Bahagian selatan Stesen Bas Jalan Langgar itu terdiri
daripada beberapa lorong bas. Lorong pertama dari tangga tengah bangunan adalah
lorong untuk bas Pendang,
diikuti seterusnya lorong bas Tokai/Simpang Empat,
lorong bas Gurun, lorong bas Sungai Petani
dan paling hujung bersebelahan pejabat kecil syarikat bas UTC adalah lorong bas
mel Butterworth.
Bas mempunyai nombor khas sebagai tanda tetap laluan –
Nombor 1
untuk Simpang Empat, nombor 2 untuk Sungai Petani, nombor 3 untuk Gurun, nombor 6 untuk Pendang dan nombor 8 untuk
Tokai.Nombor 4, 5 dan 7? Juga ada tapi dari Sungai Petani ke pekan-pekan di
selatan Kedah.
Pada bahagian atas hujung menghadap Jalan Langgar yang sibuk
itu, tergantung nombor dan nama laluan masing-masing.
Ada hari dan waktunya bas bersusun setiap lorong, manusia berbondong
menaiki dan menuruninya. Tidak kurang yang tolong meramaikan – hanya melihat
orang naik dan turun. Spesies ini pada masa dahulu dipanggil ulaq ayaq
(ular air)!
Ada waktu dan ketika tertentu, semua lorong itu kosong –
tandanya bas baru berlepas manakala bas berikutnya belum masuk. Tinggallah ulaq
ayaq yang lebih ramai dari penumpang bas yang baru mula menunggu…..
Demikianlah pada suatu hujung minggu.
Semua lorong kosong sementara.
Sudah lebih sejam saya di situ. Telah dua buah bas berselang
setengah jam dari Butterworth sampai. Semua penumpangnya turun. Dan kedua-dua
bas tersebut secara berselang setengah jam
pula telah bertolak meninggalkan stesen, membawa penumpang lain ke
Butterworth. Namun orang yang saya tunggu-tunggu tidak juga muncul dari perut
dua bas tadi. Demi cinta yang baru berputik – hehehehe – saya tetap bersabar
menunggu…..
Hampir seluruh ruang stesen saya kitari. Jemu duduk di bangku kayu, saya berdiri. Kemudian
bergerak ke sudut lain. Duduk dan berdiri lagi.
Akhirnya, saya berdiri berhampiran tiang besar di antara
lorong bas Pendang dan lorong bas Tokai.
[Kalau tidak silap ketika itu bas nombor 1 – ke Simpang
Empat – telah dihentikan perkhidmatannya. Mungkin kerana tidak ekonomik,
maklumlah orang Simpang Empat boleh menggunakan mana-mana bas henti-henti
tersebut kerana lokasinya yang terletak di dalam laluan semuanya. Semasa saya
bersekolah dahulu terutamanya, memang ada bas Simpang Empat itu dan berbangga
dengannya kerana terdapat satu lagu dendangan penyanyi [yang popular dengan Korban Percintaan dan Abang Sayang Adik Sayang] dari Singapura, Julie Remie
bertajuk Bas Nombor 1. Bas lain mana ada
lagunya……. Pun demikian saya jarang naik bas tersebut. Tiada thrillnya
menaiki bas bersama orang sekampung atau setempat, yang kebanyakannya kita
kenal atau kenal kita! Begitulah untungnya kalau ada banyak pilihan….]
Hampir di setiap tepi tiang besar akan ada sekelompok ulaq
ayaq. Mungkin mengikut kampung masing-masing. Berbual dan ketawa kuat-kuat
sambil sesekali mengusik anak gadis yang lalu-lalang.
Di sisi saya ada sekumpulan lima orang anak muda awal
duapuluhan. Berdasarkan slanga mereka,
saya jangkakan mereka dari luar daerah Kota Setar…..
Saya hanya memerhatikan telatah mereka, sesekali ikut tertawa,
misalnya, apabila melihat salah seorang mengekori sekumpulan anak gadis, ajak
berkenalan, tapi berundur kembali ke
kumpulan apabila gagal mendapat layanan dari gadis-gadis tersebut…….
Tetapi namanya ulaq ayaq: tiada istilah malu atau putus asa.
Apabila nampak seorang atau sekumpulan gadis lain melintas, akan ada seorang
jejaka tersebut melakukan hal yang sama – mengekori, ajak berkenalan, berpatah
balik sambil diketawakan rakan-rakannya. Demikianlah , proses itu berulang
hingga mereka letih, agaknya.
