“Bila lagi
‘nak ada entri baru?”
Demikian
lebih kurang pertanyaan beberapa pembaca blog ini. Yang lawaknya ada yang
mengubah perkataan entri kepada perkataan blog. Sahlah tidak tahu membezakan keduanya. Tapi
tidak mengapalah. Cuma tidak tahu beza semut putih – anai-anai, roti perata –
roti canai, mimpi - mamai……
Bagi yang
membaca setiap hari,memanglah membosankan jika setiap kali klik, tajuk entri
masih tidak berubah. Dua hari demikian juga. Seminggu pun begitulah…
Tuan punya
blog lagilah bosan. Tidak berupaya menambahkan entri atau mencari-cari isi.
Tetapi
sejujurnya, mencatat untuk blog spesifik bukanlah mudah. Lainlah kalau mahu
menulis blog bagi mencari salah orang lain, menjadi paku serpih yang asyik mengata
pada dulang…… atau berbentuk ilusi/fantasi.
Ini blog khas tentang AlFalah. Walaupun sedikit,
mesti ada AlFalahnya. Meski secalit atau secarik atau sekelumit atau sepatah.
Kalau tentang belacan …hehehehe…. sekali pun, mesti ada hubungkait dengan
AlFalah.
Kesukaran
mencari bahan ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa tentang majlis
muhadhoroh di AlFalah pada awal dekad 90-an dahulu [Nah, sudah ada secalit
tentang AlFalah…..]
AJK Badan
Muhadhoroh memasukkan acara kuiz dalam majlis pada kali itu. Khabarnya acara
tersebut adalah cadangan pengerusi badan yang disokong sebulat suara ahlinya.
Kesediaan mereka yang bersepakat menyediakan soalan serta menentukan format dimaklumkan
kepada saya sebaik selesai bermesyuarat.
Kemboja |
Tengah hari
Rabu, menjelang waktu pulang, di bilik pejabat, salah seorang AJK menemui saya
dengan wajah cemas. Itu pun pastilah selepas lama saling bertolakan sesama
anggota AJK lain dan dia yang agak pendiam menjadi insan terpilih…. Dia
memberitahu telah mendapatkan enam orang untuk dibahagikan kepada dua kumpulan
peserta kuiz. Semuanya dipilih berdasarkan ketinggian pengetahuan am mereka
yang diakui oleh rakan sekelas. Cuma tinggal satu masalah: soalan untuk acara tersebut
esoknya belum ada – kerana saling berharap sesama AJK. Dia meminta saya menjadi penyelamat.
Saya
memandang tepat ke wajahnya. Dalam 9 – 10 saat. Dia menggelisah. Dicubanya
melarikan pandangan ke arah lain, kepada pokok padi yang menghijau di bendang
bersebelahan blok pejabat AlFalah. Malah kalau boleh agaknya mahu sahaja
dipindahkan matanya ke belakang tempurung kepala.
Kemudian saya
berkata ‘OK’.
Ringkas jawaban
itu, bukan? Tapi jangan salah faham. Sebetulnya intro kepada jawaban itu cukup
panjang. Kalau ditulis, boleh menjangkau 6-7
helai kertas fulskap… Apa lagi dibantu oleh simbol swastika, tukul, unggun
api, penumbuk, tulang ikan, lidah terjelir dan seumpamanya yang terlakar indah di
ruang kepala. Tertunduk AJK yang malang
itu mendengar binaan ayat-ayat penuh tanda seruan yang keluar secara spontan
dari mulut saya…..Ikut tertunduk adalah kerani sekolah yang sebelum munculnya
babak tersebut amat rancak berbual dengan saya. Tunggulah mesyuarat AJK Badan
Muhadhoroh nanti, kata saya sebelum mengizinkan AJK nan seorang itu beredar….. Mesyuarat AJK Badan Muhadhoroh nanti? Tunggu
sajalah! Kenapa aku seorang yang dibambu hari ini? Saya meneka itulah kata
hati AJK tersebut ketika melangkah ….
Di hujung
bangunan dewan,
berhampiran pagar sekolah, melalui cermin tingkap, Pengerusi Badan Muhadhoroh
bersama tiga-empat AJKnya terhendap-hendap ke arah pintu pejabat. Dan mereka
pun saling bertolakan sebaik nampak saya memandang ke arah mereka – berlari
menjauhi tingkap….. Budak Falah….
Malam itu
saya menggelisah. Saya perlu menyediakan
TIGA soalan untuk setiap peserta. Ertinya satu setengah dozen secara
keseluruhan, ditambah lagi satu soalan bonus sebagai persediaan sekiranya
markah bagi kedua-dua grup adalah sama.
Lapan belas
soalan am mencakupi bahasa, budaya, sejarah, sains dan geografi.
