7 February 2013

Masihkah Hang Ingat, Pirud?

Aku harap hang masih ingat, walaupun berbalam-balam.

Peristiwa ini sudah lama berlalu. Lebih kurang sudah suku abad.

Kalau aku berumur suku abad waktu itu, hang pun lebih kuranglah. Hang cuma setahun muda dari aku.

Malam itu, salah satu hari Khamis dalam hidup kita, jam 9 malam, aku siap berdiri dekat motor hang yang terletak di tepi kantin depan rumah. Aku keloi hang dua tiga kali. Hang keluaq sambil membimbit dua topi keledar. Hang siap dengan jaket kulit lagi.

Aku melompat ke atas motor, sebaik enjin Suzuki FR warna biru itu hang hidupkan. Aku pegang bahu hang kuat ketika gear satu dimasukkan. Terlompat motor itu. Budak-budak asrama lelaki yang sedang berjalan untuk prep di blok sekolah tergelak.Sebahagian kawan depa di atas jalan tar mini menghadap padang bola, mengelak ke atas rumput di kiri kanan, ketika kita melintasi depa. Hebat ngauman motor hang walaupun hanya 80cc......

Sampai di jalan besar, lagi kuat hang koyak minyak. Kita menghala ke utara, melintasi Tebengau, Kampung Pergam, Telok Bagan, Tandop, Batu Dua dan Simpang Kuala. Itulah destinasi akhir kita, tapi malam masih belum tua sangat.


Hang pederas ke pusat pekan. Melalui Jalan Langgar, hang kona ke Jalan Tunku Ibrahim, melintas depan Kedah Shopping Centre dan Restoran Rose. Terus lagi sampai jumpa bulatan berdekatan Bangunan Sultan Abdul Halim dan Bangunan Persekutuan. Terus lagi hingga jumpa Stesen Bas Baru Telok Wanjah.

Hang park motor dekat gerai kegemaran kita. Kita duduk di bangku paling dekat dengan motor. Hang order teh tarik, aku order teh o. Hang makan nasi lemak lauk ikan, aku balun nasi lemak lauk udang. Hang dua bungkus, aku pun dua bungkus.Sama-sama kita peronyok kertas dan daun pisang pembalut nasi lemak itu,dan letakkan di tengah-tengah meja.


Alhamdulillah.Lega.

Hang cucuh rokok, aku tengok saja......

Kemudian,empat lima orang kenalan kita duduk join sekali.Tarik kerusi dari meja lain untuk mengelilingi meja kita. Seronok. Pertama, sudah menjadi undang-undang, makan minum, sendiri tangggung. Cuma pada hari-hari tertentu, waktu mai syeikhnya, akan ada salah seorang settle semua.Kedua, depa ada banyak cerita.Bukankah depa mai dari bermacam latar hidup? Ada drebar kereta sapu. Ada geng tarik kereta.Ada penjual ubat di kaki lima. Ada cikgu pencen yang tidak berkeluarga.

Hang yang banyak bercakap dengan depa. Aku tumpang dengar dan tumpang kernyih pada waktu-waktu yang sepatutnya semua kita kernyih.Hangpa gelak, aku gelak.

Seluloinya macam itulah.

Tetapi malam itu lain sedikit. Kita ada program.

Dekat pukul 11.30, hang cuit aku, ajak blah. Aku faham sebab kita sepatutnya ada di Simpang Kuala, seperti niat awal.Kita tinggalkan member-member yang tengah rancak bersembang.


Hang pederas motor, melingkungi Bulatan Wanjah, lipat balik ikut jalan mai tadi. Sampai di Jalan Sungai Korok, hang berhenti di stesen minyak dekat Dewan KIA. Hang isi tangki bagi penuh - dalam empat ringgit.

Lepas itu, hang pederas lagi sampai ke Panggung Deluxe.  Hang park motor di kakilima rusuk bangunan. Sengaja kita tak letak di kawasan parking di belakang bangunan - jimatlah seringgit.

Kita usung topi keledar masing-masing. Hang kilik sama jaket kulit. Kita berjalan ke bahagian depan. Bau kuah laksa Cina dari gerai di sebelah panggung menerkam hidung. Ramai juga pelanggannya.


