14 February 2013

14 Februari - Hari Memperingati.....



Perjumpaan Hari Raya Idulfitri X-AlFalah 1433  adalah pada 5 Syawal…..

Masih terasa kemeriahannya. Seperti baru berlalu detik-detik bersama semua bekas pelajar AlFalah yang sudi hadir pada petang hari tersebut.

Hari ini, dengan setulus hati, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Tidak pernah lagi setulus ini terima kasih saya …………

                              *******************************************************

13 Februari 2013.

Jam 9.30 malam.

Selesai melayan beberapa anak-anak jiran memperdengarkan bacaan AlQuran mereka, menantu emak muncul di bilik tengah. Saya yang sedang menghadap komputer kehairanan.  Hampir tidak pernah dia muncul begitu – tersengih – kalau saya sedang melayari internet atau mencatat entri blog. ‘Ni mesti ‘nak ngorat ‘ni…… Demikian sangkaan buruk saya. Hehehehe.

Happy anniversary…..” katanya, masih tersengih.

Saya kerutkan dahi.

“Lupa apa……” kata cucu emak yang bongsu, yang mengekori menantu neneknya .

Anniversary? Macam pernah dengar perkataan itu di dalam rumah ini….

Dahi yang saya kerutkan tadi saya tepuk manja. Alamak! Demikian mafhumnya.

Sudah masuk  16 tahun!

Demikianlah usia perkahwinan kami.  Sudah 16 tahunlah dia menjadi menantu emak……

“Lupalah tuuuuu……” kata menantu emak sambil tersengih, memegang kepala cucu emak yang bongsu, yang ikut terkernyih melihat saya.

“Dak aih….” Seperti biasa saya mengawal diri……

Setiap tahun, demikianlah.

Menantu emak yang akan terlebih dahulu mengingatkan saya. Kalau tidak pada petang, tentu pada malamnya. Tidak pernah sempat saya mendahuluinya dalam memberi ucapan……

13 Februari adalah hari kenduri di rumah mertua saya, manakala pada 14 Februari adalah hari kenduri di rumah mertuanya.

Cucu emak yang bongsu, seperti selalu, - semenjak mula mengenal huruf empat tahun lalu – berlari ke bilik depan, mengeluarkan kad jemputan kahwin yang disimpan di dalam satu sampul dokumen keluarga. Kad itu lebih tua daripadanya 6 tahun.

“Ayah ingat aih….” Kata saya sambil membelek kad berlipat empat dari kertas A4 berwarna ungu muda. Tiada plan rumah pada kad itu. Semua empat  ruang dari semuka kertas, bertulis – satu menjadi muka depan dengan nama kami diletakkan masing-masing pada sudut atas kiri dan bawah kanan manakala perkataan JEMPUTAN KAHWIN serta tarikhnya terletak di tengah-tengah. Satu lopak lagi menjadi bahagian isi dengan bermula di atasnya tertulis Assalamualaikum ,Ya Qadzial Hajat, nama emak mertua serta keluarga, diikuti ayat mengundang dengan menyatakan hari, tarikh dan tempat. Ruang ketiga mengandungi petak kecil di tengah bertulis aturcara serta waktu majlis dan di bawahnya tercatat pula ‘Turut Mengundang: Seisi keluarga’. Tiada nama ahli keluarga dan senarai nombor telefon mereka…… Ruang terakhir, yang jika dilipat menjadi bahagian luar belakang kad terdapat satu petak dengan perkataan tunggal ‘Kepada:’ diikuti empat garis melintang…... Nama pencetak: Percetakan Ustaras, Alor Setar bertulis kecil terdapat pada bawahnya……

Cucu emak yang bongsu itu tersengih lagi. Begitulah ayahnya…… Seperti setiap tahun yang dapat diingatnya…

Happy anniversary too….” Kata saya pula, ikut tersengih kepada menantu emak.


Tiada acara meraikan.

Makan-makan? 

Baru selesai masing-masing menelan bihun sup - air tangan menantu emak.

Demikianlah.

13 Februari, 16 tahun lalu.

Meriah sungguh hari itu di rumah mertua saya. Rombongan kami sampai sekitar jam 2 petang. Selain keluarga – adik-adik serta emak-emak dan bapa-bapa saudara - ada Ustaz Fairose bersama abangnya Sehabudin ikut mengiringi. Cikgu Non dan Cikgu Rahim? Maaf, saya tidak berapa ingat ada atau tiada. Lagi pula, hari itu sayalah pengantinnya. Manalah sempat ingat semuanya. Tengah terawang-awang……

Hujan tiba-tiba mencurah sehingga kami terpaksa masuk ke khemah menyertai jemputan yang sedang menjamu selera.Masalahlah bagi saya  untuk  digandingkan dengan menantu emak yang sedang  segan-segan menunggu di dalam rumahnya. Seorang jiran mertua mencabut payung besar di tempat orang membasuh pinggan bagi membawa saya dari khemah makan ke rumah mertua yang terpisah sejarak 10 meter. Bukan semua orang dapat berpayung besar begitu pada hari perkahwinannya….. dan pembawa payung itu akrab dengan keluarga saya sehingga kini. Dia pun mengaku, sebelum dan selepas saya,tidak pernah lagi dia mengiringi dan memayungi pengantin sebegitu…….