Ketika itulah saya nampak kelibatnya. Berdiri bersama dua
beg – satu disandang manakala satu lagi yang lebih besar berada di atas lantai,bersandar
di kakinya. Dia sendiri bersandar pada dinding pejabat kecil sementara UTC
bersebelahan lorong bas 516.
Dia memerhati ke arah saya. Sekurang-kurangnya itulah yang
saya rasa.
Saya menjadi serba-salah. Apakah tanggapannya melihat saya
berada bersama sekumpulan anak muda yang belum letih berbual, ketawa dan
mengusik gadis?
Tiada bas di semua lorong.
Dia masih memerhati ke arah saya. Kali ini saya cukup yakin. Dia kenal
saya sepertimana saya mengenalinya walaupun telah tiga empat tahun tidak
berjumpa. Ke hala mana lagi pandangan matanya kalau tidak kepada saya? Masakan
melihat anak-anak muda dari luar daerah itu!
Saya bergerak sedikit-sedikit. Cuba menjarakkan diri dari
kumpulan tadi. Merasa sedang diperhatikan, saya cuba untuk menunjukkan bahawa
yang sedang mengusik pula seorang gadis yang lalu itu bukan orang
saya.
Tiada bas yang masuk ke salah satu lorong di situ. Jika ada
walau sebuah bas, pandangannya mungkin terhalang…..
Haru!
Dia terus memerhati saya sebagaimana saya sedang
memerhatinya……
Kacau!
Kumpulan yang entah dari daerah mana tadi sedang mengusik
pula tiga gadis yang tiba-tiba datang berdiri di situ, menunggu bas ke Pendang.
Kemunculan mereka yang berpeluh-peluh – agaknya baru lepas berasak-asak di Lorong Senerih* setelah puas mengitari
Alor Setar, menjadikan saya seolah kembali bercantum dengan kumpulan anak muda
tadi. Mereka riuh bukan main, walaupun usikan tidak dilayan, sekurang-kurangnya
gadis-gadis itu tidak berlalu. Tetap berdiri di situ.
Saya memerhati insan yang sedang memandang ke arah saya. Dari
jarak 25 meter itu rasanya seolah dia sedang tersenyum…..
“Depa ini bukan geng saya!” Kalau boleh mahu saya laungkan
begitu kepadanya. Tetapi haruskah begitu?
Saya menjadi semakin serba-salah. Apakah tanggapannya
melihat saya berada bersama sekumpulan anak muda yang belum letih berbual,
ketawa dan mengusik gadis itu?
Mogok tiba-tibakah semua bas waktu ini? Masih tiada bas yang masuk ke salah satu
lorong di situ. Jika ada walau sebuah bas kontot, pandangannya mungkin
terhalang…..
Akhirnya saya membuat keputusan sendiri. Nekad.
Dia masih seolah memerhati saya.
Saya berjalan ke arahnya! Mendekatinya lalu bertanya khabar!
Dia tersenyum. Saya terlupa ke manakah destinasi yang
diberitahunya. Mungkin ke maktab perguruan tempatnya mengambil lesen mengajar.
Kalau mahu pulang ke rumah, dia sepatutnya berada di bahagian utara bangunan
stesen itu – ruang yang mengisi bas-bas The Jalan Langgar Bus Company, Syarikat Bas
Gunong Sdn Bhd serta Syarikat Kenderaan
Kuala Kedah Sdn Bhd.…….
Setelah berbual hal-hal lain sedikit, tanpa berselindung
saya pun bercerita tentang keberadaan saya di situ. Sebenarnya saya sedang
menunggu menantu emak, yang baru dua minggu dinikahi, pulang dari Tanjung – tempat
kerjanya pada waktu itu. Pulang bertemu abang ipar adik-adiknya ini pada hujung
minggu. Maklumlah meski hati ini dibawa ke negeri yang sebelas tahun kemudiannya
ditakdirkan berketuamenterikan Lim Guan Eng, tidak pula boleh diangkut sekali
AlFalah, tempat suaminya masih bertapak….. Untuk si suami pula ke sana pada
hujung minggu, tidak akan diizinkan oleh menantu emak. Dia tinggal menyewa
bersama setengah dozen gadis, maka takutlah ia suaminya terlupa bahawa cuti
mingguan sekolah hanyalah dua hari…….hehehehe.
Akan kumpulan anak muda itu, tambah saya lagi, tidak pun saya kenali. Penjelasan ini penting, kata saya, agar tidak disalahanggap olehnya: cikgu di AlFalah termasuk geng ulaq ayaq di stesen bas….
