Maha Suci Allah Yang
Tidak Pernah Tidur, Tidak Pernah Lupa.
Saya tidak ingat
bagaimana bermula perancangan itu. Mungkin Cikgu Non masih tidak lupa. Mungkin
Paktih masih boleh mengenangnya.
Yang pasti, bagaikan
saya masih nampak dari dalam kereta yang berhenti di jalan di hadapan rumahnya
di Kangkong, Cikgu
Non melenggang selamba menuju ke arah kami. Dia tersenyum, sedang
kami terpinga-pinga. Membuka pintu untuk masuk, saya bertanya, “Mana beg hang?”
“Awat, ‘nak tidoq sana
ka?” Cikgu Non bertanya kembali.
Kami yang di dalam
kereta berpandangan.
“Laa, takkan ‘nak
balik haghi kut….?” Tanda tanya lagi. Cuma kali ini pertanyaan tersebut
bukannya dari mulut saya. Ia muncul dari peti suara Paktam,
yang berada di tempat duduk depan, di sebelah Paktih yang sedang memegang stereng
keretanya.
Cikgu Non tersengih. “Ingatkan
‘nak balik malam ‘ni….” katanya ketika berpatah semula ke arah rumahnya. Paktam
menggeleng kepala. Paktih mengetuk dua jari telunjuk ke stereng. Kami berkongsi senyum melihat Cikgu Non yang
berseluar jean biru dan berbaju - t
melangkah pantas, melangkau simen pelapik tangga rumah, lalu menghilang
dari pandangan.
Dia mencapai apa yang
patut dari almari lalu dimasukkan ke
dalam sebuah beg galas yang tersangkut di paku pada tingkap berhampiran katil.
Meski berada di dalam kereta, pergerakan Cikgu Non di dalam biliknya cukup saya
tahu. Sejak belajar serba sedikit
tentang Peta Minda, maka saya pun mengaplikasikannya. Bilik Cikgu Non di penjuru rumah ibu, dengan satu tingkap
menghala ke Selat Melaka di barat, serta satu lagi menghala ke selatan,
bukanlah asing sangat kepada saya.
Tempat dia meletakkan pengepit kuku pun saya tandakan di minda, inikan
pula yang lebih besar…..
Dalam tiga minit
kemudian, Cikgu Non muncul semula di pandangan. Menuruni tangga sedikit
perlahan. Dia sedang bercakap dengan emaknya, memberitahu tidak akan balik
malam nanti. Emaknya yang terlindung oleh semurup yang dibina bagi menghalang
tangga rumah ditimpa hujan atau terik cahaya matahari tidak membalas apa-apa.
Hanya memerhati anak bongsunyamenyarung kasut dan bergerak lebih pantas ke
kereta. Minda saya telah memetakan sekali gaya emaknya melihat anak keluar dari
rumah – memberi restu beserta mendoakan keselamatan, terangkum di dalam hati….
Cikgu Non masuk ke
dalam kereta, duduk di kiri saya di bahagian belakang. “Bawa pass dak? “ Paktam bersuara. Cikgu Non menepuk
peha kanannya dua tiga kali sambil berkata “Ada”, juga dua tiga kali.
Paktih menyebut
Bismillah, kali kedua selepas awalnya mengambil saya dan Paktam di Kampung
Permatang Ibus. Kali ketiga, sekurang-kurangnya, sejak meninggalkan rumahnya di
Pekan Gurun.
Kereta Mazda Grand
Familia bernombor plat KU 7883 itu pun bergerak. Mulanya, keluar dari Kangkong. Selepas itu, keluar pula dari Alor Setar. Kemudian
lagi keluar dari Kedah. Akhirnya terus keluar dari Malaysia!
Maka tentulah terkejut
kami dibuatnya tatkala Cikgu Non melenggang sehelai sepinggang ketika kami
pergi mengambilnya. Boleh pula dikatanya, “Ingatkan ‘nak balik malam ‘ni….”.
Tak tahulah jika ketika itu destinasi kami, baginya, tidak jauh berbeza dengan
pergi ke Sungai Petani!
Ustaz Man |
Sebenarnya, kami –
Paktih, arwah Paktam, Cikgu Non dan saya – dalam perjalanan ke Negara Gajah Putih - Thailand - tepatnya ke Pattani,
tanah tumpah darah Wae Samae Wae Mat
a.k.a Ustaz Man!
