27 May 2013

Blues Hari Guru: 1 Agenda 1 Inspirasi

Di AlFalah, Hari Guru bagai diskripkan secara veto dengan DUA acara wajib: Pertama,  perlawanan bolasepak – a la AlFalah – di mana pelajar berpeluang melihat para ustaz bersama guru lelaki lain ditaji di padang. Satu lagi, acara makan-makan! Bab persembahan di atas pentas di dalam dewan memanglah ada tetapi tidak semeriah untuk dua acara yang saya catat tadi….  

[Saya mencatat ini dengan apologi khusus untuk bekas pemain pada setiap Hari Guru serta peminat mereka..]

Perlawanan bolasepak perdana Hari Guru biasanya diperkatakan sebaik masuk sahaja minggu pertama bulan Mei, ketika AJK Majlis Hari Guru mengadakan perjumpaan sulung. Agaknya di dalam mesyuarat berkenaan, acara tersebut siap dicetak sebagai numero uno di senarai dan tidak perlu dibincangkan. Perbincangan hanya perlu bagi cadangan acara nombor dua dan seterusnya.

Maka setiap petang, di padang AlFalah, pelajar lelaki di asrama, terutamanya, serta pelajar bintang dari kawasan berdekatan akan turun berlatih secara intensif. Intensif ini perlu ditekankan kerana sememangnya kalau bukan bulan Mei pun pasti ada permainan tersebut  di padang, setiap lepas solat Asar. Cuma untuk dua minggu awal bulan Mei itu, iklim di padang agak lain – pemain naik syeikh semacam… Strategi mesti ada, corak permainan mesti mantap, pertahanan dan serangan mesti seimbang kekuatannya – tidak seperti selimut pendek: tutup kaki, teserlah muka; tutup muka, terdedah kaki. Bagi mereka, meski tidak pernah disediakan sebarang ganjaran atau hadiah bagi pemenang, kejayaan menewaskan pasukan guru sukar digambarkan dengan kata-kata akan manisnya….. boleh dijadikan topik perbualan berhari-hari selepasnya….. Maka membayangkan manis itu sahaja cukup untuk memotivasikan mereka!

Akan tetapi, malangnya - bagi merekalah – satu-satunya bintang utama pasukan guru juga kerap turun berlatih sama, berkolaborasi dengan pemain independen – pelajar asrama yang tidak pernah terpilih untuk perlawanan Hari Guru.  Meski hanya dalam peringkat berlatih, dia cukup komited. Dia mempamerkan kemahiran mengawal, menggelecek serta merembat bola nan sebiji itu tepat ke arah gol, memberikan imbasmuka [foreshadow] akan corak permainannya pada perlawanan sebenar kelak, sambil diperhatikan oleh bakal pemain pasukan pelajar dengan penuh rasa kagum bersalut iri ……

Saya ikut berlatih, namun selalunya lebih sebagai penyepak bola mati dari bahagian pertahanan atau sesekali menghayun bola yang kebetulan datang ke arah kaki. Paling banyak pun kudrat saya digunakan untuk berteriak membuat provokasi atau bertekak menafikan bola terkena tangan rakan sepasukan atau mengesahkan bola mengena tangan pemain pasukan lawan, dan suara itu secara semulajadi menjadi semakin kuat membantah setiap gol yang mereka jaringkan, meski pun secara tekniknya pihak FIFA pun pasti mengesahkannya…. Saja-saja…Hehehehe.

Hanya kami berdua – atau bertiga dengan Cikgu Rahim, ketika eranya di AlFalah – dari pasukan guru yang berlatih. Anggota skuad yang lain – termasuk Ustaz Mat, Ustaz Man, Ustaz Mid, Ustaz Zahari, Cikgu Azid, Cikgu Pa dan Cikgu Midi serta yang lainnya {mengikut era masing-masing} bermain secara amat profesional – hatta mengalahkan tahap keprofesionalan Lionel Messi mahupun Cristiano Ronaldo kini. Masakan tidak, mereka hanya bermain di dalam perlawanan sebenar tanpa sekali pun turun berlatih!

Para pelajar akan bersorak di sekeliling padang untuk pasukan yang mewakili mereka – termasuk pelajar puteri  yang sebahagiannya bertenggek di tangga asrama.Maklumlah, biasanya pelajar yang berpeluh di padang, pasti mempunyai atau dipunyai seseorang atau beberapa orang  yang istimewa, yang bukan dari kaum sejenis…. Untuk membuktikannya mudah sahaja. Setiap jatuhan atau rempuhan agak kasar di padang, pasti akan terdengar suara mengaduh penuh simpati dari beberapa penonton bertudung putih atau biru muda….. Si pemain yang terjatuh atau hanya sedikit dikasari pula, tentunya akan menggosok tempat sakit sambil mata memandang ke arah penonton berkain biru…… Dan sepanjang ingatan saya tiada penonton bertudung dan berkain mempunyai nama Mohammad apa-apa atau Abdul apa-apa!

