Sejak hujung bulan November lagi Mohd Zairi Mohd Ariff memberitahu jangkaan waktu dia
akan berada di P10 Kuala Kedah. Selepas selesai tugasan di Kerteh, Terengganu,
sebelum pertengahan bulan Disember,katanya, kalau ada kudrat, dia akan balik ke
kampung kelahiran di Alor Ibus.
Dia memang sibuk sepanjang Disember. Sebelum ke Kerteh,
dia menguruskan anak lelakinya yang mahu bersunat. Selepas pulang dari pantai
timur pun, tugasnya menimbun, malah cuti pun dibekukan. Untungnya, tugasan
berikutnya adalah di Juru, Pulau Pinang, maka diambillah kesempatan itu untuk
dia pulang ke Alor Ibus. Dibawa seluruh keluarganya pulang. Samatuanya yang
juga dibekukan cuti, menjadikan anak yang belum betah dari bersunat, sebagai
sebab diperlukan cuti kecemasan. Maka berulang-aliklah Zairi dari Alor Ibus ke
Juru pada setiap hari bagi melunaskan tugas.
Masa yang terluang pada awal pagi serta hujung malam
digunakan untuk bersama kami…
Dia berjanji akan menyoghok bersama kami sepanjang cuti itu. Empat kali…
Selain itu, ada acara lain lagi melibatkannya dengan
kami dalam tempoh berkenaan…
Hari Pertama [Jumaat 19 Disember]
Saya sampai di Kedai Mat Endek, Kola pada pukul 8.19
pagi. Saya menjeling ke muka telefon yang diletakkan ke atas meja. Ada
panggilan tidak berjawab. Zairi rupanya membuat panggilan 11 minit yang lalu.
Ketika itu saya mungkin berada di sekitar Tebengau dengan tangan kiri
dilindungkan di belakang bagi mengelakkan kesejukan manakala tangan kanan
digunakan untuk mengoyak
minyak… Memang dalam keadaan begitu, jarang saya mendengar bunyi
panggilan.
Saya terus hubungi semula Zairi. Panggilannya tadi
ingin bertanyakan di mana lokasi saya. Mungkin kalau dalam perjalanan, dia mahu
menyuruh saya singgah di rumah keluarganya untuk kami keluar bersama ke
destinasi. Seperti pada kepulangannya yang lalu.
Dia terkejut apabila saya katakan telah pun berada di
Kedai Mat Endek. Telah pun menghadap nasi berlaukkan seketul ikan tongkol
dipotong nipis dan seketul ayam – kedua-duanya digulai. Man, penjual nasi itu,
dalam sibuk mencedok nasi untuk pelanggan yang beratur memesan nasi bungkus,
sempat menjeling ke arah saya lalu memilih sendiri dua jenis lauk itu bersama
nasi dan menyuruh pembantunya menyalurkannya ke meja saya. Nasib… atau rezeki…
Malam tadi, ketika dalam perjalanan bertemu Wira dan
Husin di Batas Paip, ada sekali saya hubungi Zairi. Tidak berjawab panggilan
itu. Setelah puluhan minit barulah dia hubungi saya semula, menyatakan baru
sampai ke kampung pada jam delapan malam dan ketika bercakap dalam kantuk itu
dia menyatakan tiada upaya untuk keluar berbual. “Kita jumpa esok,”katanya di
hujung perbualan.
Sembilan jam selepas kalimat kita jumpa esok itulah saya telah
berada di Kedai Mat Endek.
Tempat itu bukanlah pilihan awal saya. Wira ada
bertanyakan saya tempat untuk menyoghok hari pertama itu, semasa kami bersidang membuat persiapan menghadapi
tiga empat pagi bersama Zairi… Katanya, dia dan Zairi mengikut sahaja. Entah
bagaimana mudah saja terpacul nama kedai menjual nasi berlauk dan minuman itu.
Walaupun tiada seorang pun di antara kami menjadi pencandu nasi Mat Endek,
ruang kedai yang selesa untuk lama berbual secara santai, mungkin membuatkan
mulut menyebut namanya. Lagi pula ada tiga lagi lokasi untuk dicari selepas ini…
Sebaik teh o ais sampai, seminit sebelum tibanya nasi
berlauk tadi, saya ada hubungi Wira. Dia akan datang sebentar nanti.
Saya menunggu. Supaya tidak bosan, saya pun mula
menyantap. Sambil itu saya terkenangkan Husin. Entah di mana dia pada pagi
Jumaat begini. Husin yang menjadi pendengar pada awal pagi tadi menyatakan
tidak boleh menyertai kami kerana tugasan pertukangan yang menanti di dua
tempat. Dia sendiri masih belum pasti tempat mana yang mahu ditukangi sebelum
solat Jumaat …
Zairi muncul ketika saya pada fasa terakhir
menghabiskan nasi. Berbual sebentar, dia bangun memesan lauk pilihan.
