Khamis.
Hari terakhir bulan terawal tahun ketiga belas dalam alaf
ketiga Masehi.
Sejak petang saya merancang untuk membuat terjahan sekali
lagi setelah dengan jayanya dilakukan untuk rumah imam muda Kola pada minggu
sebelumnya.
Saya menghubungi jurutunjuk merangkap juru bicara serta
jurugambar, Budak
Batas Paip [BBP]. Hasratnya kali ini untuk membuat terjahan ke
rumah sepasang Budak Falah. BBP memaklumkan dia menunggu saya di Kedai Mee Abbas,
Kompleks Perniagaan Nakhoda, Batas Paip – tidak
di rumahnya sebagaimana yang saya harapkan. Mungkin bukan rezeki saya lagi
untuk sekali harung menerjah ke rumahnya.
Di depan kedai mamak itu, setelah berjumpa, dengan diiringi zuriat
sulung merangkap pengawal peribadinya yang berusia 13 tahun, BBP bertanya saya
rumah yang akan diterjah. Setelah saya menyebut tuannya, BBP pun menelefon
ketua rumah tersebut. Tidak tahulah apa jawapan pihak yang dihubunginya namun
dia mengajak saya terus ke situ.
Kami memasuki jalan ke rumah BBP melalui Lorong Mat Nor Tukang. Bukankah mudah jika dia
menunggu saja saya di rumahnya? Fikir saya. Namun manalah dapat kita mengagak strategi orang……
Melintasi kawasan rumahnya, tidak pun BBP menoleh ke arah
itu. Fokusnya hanyalah pada jalan mini bertar yang kami lalui. Kemudiannya
barulah saya faham kenapa fokusnya begitu: Selain kerana di kiri kami adalah
tali air yang banyak isinya, dia hanya
mengharapkan satu lampu isyarat pada motornya sebagai penunjuk jalan. Lampu
utama motor – depan dan belakang - tidak mengeluarkan cahaya. Pada tempat yang
agak cerah, misalnya ketika melintasi kawasan SK Seberang Nyonya – yang
menjadi tapak perjumpaan raya alumni AlFalah kali pertama – dia mematikan lampu
isyarat itu. Setelah hilang cahaya lain, barulah lampu isyarat tersebut
dinyalakan semula. Berkelip-kelip memberikan khidmat.
Saya mengekori insan dua beranak itu. Entah apa yang mereka
bualkan sepanjang perjalanan. Sebagai orang tempatan, saya yakin BBP cukup
hafal lekuk dan lopak jalan tersebut. Tanpa kerlipan lampu isyarat motor pun,
rasanya dia dapat menunggang dengan sempurna. Saya teringat sebuah novel karya Dato’ Shahnon
Ahmad yang saya baca pada tahun 1974 – Srengege. Kata salah satu
watak di dalamnya yang gemar meracik
burung – Imam Hamad – semua laluan dan denai
di dalam hutan bukit Srengenge sudah dihafalnya seperti dia menghafal surah Al
Fatihah! Rasanya demikianlah juga hal BBP tentang jalan alternatif yang
menghubungkan rumahnya dengan pekan
Kuala Kedah itu….
Dia menungggang terus sambil pinggangnya dipeluk si anak…….
Makin menghampiri destinasi, angin malam membawa satu aroma ke hidung. Sebaik menghidu bau
ikan baja itu, saya terkenang kepada Cikgu Ahmad Amminy, abang Ustaz Fairose. Ketika itu dia
belum mengajar di AlFalah. Kami – saya, Cikgu Non dan Ustaz Fairose - telah terbiasa
dengan bau tersebut kerana setiap minggu mesti
sekurang-kurangnya tiga kali kami berada di kawasan Kola, mengeteh atau ngopi di situ serta
berbual dengan rakan-rakan dari kawasan berdekatan.
Sekali peristiwa, Ahmad Amminy yang kebetulan berada di Al
Falah, kami ajak bersama. Sampai di satu tempat, sebaik menghidu bau tersebut,
dia pun melontarkan suara: “ Isy! Bau ‘ni kalau kena dengan pulut, sedap nooo….”
Cikgu Non tertawa. Saya pun. Adiknya hanya tersenyum. Ahmad
Amminy kehairanan. Setelah diberitahu akan punca bau tersebut, barulah dia ikut
tersenyum……
BBP menungggang terus sambil pinggangnya dipeluk si anak…….