Kita lompat lima anak tangga. Aku beratur untuk membeli tiket di kaunter. Selepas itu kita belek-belek poster di dalam cermin di dinding. Ada 'Next Change', ada 'Coming Soon' dan ada 'Now Showing'. Kemudian baru kita nampak poster filem yang akan kita tonton nanti - tayangan tengah malam. Begitulah selalu pun. Kita bukan kira filem apa, janji tayangan tengah malam. Kalau bukan filem barat, pasti filem Kantonis atau Mandarin. Tak pernah ada filem Tamil atau Hindi di Panggung Deluxe, kan?

Malam itu filem orang putih. Buatan Itali berbahasa Inggeris.Aku lupa tajuk tapi pelakon wanita utamanya adalah Gloria ApaNtah. Kisah romantis dua jiran  bercinta. Siap naik Vespa meronda Venice.......


Dalam pukul 1.30, cerita tamat, baru kita keluar dari panggung. Ada juga yang blah awal apabila tidak suka atau tidak faham jalan cerita. Kita pun pernah sekali dua macam itu. Maklumlah, kan, kita bukan tahu sinopsis. Harap pada poster saja.....

Hang ambil motor, aku tunggu di depan panggung, sambil pegang dua topi keledar dan jaket.

Lama juga aku tercongok di situ, sampai apek jual laksa pun tengok aku semacam, semasa dia tengah mengira duit di celah dapurnya.

Kemudian aku nampak hang tuntun motor. Hang kata sudah lenguh tendang, tapi tak juga mahu hidup. Aku pula ambil alih. Tendang, tendang dan terajang. Tidak ada tanda-tanda mahu hidup. Kacau!

Selepas cucuh rokok dan mengembut dua tiga kali, hang pula tendang. Pun masih tiada hasil. Haru!

Selesai rokok sebatang, hang cucuh lagi satu. Tinggal kita berdua di depan panggung itu. Jam sudah lepas pukul dua.

Hang tarik choke, hang buka plug, hang cucinya.

Hang tendang lagi. Lagi-lagi lagu 'tu...

Aku takdak idea. Hang bolehlah sebab selalu kata, hang hisap rokok boleh dapat idea. Maka idea pun sampai apabila kepulan asap hang hembus ke udara. Idea yang cukup bernas......

Rumah yang paling dekat yang kita kenal tuannya, adalah rumah Paklong Usin.

Demi keselamatan motor, kenalah dibawa ke rumah Paklong Usin, untuk disimpan. Esoknya kita pi ambil di situ dan kelebek apa yang tidak kena.....Hang kata.

Aku setuju sangat.

Tapi tudia, aih! Rumah pakar urut yang menjadi Bendahari Lembaga Tadbir AlFalah itu terletak di Kampung Tengah, Telok Bagan! Sekali lagi: Telok Bagan!

Kita ketika itu sedang berpeluh di Batu Satu. Tandop, simpang sebelum masuk ke Telok Bagan itu, Batu Tiga. Dari simpang itu ke rumah Paklong Usin pula rasanya lebih sebatu.

Hang kata kita berjalan kaki ke rumah Paklong Usin. Aku setuju. Tidak ada masalah. Aku pernah berjalan dari Simpang Empat ke Permatang Ibus beberapa kali kerana segan nak menumpang orang, pada waktu malam. Aku pernah berjalan dari Simpang Kuala ke rumah Paklang aku di Alor Penyengat, Kandai melalui Bee Bee Park dulu. Masa sekolah rendah dulu pun aku berjalan pi balik sampai darjah lima. Tidak ada masalah.

Tapi kali ini kena berjalan bersama motor!

Namun, adakah cara lain?

Maka, awal pagi itu, ketika nyonya kaunter tiket Panggung Deluxe terlena memeluk pundi duit, kita menapak bersama makhluk ketiga yang setia bersama kita. Bergilir-gilir kita memimpinnya. Mujurlah kereta tidak banyak lalu-lalang. Hang boleh juga sekali-sekala menghisap rokok. Aku?

