tidaklah pula saya padam komen dari seorang budak Falah. Saya biarkan. Itu luahan tulusnya. Cikgu  yang dimaksudkannya itu pun,  saya tahu sangat,  tidak terasa apa-apa serta tidak berkata apa-apa…Hehehe…

Paling lucu adalah mengenangkan, betapa ada seorang yang menghantar emel kepada saya di alamat cik.gu.ard @gmail.com. Tulisnya begini [kuranglebih]:

Salam, Cipher.
Saya luahkan perasaan  dalam blog anda tetapi anda telah delete. Mungkin bahasanya tidak bagus tetapi itulah yang dirasa pada waktu menulis...
............................
Saya harap anda tidak beritahukan apa yang saya tulis itu kepada cikgu berkenaan [ Cikgu Din]...

Saya jarang buka kotak emel. Kalau buka pun , saya hanya membaca tajuk yang hati terasa mahu membaca lanjut. Selepas itu saya akan tentukan samada disimpan atau ditandakan untuk dihantar ke tong sampah.Emel di atas dihantar ketika entri di blog ini baru ada tidak sampai sedozen. Saya membacanya hanya pada hujung tahun lalu. Patutlah dalam satu perjumpaan, dia nampak lain... Agaknya dia baru tahu bahawa saya telah beritahukan isi luahan perasaan dendamnya dulu kepada Cikgu Din, apabila dilihatnya saya memakai baju dan seluar sedondon dengan cikgu yang dihentamnya itu…. Agaknya dia baru tahu bahawa kami telah bersumpah bersetia selamanya, berkongsi semua - pahit kelat manis payau. Hehehe.

Ada pula yang memberitahu rakannya bahawa Cikgu Din telah menggunakan blog Cipher ini untuk menyindirnya. Mengetahui sangkaan sedemikian, saya dan Cikgu Din hanya tertawa. Tertawa kami amat serentak hingga bunyinya pun satu… Hehehe

Lain pula dengan tiga orang lagi budak Falah. Seorang darinya, Sone [bukan nama sebenar] menyatakan kepada rakannya, Taeyeon [juga bukan nama sebenar], bahawa dia tidak suka, lalu tidak membaca lagi blog ini. Tidak mengapalah. Itu hak dan pilihannya. Tetapi kepada rakan yang lagi satu, Yoona [pun bukan nama sebenar], dia bercakap tentang klip-klip yang saya muatkan di dalam beberapa entri. Komen tentang foto dan pilihan lagu, serta apa yang saya catat. Hal ini saya dapat tahu masing-masing dari Taeyeon dan Yoona yang kebetulan sering ‘bercakap’ dengan saya. Demi kemaslahatan budak Falah, saya syorkan mereka untuk mengikut rentak sahaja... Biar pecah diPM, jangan pecah di timeline

Itu sekadar dua tiga contoh.

Cukuplah setakat itu kut...

Yang positif pun tidak kurang. Manis dan senang sekali untuk dikenang. [Tetapi maaflah jika saya tuliskan tidak dengan susunan yang betul. Saya sedang dijeling oleh gadis penjaga cc. Ya, saya masih menggunakan komputer di cc untuk menulis dan memuatkan entri ini kerana komputer di rumah masih mogok…]

Bermacam-macam hal menggembirakan yang saya temui sepanjang membuka blog ini.

Saya mendapat respons yang baik dari ramai budak Falah. Kata mereka, ada entri yang cukup menyentuh, mengembalikan ingatan zaman perFalahan, mengusik kenangan, menggaru memori.

Malah ada yang ucapkan terima kasih kerana mencungkil sesuatu yang mereka tidak tahu awalnya atau menulis sesuatu yang mereka tahu tapi tidak pula tahu bagaimana untuk mencurahkan atau meluahkannya. Tentang hidup di asrama, misalnya, dan tentang alam persekolahan sendiri. Biar dengan gaya Cipher, tetapi mereka merasa diri sendiri ada di dalamnya…

Ada entri yang melibatkan pertemuan atau perjumpaan secara 6,8 10 atau 12 mata, saya cukup bahagia apabila yang tuan mata yang terlibat dalam pertemuan sebegitu mengaku, bahawa apa yang saya catatkan cukup persis...

Saya menerima respons berterima kasih paling banyak apabila menaikkan nama pelajar Peralihan atau Tingkatan Satu AlFalah semenjak tahun 1983 hingga tahun 1999. Sebahagiannya baru teringat rakan sekelas apabila meneliti senarai kelas masing-masing! Ada yang memaklumkan telah berjumpa pun dengan rakan yang telah terpadam nama dari memori masing-masing.

Ada juga yang meminta saya naikkan juga nama pelajar yang muncul di AlFalah pada pertengahan, maksudnya pertukaran masuk semasa di tingkatan dua, tiga atau empat, malah lima. Saya angkat sepuluh jari. Saya tidak menyimpan baik di kertas mahupun di memori. Setakat seorang dua seperti  yang kini menjadi samatua seorang Dato’ dari Mantin dan anak saudaranya pada tahun 1995; atau geng Kupang, Baling pada tahun 1986; atau grup sekitar Chegar pada dekad 80-an, adalah. Tetapi mahu dimasukkan bagaimana senarainya?