Petangnya, selepas turun takhta sekejap, saya ke rumah mertua sulung, mengangkut tiga ekor kambing sebagai salah satu menu  untuk kenduri di rumah emak esoknya.
Sampai di kampung pada hujung petang itu, sambil berjalan menuju ke rumah, saya berselisih dengan sekumpulan budak perempuan  bekas pelajar AlFalah. Mereka baru saja keluar dari rumah emak. Dua tiga orang daripada mereka masih saya ingat. Namun, demi ketenteraman awam dan agar tidak disalahmengertikan, eloklah nama mereka tidak disebut di sini. Sebabnya, semasa bertembung itu, dalam mengucapkan tahniah kepada saya, jurucakap kumpulan bercerita bahawa semasa di rumah emak, mereka bertanya anak saya yang baru berusia 2 tahun sebulan: di antara mereka, siapakah yang dia mahu jadikan emak? Ada ka? Nakal betul mereka, ‘kan? Hehehehe.

Siapakah pilihan anak kecil itu? Ada jawapannya tetapi biarlah kumpulan bekas pelajar itu dan saya sahaja yang tahu….. Tiada maknanya…….

Tapi memang tidak patutlah melawak dengan budak kecil sebegitu, ‘kan? Lebih-lebih lagi budak itu baru saja menerima emak baru. Lainlah kalau melawak dengan ayahnya dua tiga bulan sebelum itu…….

Rupa-rupanya mereka membawa buah tangan kerana tidak sanggup datang esoknya…… Maaf, ayat itu sebenarnya berbunyi: Rupa-rupanya mereka membawa buah tangan kerana tidak dapat datang esoknya, kerana kalau tidak silap memang mereka tidak diundang. Saya terlupa mengundang. Benar-benar terlupa. Lagi pula, sayalah pengantinnya. Manalah sempat ingat semuanya. Puas juga petang itu dileteri emak……

14 Februari, 16 tahun lalu.

Kenduri di rumah mertua kepada menantu emak…..

Demikianlah.

Enam belas tahun kami menjadi sama tua. Menempuh semuanya bersama – yang pahit, masam, manis,payau, pedas,kelat dan tawar. 

Tiada tempoh percintaan yang penuh lakonan. Tiada acara minum  dari satu gelas dengan dua penyedut di restoran tiga empat bintang. Tiada mengutus sekeping pun surat  berbau bedak Cuticura atau bedak Nyonya dan seumpamanya. Tiada adegan rajuk minta dipujuk di tepi pantai atau taman bunga. Tiada perbualan berjela di telefon hingga memanaskan cuping telinga. Tiada perjumpaan termalu-malu di stesen bas.......

Sedar-sedar kami sudah berkahwin.

Sedar tak sedar sudah 16 tahun bersama.

Semoga kami bahagia untuk fasa berikutnya. Kalau enam belas tahun telah dilalui dengan jaya, apalah sangat pada bakinya ………

14 Februari 2013.

Salah jika menyambut Hari Valentine. Maka sambutlah hari ulangtahun perkahwinan saya ini dengan meraikan pasangan anda. Sayangilah mereka sebagaimana saya menyayangi menantu emak, Insyaallah anda akan dibalas dengan rasa sayang yang serupa……

Saya membelek kad jemputan yang berusia 16 tahun dua bulan tadi. Ada sesuatu yang melintas….
….bersamaan 5 Syawal 1417. Demikian tercatat tentang tarikh jemputan kenduri itu.

Ertinya, jamuan raya di SK Taman Bersatu tahun lalu adalah juga bersempena ulangtahun perkahwinan saya! Terima kasihlah kepada semua yang hadir memeriahkannya…… Hehehehehe.

Dan kalaupun tahun ini majlis hari raya diawalkan sehari, masih boleh dikira sebagai meraikan ulangtahun perkahwinan saya yang ketujuhbelas - mengikut tarikh Hijriah pula……. Hehehehe.

Selamat ulangtahun, isteriku.

Permata keduaku!

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan

5 comments:

Anonymous said...

Happy anniversary, cipher.....
ya, kami raikan hari ini untuk tuan...

Anonymous said...

yer, skurng ada sbb utk kita rai 14feb ni

wiraosman said...

Engkau isteri yg ku sanjungi...

Puan Yaya said...

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Cipher. Semoga jodoh berkekalan dipanjangkan sehingga ke Syurga... Amin. Permata Pertama dan Permata Kedua. Perlukan adanya Permata Ketiga? hehehehe.....
Moga terus berseri2 ya!!

wiraosman said...

Nnt aku bgtau prmata yg sedia ada...yg puan yaya mngalakn cipher tambah lg prmata