Sampai depan Sekolah Menengah Teknik, Batu Dua, kita pimpin kekasih kita itu menyeberang Terusan Wan Mat Saman, mengunakan pula jalan tar mini. Beberapa orang budak muda yang jenis tidur siang melihat kita dengan kehairanan. Tetapi melihat baju kita yang lokos dek peluh, agaknya, tiada siapa pun yang cuba menyapa...... Kalau ada yang bertanya 'rosak ka, bang?' boleh juga kita jawab, 'dak aih.... saja-saja bawak dia berjalan menikmati embun jantan!'

Jalan punya jalan, sembang punya sembang, maki secukup rasa, kita sampai di rumah Paklong Usin. Baju dan seluar hang basah lencun. Baju dan seluar aku? Lagi mau tanya ka?

Lama juga kita tunggu Paklong Usin membuka pintu. Itu pun setelah tujuh lapan kali kita berduet memberi salam. Kalau aku pun, macam Paklong Usinlah. Ambil masa juga untuk pastikan siapa yang terpaklong-paklong dekat waktu imsak itu.....

Sambil menggosok mata dan memintal gulungan kain pelikatnya, Paklong menyuruh kita masuk. Hang menolak, tapi kita cukup faham dengan Paklong. Katanya sentiasa muktamad. Kita pun masuk, duduk tidak bersandar di sofa ruang tamunya. Hang bercerita hal kita. Paklong terkekeh-kekeh gelak sambil menampar kedua-dua pehanya. Dia memanggil Maklong untuk membancuh kopi. Kopi? Cepat pula kita menolak. Buat menyusahkan Maklong, hang kata. Aku pun tahu, kalau pekena kopi pulak, makin berminyaklah badan.....

Kita cuma hendak meletakkan motor di rumahnya sementara menunggu siang. Terlanjur begitu, kita pinjamlah motor Paklong untuk balik ke Falah.........

Paklong bangun membuka pintu tengah sisi rumahnya. hang pimpin kekasih kita itu ke situ dan mengambil pula kekasih Paklong ke luar. Kita pederas balik dengan janji untuk datang semula seawal mungkin nantinya.

Fuh, lega. Apa tidaknya, kita naik motor Paklong tanpa memakai baju........

Sampai di Falah, aku terus ke asrama. masuk ikut tingkap yang diikat dengan tali rafia. Hang masuk rumah hang macam mana aku tak tahulah.....

Letih oooo.

Sekitar jam sepuluh, hang cari aku di asrama, ajak ke rumah Paklong Usin semula.

Di rumah Paklong Usin yang nama terdaftarnya Hashim bin Noh, kita pun pekena kopi serta pulut udang. Selepas Paklong berkisar untuk ke market, katanya, kita pun minta diri dan minta motor hang

Di luar rumah, hang tendang lagi sekali dua.Tiada sebarang perubahan.

"Minyak tak dak kut...." kata Paklong Usin.

"Minyak penuh tangki, baru boh semalam..." balas hang. Aku mengangguk. Aku saksi,kan?

"Cuba hangpa buka tengok..." kata Paklong lagi.

Dalam penyebai, hang buka tudung tangki.

Tangki kosong!


Sah! Ada kutu mencuri minyak motor itu semalam. Selalu juga orang cerita betapa mudahnya mendapatkan minyak dengan mengaplikasikan kaedah tekanan udara melalui sifon....... Aku ada ajar di dalam kelas. Cuma tidak pernah aplikasikan......


Rupa-rupanya kita adalah di antara mangsanya.

Celaka!

Paklong Usin tergelak sakan.

Kemudian, hang gunakan kaedah pencuri itu untuk menyedut sedikit minyak motor Paklong, di depannya......Terhenti gelak Paklong kita itu seketika.

"Celaka hangpa!" katanya sambil menyambung gelak. Maklong yang berdiri di muka pintu tengah sisi, ikut tergelak...

Kemudian lagi, kita pederas balik dan singgah di Tebengau untuk menambah minyak seringgit - sebotol kaca.....

Pirud, hang ingat dak semua 'ni?

Aku? Sampai mati aku tak lupa aih!

Hantu sungguh!

Hehehehehehe....

2 comments:

wiraosman said...

hantu mlm jumaat

Anonymous said...

seksanya aihhh.....