Dia berbakat dalam nyanyian. Bernyanyi di
pentas dengan iringan muzik 'live' adalah biasa baginya. Saya tidak
pernah mendengar dia menyanyi di atas pentas, tetapi pernah melihat dia
berlatih bernyanyi dengan kumpulan ghazal parti di Kg Permatang Ibus dan
Tebengau - kalau sudah berlatih begitu tentulah pelik kalau sekadar
berdendang di dapur atau di kamar mandi.......
Shimah
tinggal di Tebengau. Saya dan Cikgu Non pernah pergi beraya di rumahnya
sekali, bersama-sama sekumpulan pelajar lelaki. Semasa dalam tingkatan
Empat atau Lima, kelasnya terletak di bawah asrama puteri. Di dalam
kelasnya hanya ada tiga pelajar lelaki dan sekitar 7 orang pelajar
perempuan. Ada seorang rakannya, saya lupa nama, sering menjadi 'mangsa'
saya dalam pelajaran Sains. Saya juga mengajar BM dan Kesusasteraan
Melayu kepada mereka. Satu hari, saya memarahi mereka dengan amat teruk. Ketika itu Radio Malaysia Alor Setar cukup popular bagi orang Kedah. Budak-budak Falah ini, diketuai oleh Norhashimah, sering membuat permintaan lagu dan menujukannya kepada saya! Kalau sekali, mungkin saya tidak perasan atau marah - tetapi saban minggu hal yang sama berulang. Pelbagai ucapan indah yang mereka tulis, dibaca oleh juruhebah. Hari berikutnya, walaupun saya tidak mendengar siaran tersebut, pasti ada pelajar akan memberitahu dalam bentuk sindiran dan gurauan. Setelah tahu saya marah, Norhashimahlah menjadi jurucakap meminta maaf namun mempertahankan bahawa lagu permintaan dan ucapan itu adalah sebagai tanda ingatan mereka kepada saya. Oleh kerana ketika itu, saya belum cukup faham erti penghargaan.atau .......gurauan sebegitu., saya tetap tidak dapat menerima penjelasan mereka. Maka, ada-ada saja yang saya jadikan sebab untuk memarahi kelas itu........
Sekarang kekesalan memenuhi rongga hati, namun seakan kehilangan erti......
Demikian pernah saya tulis tentang Norhashimah Sharif.
Baru-baru ini saya bertemu dengannya, secara kebetulan, di sebuah restoran masakan Thai tetapi tuan dan tukang masaknya memang tulen Malaysia. Restoran Irfan, Jalan Lencong Barat.
Saya bersama seorang anak dan seorang isteri. Mereka menjemput saya yang baru pulang dari Langkawi. Singgah di situ untuk mengisi perut dan mengisi minda mereka tentang perkembangan semasa di pulau legenda tersebut...
Saya melintasi meja yang Norhashimah dengan seorang lain yang sama gender dengannya. Tersenyum ke arahnya yang memerhati sejak saya melangkah masuk ke restoran. Malangnya, dan malunya, senyuman tidak berbalas. Seseorang di sisinya lagi teruk, tidak pun melihat senyum saya, asyik bertrumpu pada gajet di tangannya.
Saya terus berjalan mencari meja yang agak jauh dari mejanya. Di luar restoran. Pada bahagian semurup sisi kedai. Sambil memesan makanan dan minuman, mata saya tetap ke meja Norhashimah yang berkedudukan membelakangi kami sekeluarga. Dia seperti selamba memandang ke luar, tidak juga mmempedulikan teman di sisinya. Saya memberitahu isteri bahawa saya mengenali salah seorang perempuan yang duduk di meja itu.
Saya ceritakan seperti yang tercatat pada kutipan entri yang saya muatkan kembali di atas. Isteri menoleh dua kali ke arah yang saya juihkan mulut. Tidak berkata apa-apa. Dan saya tidak salahkannya. Dia tidak ada darah AlFalah...
Minuman, seperti di mana-mana kedai makan, sentiasa memenangi pertarungan dengan makanan untuk sampai terlebih awal ke meja kami. Ketika menyedut kali pertama, saya kembali melihat ke arah Norhashimah.
Hati bagai digaru. Lebih mengingat pada senyum yang tidak berbalas tadi.
Adakah dia tidak mengenali saya?
Mustahil pula sebab saya yang jauh lebih tua daripadanya masih mengingat dengan jelas wajah dan karektornya. Malah bila-bila masa boleh menunjukkan di mana rumah keluarganya di Tebengau dahulu.
Bukan mustahil. Boleh jadi juga dia memang tidak kenal. Bukankah ada seorang yang pernah hang ceritakan, sampai ke sudah asyik bertanya siapa hang? Demikian luahan minda. Ia merujuk bagaimana BF 1983-1985, Latif Rahim, juga dari Tebengau tidak sedikiut pun mengecam wajah dan diri saya, seperti saya pernah catatkan pada peringkat awal blog iuni dahulu.
Hati digaru rasa ragu. Tapi akhirnya saya bulatkan. Saya mesti memuaskan diri.
Saya bangun. Isteri dan anak bongsu kami sedikit terkejut. "Nak pi tegoq dia sat..."kata saya ketika melihat kening isteri bergerak bertanya. Sebagai suami, saya tidak perlukan izinnya, kan? Maka saya melangkah dengan yakin...
