26 May 2013

Wajah Seorang Daie - Ustaz Man


Ustaz Wae Samae Wae Mat a.k.a Ustaz Man.

Pelbagai sudut dapat dicatat tentang insan ini. Selain mengenai ilmu agama yang diperturunkannya, tidak kurang menarik adalah cerita tentang daerah kelahirannya yang sentiasa bergelora, tentang semangat patriotiknya, tentang nasi padprik yang sedap…….atau tentang slanganya yang tidak pernah berubah.
Namun kali ini biarlah dicatatkan hasil perbualan santai bersamanya menjelang suatu tengah hari.
Meski tinggal tidaklah terlalu jauh,  sesama kami amat jarang ada kesempatan berbual panjang-panjang. Namun hari itu, kami punya kelapangan.

Ada dua tanda bahawa Ustaz Man berada di rumah. Pertama, pintu depan rumahnya tidak bermangga dan keduanya, motor kesayangan berehat elok di sisi rumah……
Beliau sedang memasak nasi ketika saya memberi salam.  Dia yang bersinglet serta berkain pelikat muncul dari dapur, menjawab salam sambil mencapai baju kemeja yang disangkut pada paku di tiang tengah yang memisahkan ruang tamu dengan dapur. Dia masuk sebentar ke dalam bilik [sebetulnya bilik itu dipisahkan dengan ruang tamu oleh dua almari pakaian dan kitab-kitab – membahagiduakan rumah atas]. Saya bersandar pada jenang pintu dengan kaki terjuntai ke tangga. Melihat deretan almari yang cukup saya kenal, dibawa bersama  ketika berpindah dari mahligainya di AlFalah….
Pada dua dari tiga tombol pintu almari pertama, tergantung buah tasbih, masing-masing berwarna putih dan hitam, manakala pada daun pintunya ada tulisan jawi/arab yang saya lupa apanya. Tulisan itu ada di situ semenjak almari tersebut mendiami kawasan AlFalah….
Pada almari paling hampir dengan saya, tergantung baju yang sering dipakai ketika bersolat jemaah di surau di hadapan rumahnya. Tergantung di sebelahnya dua kalendar lama – satu berbentuk pengukur masa  dan satu lagi dengan wajah Raja Bhumibol Adulyadej, Raja Thai. Tersirat ciri patriotik ustaz ini….Saya merakamkan pemandangan itu di dalam telefon.
Ustaz muncul siap berkemeja lengan pendek dan berkopiah. Terus duduk bersila menghadap saya.
“Nak ambik gambaq ustaz ni…” kata saya sambil menghala telefon ke arahnya.
“Isy…. Pakai baju ‘ni sajo….” Balasnya, entah melawak atau sungguhan….

“Tak pa…. depa nak tengok muka ustaz saja….” Kata saya pula, merujuk fb bekas budak Falah serta blog ini. Ustaz tersenyum lalu saya mengelik sekali. Ketika saya menunjukkan isyarat ‘sekali lagi’ ustaz itu berwajah serius pula…. Dapatlah saya dua foto ustaz yang cukup terkenal di dalam kariah Alor Pulai, Kangkong, Simpang Empat dan Kota Sarang Semut serta Kuala Sala itu.
Saya memandang wajahnya, lalu mengunjukkan telefon ke arahnya, mempamerkan hasil klik tadi.  Ustaz tersenyum lagi . Saya membiarkannya memerhati foto diri sepuas hati.

Ustaz Wae Samae Wae Mat a.k.a Ustaz Man.

Banyak hal di luar waktu dan kawasan sekolah yang mengaitkan kami secara langsung mahu pun tidak.

Pernah semasa solo dahulu, saya bersama Cikgu Non menyertai Paktih dan Paktam saya mengunjungi daerah kelahiran Ustaz Man, menikmati padprik yang tidak terjumpa taranya sehingga hari ini …..

Beliau ikut bersama Cikgu Non, Ustaz Fairose, Cikgu Rahim  dan ahli keluarga menemani saya pada malam pernikahan julung kali. Beliau ikut rombongan saya pada hari kenduri di rumah mertua sulung. Kedua-dua peristiwa tersebut adalah pada tahun 1991.
Pada petang 23 Julai 1995, di rumah yang sama,  dia orang pertama memeluk dan mencium saya – menenangkan saya yang sedang berhiba meratapi kematian isteri sulung itu.
Pada beberapa bulan Ramadan – sedang  isterinya berada jauh nun di Pattani - beliau berbuka puasa di rumah emak –ditemani 3-4 orang penghuni asrama putera. Menjelang masuknya waktu berbuka, beliau dan putera-putera pilihannya, akan bertahlil, dengan kadangkala saya sertai. Emak cukup senang hati, sama senangnya hati putera pilihan yang menemani Ustaz Man……
Ketika kematian ayah pada tahun 1997, Ustaz Man mengimami solat jenazah, membaca talkin serta beberapa kali mengepalai bacaan tahlil di rumah.
Demikian juga halnya apabila emak meninggal pada tahun 2012. Malah dalam lebat hujan pada malam Jumaat 8 Mac itu, selepas membaca talkin, Ustaz Man menitipkan pesan agar saya mengamalkan doa yang emak pernah tuliskan untuk saya ……..

