2 April 2015

Senandung Abang Yang Tinggal

Azren Lateh 
Azan Asar pada peringkat pertengahan dilaungkan di Masjid Tandop ketika saya melepasinya sebentar tadi.

Azan Asar dari Masjid Aman juga pada peringkat pertengahan ketika saya membelok ke Jalan Kuala Kedah seketika kemudian.

Semoga sempat bersolat Asar berjemaah di Masjid Telok Kechai nanti, bisik hati. 

Semoga sempat pula ikut menyolatkan jenazah Azren.

Motorsikal melatam jalan yang tidak terlalu sibuk pada petang Jumaat yang agak terik itu.

Saya memasuki perkarangan Masjid Telok Kechai, ketika bahagian depannya tidak berorang. Sunyi. Sahlah solat berjemaah sedang berlangsung.

Saya parkir motor berhampiran pagar, di sebelah sebuah kereta - macam pernah dilihat kereta itu...

Seorang anak kecil muncul dari luar pintu pagar bertutup berhampiran kereta itu. Abdullah Fahmi tersengih. Ibunya, Suhana mengekori. "Mana Bakaq?"tanya saya. "Sembahyang di dalam.."balas isteri Abby Zack itu. Patutlah macam pernah kenal dengan kereta tadi…

Saya bergegas mahu mengangkat wuduk di belakang masjid. Langkah diperlahankan apabila terpandang sekumpulan kaum ibu sedang memenuhi bahagian sisi belakang masjid itu. Pelbagai peringkat umur mereka.

Saya berpatah balik lalu menggunakan paip di tepi tangga masjid untuk berwuduk.

Alhamdulillah. Solat jemaah di dalam masjid sedang dalam akhir rakaat kedua…

Usai solat, saya terus melirik mencari sosok Abby Zack.

Ada.

Dia memakai kemeja-t dan berseluar. Janggal sedikit rasa diri ini– masih dengan pakaian solat Jumaat empat jam lalu…– masih dalam baju Melayu dan bersarung pelikat…

Selepas bersalam dengannya dan tidak nampak sesiapa lagi BF, saya bertanya satu nama. Wira Islam.

Sambil duduk di sisi satu tiang tengah masjid, Abby mengunjukkan ke satu arah.  Mata saya mengikut unjukkannya. Nampak Wira Islam sedang menghadap imam  di tengah ruang utama. Mesra sekali kelihatan dua hamba Allah itu berbual.

Kumpulan perempuan di luar masjid tadi masuk. Fahamlah bahawa saya tersalah anggap. Disangkakan tadinya mereka adalah ahli keluarga Husin, sebaliknya mereka adalah keluarga kepada pasangan yang bakal dinikahkan sebentar nanti. Patutlah kebanyakan riak wajah mereka di luar tadi tidak menunjukkan tanda sedang berduka….

“Kita dok tang ni la….kut-kut imam panggil kita jadi saksi…”kata saya sambil duduk menghadap Abby. Tauke barangan terlarang di bandar kediaman Kasim Baba dan Ali Baba [mengikut filem P Ramlee ] itu separuh menahan tawa.

Wira menyertai kami. “Ingatkan mahu jadi saksi…dapatla dua puluh ringgit…”kata saya semasa bersalam dengannya. Wira tergelak. Imam itu bertanyakan Wira yang sudah jarang berjemaah di masjid itu. Wira yang kerap kini di Masjid Batu Enam atau Taman Bersatu menerangkan duduk perkara. Itul;ah yang dibisikkan kepada kami.

Memang Wira mahir dan mesra dengan warga di situ. Bapa pengantin perempuan yang bakal dinikahkan pun dia tahu nama dan alamatnya…

Sedang bersiap rombongan tadi menyambut sebuah pernikahan, Hesba Tgb pula menyertai kami. Dia baru balik mengambil anak lelakinya dari kelas tuisyen, terus ke situ kerana menjangkakan jenazah Azren sudah atau hampir sampai.