Dia tersenyum. Apapun makna senyum itu tidak penting kepada
saya. Yang utama saya terasa amat lega selepas itu…..
Kemudian, apabila bas 516 sampai, saya pun beredar untuk melihat
kalau-kalau menantu emak menjadi salah seorang penumpangnya……..
Itulah kali terakhir saya berjumpa dia, yang begitu lama
,saya rasalah, memerhati ke arah saya
tadi…..
Hujung bulan Februari 1997. Sudah enam belas tahun.
Hal ini saya ceritakan sepintas lalu kepada Mohd Zairi Mohd
Ariff dan Cikgu Abdur Rahim Daud tatkala kami dalam
perjalanan ke majlis perkahwinan di Pulau Gezambo [gelaran Budak Batas Paip untuk sebuah
perkampungan sebuah keluarga di Kuala Kedah], pada hari Isnin,
11 Februari 2013 lalu.
Mereka tertawa.
Cikgu Rahim pula berkata dia tidak lagi melihat bekas
pelajar yang saya ceritakan itu, sejak meninggalkan AlFalah pada awal dekad
90-an. Manakala Zairi pula tidak berjumpa sejak masing-masing tamat
persekolahan di AlFalah. [Tiga hari kemudian, dalam pertemuan bersama Cikgu Non
dan beberapa rakan AlFalah di sebuah restoran tomyam, Zairi memberitahu, kali
terakhir berbual apabila dihubungi menerusi telefon bagi memaklumkan kematian rakan
sekelas, Rosmawati
Md Jamil dahulu].
Kami yang mulanya masuk ke khemah berhampiran DJ, berhadapan
rumah pasangan Zulkifli
Shamsuddin/ Mariam Ismail yang pernah saya dan Budak Batas Paip
membuat terjahan beberapa minggu sebelumnya.Tetapi apabila kami bertanya tentang
‘dia’ Zul terus membawa kami ke khemah bersetentang meja pengantin berhadapan rumah
ipar Zulkifli itu. Kami membawa ke situ seorang semangkuk bubur yang diambil dari khemah pertama tadi. Zul
mengisyaratkan kepada insan yang telah lama tidak kami temui itu, akan
kehadiran kami.
Dia yang sedang melihat acara pasangan pengantin bergambar
sambil mendukung seorang anak kecil, berpaling dan menghampiri kami. Tersenyum
menyapa kami. Meski agak sibuk sebagai kakak pengantin, dia mengambil sedikit ruang
berbual dengan kami. Sedikit, tetapi memadailah.
Bukan Rohana Jalil ini! |
Bagi saya sendiri, lebih sedikit dua minggu kemudian,
genaplah 16 tahun…..
Kebetulan agaknya, senja itu apabila menjengah laman fb, permintaan saya untuk menjadi rakan Rohana Jalil AlFalah, yang dibuat lama dulu, telah diterima......
**********************
**********************
*Lorong Senerih {Loghong Seneghih} –
- juga dikenali sebagai Lorong Sempit – terletak antara dua blok bangunan yang boleh menghubungkan Jalan Langgar dengan Jalan Tunku Ibrahim. Sepanjang lorong itu di kiri kanannya terdapat gerai menjual barang perhiasan dan pakaian serta makanan eceran. Sentiasa dipenuhi pejalan kaki yang menggunakannya untuk ke Jalan Tunku Ibrahim dan bahagian lain Alor Setar sebaik turun dari bas di Jalan Langgar, begitu juga sebaliknya. Paling padat pada hari Sabtu. Bagaimanapun, keadaannya kini lengang semenjak tidak lagi stesen bas tersebut beroperasi …..
3 comments:
Laaa... ingat nak kona kut mana...
mcm tu pun boleh.
Terbaek, cipher.
terima kasih bawak balek cerita lorong sempit tu.... patut bagi panjg sikit. kenangan tu..
Lorong Sempit merupakan lorong yg penuh kenangan.... menjadi kewajipan bagi mereka yg menggunakan lorong tu untuk singah dan menjamu mata......
sesekali balik kampung.... pasti saya akan melalui lorong itu untuk imbau kenangan..... x byk yg berubah.... kedudukan hampir sama..... tetapi byk kekosongan yg berlaku.... barang2 yg dijual juga tidaklah seceria dulu dan nostalgia itu betul2 membuat saya rindu pada "Negeri Tercantik"
Post a Comment