Saya mengekori.
Sampai di jalan masuk ke Pulau
Gezambo, BBP menghentikan motornya. Saya pun. Ada sesosok tubuh berkain
pelikat berbaju hijau di tepi jalan itu. Kiranya Zul, tuan rumah yang ingin
kami terjah itu sedang menghala ke luar jalan. “Pi la ke rumah. Yam ada di
rumah…” katanya sambil tersenyum.
Dia pula menghala ke mana?
“Nak pi kedai sat. Cari kacang sikit…..” katanya sambil
terus melangkah. “ Pi la ke rumah…..” sambungnya lagi.
Saya mengekori BBP.
Belum berulang
laungan salam, muncul Yam yang
sebut oleh Zul tadi. Tersenyum. Dari gayanya seolah baruy mengemaskan ruang
depan rumah sedikit sebanyak. Dia mempersilakan kami masuk ke rumahnya. Sempat
lagi BBP menyakat ke manakah gerangannya si suami. Saya tersengih melihat BBP
dengan muka selambanya menafikan ada berselisih dengan Zul di muka jalan tadi.…
Yam pula menjawab secara jujur dan sekali lagi mempelawa
kami masuk. Walaupun mendapat izin Zul
tadi, kami tetap berdiri di luar. BBP bersoal jawab sedikit dengan Yam tentang
hal-hal entah apa-apa. Sebentar kemudian Zul pulang, membawa bersamanya kacang
yang berjaya dicari
di kedai.
Di dalam rumah, anak terbaru pasangan Zulkifli Shamsuddin dan Mariam Ismail
sudah terlena – betul-betul di tengah ruang tamu.
TV terpasang. Wajah-wajah pilihan stesen tv sedang muncul
melakonkan salah satu siri Samarinda di skrinnya.
Ada sebuah buaian mudah alih terletak berhampiran dinding.
Dua meter dari situ terdapat deretan sofa,diletakkan rapat membelakangi dinding,
membentuk L hingga berdekatan pintu masuk. Di situlah kami duduk. Saya dan BBP
bersebelahan memilih untuk menghadap tv, manakala pengawalnya duduk sebaris dengan Zul, membelakangkan
dinding rusuk rumah. Mana-mana dan apa-apalah……
Yam masuk ke dapur. Membawa bersama kacang yang Zul jumpai
di kedai tadi…..
“Tak habaq awai…. Kalau tidak boleh sedia apa-apa….” Kata Zul.
Saya berada di persimpangan. Satu simpang adalah: memang
terjahan kami sengaja dimaklumkan pada saat akhir supaya keadaan kelihatan natural,
tidak seperti diada-adakan. Kalau tengah berkain pelikat gulung tepi sambil membalut
daun rokok waktu kami sampai lagi asli pemandangannya – hendak-hendak pula
tengah berleter kepada anak-anak atau sama tua, lagilah hidup situasi itu….. Satu
simpang lagi: saya cuba meneka maksud boleh sedia apa-apa yang Zul sebut itu…. Jangan-jangan
kalau kami beritahu awal barang sehari dua, agaknya malam itu kami dijamu nasi mandy
kalaupun bukan kambing panggang seekor dua……
Namun sebelum saya sempat bersuara, BBP terlebih dahulu
menghuraikan maksud terjahan kami. Siap
bercerita kejayaan kami menghalang Mohd Yusri Haron a.k.a Babuji dari tidur awal pada malam
Jumaat minggu sebelumnya.
Zul tersengih.
Katanya kalau malam biasa, selepas solat Isyak dia sudah
beradu, tetapi kalau malam Jumaat…… dia akan berjaga hingga muncul logo besar WWE
beberapa saat sebelum Nightline pada skrin tvnya. Kiranya dia –
mungkin bersama sama tuanya juga - peminat tegar rancangan gusti…..
Giliran kami pula tersengih.
Cantiklah!
Yam muncul bersama sebekas kacang yang Zul cari di
kedai tadi serta sebuah bekas untuk kulitnya. Sambil itu dikeluarkan juga
sedulang kopi o serta secawan Milo panas – yang dikhususkan untuk pengawal
peribadi BBP. Tetapi jangkaan Yam
tersasar. Pengawal BBP bukan peminat Milo walaupun tahu tuan rumah adalah ejen
Nestle – pengeluar minuman terkenal itu. Dia meminta minuman yang sama dengan
pilihan orang yang dikawalnya.