Ada pula meminta senarai pelajar kelasnya yang masuk melalui kelas akademik sahaja, yakni Tingkatan Tiga 1983 dan seterusnya. Sekali lagi, saya tiada rekod bertulis tentangnya. Cuma ingat-ingat secara rawak. Ada setakat dua dozen budak Falah daripada dua kelas Tingkatan 3 Akademik 1983 [semuanya sekitar 60 orang] masih terselit dalam memori, maklumlah mereka juga merupakan perintis penjenamaan semula sekolah rakyat itu, serta orang terawal memanggil CIKGU kepada saya…  Generasi penerusnya saya tidak simpan di memori dengan banyak. Sekadar beberapa nama atau beberapa orang yang pernah melintas di depan saya setelah mereka tidak lagi belajar di AlFalah. Tetapi untuk menyusunnya dalam bentuk senarai lengkap dengan tahun masing-masing, rasanya amat mustahil. 

Saya sendiri bertemu dengan ramai budak Falah semenjak blog ini muncul. Ada yang berikan info tentang diri serta rakan yang masih berhubung.

Saya paparkan dalam banyak entri tentang pertemuan budak Falah sempena jamuan raya.  Ada yang mengaku teruja untuk datang setelah membaca paparan itu. Teruja untuk datang, tidak semestinya datang. Apabila tiada lintangan aral dan dapat datang, ada juga yang terus memberikan semangat serta bahan agar sentiasa muncul entri baru. Bagi yang baru tahu tentang perjumpaan seumpama itu, sekurang-kurangnya mereka menyimpan keinginan untuk datang pada masa depan. Soal keinginan itu terpenuh atau tidak, merupakan cerita lain… Tetapi hakikat bahawa rasa teruja serta ingin itu muncul setelah melawat blog ini, sangatlah mengujakan saya pula!

Akan komen lembut disalurkan secara peribadi tentang klip-klip yang dimuatkan dalam blog ini, saya ucapkan terima kasih. Mohon maaf kepada tuan wajah yang fotonya digunakan tanpa permit. Itu hasil dari seorang yang amat amatur, sekadar untuk memeriahkan laman… Akan saya perbaiki setakat termampu. Insyaallah.

Ada yang bertanya rakannya: adakah semua entri blog ini tulisan Cipher? Macam tak percaya jer.. macam tak yakin jer… Walaupun rakan itu telah memberikan jawapan lisannya, biarlah saya pula menyertakan jawapan bertulis untuk sesiapa yang  pernah dan akan bertanya begitu. Jawapannya: YA, semua entri di sini adalah tulisan Cipher.

Selain itu, saya juga berbangga kerana tiga sahabat saya, termasuk sahabat semasa di AlFalah, Cikgu Deja Man, telah menggunakan bahan dari blog ini, masing-masing untuk satu tugasan di kuliah. Seorang rakan lain, malah meminta saya rendangkan atau panjangkan entri pilihannya sehingga mencukupi jumlah patah kata yang sesuai. Alhamdulillah, ada manfaat lain juga blog ini rupanya…

Saya sendiri tidak menjangka blog ini akan bertahan lama, dengan setiap bulan ada entrinya, walau kadangkala tidaklah banyak bilangannya. Ada rakan blogger seangkatan telah berhenti sebaik menaikkan lima enam entri.  Cepat sekali menopause , katanya.

Saya rupanya telah terlanjur. Mulanya mencongak, sebaik menaikkan senarai nama budak Falah Peralihan/Tingkatan 1 dari tahun 1983-1999, cukuplah. Kalau sesiapa mahu merujuk, bolehlah membukanya bila-bila masa. Sesuai dengan nama blog.

Tetapi saya terus terlanjur…

Ada-ada sahaja yang mahu dicatatkan, dengan mengikut selera saya.

Melihat statistik di papan pemuka [dashboard] yang blogger.com sediakan untuk saya, saya tahu ada orang masih membaca blog ini walaupun pada hari atau minggu tersebut tiada entri baru. Ertinya, sudah ada pengikut. Ada yang mungkin mengulangbaca, atau ada yang mungkin baru terjumpa blog ini atau pun ada yang baru berkesempatan membaca kerana kekangan waktu. Yang pasti setiap hari ada yang membaca. Kadang -kadang saya lihat entri yang telah lama [lebih setahun], juga muncul dalam senarai top-ten mingguan blog ini. Misalnya, tentang kacang tanduk, ais kacang, ikan tamban, melawat Alor Setar dan hantu. Maksudnya, mereka samada mengulangbaca atau baru mula membaca. Bagi yang bukan budak Falah, mereka temui blog ini [selain dari dinaikkan dalam timeline fb saya yang tidak pun seberapa jumlah rakan], melalui enjin carian Google. Mereka menaip satu kata kunci dan kebetulan blog ini mengandungi kata kunci tersebut. Mereka klik, baca dan ada di antaranya mula mengikut…

Memikirkan MEREKA inilah [juga mengenang bekas pelajar AlFalah Kangkong], bersama SEMUA nikmat yang Allah berikan -  berbentuk kudrat,di mana daya menaip dua jari masih laju; fikiran pun masih belum terlalu berkecamuk [ aliran ilham masih belum lesu], penglihatan masih ok, bahan pun berlambak dan kian bertambah sehingga sukar memilihnya, masa juga ada [sejam untuk entri sepanjang ini – seluloinya antara 30 hingga 45 minit sahaja],  maka saya pun terus menulis, mencatat. [Walau kini agak perit sebab terpaksa menumpang komputer dan akses internet orang…]

Nak buat macam mana, saya telah terlanjur …

Kenapa saya membuat pengakuan ini?

Cipher
Ketahuilah: inilah entri yang keTIGARATUS di dalam blog BUDAK FALAH!

Sebab itu saya cukup teruja. Dan bersyukur. Amat bersyukur.

Maaf sekali lagi jika isi entri ini berselerak… ntahapaapantah!

Salam ta'zim dari Cipher.


2 comments:

wiraosman said...

Terbaik buat cikgu

Anonymous said...

Teruskan usahamu cikgu ku....