3 March 2013

Meet Ustaz Husin - Lagu Untukmu

Ustaz Husin
Malam Jumaat itu, terjahan yang kami - saya dan Budak Batas Paip [BBP] - cadangkan tidak menjadi. Tuan rumah tiada di kediamannya. Sedang di luar kawasan, maka di luarlah juga kawalan..... Tidak tahu jam berapa akan balik beradu.....

Selepas tengah malam, barulah kami bertemu Ustaz Husin Lateh yang bertamu ke tempat kami bergebang sambil mengeteh. Dia datang dengan diiringi hujan lebat.

Banyak cerita silam dari AlFalah yang timbul. Semuanya, meski ada yang pahit, teramat manis apabila dikenang.

Tersembul ceritanya bersama beberapa rakan sekelas, malah rakan-rakan sebas dan setempat, yang juga belajar di AlFalah. Banyak. Semuanya cukup manis hingga tawa kami hampir menenggelamkan bunyi bumbung gazebo yang ditimpa hujan menyambut bulan Mac.....

Ada satu yang paling indah, namun hanya boleh kami ceritakan secara lisan dan bersemuka, supaya tidak disalahtafsirkan.... Maaf.

Untuk kali ini, biar saya kutip satu dari sekian banyak itu.

Husin boleh menarik perhatian seseorang berdasarkan penampilan dan ayat-ayat.

Dia bercerita bagaimana mengayat seorang rakan sekelas yang mulanya agak dingin.

Terus-terang ditanyakan, jika Husin ingin berkawan, mahukah dia itu berkawan dengannya. Tiada jawapan. Ini tentulah menambahkan lagi seronok si Husin.

Kali lain, Husin bertanya pula: Jika Husin boleh menyayangi, mahukah dia itu menyayangi Husin. Tiada jawapan lisan, melainkan cemikan pada wajah. Husin lagi seronok.

Satu hari, seorang ustaz - saya lupa meski Husin ada menyebutnya - mengajar dan menghurai bab faraid.Sedang diajar itu, Husin menakal. "Kalau kita kahwin," katanya kepada dia itu yang duduk di meja bersebelahan, "takdirnya awak mati dahulu, harta awak itu akan menjadi milik saya...."

"Kahwin kira 'nak harta saja!" balas dia itu dengan wajah garang. Husin berganda-ganda seronoknya!

Cerita dipendekkan.

Tidak lama kemudian, sekali Husin panggil sahaja, dia itu akan segera menoleh - sesuatu yang sebelumnya amat sukar berlaku..... Husin seronok sakan lalu keraplah dipanggilnya akan nama dia itu.

Seperti drama lain, mesti ada watak antoganis.... 

Dimunculkan Abu Bakar Zainol - jejaka hitam manis yang sering tersenyum. Abu Bakar  memanggil nama dia itu. Berkali-kali.Tidak ditoleh pun walau sekali! Seperti Husin sebelumnya, Abu Bakar menjadi seronok.

Hari lain, Abu Bakar mencuba lagi. Namun panggilannya tetap tidak berjawab, dan Abu Bakar tetap seronok. Itulah nikmatnya berada di negeri tercantik! Seronok memanjang....

Abu Bakar memberitahu Husin akan hal itu.

Husin memanggil nama dia itu. Sekali. Dia itu menoleh.

Selang seminit dua, Abu Bakar pula memanggil. Sekali. Dua kali. Tiga empat kali. Tiada tolehan! Abu Bakar seronok bukan main bersama Husin.

Selang seminit dua, Husin memanggil nama dia itu sekali. Dia itu menoleh! Husin gembira, ditumpangi Abu Bakar yang dalam pada itu merasa kagum berbaur hairan kepada sahabatnya itu..

Selang seminit dua, Abu Bakar pula memanggil. Sekali. Dua kali. Tiga empat kali. Dia itu tidak sekali pun menoleh. Sebaliknya, beberapa rakan yang lain pula yang menoleh ke arah Abu Bakar. Hairan.

Abu Bakar tersengih. Abu Bakar pun bersenandung:

Tak sudi memandang tidak mengapa
kerana aku sedar aku insan hina
..................
yang dipetiknya dari lagu Mati Hidup Semula nyanyian Jamal Abdillah......

Demikianlah.

Kami tertawa kuat mendengar pengisahan selamba dari Ustaz Husin itu. Apalagi apabila dia menggayakan seperti Abu Bakar dahulu sambil lengkap berlagu......


BBP juga ada cerita yang hampir sama tentang rakan sekelasnya. Cuma kawannya itu, yang juga tidak dilayan oleh seseorang, memilih lagu Sampai Hati dari Ameng [Spring]:

Tergamaknya dirimu menghiris hatiku
tidakkah di hatimu punya perasaan
............................
 

Demikianlah.

Ustaz, atau mufti sekali pun tentu ada lagu kenangan.......... Mereka pun pernah berada di negeri tercantik itu!


Negeri Tercantik

Tahukah
negeri tercantik dan sayu
ialah negeri yang kita tinggalkan
semasa menjadi kanak-kanak dan dibesarkan alam

Sebuah negeri yang menyimpan pengalaman
negeri yang menyanyikan keharuan
negeri yang menyambut kepulangan
ketika kita tua, lelah dan kebosanan

Ia terbenam di celah-celah kenangan
ditelah masa, disisih kehidupan
ia adalah negeri tercantik dan sayu
apabila kita pulang dengan mimpi dan rindu.

1985

- NAHMAR JAMIL

Hujan mula turun sebaik catatan ini akan ditamatkan.

Saya masih tertawa seorang, kemudiannya menghubungi BBP untuk mempelawanya tertawa mengenang cerita Ustaz Husin. 

Malam tadi, ketika berkisah kepada Cikgu Non akan hal tersebut - sambil menonton Barca bertarung dengan Real Madrid -  dia pun ikut ketawa...... Akan hal indah yang hanya boleh didendangkan secara bersemuka - seperti saya catatkan awal tadi - turut diceritakan. Kami tertawa secara berduet!

Untuk Ustaz Husin dan Encik Abu Bakar Zainol, janganlah menyaman saya dengan umpilan kenangan ini..... Hehehehe.

Dia itu?

Entahlah.....

4 comments:

wiraosman said...

Biarlah rahsia...hihihih

Pn. Yaya said...

"si dia" itu juga merupakan kakak kepada seseorang.... juga sahabat sekelas kami dulu.... huhuhuhu....

betapa indahnya "Negeri Tercantik" kami sepanjang di Falah

cipher said...

Setahu saya tiada adik sidia itu di AlFalah. Jangan main tuduh-tuduh haaa, Puan Yaya.

cipher said...

Ustaz Husin ada adik di AlFalah. Kepada adiknya inilah, seseorang pernah menitipkan pesan agar Husin menunggunya di satu tempat....Tapi pesanan itu sampai kepada Husin terlewat hari... Kalau tidak, skrip mungkin berbeza dari hari ini. Wira boleh mengesahkannya....