Rupa-rupanya dia telah datang ke Kola selepas solat Subuh tadi bagi membeli
sarapan untuk anak-anak, samatua dan ibunya. Katanya, dia kelelahan semalam
akibat pemanduan jarak jauh tanpa henti dengan beban tugas pula menimbun untuk
dipikul. Petang nanti, dia akan ke Juru bagi memantau tugasan di situ. Malam
nanti, memang telah diaturkan dengan acara memakan laksam di Pulau Gezambo.
Zairi, dek tugasan hingga malam dan di tempat yang jauh pula, menyatakan mungkin
akan terlewat sedikit ke acara berkenaan.
Wira sampai. Peminat tegar Nescafe merangkap duta tidak
rasmi syarikat Nestle terus memesan minuman itu sebaik duduk. Cara pesanannya
amat menarik. Dibunyikan mulut seperti bunyi tikus kasturi, dan sebaik diperhatikan
oleh pembancuh air, dia akan menggunakan ibu jari kanannya untuk diarahkan ke
mulutnya. Pembancuh sudah faham jenama pilihannya dan tidak perlu lama untuk
minuman itu berada di depan kami…
Barulah perbualan menjadi lebih berbunga…
Satu bab yang saya ingat, tentang roti canai di gerai
kegemaran Wira di depan Taman Restu, Batas Paip. Kata Wira, yang juga menjadi
duta tidak rasmi roti canai tersebut, telah beberapa hari penebar roti canai di
situ bercuti. Zairi yang dua tiga kali melintasi kawasan berkenaan memakalumkan
dia ternampak ada tebaran roti canai hari ini. Segera Wira mendail nombor
penebar roti atau pembancuh minuman yang rapat dengannya itu, bertanyakan
kesahihannya, lalu menempah beberapa biji.
“Siap tempah…?”tanya Zairi.
“Nak bawak balik kat anak…”balas Wira sambil tertawa
sedikit.
Sembang bersambung…
Oleh kerana kami berada di kariahnya, saya hubungi Mohd
Yusri ‘Babuji’ Harun, imam Masjid Tunku Tajuddin, Lorong Mayat. Dia yang berada
di rumahnya di Taman Marina berjanji akan datang sebentar nanti. Zairi pula
menghubungi Malek Jamaludin, tauke ikan yang sedang mendapatkan ikan bagi
jualan di Taman Nuri pada petang nanti. Dia masih di jeti dan khabarnya tidak
banyak ikan yang boleh didapati. Zairi memesan jika terdapat ikan bersaiz besar
untuk dijadikan lauk tengah hari kelak.
Sambil makan dan minum itu, saya hubungi Mar Isma –
pengeluar serunding dan laksam Pulau Gezambo. Zairi mahu mengajaknya sekeluarga
ikut menyoghok di Kedai Mat Endek. Tiada jawapan. Saya hubungi pula telefon
ZulSham, suaminya. ZulSham berada di hujung
sana, sedang dalam proses menyoghok bersama keluarganya. Maka ajakan Zairi
yang saya sampaikan itu ditolaknya dengan lembut. “Ni tengah nak makan nasi la
‘ni…”katanya. Kalau macam itu, tiadalah upaya saya. Cuma saya katakan ada
menghubungi samatuanya tadi tapi tidak berjawab. ZulSham terus menyerahkan
telefon kepada Mar Isma manakala saya pula menyerahkan telefon kepada Zairi.
“Tinggai la nasi di rumah ‘tu…Mai menyoghok nasi Mat Endek dengan kami ni…”itu
yang saya dengar dari mulut Zairi. Apa jawapan Mar Isma tidak saya dengar
tetapi hanya beberapa detik kemudian Zairi sudah menghentikan perbualan. Saya
dan Wira memandang Zairi. “Yam [panggilan Zairi dan rakan-rakan kepada Mar
Isma] kata nak mai satgi..”kata Zairi.
Saya dan Wira tergelak. “Mesti Zul terkejut mendengar
keputusan Yam…”lebihkurang begitulah rumusan kami akan kes itu.
Zairi juga menghubungi Nazri yang sebenarnya telah lama
tidak saya dan Wira temui. Kali terakhir adalah ketika Tansri itu baru balik
dari mengerjakan haji lebih dua bulan lalu. Tiada kemunculan di grup WhatsApp
dan tidak juga hubungan telefon. Zairi ada mengunjunginya di Hulu Langat ketika
haji muda itu baru pulang dahulu.
Panggilan Zairi tidak berjawab. Lama kemudian barulah
ada panggilan balas. Tansri sedang berkayuh basikal bersama anaknya di sekitar
Telok Bagan. Tidak dapat segera ke tempat kami berjumpa itu tetapi berusaha
untuk berjumpa pada malam nanti. Titik.
