Sesuatu acara yang mahu melibatkan ramai orang memang memerlukan publisiti.
Apatah lagi acara itu bukan pula terbuka untuk semua. Ada sedikit pengkhususan.
Apatah lagi jika pengkhususan itu melibatkan sekelompok individu yang bukanlah siapa-siapa di peta dunia...
Itulah yang saya kesan untuk perjumpaan raya bekas pelajar AlFalah,sebuah sekolah kecil yang tidak lagi wujud di dalam buku daftar Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dan tidak lagi wujud di alam nyata, pada 4 Syawal lalu. Telah lama - lebih sedekad - ia hilang.
Rupa-rupanya ramai yang tidak tahu. Ertinya publisiti kuranglah. Kalau ada publisiti, tentu yang tidak tahu itu akan menjadi tahu. Saya harap yang memberikan jawapan begitu mahu pun yang senada dengannya bercakap secara jujur.
Maka, pemberitahuan - atau dalam bahasa senadanya, publisiti - itu amat penting. Semoga hal ini merupakan satu perkara utama yang akan diperhatikan oleh penganjur majlisyang akan datang. Saya yakin majlis serupa berikutnya akan dibantu oleh orang yang mahir da;lam publisiti...
Saya bertemu lebih sedozen budak Falah dalam tempoh seminggu selepas majlis berlangsung. Sebagai modal bicara, saya tanyakan tentang ketidakhadiran mereka di dalam majlis pada hari berkenaan. Mereka termasuklah yang pernah datang majlis tahun lalu serta yang tidak pernah langsung menjengah.
Jawapan mereka, seperti itulah: TIDAK TAHU.Ada yang tahu hanya setelah hari berkenaan berlalu atau hanya tahu apabila nampak muka saya...
Tolak ke tepilah beberapa jawapan yang cukup mengejutkan seperti yang catat di hujung entri Pendek Pandak. Tolak ke samping juga sahabat-sahabat yang memang tahu, tetapi tidak dapat hadir kerana MEMANG betul-betul berhalangan.
Tidak tahu...
Hmmm...
Ini catatan terakhir saya tentang malis tempoh hari. Maka saya pilih ini untuk pedoman penganjur kelak. Mesejnya mudah: BAGI TAHU. Caranya? Terserah. Dunia yang kononnya makin canggih ini menyediakan segala yang diperlukan bagi mengedarkan pemberitahuan atau maklumat atau jemputan.
Saya tidak mahu terlalu ke depan bercakap tentang majlis akan datang. Saya bukan ahli alumni pun. Bukan jawatankuasa penganjur. Saya hanya menumpang keseronokan dapat berjumpa ramai budak Falah pada masa serentak.
Tetapi rasanya semua tahu bahawa telah ada tawaran menyediakan tapak perjumpaan itu. [Soal tapak juga hampir setiap tahun menjadi isu. Tidak pernah ada kebulatan semua menerima setiap tapak yang pernah dipilih.] Seorang BF telah menawarkan Restoran Anjung Kuala milik keluarganya untuk menerima himpunan BF. Tempat itu menarik, luas dan selesa. Kalaulah majlis tertinggi penganjur menerima tapak itu nanti tetapi tanpa publisiti - dengan selepas majlis, ramai yang menjawab tidak pun tahu akan kewujudan acara - alangkah sayangnya...
Itu yang saya fikir...
Insyaallah, ramai BF yang menjalani sistem penggiliran raya akan muncul tahun depan.Demikian pula dengan mereka yang baru tahun depan dapat membuat kemunculan sulung. Pawang Nujum, Suhaimi Md Shah,Zamri Zain, Nazri Aziz, Rofidi Ramli dan lainnya.. Itu adalah bonus.
Namun jangan dilupakan BF yang berada hanya di sekitar P10 Kuala Kedah. Ramai lagi yang tidak datang dan sebahagiannya mungkin tidak tahu. Merekalah yang perlu didekati. Dibuang semua stigma segan untuk datang.
Contoh mudah adalah Abdul Razak Othman yang datang majlis lalu. Dia berniaga tidak sampai 1KM dengan tapak perjumpaan, tetapi tidak pernah tahu... Mujurlah, kata Mariam Ismail, selalu dia mengingatkan Razak untuk majlis tahun ini. Tetapi tahun depan?Akankah dia tidak tahu semula atau tumbuh semula stigma segan itu?
Seperti tercatat di atas, ini yang terakhir tentang majlis perjumpaan raya lalu. Maaf jika ada kesilapan dan ketidakpuasan hati sepanjang anda membaca catatan - dan kempen - mengenainya. Saya hanya mencuba dengan cara dan kemampuan saya.
Bagaimana saya selepas ini?
Tidak apa. Tiada hari tanpa budak Falah... Saya sudah selalu berjumpa budak Falah. Petang semalam saya berbual panjang dengan tauke belacan, ABBY Zek...Awal pagi tadi, masuk saja hari baru, saya jumpa Cikgu Non bersama Hesba Tgb di sebuah kedai yang diuruskan oleh orang yang pernah berperdanamenterikan Yingluck Shinawatra...
Sebarang pagi atau malam saya boleh menghubungi Budak Batas Paip, Budak Alor Ibus atau Budak Taman Bersatu untuk berjumpa seandainya satu hari itu saya tidak terserempak dengan mana-mana BF.
BF yang di luar pun, sekiranya balik ke P10, masih ada yang menghubungi saya sekurang-kurangnya untuk mengeteh atau mengeNes...
Tidak apa-apa.
Penutupnya, izinkan saya petik senikata bermakna [lebih kurang] daripada sebuah lagu Dato' Ahmad Jais:
.....
Jangan bersedih hati
dan jangan berduka
kalau kita tak mati
esok lusa 'kan berjumpa...
1 comment:
Insya Allah...
Post a Comment