30 August 2014

Kembar 3 Plus 1!





Hampir dua bulan sebelum Ramadan 1435 lagi Wira sudah uar-uarkan bahawa dia dan samatuanya bakal menerima anak kembar pada Syawal kelak.

“Jangkanya lepas raya…”kata bapa kepada tiga anak ketika itu. “Entah-entah masa kita buat perjumpaan raya…Coih keluaq…”
Frasa mula itu biasa-biasa saja. Tetapi frasa kedua yang diucapkan setelah menghirup Necafe ais kegemarannya itu membuatkan saya hampir tersedak.

Lepas raya? Masa perjumpaan?

Jangan buat hal Wira…

Buatnya ramalan itu benar, kacaulah. Bersama Saiful Adly, Wira yang diharapkan rakan-rakannya menyediakan tapak perjumpaan. Bagaimana pula jika Wira sibuk menguruskan kehadiran bayi kembar itu tatkala majlis bakal atau sedang berlangsung? Bagaimana kalau …

Ah!

Lagi pula, inilah tahunnya pun dia dapat kembali bersama kawan-kawan lama pada majlis berkenaan. Mengikut undang-undang tubuh perkahwinannya, Wira akan beraya berselang tahun antara di rumah sendiri dan di rumah mertua. Tahun lalu dia beraya di Ketereh. Tahun ini di Batas Paip. Tahun depan? Sendiri mau ingatla

“Sebelum 17 Ramadan, bersalinlah ‘tu…”dengan yakin saya berkata. Memecahkan ais yang beku seminit dua di meja kedai kopi yang juga menjual teh, air asam, oren bancuh dan siram bandung itu.

“Cikgu ada belajaq mana-mana kut…” tanya Wira serius melihatkan keyakinan saya berkata begitu.

“Adala…”balas saya. Kedua-dua kami serius. Tidak ada sengihan pun sambil Wira membuat sedutan lagi pada Nes aisnya.

Masuk bulan Ramadan, dua minggu pertama, dalam masih Wira berkira-kira dengan Saiful tentang dewan dan persiapan selayaknya, setiap kali dia merungut tentang samatuanya yang sedang sarat, saya tetap berkata: Sebelum 17 Ramadan, bersalinlah ‘tu…

Apabila mertuanya datang dari Parlimen Ketereh bagi menemani anak mereka sehingga bersalin, dan Ramadan telah melepasi malam Nuzul Quran, saya ubah sedikit ayat itu menjadi: Sebelum raya, bersalinlah ‘tu…

Banyak kali juga kami bertemu selepas solat tarawih di kedai-kedai tomyam sekitar Parlimen Kola. Wira memberitahu tiada tanda samatuanya bersalin sebelum Syawal. Saya tidak berkata apa-apa lagi. Cuma berdoa janganlah tarikh kelahiran anak Wira sama dengan tarikh perjumpaan raya yang sedang ditunggu…

Di belakangnya ada juga beberapa kali kami menggunjing: Samatua sedang sarat pun, dengan kami, hubungan berjalan seperti biasa. Panggillah waktu mana pun, Wira tetap akan datang, sekurang-kurangnya mengeNes.Kadangkala belum dipanggil, dia sendiri telah ada di luar rumah, terutamanya di Restoran Awie. Separuh Ramadan kejohanan bolasepak Piala Dunia FIFA berlangsung. Kena pula peminat tegar pasukan Brazil itu suka menonton perlawanan yang dipancarkan dari negara pengeluar kopi untuk Nescafe berkenaan bersama ramai orang. Agaknya itulah lesen untuk dia berlama di luar. Sementelah pasangan mertuanya setia menunggu di rumahnya menjaga cucu-cucu dan bakal cucu-cucu.


“Kalau aku tak keluaq, samatua aku pula suruh keluaq…”kata Wira kepada kawan-kawan rapatnya, termasuk kawan rakan yang tinggal jauh, yang kerap meleterinya dalam bentuk hurufiah…

Selepas Brazil ditundukkan oleh Jerman dengan jaringan yang selalunya di padang AlFalah dahulu sahaja ada angka begitu, 1-7, kami menjangkakan Wira tentulah akan terjelepuk di rumah seminggu dua. Maklumlah, warna kuning Brazil sentiasa bersamanya… Apalagi dengan ayat-ayat provokasi menjelang perlawanan melibatkan pasukan kesayangannya itu yang selalu muncul di WhatsApp. Tapi Wira memang profesional. Kalah malam ini, malam esok dia boleh keluar ke kedai macam tidak rasa terkepak hati langsung. Menonton perlawanan pasukan lain dengan selamba. Kalau semua peminat bola sepak sepertinya, tidak adalah yang menterbalikkan kereta polis, memecahkan cermin bas pasukan pelawat, atau menumbuk pengadil, seperti yang pernah berlaku di negara kita ini…

Sehari dua menjelang raya pun Wira masih tidak lekat di rumah pada waktu malam. Orang jauh – rakan-rakan yang bermastautin di luar Kedah - berkumpul di rumah Mariam di Pulau Gezambo, memakan laksa, dia ada bersama. Diajak mereka melepak di restoran mamak sehingga pukul 3 pagi, dia ok dan on sahaja. Entahlah. Mungkin samatuanya memang menyuruh dia keluar sehingga lewat malam begitu. Atau mungkin dia tidak mahu hipokrit di depan mertua. Ada atau tidak mereka di rumahnya, acara keluar malamnya tetap berlangsung. Dia ramai kawan. Selain grup BF, dia ada geng masjid, geng siasah, geng sepaktakraw bulat, geng futsal…

Selepas raya pertama, kalau ada di skrin namanya  sebagai penghantar mesej, saya berdebar sebelum membukanya. Demikian pula jika nama itu juga yang muncul apabila ada panggilan. Libang-libu juga untuk menjawab panggilannya.Takut benar kalau ia membawa berita samatuanya mahu ke hospital… Kalau boleh biarlah kemahuan itu ditunda sehingga raya kelima…

Lega apabila mesej dan panggilannya berkisar tentang persiapan dewan.

Pada hari perjumpaan, apabila dia membuat panggilan pada pukul dua petang, saya gelabah semula. Janganlah diberitahu dia sedang dalam perjalanan ke hospital… Lega lagi ketika dia menyatakan kebimbangannya kerana belum ada orang datang ke dewan. Biasalah… balas saya… kalau janji pukul dua, paling tidak setengah jam mesti berlaku kelewatan. Seluruh jagat tahu itu fiil kita…

******
Akhirnya masa itu tiba. Subuh 4 Ogos 2014. Ketika orang yang berpuasa enam sejak 2 Syawal, bakal menyambut Raya Enam, kembar itu pun lahir. Berselang 34 minit antara keduanya, didahului oleh bayi lelaki, pada pukul 5.51 pagi.
Ya. Mereka dikurniakan sepasang anak.

Teringat bagaimana Wira bercerita, ketika doktor mengumumkan bahawa yang pasti seorang anak bakal lahir itu adalah lelaki manakala seorang lagi pula… Doktor ditahan dari mengumumkan jantina yang seorang lagi itu, kerana samatua Wira amat mengharapkan kehadiran seorang bayi sejantinanya.  Tentulah hampa sedikit jika siap diumumkan kembar itu adalah sejantina si ayah…

Ternyata, doa samatua Wira dimakbulkan…

Melalui grup WhatsApp kendaliannya, saya tahu dia telah dikurniakan cahayamata itu. Pelbagai bentuk ucapan tahniah diterimanya dengan sebahagian sahabat turut mengucapkan selamat berpuasa buatnya. Macamlah selama ini pun dia tidak berpuasa…

Sesekali dinaikkan foto anak-anaknya itu ke dalam WhatsApp. Saya mengutip, memuatkan pula ke dalam fb grup BF, medium yang lebih luas, untuk pengetahuan rakan taulan dan Mark Zuckerberg juga. Ucapan tahniah untuknya terus datang. Saya muatkan lagi foto dari WhatsApp ke f b jika ada selepas itu.
Ketika membuat klip tentang makan laksam di Pulau Gezambo serta acara bersantai meraikan Ahmad Nazri di Pantai Leman, berdekatan Marina Harbour, saya terfikir untuk membuatkan juga klip tentang anak kembar Wira itu. Tambahan pula bahan-bahan utamanya, Insyaallah, cukup. Cuma prop saja kurang satu, maka saya pinjam buaian di rumah Mariam di Pulau Gezambo itu untuk mengisi ‘watak’ di dalam klip.

Sedang mencari idea bagi menyusun lima enam keping foto anaknya itu, muncul di dalam WhatsApp grup BF gambar ‘hidup’ dua anak kembarnya yang saling berhadapan dan berduet meraung! Kata Wira, dia memang sengaja melagakan mereka ketika samatuanya tidak melihatnya….Bertuah punya ayah!

Saya ingin memasukkan ‘aksi’ itu di dalam klip saya. Saya mencuba dengan aplikasi yang saya ada dan tahu, tetapi tidak berhasil. Bermasalah sedikit rasanya benda alah di dalam komputer saya… Ataukah saya belum khatam tentang cara menaikkan foto bergerak itu ke dalam komputer… Entahlah.

Berjumpanya di Restoran Sofia, Batas Paip [saya sangkakan Sofia dalam nama Mariam Sofia datangnya dari restoran warga Pattani itu, sebelum diberitahu itu adlah nama emak Wira….] pada satu malam yang basah, tiga empat kali saya menekan punat untuk melihat aksi dua anak dalam filem singkat arahan ayah mereka itu… Wira tersengih setiap kali mendengar lengkingan suara mereka. Sejujurnya, sambil melihat wajah dua bayi tersebut, saya mendapat idea untuk menyusun frame klip saya. Tetapi, idea itu tidak saya zahirkan lagi. Maka, apabila banyak kali mendengar suara anaknya saya mainkan di telefon, Wira pun bertanya, “Cikgu  teringin anak kecik ka….”. Dia terus tersengih, ketika saya pula tersentak. Mujurlah perbualan itu hanya didengari kami berdua, walaupun ada ramai pelanggan lain yang sedang menonton Manchester United terkapa-kapa cuba mencari kemenangan pertama musim ini….

Ada ka tanya lagu ‘tu 

Appara
******
Anak-anak Wira itu kemudiannya menjadi topik utama sepanjang hari di dalam grup WhatsApp apabila tiba masa untuk mendaftarkan  nama. Memang telah ada nama pilihan Wira dan samatua. Tetapi sengaja  agaknya mahu menggamatkan grup, beberapa orang telah mencadangkan pelbagai nama. Daripada nama-nama biasa bagi insan hinggalah nama aneh seperti Wira Aeroback dan Wira Angkasa!  Ketika Wira sebutkan satu nama, Nazri hinggakan membuka kitab sejarah Islam menerangkan perihal nama berkenaan.

Akhirnya tertulis sudah nama anak itu – Bilal Uthman. Bilal adalah sahabat kesayangan Nabi yang menangis ketika mahu melafazkan kerasulan Nabi Muhammad di dalam bait azan, setelah kewafatan Baginda, lantaran rindu dan sayangnya kepada Rasulullah. Kisah ini menarik hati Wira. Akan nama Uthman itu, selain juga salah seorang sahabat rapat Nabi, adalah sempena nama ayah Wira sendiri dengan ejaan yang diretrokan...

Itu nama bagi bin Wira.

Bagi nama untuk binti Wira pun tidak kurang riuhnya. Ada yang mencadangkan nama dirinya agar Wira pilih, ada cantuman beberapa nama, malah ada yang mencadangkan nama bintang filim… Apabila Wira menyebut nama Maryam sebagai pilihan – satu nama yang disebut di dalam AlQuran – seronoklah Mariam di Pulau Gezambo…. Tidak tahulah apa nama tambahan yang ada di kotak fikiran Wira serta samatuanya, tetapi saya cadangkan nama Maryam Jameelah – seorang mualaf yang pernah menggegarkan dunia kerana kepetahan serta keberaniannya berhujah dengan pemimpin tertinggi agama lain, termasuk agama asalnya.