Babuji sampai. Segak berkopiah putih dengan baju
berlengan panjang berbutang penuh. Senyumnya mengulum. Pipinya berlubang…
Dia duduk dan hanya memesan teh. Katanya telah
bersarapan di rumah tadi.
Perbualan pun
bercambah…
Babuji bercerita tentang kuliah mingguannya di sebuah
surau, tentang kitab lama yang digunakannya, tentang sukarnya mendapat bekalan
ikan untuk diniagakan seperti dahulu, tentang ikan tamban kering masam yang
sedap [dan saya terus menempahnya], tentang anaknya yang telah selesa di pusat
tahfiz di Kubor Panjang [dua anaknya di situ, termasuk yang berusia 7 tahun,
masing-masing telah mampu menghafaz enam dan lapan juzuk]…
Seperti biasa, jika ada Babuji, akan ada sakatan dari
Wira. Ketika saya tanyakan banyak tidak akad nikah di kariahnya, Wira mencelah,
“Duit masuk saja ‘tu…” Babuji seperti tercari kata-kata untuk membalasnya
tetapi tidak ditemui. Akhirnya, dia berpaling ke arah lain…
Ketika Babuji menunjukkan ketegasannya bahawa acara
akad nikah mesti dijalankan di masjid bukan di rumah pengantin, Wira cuba
bertanya jika boleh sesekali diadakan di rumah sahaja, Babuji menjawab dengan
yakin: “Hang bagi lima ghatuih pun aku tak pi aih…Mesti buat di masjid…tak mau,
hang pi caghi imam lain!”
Saya dan Zairi tersenyum. Wira pun.
Saya terkesan dengan karisma Babuji sebagai pemimpin
kariah. Hampir semua yang keluar masuk kedai, hatta yang melintasi di depannya,
dikenali dan menenali Babuji. Ada saja sapaan darinya dan untuknya. Seorang
budak yang melintasi depan kedai bersama ibu digamitnya, sambil dia
mengeluarkan dompet. Budak itu tidak berpatah balik. Seseorang yang sedang
menanti nasi dibungkus memberitahu Babuji demikian. “Anak yatim tu…Ayah dia
meninggai tiga bulan lepaih…”kata Babuji, tulus.
Mar Isma dan ZulSham sampai. Mereka hanya berdiri
dengan Mar mendukung anak bongsunya – setakat ini - Sulaiman. Seorang lagi anak
lelaki mereka berdiri di sisi ZulSham. Mereka tidak mahu makan atau minum.
Sekadar singgah untuk berjumpa kami dan menjemput , secara rasmi, ke rumah
mereka malam nanti. Sesuatu yang telah pun kami , kecuali Babuji, tahu
berdasarkan perbualan dan perancangan di dalam grup WhatsApp – sebelum
kepulangan Zairi lagi. Babuji mengangguk faham dan akan berusaha untuk hadir.
Mar Isma dan ZulSham sekeluarga sah telah menghabiskan
sarapan di rumah dahulu sebelum datang tadi. Ajakan kali kedua untuk minum sahaja
pun ditolak juga.
“Nak hantaq Zul balik kampung…”kata Mar setulusnya,
“…lepas tu nak beli barang sikit…untuk hak malam ni…”
Memang Mar tulus dan Zul juga mulus…
Tapi ayat pertama Mar tadi mengundang tawa kami
berempat yang duduk mendongak melihat secara berganti wajah pasangan BF yang
bahagia itu.
Nak hantaq Zul balik kampung!
Memang kami faham, dan Zul pun menjelaskan bahawa dia
perlu memantau padi di sawah yang diusahakan di kampungnya – Kg Lahar Buaya - sempena
hari cuti itu, tetapi cara ayat itu dibentuk dan dilafazkan oleh Mar begitu
mencuit hati…Mar ikut tergelak kemudiannya mengetahui kami sengaja
menyalahtafsirkan ayatnya tadi.
Saya sempat bertanyakan tentang ibu atau bapa haruan yang bersaiz besar, jika ada, untuk
menunaikan hajat Zairi menikmati bantut
haruan. Mar dan Zul menyatakan
memang ada orang yang mencari ikan tersebut di sekitar Kg Lahar Buaya. Zul
berjanji akan menanyakan hal itu nanti.
Mar Isma dan ZulSham sekeluarga kemudiannya berlalu.
Tidak lama selepas mereka bertolak, ada panggilan dari
Malek untuk Zairi. Khabarnya ada ikan senangin molek saiznya baru naik di jeti…Zairi
meminta Malek menunggunya.
Babuji pula menyatakan ada yang perlu dituliskan pada
sijil nikah yang akan berlangsung Asar nanti…
Wira memberitahu bahawa samatuanya telah menghantar
mesej menyatakan anak-anak mereka sedang kelaparan
di rumah…
Saya?