Senang. Memanglah,
bagi yang sekadar mahu melangut untuk melihat dan mendengar di dalam dewan
kelak…. Bagi yang mencari soalan, dia dan Khaliqnya saja yang tahu akan
perihnya. Mendapatkan bahan untuk acara mencari benda, mencari pasangan dan
seumpamanya di dalam Sukan Rakyat pun amat memenatkan, apa lagilah bagi acara
kuiz….
Slot yang nantinya
memakan masa sekitar setengah jam itu rupanya memerlukan sebahagian besar waktu
tidur saya malam itu. Masakan mahu dikemukakan soalan terus seperti: Apakah
nama ibu negara Chile? Siapakah pencipta televisyen? Atau sambungkan pantun siakap senohong
gelama ikan duri….. Kena ada bentuk yang ‘mengacau’ minda sedikit.
Siapa suruh meminta makhluk seperti saya membuat soalan…….
Saya
meniarap di rumah. Dada beralas bantal, kaki bersilang menghala ke langit…..
Radio
dipasang bagi mendapatkan latar bunyi. Sudah dua lagu nyanyian Wings diputarkan
oleh dj Kamal Hassan - berselang dengan beberapa
lagu rock kapak lain - di dalam ruangan kendaliannya, RockArena, pada dinihari itu.
Saya merujuk
seberkas guntingan akhbar dan beberapa naskhah Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat,
Dewan Sastera, sebuah kamus Dewan dan
atlas. Mencari jawapan sebelum mencipta soalan…. Ketika hendak mencapai soalan
ke sedozen, sangap saya bukan main kencang. Tetapi apabila tersentuh membayangkan
wajah cemas AJK malang siang tadi yang begitu pasrah mendengar leteran, saya
kuatkan semangat untuk terus menyelongkar mendapatkan soalan yang boleh
mencakar minda peserta kelak……
Bagaimana
dengan enjin carian Google? Tidakkah saya
mencuba saja di situ? Mungkin ada pertanyaan begitu di fikiran pembaca dari
spesies yang kalau mahu menggoreng ikan kering pun mesti dapatkan caranya di
internet……
Beginilah.
Cuba anda buat latihan mudah ini sekarang: Genggam tangan anda, buat satu
bentuk penumbuk mengikut saiz dan berat yang anda suka. Pejamkan mata.
Bayangkan wajah Benjamin Netanyahu, Ehud Barak atau Shimon Peres. Lepaskan satu
tumbukan kencang ke rahang ataupun ke hidung anda. Maka anda akan memperolehi
jawaban kepada soalan di permulaan perenggan ini…… Lagi mahu tanya ka? Appara….. Ini
cerita awal dekad 90-an daa…. Namun, bagi yang tidak tahu siapa tiga nama yang
saya catat itu bolehlah memohon bantuan enjin carian tersebut kini …..
Pagi
besoknya, di dalam pejabat sekolah, saya sudah bersedia dengan 18 soalan
beserta jawaban muktamadnya. Ditaip kemas di atas kertas berwarna merah jambu. Siap
dibahagikan pula agar seimbang untuk dua grup. Dimasukkan ke dalam sampul terpakai
berwarna perang kecoklat-coklatan yang
bertulis Urusan Seri Paduka Baginda
yang saya ambil di atas meja kerani.Soalan bonus, jika diperlukan kelak, tidak saya
tulis. Menjaga kerahsiaannya, cukup saya simpan di dalam memori ciptaan/kurniaan
Allah.
Saya
menyerahkan sampul tersebut kepada AJK malang yang berjumpa saya 20 jam yang
lalu. Dia yang tertunduk-tunduk ketika menghampiri saya setelah saya
menggamitnya dari pintu pejabat, teragak-agak bersuara. Entah berapa kali dia
berselawat untuk menyatakan: “Depa minta cikgu jadi pengacara kuiz ‘tu…….”
Sudah!
Saya
merenung mata yang cuba dilarikan dari sebuah pertembungan….. Saya tahu gelisahnya
dalam mengharap jangan ada sebuah lagi intro kepada jawaban seperti hari
sebelumnya. Saya nampak Pengerusi Badan Muhadhoroh bersama tiga empat AJKnya
terhendap-hendap di tepi tingkap berhampiran pentas……
Saya berkata
‘OK’.
Ringkas
jawapan itu, bukan? Memang, mungkin kerana berkat selawatnya ketika digamit berjumpa
saya, tidak terkeluar sepatah pun kalimah lain dari mulut saya. Agaknya selepas
itu AJK tadi terus ke bilik air bagi membasuh muka , bagi mengukuhkan keyakinan
diri bahawa dia bukan bermimpi tatkala mendapat jawaban sepatah saya tadi…….
[Sebenarnya
saya malas untuk berkata apa-apa lagi. Hari itu majlis akan berlangsung. Kalau
boleh biarlah keceriaan hari itu tidak tercalar. Lagi pula, tidak jauh dari
pintu pejabat itu, berdiri seorang guru bertudung hitam - yang secara sementara
mengajar di AlFalah – sedang tersenyum manis ke arah kami, menunggu saya
berelak sedikit untuk dia masuk menyerahkan buku ringkasan mengajar.Tidak
manislah pula jika senyum itu dijadikan latar muntahan simbol swastika, tukul,
unggun api, penumbuk, tulang ikan, lidah terjelir dan seumpamanya, seperti
kelmarin. Apa pula tanggapan guru bertudung hitam itu kepada saya…. Lecehlah.
Maka disimpanlah semua bahan yang sepatutnya dimuntahkan itu. Tunggulah
mesyuarat AJK Badan Muhadhoroh kelak, pujuk hati saya…..]
Selepas
rehat, majlis berjalan sebagaimana dijadualkan. Acara-acara wajib berselang-seli
dengan acara-acara tempelan – termasuk acara kuiz yang akan saya kendalikan.
Tiada meja
diletakkan di atas pentas ketika kuiz berlangsung. Tiga peserta berdiri di
kanan pentas dan tiga lagi di sebelah kiri. Agaknya, pihak pengelola
menjangkakan tidak lama masa diambil bagi menyudahkan acara tersebut. Saya
berdiri di tengah-tengah. Peserta paling hampir dengan saya bagi kedua-dua grup
berdiri sejarak semeter. Tanpa meja untuk para peserta dan saya, menjadilah
kami seperti petikan adegan melelong
hamba di pasar di dalam filem Tiga Abdul
– sayalah mengambil tempat HM Busra sebagai
jurulelong. [Tunggulah mesyuarat AJK Badan Muhadhoroh kelak, pujuk hati saya
lagi…..]
Rupanya
seronok juga melihat peserta terkial-kial mencari jawaban bagi soalan yang saya
ajukan. Tidak sia-sia saya bersengkang mata mencari jawaban sebelum mereka-bina
soalan. Pelajar di dalam dewan sesekali riuh mendengar soalan. Yang tahu jawaban,
terutama yang di kelompok depan, dengan gaya tersendiri cuba memberikan jawaban
berisyarat kepada peserta sambil mata
memerhati ke arah saya. Yang tidak tahu jawaban pula, juga yang di kelompok
depan terutamanya, dengan gaya tersendiri cuba menunjukkan bahawa mereka tahu
jawaban, dengan sengaja mengisyaratkan sesuatu, sambil mata memerhati ke arah
saya…. Mereka tahu, cikgu mereka ini tahu bahawa sebenarnya mereka tidak tahu
pun jawaban….. Hehehehe. Bukan sehari dua kami saling mengenal hati budi……
Sekali lagi: Hehehehe……
Di tengah kelompok
pelajar di depan itu, saya terpandang guru bertudung hitam yang secara
sementara mengajar di AlFalah tadi. Dia tidak duduk bersama guru-guru di kerusi
paling depan. [Beberapa guru lelaki menikmati acara tersebut sambil menikmati
pula minuman bancuhan Bang Man di kantin yang ketika itu masih terletak di tepi
pagar di sebelah dewan]. Guru bertudung hitam tadi ikut mengerutkan
kening mencari jawaban namun tidak cuba mengisyaratkannya kepada peserta. Hanya
tersenyum, memandang murid sementaranya di atas pentas.
Riuh tepukan
tatkala jawaban yang diberikan tepat, dan riuh pula suara tanpa tepukan apabila
mendengar jawaban dari saya pada soalan yang gagal dijawab tepat oleh peserta.
Yang riuh itu terutamanya apabila ada penonton yang tahu jawaban tepat tapi
isyaratnya tidak dapat difahami oleh peserta. Keriuhan menjadi-jadi jika
ditambah oleh reaksi penonton yang tidak tahu jawaban, tetapi ikut memberi
isyarat tadi, seolah mereka mengisyaratkan jawaban sebenar. Nampak jalur
kekesalan pada wajah mereka. Ada yang menggeleng-geleng.Tetapi spesies begini
biasanya akan awal terdiam apabila nampak mata saya menuju ke wajah mereka…..
Bukan sehari dua kami saling mengenal hati budi……
Kedudukan
terikat 5-5. Ertinya, tiada grup yang dapat menjawab semua sembilan soalan masing-masing. Lapan
soalan yang saya perah semalam tidak dijawab. Barang diingat, soalan bukanlah
diberikan dengan jawaban aneka pilihan, A B C D. Kena bolak-balik juga mata dan
minda untuk menjawabnya, bang……
Kenalah saya
keluarkan soalan bonus. Siapa yang menjawab dahulu dengan tepat dikira sebagai
pemenangnya.
Semua
menunggu.
Buai laju-laju,
Sampai pokok sena.
Saya
sebutkan begitu. Terus semua peserta mengangkat tangan. Agaknya mereka pasti,
maksud bagi pembayang pantun itulah yang akan saya minta. Penonton ikut teruja.
Guru bertudung hitam itu tersenyum. Ada yang siap mengumat-kamitkan mulut.
Terangguk-angguk. Pastilah juga sedang memberi bisikan maksud kepada pembayang
tersebut.
Soalannya……
Semua
peserta mengerakkan tangan yang sedia terangkat untuk meminta peluang menjawab.
Apakah nama lain bagi pokok
sena?
Dewan sepi.
Semua
peserta menjatuhkan tangan. Saling berpandangan dan mulut masing-masing
terkumat-kamit. Entah cuba menjawab atau sedang mencerca penyedia soalan
itu…..
Di bawah, demikian juga keadaannya. Saling berpandangan dan mulut masing-masing
terkumat-kamit. Entah mencari jawaban atau sekadar meraba jawaban berkemungkinan.
Guru bertudung hitam tadi ikut terkumat-kamit di tengah kelompok pelajar – entah menjawab
atau berwirid….
Pelbagai nama disebut peserta sebaik saya memberi peluang
sekali seorang untuk menjawab. Semuanya berkait dengan nama bunga. Tetapi semua
tidak masuk akallah jawabannya. Misalnya, cempaka, sedangkan berbeza benar
pokok cempaka dengan pokok sena.
Akhirnya
mereka mengalah. Penonton ternanti jawaban setelah ikut mengalah apabila saya
buka soalan itu untuk semua.
Jawapannya: pokok …..
Saya
menggayakan seperti penyanyi.
…kembo….
Terus
disambut secara paduan suara serentak satu dewan:
…jaaaaaaaaaa…..
mengikut lagu Sejati nyanyian Wings yang sedang popular ketika
itu! Malah ada yang menyambungnya selepas suara serentak itu.
…yang sekecil kita.
Masing-masing tertawa. Ada yang bertepuk. Guru bertudung
hitam tadi tersenyum.
Saya mencarikkan suasana itu dengan berkata: Sebenarnya, bukan kemboja.
Saya acah sahaja. Nama lain bagi pokok sena adalah pokok angsana! Sila rujuk Kamus Dewan…….
Dewan sepi seketika. Saya melangkah turun. Tiada pun hadiah untuk peserta, apa lagilah
untuk jurukuiznya. Itu hanya acara biasa
di dalam majlis biasa muhadhoroh……
Dalam langkahan menuju ke kantin
menyertai dua tiga guru lain, saya nampak kelibat guru bertudung hitam tadi. Menggeleng-geleng
kepala dan tersenyum kepada saya. Pastilah itu pengalaman bermuhadhoroh yang
lama kemudian baru dapat dilupakannya…….
Catatan Khas:
Guru bertudung hitam yang saya sebutkan di atas adalah Ustazah Mashitah Hj Salleh. Peramah dan mudah mesra.
Berasal dari daerah Pendang dan takdirnya menjadi menantu orang ada-ada di kampung saya. Beliau pernah mengajar
sementara di AlFalah pada suatu masa [awal dekad 90-an]. Malangnya saya tidak ingat sama ada
menggantikan siapa yang bersalin. Nak kata mana-mana ustaz, tak kan
kut….hehehehe. Juga saya tidak ingat
sama ada dia mengajar pelajaran akademik atau agama ketika itu. Saya sebutkan
panggilan ustazah kerana kini, sejak lebih sedekad lalu, merupakan guru KAFA di
sebuah sekolah di sekitar kawasan kami. Setahu saya Ustazah Mashitah pernah
bertugas di sekurang-kurangnya dua sekolah di daerah kami.
Kini beliau kebetulan sebumbung tempat mengajar dengan Ustaz
Husin Lateh [yang pernah melagukan nasyid Di Pondok Kecil bersama salah seorang adiknya di
atas pentas muhadhoroh AlFalah].
Saya teringat tentang kuiz dan soalan tentang pokok sena itu
dengan sangat jelas. Saya masih ternampak suasana di dewan itu dan reaksi
Ustazah Mashitah. Semua ini diangkat sebagai bahan entri sebaik teringat dimaklumkan
oleh Muzammil Solihin Musa bahawa dia bertemu ustazah yang seorang ini di sekolah
tempatnya mengajar, pada satu petang……
Catatan ini saya dedikasikan kepada Ustazah Mashitah yang
murah dengan senyuman itu.
Tidak akan berulang detik itu…….
No comments:
Post a Comment