Sempatlah kami ikut mengaminkan doa dari imam, sempat juga melihat acara akad nikah dari jarak agak dekat. Sempat juga melihat sepintas lalu ahli rombongan yang perempuan itu…

“Tengok anak orang, teringat anak kita…”kata Wira, mungkin melihat seorang dua anak kecil berlari riang di belakang ahli rombongan yang membentuk satu bulatan besar di depan kami. Saya tergelak kerana tahu akan ada sambungan bagi ayat itu. Seperti selalu….

“Tengok bini orang, terlupa bini kita….”sambung Wira. Kali ini Abby dan Helwi ikut tergelak tetapi terkawal.

Sambil memehati gelagat rombongan pengantin, kami berbual tentang hal Husin dan keluarganya. Bagaimana mayat dijumpai dan bagaimana setiap kami mula mendapat khabar.

Jam sudah menunjukkan lagi 30 minit ke pukul enam.

Saya nampak Shamsul Saad bersolat di penjuru belakang masjid. Sendirian. Selepas solat, dia hanya mengangkat tangan sebelum keluar walaupun saya menggamitnya beberapa kali.

“Ada Faizal di luaq….”kata Hesba Tgb.

Merasakan sudah lama di situ, saya hubungi telefon Husin. Mahu bertanyakan kedudukannya yang terkini.

Husin menyatakan dia baru melepasi Sungai Dua, Seberang Perai. Menurutnya, dia terpaksa berpatahbalik ke hospital - tadinya - kerana ada dokumen yang belum lengkap atau tertinggal. Van jenazah, katanya, meneruskan perjalanan mengikut pergerakan pertamanya tadi.

Saya beritahukan hal berkenaan kepada BF tiga sahabat.

Sungai Dua.

Mungkin lama lagilah sampainya jenazah walaupun hanya Husin yang berpatah balik tadi.

Menimbangkan hal itu, kami memutuskan untuk turun dari masjid terlebih dahulu. Ada cadangan untuk ke kedai minuman.

Di luar masjid, di tempat parkir, Shamsul Saad sedang berbual dengan Faizal Yahya. Kami menyertai dua rakan sekelas Husin di Alfalah dahulu itu. Kemudian, Hesba Tgb memutuskan untuk menghantar pulang dahulu anaknya dan akan datang semula nanti. Abby melintasi jalanraya untuk mencari penghilang haus anaknya, Abdullah Fahmi.

Hari Jumaat. Sukar untuk mencari kedai minuman yang dibuka pada petang begitu. Restoran Laksa Telok Kechai tersohor yang dua itu  pun – masing-masing di bawah nama Zakaria Laksa  dan Din Laksa - tidak dibuka. Tetapi saya kemudiannya teringat salah satunya dibuka kerana kelihatan ada deretan kereta tatkala saya lepasinya tadi.

Saya nyatakan kepada Wira. Kami berdua ke situ dengan menaiki motorsikalnya.  Shamsul dan Faizal mahu tetap di perkarangan itu manakala Abby masih di kedai runcit di seberang jalan.

Benar, salah satu restoran itu dibuka. Agak ramai pelanggannya. Kami memilih untuk duduk di meja di belakang gerai sate. Minuman dipesan, bersama dua pinggan laksa. Sementara menunggu pesanan sampai, Wira sempat meratah sebungkus pulut sambal.

Terfikir juga Abby mungkin teringin menghilangkan haus, saya menyuruh Wira mengambilnya di depan masjid. Sebentar sahaja masa yang diperlukan untuk menjadikan meja tadi dihuni tiga orang. Selain minuman, Abby memesan 20 cucuk sate. “Kuah taruh atas – sekali….”pesannya kepada pelayan kedai yang sedikit kaget dengan cara hidangan sate begitu.

Sambil itu kami tergelak mermbayangkan akan pulang nanti bertiga membonceng motorsikal Wira. Kami sama-sama merenung saiz diri setiap orang. Tersepit gamaknya Wira…

Laksa berjaya kami habiskan. Namun tatkala pinggan sate baru diletakkan ke atas meja, ada panggilan untuk Abby. Isterinya menyatakan van jenazah sudah sampai.

Hah?

Saya teringat Hesba Tgb yang mungkin masih di sekitar Tandop, kejiranannya. Saya dail nombornya tetapi tidak berangkat. Dua kali didail. Tetap gagal dihubungi.

Bagaimana sekarang?

20 puluh cucuk sate di depan kami belum  disentuh. Kami perlu habiskan sebelum ke masjid untuk solat jenazah.

Tetapi kami bertiga manusia biasa. Kunyahan mesti ada. Tumakninah juga perlu bagi setiap cucuk sate yang selesai ditelan…

Wira hanya mampu dalam dua tiga cucuk. “Tak boleh pi dah….”katanya.

 Abby mungkin terdaya  lima enam cucuk.  “Tak peraya dah saya…”katanya pula

Sate selebihnya? 
……….

 Selesai makan dan minum itu barulah Abby dihantar dahulu ke masjid oleh Wira. Saya berjalan kaki sekitar seratus meter sebelum Wira berpatah balik. Sempatlah – walau sekejap – sekitar sedozen cucuk sate, sepinggan laksa dan segelas teh ais bermesraan bergaul di dalam usus…

“Depa sembahyang dah…”kata Wira ketika saya memegang bahunya untuk membonceng motor.

Ketika kami sampai, keranda sedang dibawa keluar dari pintu masjid. Van bertulis Hospital Balik Pulau di dindingnya sedang menunggu.

Ramai jemaah solat sedang bergerak pulang. Dalam ramai yang turun dari masjid itu saya terpandang dua sosok BF.

Mohd Thakiyuddin Abdullah dan Saleh Husin. Regu sepupu dari Alor Ibus.

Tersengih Thakiyuddin melihat saya. Seperti selalu Saleh hanya tersenyum malu-malu.

Saya meminta izin untuk mengelik wajah mereka.

“Hang tau siapa yang mati ni?”Tanya saya.

“Sapa?”soalan balas daripada PakDin, panggilan mesra untuk Thakiyuddin, anak salah seorang AJK Lembaga Tadbir AlFalah pada dekad 80-an.

“Azren…adik Husin…Ustaz Husin…” kata saya yang sempat vmelihat saleh mengangguk manakala PakDin sedikit melopong, mendongak – mencari…

“Yang duduk di Batas Paip tu…”saya membantu.

Berjaya. “Ooooo….”demikian kata Pakdin. Tetapi… “hak janggut panjang, badan tinggi tu?”

“Haisy!”tukas saya. Saya menunjuk kepada insan yang Pakdin maksudkan, sedang berbual dengan dengan kumpulan BF tadi , kini termasuk Zulkarnain, suami Norshahida Said. Saya tergelak mengetahui yang PakDin maksudkan adalah seorang lagi BF dari Batas Paip, Wira Islam, yang saya perkenalkan kepadanya pada satu pertemuan di depan Kedai Mi abas, lama dahulu…

PakDin tersipu-sipu kerana salah bayangan orang.

Mereka berdua tidak lama sempat dimesrai. Segera mereka menaiki motor berdua untuk pulang. Hesba Tgb hanya sempat menyapa Saleh yang tersenyum melambai ketika motor yang ditunggangi PakDin melintasi kumpulan BF itu. PakDin member isyarat masih ada kerja lain menanti…

Hesba Tgb memberitahu ketika hampir sampai ke kejiranannya, dia ternampak van bertulis Balik Pulau itu. Sebaik menurunkan anaknya, dia terus memecut semula ke Telok Kechai. Sempatlah dia ikut menyolatkan jenazah Azren.

Kami juga yang terlepas…

Sebaik van jenazah bertolak, muncul Jamal Huri Bakar, sepupu sepapat Wira. Dia baru mengetahui kes Azren dan kebetulan pula baru sampai dari Sarawak – bercuti di kampung kelahiran isterinya.

Kami berbual sebentar di situ, sebelum Jamal Huri atau mesra dipanggil Nasir di kalangan keluarga dan penduduk setempat, memohon diri untuk ikut ke kubur. Demikian pula Wira. Abby, Shamsul, Faizal, Zulkarnain dan Hesba Tgb tidak bercadang ke kubur. Mereka terus berbual di situ ketika saya juga meminta diri untuk sama ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, Hesba Tgb menyatakan ada nampak kelibat kereta Rosdi Mansor membelok ke jalan arah kubur.