Kami berpecah untuk berjumpa lagi malam nanti….
*******
Selepas solat Maghrib, saya keluar untuk balik
menjenguk rumah pusaka di kampung. Seperti di kediaman saya, rumah itu juga
kosong tiada berpenghuni. Adik yang biasa mendiami rumah tersebut baru saja
mendapat cahaya mata sulung. Tentulah bersama samatuanya dan bayi mereka di
rumah keluarga mertua. Saya bertolak pula ke rumah adik lain di sekitar Tandop.
Berbual-bual tajuk biasa-biasa yang rencam.
Di antara dua lokasi itulah, saya menerima panggilan
dari Wira, bertanyakan kedudukan saya serta memaklumkan telah ramai berkumpul
di Pulau Gezambo. Ramai itu subjektif dan saya tahu maksud Wira tentulah lebih
dari dua orang sahaja. Paling ramai yang pernah mengunjungi acara makan laksam
setakat ini tidak pun melebihi dua dozen…
Lagi pula malam masih muda… Zairi pun, katanya masih
berada di sekitar Gurun, sedang dalam perjalanan pulang. Saya memberitahunya
akan ke situ sebentar nanti.
Beberapa minit kemudian Wira menelefon semula. Mungkin
baru teringat satu idea. Dia menyuruh saya menghubungi Zairi supaya mengambil
saya di mana-mana untuk datang bersama. Saya tidak menerima cadangan itu.
Kasihan kepada Zairi yang nantinya, dalam keletihan, harus menghantar pulang
pula diri ini…
Akhirnya saya bertolak melalui jalan Tandop-Telok
Bagan-Kg Pergam. Dengan kelajuan normal. Berhampiran simpang keluar Jalan
Yan-Batas Paip, saya perasan ada sebuah kereta sengaja tidak memintas saya.
Membelok ke jalan utama, hon kereta itu dibunyikan. Saya menghentikan
penunggangan, menoleh pada kereta yang berhenti juga di tepi jalan. Kereta
Cikgu Non!
Saya menghampirinya. “Ingatkan hang takdak…kata hang pi
Pahang…”kata Cikgu Non. Saya tergelak. Mungkin sahabat saya itu membaca di
dalam WhatsApp ucapan perpisahan saya. Sebenarnya ucapan itu memberitahu bahawa
seminggu saya berstatus solo dan tidak boleh dihubungi melalui WhatsApp…
Cikgu Non mengajak saya pergi ke Pulau Gezambo
bersamanya. “Hang nak letak motor tang mana?”tanyanya. Saya teringat pusat
tahfiz di depan sedikit yang dikendalikan oleh BF, Ustaz Zamri Hashim. Saya
nyatakan tempat itu kepada Cikgu Non lalu kembali menunggang ke pusat tahfiz
berkenaan. Beberapa pelajar yang berdiri di muka pintu segera memberitahu
ustaznya ada orang datang. Belum pun ustaz muncul, dengan berlari saya nyatakan
hanya mahu menumpangkan meletak motor, saya masuk ke kereta Cikgu Non.
Cikgu Non memecut ke Kola. Dalam berbual satu dua bab,
kereta sampai ke jalan masuk Pulau Gezambo. Kelihatan kereta Zairi antara yang
terbujur di laman. Merasakan akan sesak di perkarangan rumah pasangan Mar
Isma-ZulSham, Cikgu Non memarkir keretanya di luar, di tepi kedai berdekatan
jalan utama. Kami berjalan memasuki Pulau Gezambo…
ZulSham bangun menyambut kami. Telah ada di situ Saiful
Adly, Malek, Husin Zairi dan tentunya Wira. Mereka membentuk sebuah bulatan
mengelilingi meja yang di atasnya terdapat sebekas kacang goreng, cawan dan
semestinya pinggan bekas berisi laksam. Husin seperti sedang membuat hirupan
awal kuah laksam, manakala yang lainnya seperti telah lama membuat hirupan
terakhir.
Di belakang mereka, menghadap tv, ada satu pasangan
muda sedang khusyuk menikmati laksam.
Saya dan Cikgu
Non menyalami semua yang sejenis dengan kami.
“Kawan kerja ka?” Tanya lelaki muda yang sedang
menghirup kuah.
“Dak aih…ni cikgu kami dulu…”jawab ZulSham sambil
mempersilakan kami duduk. Cikgu Non dudu di sofa di sebelah Saiful manakala
saya memilih untuk berhimpit bersama Husin yang sedang menyuap laksam dan
Zairi yang terpaksa mengengsot sedikit.
Hampir semua bersuara dan tidaklah mampu komputer
menyalin semua yang keluar dari mulut yang banyak itu.
Pasangan muda tadi Berjaya menghabiskan laksam dalam
pinggan masing-masing. Mereka bangun. Yang lelakinya bersalam dengan kami untuk
beredar. “ni yang kenduri hari tu ka…?”Tanya saya sebaik perasan wajah si
lelakinya yang saya lihat pada kenduri di PG pada 29 November lalu. Soalan saya
dijawab hampir serentak oleh tiga orang – si lelaki muda itu, ZulSham dan Mar
Isma. Kalau dalam kugiran, suara jawapan si lelaki muda dikatakan sebagai gitar
utama, suara Mar sebagai gitar rhythm dan suara ZulSham bolehlah dimasukkan
sebagai gitar bass…
“Adik Pakngah la ni…”kata saya lagi. Saya merujuk
kepada Shabani Baat, abang si lelaki muda itu yang menyambut saya dan Wira pada
hari kenduri dulu. Shabani, pelajar Kelas Peralihan AlFalah tahun 1989,
dipanggil Pakngah oleh hampir semua warga PG.
Sekali lagi jawapan hampir serentak saya terima. Ada adunan
bunyi gitar utama, gitar rhythm dan gitar bass…
“Tuang mai kopi tu….”kata Cikgu Non. Sejag kopi di
depan Malek yang bersila di depan Saiful diangkat. Dituang ke dalam satu gelas.
Malek menghulurkannya kepada Cikgu Non.
Saya lebih tertarik pada minuman berais - sarsi, lalu
menolak dahulu air kopi. Setelah mendapat sarsi yang dimasukkan ke dalam gelas
berlogo Milo, saya capai pula kacang goreng lima enam biji di dalam bekas
berbentuk empat segi. Sekejap sahaja
semua kacang di dalam tangan itu dihancurkan
lalu ditolak ke usus.
Saya capai segenggam lagi.
ZulSham dan Mar Isma masuk ke dapur. Lama juga mereka
di luar dari penglihatan kami.
“Depa berkelahi apa…”kata saya, “kita mai depa dok di
dapoq…”
Di tv, sedang ditayangkan filem Narnia… Beberapa orang
menumpu ke situ seketika. “Ajis cukup minat filem macam ni…”kata Saiful,
mengingatkan rakan sekelasnya dahulu yang kini berada di Sungai Petani.
ZulSham muncul dari dapur diikuti oleh Mar Isma.
“Mana laksam?”Tanya Cikgu Non. Husin yang sedang menyuap
laksam di sisinya, tersedak, tergelak.
“Oih…” Seakan melatah, sedikit menggaru kepala, Mar
berpatah balik ke dapur. Gamaknya terlupa tujuannya masuk ke dapur tadi…
Perbualan bersambung, kacang goreng dikurangkan lagi
dari bekasnya, dua tiga batang rokok dicucuh dan disedut…
Malek bercerita tentang kurangnya ikan yang dapat
diraih di jeti menyebabkan hanya rakannya, Jasni, yang keluar berniaga. Itu
juga menjadi sebab dia boleh datang awal ke PG pada kali ini. Jasni yang baru
pulang dari pasar malam Taman Nuri akan menyusul sebentar lagi.
Wira memaklumkan bahawa Helwi yang tadinya berada di
Simpang Kuala mungkin tidak dapat datang, kerana esoknya ada kuliah yang perlu
dihadiri di UUM. Nazri pula langsung tidak dapat dihubungi. Ada masalah coverage telekomunikasi di kampungnya,
kata Zairi. Babuji pula mungkin tidak datang. Bekas bilal masjidnya baru saja
meninggal dunia. Dia mungkin sedang menguruskan apa yang selayaknya.
Mar meletakkan dua pinggan penuh laksam di atas meja.
Segera saya dan Cikgu Non capai seorang sepinggan. Mar letakkan bekas plastik
mini berisi cabai merah menyala di atas meja di depan kami itu. “Kut nak pedaih
sikit…”katanya.
Saya cedok sesudu cabai itu. Diletakkan ke atas laksam.
Dengan tangan kiri memangku pinggan, saya gunakan tangan kanan untuk
menyebatikan kuah dan isi laksam serta cabai tadi. Tiga empat kali sudu
membolak-balikkan isi laksam, terus saya suap ke mulut. Lama sedikit suapan
pertama itu berada di dalam mulut sebelum dikunyah. Ingin dihayati rasanya,
dicari perbezaan [jika ada] dengan kuah pada perjumpaan-perjumpaan terdahulu.
Setelah itu barulah dikunyah dan ditelan. Ketika kunyahan itu belumpun
melintasi bahagian toreks, suapan kedua pula dilakukan…
Cikgu Non? Entahlah tidak sempat saya menjeling
kepadanya. Lagi pun, kami dipisahkan oleh batang tubuh Zairi dan Husin pula.
Namun saya yakin dia pun menyuap dan mengunyah seperti saya. Dan saya yakin
pula, Husin ikut menyuap bahagiannya dengan sopan…
Cikgu Siti Khadijah [Deja Man] yang Mar Isma undang
sama, tidak dapat datang. Mungkin keletihan kerana seluruh siang tadi
dihabiskan di bilik kuliah di UUM. Ada suara menyatakan cikgu dari Alor Gandak
itu tidak datang kerana matanya bermasalah untuk memandu pada waktu malam.
Entah siapa yang mencipta gosip begitu. Saya teringat telah tiga empat kali dia
datang menikmati laksam di PG termasuk sekali ketika acara bakar-bakar di sisi
Marina, Pantai Leman. Acara itu semuanya bukan dilakukan pada tengah rembang,
siang bolong!
Malek menyatakan Cikgu Deja Man menempah ikan selayang
esoknya untuk dibuat kuah laksa. Ikan jenis itu memang sedap dibuat kuah,
tetapi malangnya, seharian dia tidak menjumpainya di jeti. “Tengok esok pula,
kalau ada rezeki,”kata Malek.
“Tambah oiii….tambah….”terdengar suara Cikgu Non. Dia
merujuk kepada pinggan Husin yang telah kosong yang diletakkan ke atas meja.
Sebentar kemudian, pinggannya juga ikut kosong. Seperti biasa, Husin hanya
tersenyum sambil halkumnya bergerak-gerak, mencuba mengatakan sesuatu yang
tidak terkeluar…
“Saya usaha suap pelan-pelan,”sambut saya pula, “tak
mau ada tumakninah…”
Mar tertawa lalu bangun ke dapur. ZulSham mengekori
dengan matanya.
Tidak lama kemudian isi laksam tambahan sampai. Cikgu
Non mengambil sebahagian, lalu meletakkan lebihannya di depan Husin. “Tambah
Husin…Allah…saya tau Husin bukan kenyang lagi…”kata Cikgu Non.
Husin tersengih. Beberapa yang lain ikut tersengih.
Mungkin terkenang betapa dalam salah satu pertemuan di situ, setelah membasuh
tangan seusai memakan nasi bergulai ikan nyok-nyok [dengan dua kali tambah],
Husin pantas pula menyambung memakan sepinggan laksam….
Husin masih tidak bergerak. Pinggannya yang kosong
berada di sebelah pinggan tambah isi laksam itu. Saya menghitung hingga lima di
dalam hati. Sebaik saja angka lima muncul di dalam kepala, terus saya capai
pinggan tambah isi laksam tersebut. Tanpa simpati, saya tuang semua isinya ke
pinggan saya. Saya cedok pula kuahnya di dalam bekas aluminium berukir. Saya
cedok juga cabai merah menyala sesudu. Saya gaul semuanya lalu kembali menyuap,
mengunyah dan menelan.
Saya tidak menjeling ke wajah Husin. Biarlah. Siapa suruh dia lambat bertindak.
Mata saya ke skrin tv.
Mata saya ke skrin tv.
“Maharaja Lawak masa ni….”kata saya, teringatkan rancangan yang kononnya membuatkan seisi keluarga boleh pecah perut itu.Saya sendiri tidak pernah menonton rancangan itu secara penuh. Kadangkala setakat satu atau dua kumpulan pelawak sahaja.Maklumlah, astro saya berkongsi dengan kedai mamak dan warga Thai...
“Mana ada Astro, cikgu…”balas Mar sambil mencapai alat
kawalan jauh. Ditukarkan siaran dari tv2 ke tv9. Ada drama Melayu. Cerita entah
apa-apa, ada empat watak, dua lokasi, bercakap memanjang…
Saya baru teringat. Dan mula berprasangka.
Jangan-jangan yang tidak datang itu, sebahagiannya sayang mahu meninggalkan
rancangan Maharaja Lawak Mega…hehehehe..jangan marah aaaaa….
Jasni sampai. Awal lagi sudah habis jualan ikannya. Dia
berjumpa Cikgu Deja Man di pasar malam tadi. Walaupun bukan BF, Jasni makin
mesra dengan Cikgu Deja Man yang sering mengunjungi tempat dia dan Malek
berniaga di Taman Nuri. Cikgu itu menjemputnya ke rumah pada acara makan laksa
pada hari Ahad nanti, tetapi Jasni menolaknya kerana ada urusan tugas pada
waktu yang sama.
“Lagu apa sampai nak dengaq pun segan…”tiba-tiba muncul
suara Cikgu Non. Saya dan seorang dua lagi tergelak kerana Cikgu Non merujuk
kepada lagu penutup drama tv yang entah apa-apa itu.
Laksam di pinggan saya dan pinggan cikgu Non telah
selamat disemadikan di dalam usus masing-masing. Saya meminta Malek mengisi
gelas berlogo Milo tadi dengan sarsi ais lagi…
Selepas dua tiga iklan, timbul lagi satu drama Melayu
di tv9. Pelakon bercakap-cakap memanjang juga…
Mar Isma membawakan sepinggan penuh laksam kepada
Jasni.
Perbualan berterusan. Husin dan kemudiannya ZulSham
atau Zulsham dan kemudiannya Husin [saya tidak ingat siapa dahulu] bertanyakan
Cikgu Non tentang FOReign EXchange. Terkejut saya melihat
minat mereka berdua. ZulSham malah duduk di sebelah Cikgu Non bagi mendengar
penerangan operasi dan melihat dari telefon Cikgu Non sendiri apa yang awalnya
telah diterangkan. Husin yang sememangnya berada di sebelah Cikgu Non, makin
merapat. Bertanyakan beberapa soalan serius yang pada kami yang mendengar
kedengaran lucu…
Saya meninggalkan sofa, duduk dilantai bersama Wira,
Jasni dan Malek. Zairi mendapat ruang yang selesa semula. Hanya berdua dengan
Husin di sofa itu. Ketika Husin bertumpu kepada Cikgu Non, Zairi membelek
WhatsApp. Sesekali dia mengelik, memuatkan foto pertemuan itu di grup. Termasuk
satu foto Sulaiman, anak tuan rumah, yang menimbulkan tawa sebahagian kami.
Sulaiman sedang memerhati kea rah Zairi, lalu Zairi mengelik. Cahaya flash
telah membuatkan mata Sulaiman bersinar yang menakutkan!
Wira juga tidak ketinggalan mencari sudut terbaik untuk
mengelik. Dia bangun hingga hampir bersandar pada pintu bilik ketika mahu
mengambil foto dengan semua kami berada di dalam bingkainya…
Ada sekali lain dikliknya foto sebuah perut nan membusung. Cepat saja dinaikkan ke grup. Segera pula mengundang persoalan. Perut hang ka? tanya Sabariah. Isy..kata hati Wira, gamaknya. Tuan pembawa perut itu hanya tersenyum pahit...
Pada masa yang sama WhatsApp untuk grup berterusan.
Adak komen dari Pawang Nujum, Farihah dan Sabariah. Saya ikut ‘bercakap’
menggunakan telefon Wira dan sesekali telefon Malek. Saling berbalas. Tapi
Pawang Nujum dari Jerantut memang seorang pawang yang baik. Dia kenal ‘suara’
saya. Dia yang khabarnya dari siang lagi asyik menaikkan pelbagai lirik lagu
retro, faham lenggok bahasa saya. Malah dia tahu membezakan berdasarkan ejaan
yang digunakan. Namanya saya ringkaskan sebagai PN, manakala kalau Wira yang
menulis, diringkaskan sebagai Pn…
Penggunaan telefon yang culang-caling itu bermula
setelah Mar dan Malek meminta Wira membolehkan mereka menggunakan aplikasi
WhatsApp Plus. Ketika berurusan itulah, telefon Malek dan Mar Isma berpindah
tangan. Saya menggunakan telefon Wira dan Malek ketika proses memuatturun
aplikasi dilakukan. Biasa saja apa yang saya tulis… Tetapi Wira mengambil
kesempatan ketika menggunakan telefon Mar. Dia memintas perbualan peribadi Mar
dengan Sabariah. Mar yang sedang memberikan cara membuat kuah laksam, ditokok
oleh Wira supaya dicampur sama budu. Pening Sabariah dibuatnya, apabila disuruh
masukkan santan dan kelapa. Santan dan kelapa?
Ketika telefon dikembalikan kepada Mar, pembetulan
dibuat. Berkandar seranah Sabariah untuk Wira. Selang lama kemudian telefon itu
dikembalikan kepada Wira untuk diteruskan mengaplikasikan WhatsApp Plus. Sekali
lagi Wira mengambil kesempatan – membuka perbualan peribadi tadi. Ditulisnya satu+
petua lain. “Hang ka dia?”Tanya Sabariah. Maksudnya, Mar atau Wira yang menulis
itu. Dalam tergelak hampir tidak berbunyi, Wira tunjukkan soalan itu kepada
saya. Dan Wira hampir terguling selepas menjawab: “Akula. Wira sudah balik”!
Demikianlah.
ZulSham telah berpuas hati gamaknya akan penerangan
Cikgu Non. Dia kembali duduk di lantai, di sisi Malek dan Jasni. Husin pula kekal di tempatnya tadi.
“Saiful sampai tak bercakap langsung aih…Mai buat apa
sampai tak bunyi apa-apa?”tegur Cikgu Non.
Saiful seperti tersentak. Dia yang sedikit mengiring,
membetulkan duduk. “Dak aih…”balasnya, “..ni dok layan lirik lagu yang Pawang
hantaq ni…macam-macam lagu…”
Sememangnya Saiful dan Sazaziz paling rajin memberikan
tajuk lagu setiap kali PN menaikkannya. Seperti menduga ingatan dan pengetahuan
tentang lagu pula dibuat PN sejak siang lagi.