Sementara itu, Yam yang duduk berhampiran anak terbarunya
dihulurkan secawan minuman oleh Zul. BBP yang sedang menghalakan lensa, cepat
saja mengambil kesempatan merakamkan detik itu – Suatu saat romantis yang amat
jarang dipertontonkan oleh pasangan suami isteri yang telah beranak-pinak.
Malah bagi saya, itulah penyaksian pertama dalam usia setengah abad ini! Kalau
waktu bercinta atau baru seminggu berumahtangga keraplah sudah saya lihat…….
Sambil itu Yam memperingatkan kami agar datang semula ke
Pulau Gezambo itu pada 11 Februari kelak sempena kenduri di rumah abangnya, Abdul Jalil
@ Halim,
ayah kepada Rohana
dan Aznan.
Dia ada memaklumkannya di dalam laman fb Alumni AlFalah. Rohana juga memuatkan
undangan di dalam laman tersebut – setelah Yam menyatakan akan rungutan saya
bahawa tiada hok
atau hek dari tuan rumah itu…. Saya menyebut juga pada hari
berkenaan, Sofi Ahmad juga menjemput semua ahli alumni ke kenduri kahwin adik
bongsunya di Changlon. Kemudian Yam pula menyebut bahawa pada hari tersebut
juga ada kenduri di rumah Husin Lateh di Taman
Marina. Ustaz merangkap kontraktor pengubahsuaian rumah tersebut telah menjemputnya sehari dua sebelum itu.
Tu dia…… kata hati saya.
Tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya membelek skrin. Semua
yang ada tersengih apa bila saya beritahu nama pemanggil tersebut.
Hantu sungguh! Hehehehe. Panjang umur Husin Lateh! Jarang
sekali saya menjumpai kebetulan sebegitu….
Sebaik menjawab salamnya, saya terus menyakat,” Awat, ‘nak
panggil kenduri ka?”
Saya tahu dia terpempan di hujung sana.”Mana cikgu tau ‘ni?”
tanyanya.
…………………………………………………..
Husin menjemput saya di dalam talian dan bercadang akan
sekali lagi menjemput saya secara bersemuka dengan mengunjungi rumah saya dan
rumah Cikgu Non. Insyaallah. Tidak pun diwakilkannya saya memanggil Cikgu Non
mahu pun Cikgu Rahim. “Saya akan panggil sendiri……” ujarnya.
[Untuk rekod, dua cikgu tersebut dijemputnya setelah saya
menghubunginya lama kemudian memaklumkan bahawa dalam perbualan dengan mereka,
tidak pun mereka mendapat sebarang panggilan dari Husin. “Terlupa….” Katanya
sambil meminta nombor telefon Cikgu Rahim. Tidak sampai seminggu sebelum
kenduri tersebut, ketika bertemunya di gerai tomyam di Batas Paip bersama BBP
dan Mohd Saifol Adly, saya bertanya semula tentang Cikgu Rahim. “Terlupa….” Dan
malam itu, di depan kami, barulah dia benar-benar menghubungi Cikgu Rahim.
Husin….Husin…]
BBP terus memuatkan adegan menghulur cawan tadi ke dalam fb
Alumni……. Dia meminta Yam melihat melalui komputer ribanya. Marahlah Yam. Tapi dalam
marah itu, lia
punia muka atak senium oooo…….. Zul pula walaupun hanya melihat dari
jauh, dan tidak pun tahu sudut mana rakaman tersebut, masih dalam senyum
tulusnya.
Lama kemudian, saya meminjam lappy mereka untuk turut melihat rakaman tersebut melalui akaun Yam.
Terlanjur sudah berada di atas ribaan, saya melihat blog ini serta blog saya
yang lain – melihat statistik pembaca
serta entri yang paling banyak dibaca……..
Seperti selalu, di mana-mana pertemuan sebegitu, kami
berborak tentang AlFalah. Tentang majlis hari raya, tentang rakan yang tidak
mahu bersama di majlis berkenaan, tentang perancangan majlis musim berikutnya,
tentang menu yang sesuai, tentang pertambahan bekas penuntut yang berjaya
dikesan dan dihubungi.
Yam berkisah keseronokan tatkala bertemu rakan lama – yang
rupanya bukan semua orang mahu merasainya. Zul berdendang kekecewaannya apabila
ramai juga yang dipanggil dengan sentuhan peribadi tetapi tetap tidak muncul pada hari yang
meriah itu. Disebutkan satu nama wakilnya di daerah Pendang. BBP pula memaklumkan
ketidakhadirannya di dalam majlis musim depan kerana hal-hal yang sedia kami
maklumi dan tidak dapat dielakkan….. [Kerana kes seperti BBPlah maka acara
perjumpaan raya perlu diadakan setiap tahun. Jika tidak, tiadalah peluang untuk
orang yang menggunakan kaedah penggiliran raya berselang tahun bagi menyertai
majlis yang juga berselang tahun juga.
Kami mengemukakan beberapa hal yang boleh dibaiki bagi
menambah kemeriahan untuk kali lainnya. Di antaranya tentang pilihan menu,
kaedah menjemput bekas pelajar, acara sampingan serta persediaan tempat.
Program gusti di tv bermula. Zul – disertai pengawal BBP - menumpukan
75% perhatian ke arah itu. Saya dan BBP pun menumpang sekitar 25%. Bakinya kami
tumpukan pada kacang dan kopi serta Yam …..
BBP meminta album foto zaman persekolahan daripada Yam,
untuk dipinjam
bagi menambahkan koleksinya. Kejayaan merakam foto nostalgik di rumah Babuji
cukup mengujakannya. Yam mengeluarkan satu album. “Tapi tak banyak gambar
sangat….”kata Yam. BBP membelek dan menyaring. Ada empat lima yang diambilnya,
sambil mengomel dan mengomen setiap foto berkenaan.
Selesai gusti, saya meminta Zul mengalih siaran ke tv2. Ada
tayangan gambar kantonis. Filem pertarungan. Walaupun tahu gerak tempur di
dalamnya adalah sebuah penipuan, seronok juga menontonnya. Mungkin kerana kita
sememangnya sering tertipu atau ditipu………. Pengawal BBP dua tiga kali tertawa
melihat aksi di tv sebelum tersengguk-sengguk sedikit….
Bekas kulit kacang mula penuh. Kopi semakin sejuk dan susut.
Saya meminta air yang hanya ada hidrogen dan oksigen pada nisbah 2:1. Tidak
mahu tambahan unsur glukosa/sukros mahu pun perisa dan pewarna yang dibenarkan.Sebaik
bekas berisi air yang diletakkan di atas meja kami kurangkan kandungannya,
tiba-tiba perbualan menjadi rancak.
BBP dan Yam bertukar cerita. Atau tepatnya saling mencantum
cerita – tentang semarak kasih beberapa
pasangan yang terhalang atau terlerai di AlFalah - menjadi beberapa episod yang
cukup untuk mengalahkan skrip yang disiarkan dalam slot Akasia, Lestary mahu pun Samarinda di TV3.
Saya dan Zul lebih banyak bertindak menjadi pendengar - hanya sesekali menokok fakta yang kami tahu.
Pengawal BBP pula sudah terlena di atas sofa. Kalau orang yang dikawalnya kami
larikan ketika itu pun tidak akan disedarinya……
Malam kian larut dan mereka pula makin larut dalam nostalgia
hingga terlupa bahawa salah seorang yang mendengarnya adalah tukang catat yang
boleh tahan ……
Bagai sesi pencerahan pula atau juga sesi pengakuan…..
Banyak yang tersorok selama hampir dua dekad telah diumpil.
Beberapa teka-teki selama ini terjawab. Saya merasakan seolah berjaya
menyelesaikan permainan puzzle yang sudah lama tersembunyi sebahagian keping
pelengkapnya……
Bagaimana pun, setelah membolak-balik dan menghening cipta,
tidak dapatlah saya catat apa-apa tentang isi perbualan mereka, buat tatapan
umum. Takut, tuan-tuan. Takut kena saman. Sekarang orang bukan main sekupang
dua. Macam di Brazil bulan lalu, silap eja nama pun diminta juta-juta.Hehehehe.
Dalam pada itu, kami cuba mencungkil kisah lama Zul dan Yam
hingga membawa mereka bersatu di Pulau Gezambo…. Yam tersengih, Zul lagilah….
Tapi Yam mengambil keputusan untuk tidak menceritakannya, melainkan sedikit.