Namun, seperti
dinyatakan, saya terlupa bagaimana perancangan itu terjadi. Saya hanya
mengingat dari detik mengambil Cikgu Non di rumahnya sahaja. Kalau yang lebih
awal dari itu, adalah bagaimana saya mengambil peta dan petua dari Ustaz
Man, sehari dua sebelum dia balik ke
negaranya – sebaik bermula cuti hujung tahun. Berjela petua dan berselirat pula
sekeping kertas saiz F4 dengan lakaran jalan ke rumahnya. Di atas kertas itu
juga, tertulis nama-nama tempat dan
beberapa tanda yang senang, baginyalah, dilihat sepanjang perjalanan sehingga
sampai ke destinasi. Ketika itu, saya hanya menceritakan hasrat Paktih dan Paktam untuk ke rumahnya, tarikhnya belum dipastikan. Jika Allah izinkan....
Seperti kelaziman
kepada saya, jika mahu ke mana-mana, perut adalah juzuk badan yang paling
teruja – enggan menerima apa-apa. Maka setelah melepasi sempadan negara, waktu hampir
tengah hari, perut mula menuntut haknya. Mulanya saya sangkakan Paktih akan
berhenti di Pekan Danok, sebaik selesai
berurusan dengan pihak Imigresen Thai. Tetapi, katanya pekan itu hanya
bersebelahan Bukit Kayu Hitam, pasti makanannya tidak jauh berbeza …..
Kami teruskan
perjalanan. Sampai di Pekan Sadao,
barulah kami singgah di sebuah restoran Muslim
- imejnya terpampang jelas pada cermin hadapannya. Ada tulisan khat
Bismillah, dengan apitan khat nama Allah
dan nama Muhammad.
Masuk ke dalamnya,
kami bagai memasuki zon hawa lain. Sejuk dan nyaman, berbanding panas dan
berabuk di luarnya – barangkalilah sengaja dikekalkan keadaan demikian kerana bandar
tersebut dikenali sebagai pekan koboi…..
Kami memesan tomyam
dan nasi paprik. “Kita tengok beza dengan tomyam di Kedah….” Kata Paktih sebaik pelayan berlalu membawa buku
tempahan makanan ke bahagian dapur.
Pelanggan tidaklah
terlalu ramai ketika itu. Dalam lima belas minit, pesanan kami siap diletakkan
di atas meja. Aroma masakan panas itu serentak memenuhi rongga hidung kami, dan impuls menghantarnya ke otak untuk
ditafsirkan. Tanpa menggunakan deria rasa, Paktih terus membuat kesimpulan, “Lebih
sedap yang di sini!” Dan tafsiran otaknya itu tidak menipu tunas rasa kami yang
mula menghirup kuah dari mangkuk masing-masing. Memang ada kelainan entah pada
bahagian apa kuahnya, berbanding dengan tomyam yang sering kami slurrrrp di
Kedah…….
Padpriknya berkuah
pekat. Kandungan campuran sayuran serta daging memanglah serupa sahaja. Tetapi perbezaan paling ketara adalah pada
rasanya. Ternyata lebih sedap dari yang pernah saya makan di sekitar Alor
Setar. Maaf,jika dalam bab ini saya terlupa untuk bersikap lebih patriotik.
Kiranya, Thailand tidak mengeksport sepenuhnya rasa masakan negara itu yang
mula menjadi kegilaan rakyat Malaysia!
Kami meneruskan
perjalanan, semakin ke ‘dalam’ Thailand. Kertas lakaran dari ustaz Man
sentiasa saya pegang. Jalan rayanya elok,
tidak sibuk. Alam yang melatari
pergerakan kami pelbagai sifatnya. Memasuki kawasan berbukit dengan panorama
yang tidak jauh berbeza dengan di tanah tumpah darah kita, demikian juga ketika
melintasi kawasan sawah yang di sekitarnya ditumbuhi pokok tai.
Simpang pertama selepas beberapa puluh kilometer dari Sadao,
yang dipetuakan oleh Ustaz Man telah kami lalui dengan jayanya! Lama kemudian
kami terjumpa pula dengan satu simpang. Saya membelek lakaran di kertas A4.
Selepas simpang pertama tadi, Ustaz Man
menulis NAWE. Yang kami temui adalah papan tanda
bertulisan Siam yang berlingkar-lingkar,
dengan tulisan rumi yang agak kecil di bawahnya, bertulis NATHAWI.
Paktih memandu
melepasi sedikit simpang itu. Selalunya
kalau mahu ditanya arah dan tempat, carilah peniaga gerai di situ. Itulah
biasanya amalan kita di Malaysia. Itulah yang kami cuba lakukan. Tidak jauh
dari tempat kereta diberhentikan, ada seorang peniaga minuman sedang berdiri di
tepi gerainya. Seorang lelaki. Paktam
menyuruh saya turun, menanya. Sebagai budak kampung, saya mengaplikasikan apa
yang saya perhatikan di kampung, dengan menyuruh Cikgu Non pula.
Meniru orang
kampung? Yalah, selalunya kalau dalam
majlis tahlil, sebaik selesai meratib, pemimpinnya – biasanya imam, lebai dan
ustaz - akan mempelawa seorang dua agar membaca doa. Akan bertolak-tolakanlah
orang yang disuruh tadi - biasanya juga
imam, lebai ,ustaz dan haji yang disegani penduduk setempat. Bermacam alas an
diberikan. Selalunya akan batu-batuk sedikit ketika menolak…. Akhirnya, pemimpin
tahlil juga yang membacakan doa tersebut.
Saya tahu, saya yang
kena pergi bertanya. Memang sengaja saya mempelawa Cikgu Non untuk mengambil
peranan itu. Seperti diduga, Cikgu Non menolak. “Hang yang ambik petua jalan
dari Ustaz Man.” Demikian alasan yang diberikan. Walaupun tidak pula beriring dengan
batuk-batuk kecil ketika menolak dengan baik, saya tahu Cikgu Non turut
mengaplikasikan amalan orang kampung.
Menolak kerana skripnya memang dibiasakan begitu. Dia tahu saya pun
hanya berlakon menyuruhnya…. Bukankah Cikgu Non juga budak kampung?
Saya turun. Melangkah
perlahan menghampiri peniaga itu. Kertas A4 dari Ustaz Man saya bawa sebagai
teman. Selain itu ada enam biji mata turut mengikut setiap langkahan saya.
Peniaga itu memerhati
saya. Gelabah juga diri ini dibuatnya. “Assalamu’alaikum,
bang!”, ucap saya dengan ramah. Di dalam hati sahajalah. Takut kalau rakyat Raja Bhumibol Aduyadej itu bukan
beragama Islam.
Dia tetap memandang
kosong ke muka saya. “Boleh tumpang tanya…. Mana satu jalan untuk ke Pattani?”
Tanya saya lagi, masih di dalam hati. Bimbang kalau insan itu tidak faham
Bahasa Melayu.
Peniaga itu akhirnya
bercakap beberapa patah perkataan! Tetapi kerana tiada sarikata, tidaklah dapat
saya fahami akan butir bicaranya. Kalau Yingluck
Shinawatra berada di situ, ketika itu, mungkinlah boleh dia
menterjemahkannya untuk saya……
Saya tahu pemilik tiga pasang mata di dalam kereta masih
menanti saya membawa masuk jawapan sedangkan sehingga itu, soalan pun belum
dikemukakan….
Tiba-tiba saya
terdengar kertas A4 ditangan bersuara garang, “Apo
punyo bodo mu ‘ni. Tunjuk aku kat dio!” Sebiji ia meniru suara dan loghat Ustaz Man….
Saya mengunjukkan
kertas itu kepada peniaga tersebut. “Nawi……. Pattani……..” Kata saya ikhlas.
Benar-benar ikhlas kerana mengharapkan dia faham maksud saya. Dia memegang
kertas, melihat lakaran dan tulisan Ustaz Man. Mulutnya masih melontarkan
suara.Ketika matanya kembali memandang saya, saya tunjukkan jalan lurus di sisi
kami serta mengisyaratkan simpang yang telah kami lepasi. Difahamkan ketika
itu, di dalam kereta, Cikgu Non sedang tertawa melihat bahasa isyarat dan
lenggok badan saya…..
Lelaki tersebut
memberikan semula kertas kepada saya. Dia berisyarat seperti saya tadi. Cumanya
isyarat yang diberikan disertakan dengan ulasan yang agak panjang. Yang saya
rasa pernah mendengar hanyalah Chenak [Chana], Nathawi
dan Pattani. Chenak?
Selalu juga orang dari Chenak datang menjunjung jualan ke kampung-kampung di
Kedah, terutama pada musim menuai. Ustaz Man pernah berkata rumahnya dengan
tempat bernama Chenak itu sejalan, sehingga dipecahkan oleh satu simpang.
Maka saya isyaratkan
terima kasih kepada peniaga itu yang masih bercakap, lalu kembali ke kereta. Di
dalam kereta, Cikgu Non masih belum hilang senyumnya. “Nak tergelak tengok hang
dok gawang-gawang tangan tadi, “katanya , “macam ayam bercakap dengan itik!”
Paktih dan Paktam hanya tersengih.
“Jalan betoi ‘ni pi mana tak tau. Kita patah balik kut simpang tadi, cari Chenak.” Saya seakan yakin faham maksud
encik peniaga tadi.
“Tu pi simpang Nathawi…..”
tingkah Paktam, “kita ‘nak caghi Nawe….”
“Tapi jalan teghuih tu pi tang lain.”balas saya pula seolah menterjemahkan cakap peniaga tadi “….ikut kata kawan 'tu la...!”
Cikgu Non tidak
berkata apa-apa. Semua kami merenung Paktih yang sedang berkira-kira sendiri
gayanya.
“Kita patah balik pi simpang ‘tu. Mana tahu kalau jumpa Nawe…..” kata Paktih. Kami akur. Lagi pula
stereng di tangannya……
Kami berpatah balik,
lalu membelok ke simpang di kiri. Menyusuri jalan lebar yang lurus.Namun sampai
ke sudah, Nawe tidak kami temui!
Pada satu simpang, menyersuaikan dengan lakaran kertas dari Ustaz Man, Paktih terus membelok. Begitu yakin pemandu kami itu.
Ini cerita tahun
terakhir penghujung dekad 80-an. Jangan cari telefon bimbit atau gajet lain
bagi memudahkan pergerakan. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya bagaimana
kami boleh begitu berani pergi ke sebuah negara asing tanpa menguasai bahasa
tempatan dan tidak mengenali sesiapa kecuali Ustaz Man? Maha Suci Allah. Kami
hanya bertawakkal kepada-Nya! Demi menziarahi seorang saudara lagi ustaz……
Menjelang asar kami
menjumpai satu tanda yang ditulis oleh Ustaz Man di atas kertas – sebuah
jambatan besi. Alhamdulillah. Kami bersyukur. Ertinya sudah tidak jauh rumah yang kami cari.
Beberapa kilometer kemudian kami menemui tanda utama yang bermaksud kami sudah
sampai – sebuah tempayan besar terletak di sisi kiri jalan raya, di hadapan
sebuah rumah yang di belakangnya terdapat sebuah masjid.
Itulah rumah seorang
imam merangkap mertua Ustaz Man! Itulah tempatnya yang ditulis Ban Dok Rak yang dibulatkan dengan dakwat merah
oleh Ustaz Man!
Sebaik kereta
berhenti,muncul Ustaz Man di muka pintu. Tersenyum. Kemudian muncul isterinya,
Kak Jah serta anak mereka, Bushra. Gaya mereka ketika itu boleh digambarkan
begini: Seolah mereka tinggal di AlFalah dan kami pula datang dari Pendang atau
Jitra! Tiada tanda terkejut melihat kami berdiri di hadapan mereka. Sedangkan kami dari Malaysia dan baru sampai
ke Negara Thai dalam satu perjalanan marathon yang cukup meletihkan! Kiranya
Ustaz Man juga bertawakkal kepada Allah ketika menunggu kami sampai….
Kami dipelawa naik.
Di atas rumah, kami
disambut pula oleh ayah dan ibu Kak Jah. Mesra sekali dengan senyuman yang
bagaikan melekat di wajah mereka. Terasa hilang lenguh dan kebas selama
berjam-jam di dalam kereta. Dan rasa segar itu bertambah apabila saya ternampak
kelibat seorang gadis, terhendap-hendap di balik tirai menghala ke dapur…..Fuh!
Ustaz Man dan ayah
mertuanya menemani kami berbual di ruang tamu rumah separa kayu itu. Kak Jah,
emaknya dan Bushra pula beredar ke dapur. Saya yang ditakdirkan duduk di sofa
tunggal menghadap terus ke dapur,mengekori pergerakan mereka sambil berharap akan
ada kelibat lain di balik tirai. Manalah tahu kalau terselak lama sedikit tirai
itu ketika kelibat tersebut cuba melarikan diri…..