Telefon Malek sedikit bermasalah dalam memuatnaik
aplikasi tadi. Baterinya kehilangan upaya. ZulSham segera memberi talian hayat
dengan mengeluarkan pengecas dari biliknya, dipasang pada tiang berhampiran
gerbang ke dapur…
Abang Mar Isma muncul di muka pintu, sekadar menjengah.
Dia sudah terbiasa dengan kunjungan beramai kami ke rumah adiknya itu. Saya
yang membelakangkannya, bangun memberi ruang, lalu duduk di sofa, di sisi Cikgu
Non. Pelawaan masuk oleh iparnya, ZulSham, serta beberapa orang lagi ditolaknya
lembut. Tuan punya bot itu memaklumkan tidak banyak ikan yang mampu dinaikkan
ke jeti.
Selepas En. Nani, panggilan mesra kebanyakan orang Kola
kepada abang Mar itu, pergi, isu kekurangan ikan muncul semula dalam perbualan.
Cerita Cikgu Deja Man mahu menjamu laksa pada petang Ahad nanti turut timbul.
Mar Isma mewakili Cikgu Deja Man menjemput Cikgu Non untuk ke acara
julung-julung kalinya itu. “Ni mai makan dah…”balas Cikgu Non, ringkas. Sebenarnya,dia
tentulah sudah tahu melalui WhatsApp berkenaan meraikan laksa tersebut. Saya
tahu kesibukan sahabat saya itu sejak akhir-akhir ini. Tentang pentadbiran
sekolah, ditambah soal kemasyarakatan serta perihal menguruskan ibunya yang
sedang uzur. Cuma saya masih berharap dia mempunyai kelapangan pada hari
tersebut.
Mar tidak berkata apa-apa lagi. Kembali duduk melihat
telefonnya yang telah berjaya mengaplikasikan WhatsApp Plus. Dia tersenyum
dalam dua kemungkinan: seronok melihat kelebihan yang baru diketahuinya atau seronok
dengan komen dan foto yang dimuatkan…
Perbualan kemudiannya menjadi rencam semula topiknya.
Air kopi sejag yang kurang diusik tadinya mula dipindahkan ke dalam beberapa
gelas, termasuk gelas berlogo Milo yang saya bawa dari lantai tadi…
Demikianlah lebihkurang untuk malam tersebut. Malam
terakhir di PG untuk tahun 2014, kata saya kepada ZulSham dan Mar Isma.
Semua bangun berterima kasih kepada tuanrumah, setelah
Husin terlebih dahulu mahu pulang kerana katanya, ada urusan menyembang di tempat lain…
Saya juga mengajak Cikgu Non beredar, memandangkan
siang nanti, ZulSham akan bertugas seperti biasa. ZulSham dengan basa-basi
tetap mengatakan ‘Takpa aih…takpa aih..” Seperti kami, dia juga Melayu. Melayu
tak akan berkata ‘bila hangpa nak balik?’ kepada tetamunya selewat mana pun
waktunya. Paling tidak hanya sangap yang kencang, yang bukan dibuat-buat akan
muncul…
Wira juga sudah masuk bertugas tepat tengah malam tadi.
Sepatutnyalah. Tetapi dia tetap ‘takpa aih’ dan masih mengajak kami ngeNes di
mana-mana…Agaknya melayan kami setakat sejam lagi masih termaktub dalam bidang
kerjanya…
Tetapi semua memutuskan untuk pulang sahaja.
Saya bersama Cikgu Non berjalan ke keretanya ketika skrin
di telefon saya menunjukkan jam 00:22.
Cikgu Non menurunkan saya di depan pusat tahfiz di Alor
Ibus. Ustaz Zamri Hashim sedang berbual dengan dua tiga anak muridnya,
mengelilingi sebuah meja di depan pintu utama. Dia terus bangun sebaik mendengar sapaan Cikgu Non dari dalam kereta.
Kami bersalaman dan berbual seketika sambil saya mendapatkan motor di luar
pagar pusat tahfiz itu. Ustaz Zamri memang tidak menyangka bahawa yang datang
tergopoh-gapah awal tadi adalah dua bekas gurunya.
“Ada jamuan sikit di Kola…Bekas Budak Falah juga…”kata
Cikgu Non. Ustaz Zamri mengangguk dalam suram cahaya awal pagi.
Saya dan Cikgu Non berpecah di situ. Sendiri-sendiri
bergerak pulang dengan kelajuan berbeza mengikut kuasa kuda kenderaan
masing-masing.
Tujuh jam setengah lagi, saya akan bersarapan dengan
Zairi pula. Pagi kedua…
2 comments:
Nanti kita makan laksam kuah budu plak
tunggu org jkk balik nanti
Post a Comment