Tentang Zul yang mengulang dan memungkinkan putik kasih berkembang….. Serta
pengorbanan Yam, setelah berfikir panjang, mengurungkan niat untuk melanjutkan
pelajaran demi menerima pinangan Zul…… Mereka bahagia hingga kini, dan semoga
untuk selamanya. Sesekali mengenang masa di AlFalah, kata Yam, mereka tertawa
bersama…..
Sementara itu, dalam saya menyemak sesekali antara blog
serta laman fb Alumni AlFalah, saya nampak wajah diri dimuatkan oleh BBP. Hantu
sungguh! Tapi, seperti Yam pada awal tadi, saya punya muka juga atak senium oooooo…….
Beralih sekejap melihat blog, saya menekan tab fb semula. Di
bawah foto saya, di dalam ruang komen, pada pukul 1.43 pagi, BBP menulis: Xreti nk balik ka....dah pukul
2 pagi ni . Hantu sungguh! Hehehehe.
Saya menjeling ke arahnya yang
tersengih. Saya mengerling pula ke arah kanan. Di atas sofa di sisi saya,
pengawalnya bagai sedang melayan mimpi…….. Fahamlah saya. Sudah hampir dua jam
saya mencuri hari Jumaatnya….
Zul yang juga dicuri hampir dua
jam hari Jumaatnya masih dalam senyum.
Yam? Tidak tahulah saya sama ada tersisa lagi senium
itu…..
Saya mencadangkan untuk kami beredar, yang belum sempat saya
menarik nafas dari menuturkan cadangan itu, telah dipersetujui oleh BBP! Zul
menahan. “Taka pa,” katanya, “bukan selalu…..”
Akhirnya kami bangun juga. BBP yang sepatutnya dikawal,
mengejutkan pengawalnya…..Hehehehe.
Kami berterima kasih kepada tuan rumah yang menganjurkan
kami datang lagi – tapi mesti memberitahu awal – lain kali.
“Mai makan nasi ka…..” kata Yam.
“Boleh masak apa-apa ka…”
tambah pula suaminya. Isy, bab apa-apa ka inilah
yang saya tewas. Terlalu luas ilusi saya. Mungkinkah itu bermakna kambing
seekor dua? Ataukah lain lagi, yang tidak terjangkau fikiran?
Nantilah……
Dalam perjalanan pulang, kekaguman saya kepada BBP makin
menebal. Dengan hanya bergantung pada lampu isyarat motor bagi memerhati jalan,
sebelah tangan pula memastikan pengawal di belakangnya tidak tersengguk –
sentiasa berjaga.
Bertambah tebal lagi rasa kagum itu tatkala sampai di
hadapan pagar SK Seberang Nyonya, BBP bertanya sama ada mahu mengeteh pula di
Batas Paip. Saya melihat pengawalnya yang terlentok itu.
“Anak ‘tu macam mana?” saya menduganya. “Nak balik hantar
dulu ka?”
“Bawa pi sekali la!” katanya, bersemangat.
Dalam samar cahaya lampu jalan, saya tersengih lalu
mengisyaratkan untuk terus balik. Mengeteh di rumah masing-masinglah….. Tidak
sanggup rasanya melihat pengawal itu melayan mimpi pula di atas meja bulat gerai
dinihari…..
Kami berpisah di hadapan sekolah tersebut.
Sepanjang jalan pulang, selain teringat pengawal BBP dan
bapanya, saya terkenang rumah Yam dan Zul. Selepas kenduri di Pulau Gezambo itu nanti, saya ingin
mengajak BBP dan Babuji atau sesiapa juga berkunjung pada satu siang di situ. Kalau boleh waktu makan tengah hari.
Ada dua sebab utama kenapa itu yang difikirkan.
Pertama, saya sedang marah dengan Yam! Semasa di rumah itu
tadi, ketika bercerita tentang jamuan raya yang lalu, saya menyebut tidak
memakan apa-apa, termasuk nasi, kerana terlalu seronok. Begitulah tahun
sebelumnya pun… Tetapi sebaliknya Yam
berkata: “ Tah tak makan pasai tahu kami masak apa…..?” Ada ka? Hehehehe.
Kedua, saya ingin melihat apakah yang Zul maksudkan dengan apa-apa itu…..Hehehehe.
Nantilah!
2 comments:
tungguuuuu
rindukan bau 'itu'. selalu juga bgtau kat anak2... semasa dikampung BP bau itulah yg paling enak berbanding bau lori sampah di sini... hehehehe
Post a Comment