Ada yang puas melihat guru yang sering mendenda mereka di dalam kelas, [atau penghalang pertautan dua hati yang berbeza gender di luar kelas…..hehehe],terjatuh atau diterjah….. Sebarang sepakan atau hadangan tidak mengena pemain skuad guru – terutamanya yang profesional tadi - juga membuatkan suasana menjadi riuh. Apa lagilah jika pasukan mereka berjaya melakukan jaringan. Cara mereka meraikannya, boleh dimasukkan di dalam kategori adegan yang tidak mahu kami lihat

Wira kami!
Namun setakat itulah yang mampu mereka nikmati. Pada hujungnya, pasukan pelajar pasti akan mengalah dan beralah… Bintang pasukan kami, Cikgu Non, sentiasa berada dalam prestasi terbaiknya. Seingat saya, dia tidak pernah gagal memimpin pasukan memenangi perlawanan ……..  Secara tidak langsung, dia membantu mengunci mulut pasukan lawan supaya menghadapi hari persekolahan keesokannya seperti biasa dan tidak apa-apa. Cuba, kalau pihak yang lagi satu menang…..

Kadangkala dendam kekalahan pasukan pelajar di padang terbawa-bawa hingga ke waktu jamuan… Melihat kunyahan pemain, saya tahu wajah siapa yang mereka bayangkan pada setiap makanan yang dimasukkan ke mulut……hehehe.

Menyebut tentang acara makan-makan, daripada beberapa foto yang masih disimpan, saya tertarik pada foto di bawah ini.
Di AlFalah, dua acara WAJIB ada upacara makan-makan adalah pada Hari Guru dan hari terakhir persekolahan – baik untuk cuti penggal atau cuti terus…..pada hujung tahun.

Foto ini mungkin diambil pada Hari Guru. Dalilnya, selain guru, ada pelajar dari kelas0. berbeza sedang menghadap makanan. Kalau jamuan kelas, tentulah hanya pelajar dari satu-satu kelas sahaja yang kelihatan.

Ini adalah suasana di dalam bangunan melintang yang merangkap dewan AlFalah. Dinding papan lapis yang sebahagiannya ditampal kertas bunga di belakang  itu memisahkan kelas dengan pentas. Nampak bahagian dinding di kanan foto itu yang belum siap dipasang semula? Di atas pentas yang terlindung itulah diadakan acara muhadhoroh dan seumpamanya. Satu di antaranya  pentas tersebut menyaksikan guru AlFalah untuk pertama kali dan terakhir menjadi pelakon…… [lihat Cih Jebat…..] Bahagian belakang pentas itulah yang menjadi dinding menghadap padang bola…. Kalau para papan itu boleh ngomong, riuhlah agaknya mereka bercerita betapa pedihnya menahan diri terkena rembatan bola dari budak-budak asrama lelaki dan cikgu yang menjadi  kebanggan skuad guru AlFalah itu……

Bagi yang terlupa, lelaki paling kiri di dalam foto di atas  adalah Ustaz Zahari Ahmad – kini masih gagah mengajar di SMA Sungai Limau. Bermisai dan berbaju leher bulat itu, tidak lainlah dari Ustaz Wan Osman, kini masih tinggal di sekitar AlFalah, tepatnya di Kampung Perlis, Kedah….Manakala yang berbaju gelap itu adalah Cikgu Abdur Rahim Daud, pakar Sejarah AlFalah, kini menguruskan sebuah syarikat yang berpejabat di Pendang . Tiga lagi adalah pelajar AlFalah. Sedang membelek jemputan nasi pada tangannya itu adalah Zakaria Nayan [Zack] yang telah dua kali saya catat tentang situasi terkininya – menderita kegagalan buah pinggang. Di sebelah kiri cikgu Sejarah itu adalah Mohd Fazli Haji Mahmud – pelajar perintis AlFalah Baru pada tahun 1983, yang saya panggil CINONI – sempena judul lagu nyanyian Ali Sobree, serta kerana  saiz badannya ketika itu yang boleh didukung. Kini, dia yang berasal dari Alor Ibus, berkhidmat dengan ADUN Pengkalan Kundor – semenjak 2008.

 Yang songkok tertenggek di hujung kepala itu? Orang Jerantut kini tentunya sukar untuk percaya bahawa itulah antara wajah lama tokoh di tempat mereka – Pawang Nujum! Dia yang menetap di asrama Alfalah selama empat tahun semenjak 1984, berkelana sendirian dari petempatan Felda Sungai Tiang. Saiz badannya ketika itu bukan sahaja boleh didukung, malah dengan mudahnya dapat dicempung dan dilambung-lambung!

No comments: