Saya mahu menutup tahun 2013 ini dengan satu klip yang ceria
dengan menggunakan foto-foto sekitar perjumpaan raya tahun ini. Biar jemu orang melihat
foto yang diulangsiar. Orang! Biarlah! Asalkan jangan budak Falah…
Cari punya cari, saya teringat lagu Dato’ DJ Dave yang meski
pun payau liriknya tetapi agak ceria iramanya.
Payau, sebab cerita hati orang belum bertukar status, mengenang ‘dia’ yang
mungkin telah pun beranak pinak… Tak aci marah aaa…, terutama yang masih kekal dengan status solo. Kepada semua
yang fotonya termuat di klip itu juga, maaflah. Foto sekadar hiasan….
Mahu saya muatkan klip itu sebagai entri terakhir bagi blog
ini untuk tahun yang penuh suka duka . Meski siap sejak 11 Disember, saya
tunggu hingga minggu terakhir untuk muatkannya. Tetapi itu cuma rancangan saya…
Tiba-tiba masalah menimpa sahabat baik saya - atau kalau
istilah samatua saya, bukan setakat sahabat baik, tetapi ‘biwi
number do’ saya…
Satu pagi yang tenang, ketika mengelik membuka internet,
tertera di skrin logo amaran bertanda seruan hitam dengan latar berwarna
kuning. Di sebelahnya tertulis:
Disconected.
Error
619: A connection to the remote computer could not be established, so port used
for this connection was closed….
Mana saya tahu apa-apa. Tukang kayu berpengalaman puluhan
tahun pun bukan tahu membuat paku sendiri, tukang jahit tidak semestinya tahu membaiki mesin jahitnya dan tauke bas
kilang tidak semestinya tauke kilang bas...
Maka meloponglah saya. Tiada blog, tiada fb dan tiada
pelayaran ke gudang maklumat…
Bukan setakat blog ini, blog keluarga yang lama tidak ditambah
entrinya juga menjadi mangsa. Boleh saja ke kafe siber tapi masalahnya saya
perlukan masa yang agak lama di situ kerana kebanyakan yang saya catat, bukan
terlebih dahulu ditaipkan pada tempat lain lalu ditampal dalam blog. Saya
biasanya membuka ruang 'entri baru' di dalam papan pemuka blog barulah saya catat. Ilham datang melaju
ketika itu. Muka budak Falah pun kalau mahu datang ke minda biasanya, waktu
itu, ketara jelas dan terang! Lagi pula suasana di kafe tidak begitu
menyelesakan bagi ilham datang… Saya pernah alami satu peristiwa kelabu di kafe
berdekatan kejiranan saya. Ada
anak-anak sebaya anak sendiri asyik tertinjau-tinjau skrin saya. Yang lelaki
bertanya, “Pakcik main game apa?”
manakala yang lawan jenisnya pula akan bertanya, “Pakcik chat dengan sapa?”. Sedih
lagi apabila anak dara penjaga kaunter bertanya, “Betulkah Pakcik ada blog
sendiri?” , dan selepas setengah jam, saya terdengar dia berkata kepada kawan
sembang di kaunternya, “macam tak percaya jer…. Macam tak betul jer….” Masih tertinggal rupanya anak bangsa saya di
kejiranan ini…Tuan-tuan dan puan-puan ingat ilham mahu hadir dalam ‘majlis’
begitu? Saya pun bayarkan ‘harga’ sejam di situ lalu terus ke kedai ais kacang salji bagi
mendinginkan qalbu…
Mahu menyerahkan biwi itu kepada pandaikomputer, saya belum sampai hati. Tidak tergamak berpisah
lama dengannya, kerana maharnya mungkin
tinggi [difahamkan oleh seorang pandaikomputer, RAMnya pun mungkin kena ditambah
dan bedasarkan tahun kelahiran biwi,
mahar untuk itu juga mungkin tinggi]
Sedangkan tiga anak dengan biwi number one sedang menghitung hari untuk
memasuki kelas baru yang malangnya bukan boleh digunakan daun kesum atau daun
ketum bagi membayar tiket masuk serta aksesorinya… Maka biwi kedua kena tunggu belanjawan lain!
Semasa bebas dari belenggu internet -
termasuk berfb - itulah, rupanya
ada sedikit kocakan di permukaan laman fb grup Alumni AlFalah. Saya tidak faham
sangat punca kocakan itu kerana lebih seminggu tidak menjengah laman
tersebut. Saya hanya mendengar sedikit
sinopsisnya dan supaya tidak berlaku biasan biarlah tidak saya memperkatakannya
di laman berkenaan, jika pun selepas saya dapat mengunjunginya…
************
Sebelum memuatkan entri ini, saya pun melangkah ke laman fb
grup Alumni AlFalah. Nampak macam panjang pula ceritanya dan seganlah untuk
saya menyelongkar dan membaca semua yang dikatakan telah mengocakkan permukaan
itu. Lagi pula semua telah berlalu. Biarkanlah ia berlalu. Khabarnya keadaan
telah kembali tenang… Alhamdulillah.
Semoga ‘perbincangan’ secara adik beradik sesama budak Falah
itu memberi manfaat kepada seluruh warga. Kita boleh berselisih pendapat,
berbeza cara dan berlainan pendekatan, tetapi biarlah hasilnya adalah bertambah keutuhan ukhuwah. Kita akan
diketawakan jika dalam setahun jagung bersepakat, sudah ada bibit-bibit
mufarakat!
Mari kita cari persamaan. Mari kita kembali ke akar niat. Mari
kita nikmati indah nian detik-detik pertemuan.
Takdirnya, klip di atas hanya saya menonton sendiri sepanjang digantung dari berinteraksi di fb.
Selain foto yang dimuatkan itu, ada ratusan lagi yang masih saya simpan dan
lihat, dari pertemuan sulung hingga yang
terbaru.Masih baru rasanya semua detik itu berlalu. [macam perulangan saja
frasa itu, kan?] Masih basah semuanya di ingatan. Betapa kita berjumpa atau
berkenalan dan bermesra serta mengimbau masa lalu di bawah langit AlFalah.
Hingga habis Syawal kita masih terasa hangatnya sapaan mesra, panasnya sambutan
dan cantiknya petang itu. Ada yang terus bertanya bagaimana petang keempat
Syawal berikutnya. Yang dilintang aral, menanam azam untuk muncul nantinya.
Yang hadir berkongsi sama suasana itu. Yang pertama kali, tidak putus-putus
teruja. Yang kesekian kali, meski membanding, tetapi tetap percaya, setiap
edisi berbeza ceria dan cerita.
Maka apalah sangat dengan kocakan yang berlaku itu?
Sekali lagi, marilah kita menggarisataskan semangat sebagai
warga AlFalah. Perbezaan era, atau sebarang sebarang bentuk perbezaan marilah
kita kesampingkan. AlFalah mungkin banyak di Malaysia tetapi bagi kita, AlFalah di
Kangkong itu sahajalah yang kita ada. Mari kita terus bersatu.
Sudahlah, ya.
Mari kita ulang dengar dan tonton klip di atas…
************
Saya dapati kedai ais kacang salji ditutup. Agaknya malam ini taukenya mahu membakar bunga api. Saya fikir elok pekenanya dulu sebelum naik ke kafe bagi menaikkan entri ini. Mana tahu kalau ada lagi cabaran seperti yang saya ceritakan tadi, pada kali ini... Semoga kedinginan awal akan memudahkan ilham tiba di tengah-tengah suasana yang tidak begitu selesa. Alternatifnya, saya pekena ais glasiar di depan kawasan kejiranan ini - ais yang teksturnya agak kasar bersama kacang yang tidak berapa empuk dan sagu yang masih keras..
Itulah siapa suruh buka blog? Kata samatua saya...
Saya hanya menggaru kening...
Selamat Tahun Baru, budak Falah!
1 comment:
Entahlahhhh
Post a Comment