Dan telah tertulis nama untuk bayi perempuan itu – Maryam Sofia. Sofia adalah nama emak Wira yang dahulunya dimelayukan menjadi Sofiah…

Saya teringat dua hal: Restoran yang kadang-kadang kami singgahi di Batas Paip berdaftar dengan nama Sofia. Salah seorang anak saya bernama Ainin Sofiya.   Ah, sebuah kebetulan…

******
Saya meminati lagu Seruling Malam nyanyian Ebiet G Ade, apabila teringat atau terpandang anak kecil di dalam buaian. Tetapi untuk memasukkan lagu itu ke dalam klip buat Wira, saya tidak pasti sangat, samada dia dapat menerima atau tidak lagu serta ‘lengkingan’ suara  Pak Ebiet… Liriknya memanglah sudah sesuai.


Dulu, saya seronok mendengar samatua merungut, sedang anak kecil galak menangis di buaian, di mana saya melagukan:
diakah anak kita
dia buah cinta kita
isteriku,
cuba redakan tangisnya

Kemuncungan mulut samatua saat begitu merupakan nikmat yang tidak dapat ditulis dan tidak juga mampu diucapkan…. Hehehe…

Wira pasti menyukai bahagian lirik itu, terutama ketika bayi-bayi menangis di buaian, sedang samatuanya sibuk di dapur, tatkala dia sedang ngobrol dan ngeNes di depan kedai Mi Abas…. Saya akan berikan tabik paling tinggi darjatnya kepada Wira, kalau dalam keadaan itu, sambil menyedut Nescafe ais,  dia boleh lagukan bahagian lirik ini di dalam telefon ketika dihubungi oleh samatuanya….
isteriku,
cuba redakan tangisnya

Hehehe..

Tetapi, secara seriusnya, mengenali siapa Wira dan mengetahui jati dirinya, saya yakin dia pasti terpikat pada bait –bait seterusnya ini:

Berbahagialah dan bersyukurlah
Atas kehadiran anak kita

Ingin kugendong dan kutimang-timang
Kuajak engkau bermain
Kenalilah bapamu
Kenali ibumu
Dan negeri ini tanah airmu

Segeralah dewasa
Dalam asuhanku
‘Kan kubimbing di jalan yang lurus
Jadilah anak berbudi
Penuh kebajikan
Menjunjung tinggi harkat kebenaran

Berbahagialah dan bersyukurlah
Atas kehadiran anak kita

Masalahnya, berdasarkan pergaulan agak rapat dengannya,saya dapat merasakan telinga Wira belum dapat menerima lagu seperti itu…. Nantilah…

Maka saya pilih lagu yang iramanya agak dekat di hati Wira. Lagu Gurindam Ibu. Ciptaan Osman Ahmad dan gurindamnya ditulis oleh S Kadarisman.

Masalahnya pula ada tiga versi lagu itu yang biasa saya dengar. Pertamanya lagu asal dari filem Hantu Kubor, nyanyian Aziz Jaafar dan Hashimah Yon, pada tahun 1959. Kedua, Aziz Jaafar berduet dengan Nona Asiah pada awal tahun 60-an. Ketiga, gubahan Ahmad Nawab, dengan irama yang lebih segar pada pertengahan dekad 70-an, nyanyian pasangan duet terkenal pada era itu: Hail Amir dan Uji Rashid.

Versi mana yang Wira suka?

Saya menjangkakan tentulah versi Hail-Uji, kerana lebih hampir dengan tahun kelahiran Wira sendiri. Maka saya pilihlah versi tersebut.