Saya terus duduk di kerusi menghadap Norhashimah yang sedang menungkat siku di atas meja. Sebutkanlah satu haiwan yang anda boleh pantas mengingatnya. Khinzir? Kera? Ayam? Beruk? Kalau beruk, maka saya mahu katakan begini: Terkejut beruk dua perempuan di meja itu! Kalau khinzir yang anda fikirkan? Sendiri pulang maklumlah...
Sebelum mereka bersuara, terus saya tanya soalan utama: "Kenai saya dak?"
Norhashimah menggeleng. Ada kerutan di dahinya. Temannya juga demikian, tetapi tidak lama dia terkejut dan melihat saya itu, kerana dia kembali bertumpu pada gajet di tangannya.
"Pernah mengaji di sekolah Falah,kan?"tanya saya.
Norhashimah memandang kepada temannya sepintas sebelum mengangguk. Kerutan di dahinya seperti bertambah. Saya lega. Sahihlah dia Norhashimah.
"Kenai saya dak?" tanya saya semula.
Norhashimah menggeleng. Mujurlah saya bukan artis. Kalau artis yang bertanya begitu, dan mendapat gelengan sebagai jawapannya, mahu meraung artis itu...Silap-silap malam itu juga membuat sidang media, mengumumkan persaraan!
"Saya...Cikgu Din!" tanpa malu saya memperkenalkan diri. "Ingat?"
Norhashimah melopong sedetik, terbeliak mata dua detik lalu menutup mulut sedetik dua. Saya jangkakan dia termalu sendiri dengan menutup mulut itu. Rupanya saya silap. Di sebalik sebelah tapak tangan yang menutup mulut itu, Norhashimah menukar peranan bibirnya. Sebaik tutupan tangan terbuka, saya melihat sebuah senyuman!
"Laaaaaa...cikgu ka?"katanya. "Awat berlain sangat?"
Saya tersenyum. Akhirnya Norhashimah mengenali saya. Mengingati siapa diri ini. Cuma yang tidak enaknya dikatakan saya ini berlain. Di mana berlainnya? Bagi saya bahagian yang paling berlain pun hanyalah kandul berisi usus. Tetapi ia hanya fleksibel, bukan berlain...
Sahlah kita tidak boleh menilai diri kerana kita berada di dalamnya sepanjang hayat...
Maka bermulalah sesi bertukar maklumat. Banyak perkara sekitar kehidupan kami. Bernostalgia sedikit, seperti BF lainlah.
Norhashimah kini tinggal di Taman Dahlia. Tidak ada lagi rumah keluarganya di Tebengau yang pernah saya kunjungi dahulu bersama Cikgu Non dan rakan-rakan BF. Perempuan yang di sebelahnya adalah anak gadisnya, berusia awal duapuluhan. Anak berkulit hitam manis itu memanggung kepala sedikit, membuang secalit senyuman apabila emaknya memperkenalkan begitu. "Ada bakat menyanyi dak?" tanya saya. Si ibu tertawa dan si anak tersipu. Tiada jawapan tepat. Agaknya mereka mahu saya terus meneka...
Norhashimah yang juga merupakan puak laghak Cikgu Non, memberitahu akan menziarahi emak guru matematik dan sains itu dalam waktu terdekat. Apabila diberitahu bahawa kami berjiran, lopongan pada mulutnya berulang.
Saya perkenalkan isteri dan anak dari jauh. Apabila isteri menoleh ke arah kami,saya melambai lalu mengunjukkan ibu jari ke arah kepala Norhashimah.Isteri tersenyum, mengangguk. Norhashimah mengangguk dan saya tahu dia juga membalas senyum isteri saya, kerana baki senyum itu masih ada apabila dia menoleh kembali bagi menyambung perbualan.
Ada lagi yang kami bualkan sehinggalah makanan yang saya tempah kelihatannya tercungap-cungap mendarat di atas meja di depan isteri. Tercungap-cungap berdasarkan asap beralun lembut di atasnya yang dapat di lihat dari jauh. Gamaknya, teruk dia rasa dikalahkan oleh minuman yang sudah pun lama berpeluh menunggu di meja...
Norhashimah yang menanti tempahan beberapa bungkusan nasi goreng, saya tinggalkan. Dengan masing-masing berharap akan berjumpa lagi.
Duduk bersama isteri, saya ceritakan bagaimana saya perkenalkan diri dan bagaimmana terkejutnya Norhashimah dan anaknya.
"Buat malu saja, oghang tak kenai pun..."kata isteri sebelum menyuap nasi goreng kegemarannya.
Saya tunduk. Bukan takut isteri atau malu seperti yang dikatanya. Saya tunduk meniup nasi goreng di sudu yang asapnya masih tebal menerawang ke udara....
Namun, setelah empat lima kunyahan, saya terfikir ada benarnya kata isteri.
Maka ketika membenamkan sudu buat suapan kali keenam atau ketujuh, saya berjanji tidak akan memperkenalkan diri begitu lagi. Biarlah jika pun budak Falah tidak lagi mengenali diri ini lagi.Lainlah jika mereka bertanya.
Tapi sebenarnya tadi, saya macam tercabar sedikit apabila senyuman tidak terbalas...
2 comments:
Ada orang yang hilang terus memori... Ada juga yg xperasan...tp.. Emm.. Mungkin kot
itulah kuasa alfalah
Post a Comment