13 February 2013

Gadis Bertudung Putih

Sambungan  Paprik Dari Pattani




S E D A P.

Tidaklah saya tahu mencari kata-kata yang sesuai untuk mengungkapkan perkataan itu. Kalau secara lisan, tentu anda akan dapat membezakan bagaimana saya tidak menyebutnya dengan dieja menggunakan huruf sin []  bagi permulaan ejaan kalimat sedap itu. Saya gantikan sin itu dengan sad [ ] Agak bombastik namun itulah kenyataannya. Dengan se itu dipanjangkan sekurang-kurangnya 8 harkat!Sedap sungguh! [Bagi yang kurang faham lagi bolehlah bayangkan seseorang yang bercerita tentang pasangannya  yang baru dikenalinya , dengan katanya,“Seeeeeeeeg-gaklah!” Bayangkan waktu berjumpa sahaja, ya, jangan pada waktu sudah beranak setengah dozen…..!]

Kerana kesedapan itu beberapa kali saya tersasul menyebutnya di hadapan lagi tiga anggota…. Beberapa kali pula Paktam menggiat saya, “Hang ‘ni dah sangkut dengan adik Kak Jah ‘ni…..” Hehehehe. Saya tersengih.  Kalau tidak memikirkan sempadan politik dan kedudukan geografi, mahu saja saya tersasul dengan lebih kerap lagi…..

Lama selepas makan, kami diajak pula ke rumah Ustaz Man di Hujung Jambatan {Tokjong – kata UstazMan. Tidak tahulah ejaan saya ini betul atau tidak. Takut berulang kes Nathawi tadi…..} Tujuan utamanya untuk bermalam di situ. Eloklah juga. Kalau kekal di rumah mertuanya pun, alamat bersiang pula saya sepanjang malam – membilang gelugur bumbung rumah atau mengira bunga renik pada tirai menghala ke dapur…..

Kami bersalam dengan bapa Kak Jah.  Ibu Kak Jah yang berada di sisi, dengan ramah mempelawa kami singgah lagi nanti. “Insya Allah, Mak!” kata saya. Ibu mertua Ustaz Man itu terus tersenyum walaupun ucapan saya tadi hanyalah di dalam batin…. Pasangan bahagia hampir sebaya itu yang berdiri di hujung pelapik tangga melambai lembut tatkala Paktih memusing kereta untuk menghala kearah Tokjong. Kereta agak padat dengan pertambahan penumpang – Ustaz Man, Kak Jah dan Bushra yang diriba ibunya.

Dalam suram cahaya lampu di depan tangga saya nampak kelibat seseorang di tepi tingkap, betul-betul di tempat saya bersila waktu makan tadi. Dia melambaikan tangannya. Cikgu Non yang duduk paling tepi tidak nampak. Paktih dan Paktam juga tidak nampak. Demikian pula Ustaz Man, Kak Jah serta Bushra. Hanya saya yang nampak akan lambaian itu kerana dikhususkan untuk saya. Saya membalas lambaian itu sambil tersenyum. Dan tiada siapa  di dalam kereta itu nampak lambaian balasan mahupun senyuman itu…..

Sampai di rumah ayah Ustaz Man, kami mandi dan dihidangkan secawan kopi. Berbual-bual sebentar dengan  Pakcik Wae Mat, kami dipersilakan ke ruang tengah untuk beradu. Disediakan satu kelambu untuk kami berempat. Itulah pertama kali saya, malah kami, melihat satu kelambu yang amat besar. Mungkin 7-8 orang boleh menghuninya satu-satu masa. “Boleh main bola aih dalam ‘ni…”kata Cikgu Non. Kami tertawa.

Tidak lama kemudian kami terlena keletihan.  Dan tiada satu mimpi pun bertandang…..

Paginya, kami terjaga apabila terdengar azan Subuh. Rupa-rupanya ada sebuah surau sekitar sepelaung dari rumah Pakcik Wae Mat.

Selepas solat, kami bermenung di beranda rumah. Melihat suasana sekitar. Paling dikagumi adalah betapa wayar elektrik berselirat dilekatkan pada pokok-pokok kelapa untuk disambungkan ke rumah-rumah di belakang rumah yang kami tumpangi. Mudahnya!

Ketika matahari sepenggalah, kami dibawa ke rumah kakak Ustaz Man, tidak jauh dari situ, berhampiran jalan utama ke Pattani. Di situ kami bersarapan. Banyak juga menunya, termasuk pulut – sarapan biasa di situ. Siap dengan lauk-pauk serta dua tiga jenis kuih. Lauknya sedap-sedap. Namun yang dimakan di Ban Dok Rak semalam lebih sedap, bagi saya……

Selesai bersarapan, Ustaz Man mengajak kami keluar untuk berjalan-jalan. Menghala ke Bandar Pattani bererti  kami akan melintasi rumah yang kami singgahi semalam! Meski duduk di tengah-tengah di bahagian penumpang belakang – antara Cikgu Non dan Ustaz Man – saya tetap menfokus ke sebelah kiri jalan.  Sebaik kelihatan tempayan besar di tepi jalan, dalam 750 meter jaraknya, saya siap berpaling le kiri. Melihat rumah yang kami singgahi semalam. “Mereka semuo gi ziarah keluargo dekat yang baru balik dari Bangkok…..” kata Ustaz Man apabila salah seorang – bukan saya – yang di dalam kereta itu berkata semua pintu dan tingkap rumah itu tertutup.

Tertutup semua pintu dan tingkap? Tapi saya nampak kelibat seseorang  bertudung putih di muka pintu mengangkat tangan, melambai ke arah kami…………………… hehehehehe.

Syeikh Daud  Al Fathani
Di tengah-tengah Pekan Pattani, kami dibawa ke sebuah masjid lama yang agak luas lamannya. Di situlah pada setiap hari Sabtu, ada kuliah dari seorang ulama tersohor Pattani. Ramai orang menjadi penuntutnya, termasuk dari Malaysia, yang menadah kitab kuning, kata Ustaz Man. Maksudnya kitab-kitab karangan ulama tersohor termasuk karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al Fathani yang sememangnya sejak lama dicetak di Selatan Thailand. Kertas cetakan semasa itu biasanya berwarna kuning atau sedikit kekuningan.

Kemudian, kami diajak pula ke sebuah kampus universiti, tidak jauh dari pantai Pattani. Biasa-biasa saja bentuk bangunannya, bahasa pengantarnya pula pastilah dalam bahasa Thai. Maka sekali lagi kami tidak faham kenapa dibawa ke situ sekadar untuk berjalan di lobi utama, berselisih dengan siswa-siswi yang tidak pun menghulurkan salam kepada kami, dan melihat semua kenyataan di dinding bertulisan melengkoi-melengkar……..
.
Kemudian lagi, kami ke Yala. Dalam perjalanan kami singgah di Masjid Kersik yang terkenal dengan cerita berdarah itu. Di Yala, biasa-biasa saja. Cuma melihat bandarnya sepintas lalu. Sempat melintasi satu bangunan yang oleh pemandu pelancong kami dikatakan sebagai stesen radio Yala yang ketika itu terkenal dengan DJ yang sering memutarkan lagu dari Malaysia. Kami sering membuka siarannya dan paling tertarik setiap malam dia memutarkan lagu dari kumpulan 'MAY Hakikat'.Begitu yang dj tersebut perkenalkan, sedangkan sebenarnya lagu dari album kumpulan MAY yang berjodol Hakikat yang mengandungi lagu Sendiri, Dari Kacamata dan Cintamu Mekar Di Hati..........

Apabila tiba waktu makan, kami singgah di sebuah restoran. Menunya sama saja seperti di Sadao. Eleh, macam di Malaysialah, kalau namanya nasi lemak, mesti yang utama lauknya bilis/telur. Seolah-olah melanggar rukun negara kalau nasi lemak berlaukkan daging burger atau berkuah dalca……..

Kami memesan seperti biasa dengan mewajibkan tomyam dan paprik – kali ini paprik daging. Kenyang ? Tentulah. Rasanya? Hui, mana boleh kalahkan yang kami makan di Ban Dok Rak……

Petang sedikit, kembali ke Pattani, kami dibawa ke sebuah pasaraya. Tidak banyak beza dengan pasaraya di tempat kita. Pengunjung ramai tapi jualan biasa-biasa saja agaknya kerana kebanyakan yang saya nampak hanya membelek dari satu petak ke satu petak. Entah apa motif sahabat kita itu membawa kami ke situ….. Namun yang paling saya ingat adalah kedai kasut sekolah di dalam pasaraya tersebut. Lama saya dan Cikgu Non perhati dan lama pula kami gaulkan tawa dengan senyum. Adakah kasut sekolah berwarna coklat? Hehehehehehe. Tapi selepas itu saya terfikir, agaknya mereka kalau melawat kedai kasut sekolah di Malaysia pun akan mengampuhkan senyum dan tawa: Adakah kasut sekolah berwarna putih? Buat cepat kotor sahaja……. Atau senyum berkampuh tawa seorang pelancong dari Kanada  apabila terbaca di tengah Kuala Lumpur yang membahang sepanjang tahun ada Summer Camp! Atau senyum tawa seorang pelancong dari Greenland apabila diberitahu di Simpang Empat Kedah ada ais salji!

Demikianlah adanya

Lewat petangnya kami balik semula ke TokJong. Melintasi Ban Dok Rak, saya melihat ibu dan bapa mertua Ustaz Man serta anak gadis mereka sedang duduk di batu tangga rumah sambil si gadis melambai ke arah kami. Hairannya, keempat-empat insan yang bersama saya tidak berkata apa-apa walaupun semuanya menoleh sama ke arah yang sama. Sah, sekali lagi mereka tidak nampak apa yang saya nampak….. Kalaulah saya mempunyai kuasa untuk menghentikan kereta ketika itu, di situ……

Malam itu, selesai solat Maghrib, buat pertama kali kami makan nasi di rumah Pakcik Wae Mat. Menu lebih kurang sama dengan yang disediakan di Ban Dok Rak. Kak Jah yang masak sepenuhnya kerana ibu Ustaz Man tidak berapa sihat untuk membantu. Dia hanya duduk menyandar pada tiang di antara ruang dapur dan ruang makan di atas rumah kayu tradisional itu. Sesekali dia mencelah perbualan kami dengan loghat Melayu Pattani yang pekat.

Ada tomyam campur serta paprik daging juga. Apa mahu dikata kerana kami memang berada di Thailand. Itulah lauk pauk kelaziman mereka. Lainlah, kalau anda pergi ke rumah Psy atau Yu Na atau Park Ji Sung di Korea Selatan itu, mungkin pelik pula jika anda menjumpai makanan ala Thai……..

Kami makan sehingga kenyang namun secara jujur dan berdasarkan penilaian peribadi saya -  tanpa bias tau -  masakan di Ban Dok Rak masih satu tahap lebih enak……  Mungkin pada malam di rumah ayahnya itu Kak Jah hanya membantu manakala yang  menyediakan rencah dan ramuan adalah orang lain…Yang mahir menggunakan periuk dan dapur di situ. Oleh kerana tidak sesekali meninggalkan tanah tumpah darahnya, maka citarasa kethailandannya tetap utuh……ewah….. Berbanding Kak Jah yang kebolehannya memasak masakan Thai telah terhakis sedikit akibat bergabungjalin dengan masakan Melayu Malaysia…. Ertinya air tangan orang lain yang kami nikmati pada malam itu di sinun……  Fuh, susahnya mencipta ayat! Hehehehe…. 

Bagaimana kalau yang memasak di Ban Dok Rak adalah emak Kak Jah? Tiba-tiba makhluk yang tidak kelihatan bercakap tanpa suara – meminjam skrip drama Bukan Bunuh Diri ciptaan Dinsman pada tahun tujuhpuluhan dahulu. Cis, potong stim betullah makhluk itu!

Tapi penilaian saya tetap dan mantap. Mana mungkin si emak yang melakukan kerja di dapur kerana sejak kami sampai pada petangnya hingga ke waktu makan, pakaian dan tudungnya tidak langsung menampakkan ciri-ciri dipakai oleh orang yang akan, sedang atau telah memasak….. Saya tahulah……

“Dia tersangkut ‘dah….” Paktam menyakat apabila secara tidak sengaja saya menguatkan suara bisikan kepada Cikgu Non, memberi  markah yang tinggi untuk masakan di Ban Dok Rak, semasa sekali lagi kami tidur di dalam kelambu besar……

Kalau tidak memikirkan sempadan politik dan kedudukan geografi, mahu saja saya mengiakan kuat-kuat akan kata-kata Paktam itu.......
Hehehehehe..............zzzzzzzzzzzzzzzzzzzZ!


4 comments:

Anonymous said...

aik, baru lagi dahtukar tajuk? tak aper.... jiwangnyer.......

wiraosman said...

Penambahan

yayacomey said...

aiiihh.... mana gadis bertudung putih tuh?? siapakah dia yg sebenarnya??

wiraosman said...

Biarlah rahsia