Tetapi, apabila mendengar dia jugameminati irama lama – kerana katanya dia cukup sukakan lagu raya versi lama nyanyian Saloma, berdasarkan klip yang dimuatkan oleh otai BF, Pawang Nujum, di dalam grup WhatsApp dan grup fb BF, di hujung Syawal lalu – saya jadi serba salah. Versi mana yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam klip anaknya?

Ketika hampir menyiapkan klip dengan lagu Gurindam Ibu nyanyian Aziz Jaafar/Nona Asiah, terfikir pula bagaimana jika dikatanya “saya suka nyanyian Hashimah Yon/Aziz Jaafar sebab versi itu asli dan lebih lama usianya…”?

Aduh…

Akhirnya, terhasillah tiga klip untuk keluarga Wira!

Terimalah hadiah kembar tiga klip sempena kelahiran kembar dua anaknya…

******
Ops…

Sementara bahan masih ada, sementara menunggu hari memuatnaik entri ini, sempat saya siapkan klip dengan lagu latar Serunai Malam. Eleh, macam kuih rayalah. Bahan yang sama, rasa yang sama, Cuma acuan berbeza. Dapatlah empat lima ‘mata’ kuih…

Maka untuk Wira, dengan bahan kandungan yang sama, diadun dan disaring lalu dimasak, dapatlah empat ‘mata’ klip…

Pilihlah mana yang mahu Bilal dan Maryam dengar dan ‘tengok’…..

Hehehe…

Wira, saya buat semua ini bukan kerana teringin anak kecik

Ada ka tanya lagu ‘tu 

Lain kali cubalah tanya, “Cikgu teringin anak kecik yang lahir dua tiga empat dekad yang lalu ka…?”

Pasti besar kebarangkaliannya untuk saya menjawab dengan fasih dan lancar. Serta tepat!

Hehehehe….

 ******
Nota 1:

Bagi hape yang murah-murah macam yang saya gunakan, tekan saja pada klip itu sebab memang tidak muncul ikon klip....hehehehe.... Ingat ada EMPAT klip!



Nota 2:

Lagu Seruling Malam saya dengar pertama kali dan lalu tertarik setelah membeli kaset ori Ebiet G Ade pada tahun 1985. Saya mendengarnya bersama Ustaz Fairose yang sama-sama pula meminati Ebiet. Kadang-kala bait 'isteriku, cuba redakan tangisnya...' kami nyanyikan kuat-kuat. Barang diingat, waktu itu kami masih tidak tahu siapa yang bakal menjadi isteri kami. Hanya tahun 1991 saya bernikah, dan dijejak Ustaz Fairose tahun berikutnya. sepuluh tahun setelah memekik bersama Ebiet barulah saya mendapat buah cinta....

Sebagai kenangan, khusus untuk Pirud [panggilan untuk ustaz yang muda setahun dari saya itu], saya perturunkan sepenuhnya lirik lagu tersebut. Jom kita melalak, Pirud.... Hehehe... Entahlah, masihkah dia ingat saat itu.....
Bulan keemasan, kuning berkilauan
Terdengar seruling bambu
merayap ke langit, menikam bumi
Bergetar seluruh jagat raya ini

Lengkingan tinggi bagai buluh perindu
adalah tangisan bayi
Diakah anak kita, dia buah cinta kita
Istriku coba redakan tangisnya

Sekelompok burung malam terbang
dan terbitlah bintang kejora
Memancarkan sinar cinta kasih
Bagi anak kita yang suci bersih
Berbahagialah dan bersyukurlah
atas kehadiran anak kita

Ingin kugendong dan kutimang-timang
kuajak engkau bermain
Kenalilah bapakmu, kenali ibumu
dan negeri ini tanah airmu

Segeralah dewasa dalam asuhanku
‘kan kubimbing di jalan yang lurus
Jadilah anak berbudi, penuh kebajikan
Menjunjung tinggi harkat kebenaran
Berbahagialah dan bersyukurlah

atas kehadiran anak kita


1 comment:

wiraosman said...

Bila baca... Mngalir air mata Xterasa