Perbualan petang itu
berkisar tentang kedudukan geografi dan sosio ekonomi tempat itu – beberapa kilometer
sahaja dari Bandar Pattani. Perbualan juga menyentuh tentang perjalanan kami dari Kedah. Saya
tidak menumpukan sangat perhatian, malah tidak menyampuk langsung. Saya hanya
melihat corak bunga tirai menghala ke dapur itu…..
Cuma apabila sampai ke
bab bertanya peniaga berdekatan simpang Nathawi, saya tersentak. Memang tidak ada papan tanda Nawe, demikian mafhum dari kata
Ustaz Man. Nathawi itulah Nawe, mengikut sebutan orang Pattani.
“Ustaz tak tulis dalam
kurungan…..”kata saya.
“Lupo…” selamba saja
jawapan Ustaz Man.
“Nah aih! Mana aci
lagu ‘tu!” Kalau diikutkan mahu secara lembut saya mengutarakan frasa itu kepada Ustaz Man. Namun hasrat itu
terpaksa diselatankan begitu sahaja apabila ada pergerakan di tirai yang
menghala ke dapur…..
Sebaik kain tirai
tersingkap, Kak Jah muncul bersama dulang yang menampung teko dan cawan.
Diikuti oleh emaknya yang membawa dua pinggan berisi kuih apakenama yang manis rasanya. Tangan
siapakah yang membantu menyingkapkan
tirai itu? Bushra? Tak mungkin kerana ketinggian Bushra hanyalah separas meja
tulis. Jadi….. Sehingga tirai itu kembali ke kedudukan asalnya, mata saya masih
di situ. Kelibat itu sempat dilihat membelakangkan kami menuju ke dapur. Ceh!
Selepas minum, kami
turun ke laman dan terus ke perkarangan masjid, melihat-lihat persekitaran.
Dengan Ustaz Man bertindak sebagai pemandu pelancong, semuanya - kecuali seorang
- mendengar ceritanya tentang sejarah pembinaan masjid tersebut , termasuk dana
dan rekabentuknya. Yang seorang itu lebih memberi perhatian kepada rekabentuk
rumah yang baru kami tinggalkan……
Menjelang Maghrib,
beberapa warga emas menyertai kami. Berkenalan dan berbual. Ada di antara
mereka amat biasa dengan Kedah kerana pernah mengunjungi saudara ataupun
mengambil upah memgerat/membanting padi pada era tanaman padi setahun sekali
dahulu. Maka perbualan lebih terarah kepada imbauan ke zaman itu…. Saya hanya
mencelah sesekali, lebih kepada melindungi dari dikesan asyik memandang karah
rumah tadi…..
Selesai solat Isyak,
kami dipelawa semula ke rumah mertua Ustaz Man. Kalaupun bukan yang paling
depan, saya rasa saya adalah di antara dua terawal melangkah naik ke rumah
itu….. Duduk bersila di tempat kesukaan
saya - menghadap ke dapur !
Di ruang tamu itu
telah siap terhidang set makan malam. Menunya dengan mudah boleh dikatakan
begini: sama dengan yang sering kita minta di restoran makanan ala Thai. Ada tomyam
campur, ada daging masak merah, ada ikan tiga rasa [Cuma saiznya agak kecil
berbanding yang seluloi kita pilih di restoran] serta paprik ayam. Sambal
belacan dan sedikit ulaman untuk meluaskan
lagi kawasan yang diperlukan bagi penempatan lauk-pauk…..
Tidak perlu masa yang
panjang untuk kami menghabiskan makanan itu. Semuanya kami sebat. Cuma Paktih
yang tidak menikmati paprik itu kerana dia tidak memakan daging ayam. Saya
sendiri hinggakan terlupa seketika merenung ke arah dapur. Namun dalam mengunyah,
hati masih berkata, tentulah ada sepasang tangan yang membantu Kak Jah dan
ibunya memasak semua makanan ini…… Dan tangan itu tentunya bukan milik
Bushra…….
- bersambung....
3 comments:
kenangan..yg trindah
teringat pada ustaz man.... akhirnya dapat juga berbual setelah gagal dihubungi.
siapakah empunya sepasang tangan itu....? rupanya dalam atie Cipher ada tamann...... taman hati berbunga lalang.... huhuhuhu :)
mata tu...cukup liar
Post a Comment