Lama betul Ustaz Man berada di rantau ini.  Lagi dua tahun, genaplah tiga dekad!
Bayangkan, anak sulungnya, Bushro yang pernah saya dukung dan riba dahulu, kini sudah berkahwin, mempunyai anak dan mengajar di sebuah sekolah berhampiran Masjid Kersek yang berdarah dan bersejarah di wilayah Pattani. Anak keduanya, Nor Ashikin [dipanggil No sahaja] kni sedang melanjutkan pelajaran di bidang farmasi di ibu negara. Ibu negara merekalah – Bangkok. Anak ketiga, Saniah kini belajar di sebuah university di Pattani dalam bidang Biologi.
Saya kagum dengan ustaz yang meninggalkan keluarga, bersendirian menyebarkan ilmunya. Rasa kagum juga tentulah kepada Kak Jah, isterinya yang merelakan terpisah secara geografi dengan suami…. Hanya sesekali beliau pulang ke Pattani, menjengah anak isteri. Lebih banyak masanya berada di Malaysia.
Bayangkan kepadatan jadual mengajarnya. Semasa saya berbual dengannya itu, tiada malam tanpa kelas pengajian. Di sebutnya tujuh tempat: Kampung Jawa, Kampung Raja [di belakang Pekan Khamis, Simpang Empat, berdekatan Restoran Ais Salji Dinalang….], Batu Enam [Simpang Empat], Taman Orkid, Pondok Haji Talib [SMA Ihya’], Masjid Lama Kangkong dan Surau Kampung Perlis, berhadapan rumahnya. [Ada disebutnya malam-malam bagi setiap lokasi itu, namun memori saya tidak menyimpannya dengan tepat…]

Siang pula, adalah hari senggangnya kerana hanya pada hari Jumaat dan Sabtu ada jadual mengajar. Jumaat di dua tempat : Teluk Bulang [luar] pada paginya dan di Masjid Alor Pulai, menjelang waktu solat Jumaat. Hari Sabtu pula beliau mengajar hanya di surau Kampung Perlis, tetapi di dalam dua sesi: pagi untuk orang sekitar kampung manakala sebelah tengahari untuk sekumpulan pelajar luar [anak dara, kata Ustaz] yang ingin mendalami ilmu.
Jadual begitu tentulah menyukarkan ustaz untuk mengambil  cuti…..
Lama juga kami berbual. Sesekali kami mengimbau kenangan lama apabila ada nama yang disebutnya.

Saya berkisah tentang perjumpaan Hari raya lalu, yang tidak mungkin juga dapat dikongsinya pada kali lain kerana pastinya akan beraya bersama keluarga di Pattani. Bersinar matanya tatkala saya bercerita tentang kehadiran Sofi Ahmad, Rafidi Romli, Abdul Khodir Md Ariff dan adiknya, Zairi, Ashadi Ibrahim, Norlizah Saad, Norhayati Ramli dan Suhaimi Md Shah. {Nama lain pun ada saya sebut, tapi kalau mahu dicatat semua, kenalah minta buku kehadiran dari pengelola…… Maaf, kerana hanya mencatat hanya beberapa nama} Yang seronoknya, setiap nama yang saya sebut, selain mulutnya berbunyi ‘hmm’, ustaz akan bertanya di mana mereka kini, atau menyebut nama manja atau tempat asal mereka. Misalnya, apabila disebut Rafidi, terus disambungnya ‘Yang dok Baling ‘tu?’Apabila disebut Ashadi, disambungnya ‘Bedun’ [panggilan budak asrama kepada anak Bukit Selambau tersebut]. Mujurlah setiap soalnya tentang mereka dapat saya jawab sebaiknya....

