31 March 2015

Dia Pun Mendahului Kita

Image result for kubur

1 Mac. Ahad.


Pagi itu saya menerima panggilan dari Cikgu Non, memberitahu kematian Pak Utih, nama dikenali di sekitar Kangkong. Cikgu Non tidak dapat ikut menziarah kerana ada tugasan penting menanti di Sungai Limau.
Zawawi Hj Ali

Pak Utih atau nama sebenarnya Mohd Subki Hj Ali adalah budak Falah [BF], mengikut jejak abangnya Mohd Zawawi Hj Ali, pada dekad 90-an dahulu.

Saya segera ke Permatang Kangkong [saya tidak pasti nama sebenar kampung kelahiran Pak Utih]. Jenazah belum dimandikan. Difahamkan, solat jenazah akan diadakan di Masjid Lama Kangkong, bersebelahan tanah perkuburan.

Sebelum masuk ke ruang depan rumah, sempat berbual dengan salah seorang abang arwah yang lama saya kenal dan lama pula tidak bersua - seorang staf TM di Zon Kedah Tengah.

Ada beberapa BF dari generasi berbeza saya temui di depan rumah keluarga Pak Utih. Sebahagiannya tahu berita kematian Pak Utih  kerana memang tinggal  di kejiranan yang sama manakala ada yang kebetulan berjiran dengan dua tiga abanag Pak Utih. Ada yang merupakan  kawan perFalahan Pak Utih dan ada juga teman seFalah Zawawi. Yang paling banyak patah kata sempat saya berbual dengan Hj Nawawi [BF yang kini mengusahakan bengkel kimpalan besi di Alor Serdang] serta Mohd Fazli Hj Saad dari Permatang Ibus.

Setelah itu barulah saya masuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.

Saya menatap wajah Pak Utih yang kaku tubuhnya di ruang depan rumah dua lapis separa kayu itu.  Sambil berdoa untuknya, saya tidak dapat menahan sebak. Selain terdengar tangis salah seorang anaknya [khabarnya tiga orang semuanya – dan masih kecil…] saya terkenang saat manis sepanjang mengenalinya semasa di AlFalah.

Subki seorang yang lincah dan peramah. Suka sekali menyakat rakan-rakan termasuk di kalangan perempuan. Aduan tentang sakatan yang dibuatnya sering saya terima sebaik saya masuk ke kelasnya. Dia hanya tersengih melihat rakan-rakan mengadu…

“Allah…melawak saja pun….”demikian katanya selalu, sebaik habis aduan tentangnya. 

Kini dia kaku di bawah pandangan saya...

Demikianlah.

Saya tidak ingat tahunnya meninggalkan AlFalah.

Tetapi saya sering berjumpanya di sekitar Kangkong. Sebagai anak yang tinggal bersama emaknya – kebanyakan adik beradiknya yang berbelas orang semuanya, termasuk Zawawi, tinggal dan bekerja di luar mukim Kangkong – mulanya, Subki mengerjakan sawah tinggalan ayahnya.
 
Banyaklah waktunya diberikan kepada sawah. 

Namun, dia diuji dengan penyakit. Bermula dengan penyakit buah pinggang yang memerlukannya melalui proses homedialisis saban minggu, ada pula kesan – yang difahamkan dari keluarga terdekatnya – keaktifannya mengendalikan racun di sawah. Ada semacam ketumbuhan di antara kepala dan toreks. Tubuhnya membongkok. Berjalan dengan bertupang. Aktiviti bersawah terpaksa dihentikan.

“Nampak macam orang ‘makan ubat’ nooo…”katanya satu hari ketika bersama salah seorang anak menikmati minuman panas di sebuah kedai kopi di pinggir Sungai Kangkong…    

Makan ubat bermaksud menagih dadah….tidak tahulah dadah jenis mana. Saya hanya mendengar selalu orang berkata begitu merujuk kepada penagih dadah.

“Melengkung….”katanya pada hari lain, ketika bertemu pada satu majlis kenduri. Dia perasan saya merenung postur tubuhnya.

Memang fizikalnya demikian.

Abby Zack, BF yang kini tauke shrimp butter [dulunya dikenali sebagai belacan...] yang berjaya di Tebengau, juga menyangka Subki ‘makan ubat’. Satu malam, ketika saya memberitahu tentang kematian Subki, Abby bertanya saya adakah Subki ‘tahi ubat’. Saya memberitahunya duduk perkara.

Abby terperanjat dengan kepergian Subki. Baru tahu juga bahawa Subki adalah sama BF. Subki , dan keluarganya, sering membeli paste peraman udang edaran Abby - samada si tauke singgah di rumah mereka atau sesekali Subki sendiri datang membeli di rumah Abby. Si tauke itu melihat penampilan Subki yang agak lemah, terbongkok dan tidak pernah tinggal tongkat  atau tupang bahu.

Subki terjatuh di rumahnya pada tengah hari Jumaat, 27 Februari, dibawa ke hospital, dan dua hari - tengah malam - kemudian dijemput pulang oleh Penciptanya.

Hayat Subki ditutup pada usia 35 tahun.

Saya membelek satu salinan laporan kematian yang dimuatkan di dalam satu beg yang diletakkan di atas satu kerusi di depan rumah, untuk kegunaan sesiapa -terutama ahli keluarga - yang berkenaan…

35.

Mudanya Subki.

Sambil membelek keseluruhan salinan, saya terfikir tentang diri. Sudah melepasi angka lima dekad.

Ketika dimaklumkan mayat akan dimandikan, saya duduk di kerusi jauh sedikit dari ramai orang. Kerusi disandarkanpada dinding rumah, menghadap jalan raya.

Dengan tangan masih memegang salinan laporan kematian Subki, saya menghitung spontan ramainya BF yang mendahului guru mereka ini.

Zamri Ishak.

Burhanuddin Talib.

Mohd Zahir Saad.

Mohd Hafiz Othman.

Sharifah Ishak.

Kholijah Awang.

Rosmawati Md Jamil.

Roslan Khazali

……..

…..ada dua tiga lagi yang saya lupa nama ketika mencatat ini…termasuk dari Telok Bulang dan Alor Ibus…

Ustaz Fairose pernah menyatakan mendapat khabar dari seorang BF bahawa Norliza Md Taib, pelajar Peralihan 1984 juga telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Sehingga kini belum ada pengesahan dari sesiapa.

Saya bayangkan wajah semua nama yang sempat diingat itu, sepanjang mereka di AlFalah…Keletah dan sikap semasa  mereka masih dalam seragam sekolah… Setiap mereka pernah ada secalit kenangan bersama saya di situ....

Kini bertambah satu lagi nama dalam senarai….

Mohd Subki Hj Ali.

Mudanya mereka dijemput pulang… Zamri dan Burhanuddin malah masih di peringkat sedang bersekolah. {Burhanuddin sedang menunggu keputusan SPM}

Jenazah Subki mahu dikafankan, ketika terdengar raungan anak kecil dari dalam rumah. Anak itu didukung seseorang keluar dari rumah. Melintasi saya yang menunggal di satu penjuru. Itulah anak Subki yang dibawanya pada kali terakhir saya berjumpanya di sebuah kedai di Kuala Kangkong… Hati tersentuh. Sekecil itu engkau diuji,nak…. Teringat pula kepada anak yang belum tahu apa-apa tatkala ditinggal ibunya – isteri saya – pada tahun 1995 dahulu….

Siapa yang mengalami akan mengerti. Sebaik mana kalimah dipilih tidak akan mamu menggambarkan rasa hati yang sebenar...

Jenazah dibawa keluar kemudiannya. Selepas tiga kali fatihah dibacakan oleh semua, jenazah Subki dibawa ke van jenazah yang sedia menunggu di depan rumah.

Anak kecil tadi entah di mana.

Barulah saya nampak kelibat Zawawi, abang Subki. Berpeluh-peluh ikut memandikan mayat adiknya tadi.

Kami bersalaman, berpelukan dan saya sampaikan ucapan takziah. Zawawi kelihatan reda dan tenang. Wajahnya ‘berisi’ berbanding kali terakhir kami bertemu dua tahun dahulu. Selamba berdiri tegak tatkala saya meminta izin mengelik wajahnya untuk simpanan arkib Alumni AlFalah…

“Ingatkan hang dulu….”kata seorang sepupunya yang saya kenali…”Kena-kena adik hang….”

Zawawi bersama sepupunya
Zawawi tersengih. Melawak dalam keadaan demikian tidak saya sertai. Memang Zawawi sendiri mempunyai masalah jantung semenjak di Alfalah dahulu. Kerap ayahnya dahulu datang ke sekolah atas urusan dokumentasi bagi menghantar Zawawi ke hospital, malah khabarnya hingga ke ibukota.Namun melihatkan keadaan terkininya, rasanya dia sihat sejahtera. Kini menjalankan perniagaan di sekitar kawasan kampus UUM. [Nantilah kita tanyakan kepada pemilik nama Zawawi sendiri akan hal keadaaan terkininya]

Kemudian kami berpecah untuk ke masjid.

Sambil berwuduk, menjeling keranda Subki yang sedang diusung ke atas masjid, saya teringat satu cerpen. Lama dahulu, ditulis oleh sasterawan dari Perak, Ahmad Mahmud, kalau tidak silap.

Betapa seorang tua penggali kubur yang menjangkakan kuburnya kelak akan digali oleh anak saudaranya [mereka pernah berbual tentang itu berkali-kali sebelumnya], kini sedang menggali kubur untuk anak saudara itu yang meninggal pada malam sebelumnya. Gelodak hati si tua penggali kubur itu saya ingat sampai kini.

Melangkah ke atas masjid, saya nampak diri ini: sebagaimana orang tua di dalam cerpen berkenaan.

Menjangkakan ada anak murid akan turut sama menyolatkan jenazah saya kelak, tapi untuk hari itu, saya yang ikut serta menyolatkan jenazah seorang anak murid….

Tiap insan hai tidaklah kekal

Pasti ‘kan pulang di mana berasal

1 comment:

RUSLI BIN HASSAN said...

انا لله وانا اليه راجعون...