Di tanah perkuburan, memang ada Rosdi di situ. Dia tergesa tadinya kerana tahu jenazah telah disolatkan dan dibawa ke kubur.

Azren telah dikebumikan. Tanah pusaranya telah diratakan. Talkin mula dibacakan. Saya mengitari dengan mata mencari wajkah sayu bonda dan ayahanda Azren.

Sayu menyerkup tatkala pembaca talkin pertama –imam solat tadi - menyebut “Ya Azren bin Che Olah…”. Saya lihat bonda Azren tunduk memandang tikar yang didudukinya di belakang tempat imam. Setiap kali seruan nama itu muncul sayaakan melirik ke wajah sayu Che Olah sebelum berpindah ke wajah Pak Lateh.

Di luar tembok tanah perkuburan, dari jarak 30 meter, dari bondanya, saya nampak kelibat Azman, abang Azren, bertinggung menghayati talkin sambil memandang ke  arah tanah merah yang menimbusi keranda adiknya.

Selesai tahlil pendek dari pembaca talkin kedua, kami mengaminkan doa yang sederhana panjang. Setelah itu Azman menjadi orang pertama bangun menghampiri pusara adiknya. Dihulurkannya jag air kepada Che Olah untuk menyiram pusara. Hampir seluruh keluarga melakukannnya dengan Azman bertindak sebagai penjaga jag air…

Saya mengelik sekali dua suasana yang disuramkan pula oleh waktu yang di hujung petang itu.

Selepas melihat Rosdi berangkat ke luar  kawasan perkuburan di mana keretanya diparkirpulang, saya nampak Wira ke arah bertentangan – mengunjungi pusara ayahnya.

Saya menunggang motor melalui jalan tengah kawasan kubur, nampak Wira sedang berdoa di atas pusara ayahnya, sebelum ke luar ke jalan utama, dan pulang melalui Jalan Yan-Batas Paip.

Saya teringat Husin. Sehingga jenazah adiknya dikebumikan, kelibatnya tidak ada. Masih dalam perjalanan.

Simpati saya buat Husin.
  
Entah bagaimana tiba-tiba tiga bait lirik lagu dari Indonesia menerjah ke minda. Bukan kerap pun saya mendengar lagu tersebut, ciptaan Deddy Dores bagi mengenang kepergian penyanyi remaja sedang top [1995] Nike Ardilla akibat kemalangan jalanraya.

Mungkin saat itu saya betul-betul teringatkan Husin yang sepanjang minggu menguruskan hal Azren, di Kedah dandi Pulau Pinang serta terbayangkan dua beradik anak Pak Lateh dan Che Olah itu di atas pentas muhadhoroh Alfalah dahulu...

Entahlah.

Saya dapat menyelami perasaan Husin serta keluarganya pada saat sukar ini. Azren baru berusia 35 tahun. Masih panjang jalan yang terbentang buat insan seusianya. Namun takdir telah tertulis: hanya setakat itu dunia ini dapat dikongsinya.

Lazimnya kita malu melafazkan tetapi di dalam hati Allah tahu: kita tetap sayang dan cintakan adik-beradik, apalagi seibu-sebapa....

Minda membayangkan Husin sedang bersenandung dengan bait-bait  pilu itu...


Saya sedang menunggang motorsikal melintasi Surau Hj Hussain, Selarong Batak ketika tiga bait berkenaan menerawang di minda. Tepatnya sebaik berhenti secara mengejut kerana demikian pula dilakukan oleh pemandu sebuah kereta di depan saya…

Setelah aku mendengar beritamu
Rasanya hatiku tak percaya
Engkau telah pergi meninggalkan dunia
Dan kita semua...

Hanya doa yang dapat kupanjatkan
Untuk adikku yang tercinta
Semoga Tuhan Yang Maha Pengasih
Menerima disisiNya 

Oh Tuhan..
Mengapa begitu cepat Kau panggil dia
Masih kuingat dia bernyanyi
Syair lagu yang kutulis

2 comments:

RUSLI BIN HASSAN said...

Mmg sadis

wiraosman said...

Hanya doa dikirimkan