Apabila diceritakan kehadiran Cikgu Abdul Azid, Cikgu Rahim, Cikgu Shon dan Cikgu Jah serta Hjh Roselah [kerani], demikian juga halnya. Diselongkar serba sedikit tentang perkembangan mereka – sekurang-kurangnya tentang bilangan anak. Tetapi tentang saya dan Cikgu Non sepatah pun tidak ditanyanya. Terasa halus sungguh hati ini. Haluih…… Mungkin kerana wajah kami sering dilihatnya di sekitar Kangkong atau Simpang Empat – paling tidak pun berselisih jalan di antara dua tempat itu, demikian bujukan sendiri hati yang sedang mengecil ……
Ustaz Man bertanyakan tentang Ustaz Mat. Saya nyatakan ustaz dari Paya Naikong itu tidak hadir kerana sibuk menguruskan kenduri perkahwinan anak sulungnya pada masa yang sama. Lama Ustaz Man terdiam. Kemudian baru disebutnya, kali terakhir mereka berjumpa pada tahun 2004, ketika Ustaz Mat memberitahu sedang menjalankan perniagaan menjual ikan di Lahar Tunjung, berdekatan kampungnya. Ketika masing-masing tercari nama sebenar Along, anak Ustaz Mat yang berkahwin itu, Ustaz Man menceritakan nama Ibtisam untuk adik Along tersebut adalah cadangan dan pemberiannya ketika diminta oleh Ustaz Mat. Lama pula dia terdiam, sebelum menyambung, nama itu diambilnya sempena nama seorang kawan semasa belajar di Baghdad, Iraq. Saya tersengih….
“Ibtisam ‘tu buah hati ustaz dulu kut?” Tanya saya, tidak sabar untuk mencungkil kisah cinta seorang ustaz. Bukan senang hendak ditemui peluang begini…
“Rupanya ustaz pun ada kes cinta tidak kesampaianlah, ya?”sambung saya lagi.
Ustaz Man diam. Melihat saya membelek telefon di tangan. Dia tidak menjawab apa-apa kerana tidak mendengar apa-apa. Dua soalan  tadi hanya bermain di dalam tempurung kepala saya. Nak mampus? Hehehehe. Tapi naluri saya kuat mengatakan pastilah Ibtisam yang pernah belajar di negara yang pernah berpresidenkan Saddam Hussain itu seorang yang istimewa…..
Sebelum terlupa saya ceritakan perihal Babuji [Yusri Haron] telah ditauliahkan sebagai imam di Kola. Ustaz Man tersenyum. “Babuji memang layak…..”ulasnya. Lalu dia bercerita bagaimana Babuji pernah datang tidur di rumahnya itu sedang dalam perjalanan pulang dari Selangor. Betapa Babuji rajin mengikutnya dahulu menjalankan urusan fidyah, selain ikut ke kelas-kelas pengajian.  Lama juga ustaz berkisah tentang murid kesayangan dan harapannya itu. Kalaulah Babuji ikut mendengar, pasti hilang matahitamnya dalam ukiran senyum…… Patutlah pernah Babuji bercerita kepada saya dan Budak Batas Paip betapa hanya dia, di kalangan budak asrama lelaki,yang Ustaz Man percaya bagi mengenderai motor kesayangan ustaz…..
 
Dalam perbualan itu ada beberapa nama yang Ustaz Man sebut – bekas pelajar yang pernah ditemui di jalan atau yang datang ke rumahnya bagi mendapatkan rawatan berdasarkan bacaan ruqyahnya. Namun saya tercari-cari seorang budak Falah yang bernama Isabella. Lengkap ustaz nyatakan plan rumah Isabella di Kola, berdekatan surau berhampiran rumah Ustaz Mazlan Mansor. [Lama kemudian, ketika berada di sekitar Kola, barulah saya dimaklumkan bahawa yang dimaksudkan Isabella atau Bella oleh Ustaz Man itu adalah Sabira! Terima kasih kepada pemaklum berkenaan…]
Akhirnya saya meminta diri. Ketika menuruni tangga rumahnya saya meminta izin untuk memotret motor kesayangan yang dari tadi berehat santai di tepi rumah. “Untuk tatapan budak Falah….”kata saya.Ustaz tersenyum dan mengizinkan. Cuma katanya, jangan ambil di sebelah pecah sedikit [di sebelah kanan]. Saya akur. Dapatlah diklik pada tiga posisi dengan pemantauan dari tuannya yang berdiri di belakang saya.
 
Dalam perjalanan pulang, saya masih mengagumi semangat dan kesungguhan Ustaz Man dalam menyebarkan ilmu agama tanpa imbalan yang sempurna. Jauh dari keluarga tercinta. Jauh di negeri orang.
Motor yang dibelinya dari Hasbullah Morad, budak Falah dari Kampung Perlis itu tetap setia membawanya ke merata tempat demi menjalankan tanggungjawab sebagai daie…..
Semoga Allah sentiasa merahmati Ustaz Wae Samae Wae Mat a.k.a Ustaz Man ini. Amin.
Budak Falah, jengahlah ustaz ini sekali lagi…..

No comments: