Helwi memesan laksam untuk minggu berikutnya kepada Mariam. Budak Batas Paip ingin tapau.. Zairi yang menjangkakan akan balik pada minggu itu mahu makan laksam juga. Akhirnya terjadilah pertemuan itu. Makan laksam di Pulau Gezambo - di rumah pasangan BF Zulkifli Shamsuddin dan Mariam Ismail.
Selepas berdakwa-dakwi hampir lima hari dalam WhatsApp geng BF [termasuk mempelawa, menjemput, mengesahkan kehadiran serta yang hilirannnya], tiba hari yang ditetapkan itu.
Ketika Mariam sibuk menyediakan kuah laksam serta melengat dan menggulung isinya di Pulau Gezambo, saya menyambut kepulangan Zairi di Simpang Empat. Lima jam dia memandu dari Lembah Kelang, dia mampu menghabiskan semangkuk ais kacang salju yang terkenal itu serta dua mangkuk bihun sup.Mukadimah untuk acara di Pulau Gezamb, agaknya. Sempat juga menunggu Cikgu Non yang sedang sibuk untuk ke UUM bagi tugasannya. Dalam sejam juga kami di situ.
Malamnya, sekitar jam 9.15, saya telah berada di rumah keluarga Zairi di Alor Ibus. WhatsApp saya lupakan semenjak masuknya Maghrib tadinya dan agak terkejut ketika membukanya ada lebih seratus masukan termasuk usaha memprovokasi rakan-rakan yang memang tidak boleh datang ke Pulau Gezambo. Siap dengan gambar sarapan petang... Tidak tahulah tahap kejakian insan-insan yang mereka sasarkan itu..
Takdak sapa mai pun...pintu terbuka luas....Agaknya ketika Mariam menaipkan begitu di telefonnya, saya dan Zairi baru saja masuk kePulau Gezambo. Dia sedang berbual dengan suami tercintanya, terus bangun sebaik nampak kami. Mengenakan tudung dan sempat menghantar mesej kepada grup: cikgu mai dah...hangpa maila...
Kami masuk, dipersilakan oleh Zul.
Suleiman bin Zulkifli |
Niat hati memang mahu menunggu tetamu lain tetapi maklumlah kami hanya tetamu. Tuan rumah sudah dua tiga kali mempelawa kami makan. Tidaklah sampai hati kami memaksa Zul yang pendiam itu sampai ke tahap menjerkah menyuruh kami makan.Nanti dikatakan buang tabiat pula insan itu kerana menggegarkan seluruh Pulau Gezambo...
Maka, tunggu apa lagi? Kami pun makanlah dari pinggan pertama... Lagi pula Mariam mengugut kami kalau dibiarkan lama, laksam itu akan mengembang. Daripada mengembang memenuhi ruang rumah, cukuplah kami biarkan mengembang di dalam usus.....
Slurrpppp.... Fuh....
Hanya itu yang dapat saya eja. Tiada kalimat lain. Makan laksam di tempat asalnya yang hanya sejarak sepuluh langkah dari tempat kami duduk itu. Unlimited lagi...sebab Mariam memang menyediakan dengan banyaknya!
Sambil itu grup WhatsApp terus aktif. Selain menghubungkan kami dengan kumpulan yang sedang menuju ke Pulau Gezambo, kumpulan yang berselerak di bumi Malaysia ini pula diberikan peluang menelan liur! Ada yang sehingga meminta Admin grup merehatkannya seketika supaya tidak payah melihat kami menelan kuah laksam...

Pinggan pertama laksam telah selesai dengan jayanya diparkir
ke dalam perut.
Dalam pada itu, Zul keluarkan sepinggan kacang tanah yang
telah digoreng. Mungkin proses gorengan itu telah agak lama kerana ketika saya
menyentuh kulitnya, tidak terasa kepanasan haba lagi. Pandai orang Pulau
Gezambo menyediakan makanan sampingan…
Maaflah kerana tiada khadam di muka pintu yang
mencatatkannya mahupun mengumumkannya. Ini rumah Zul dan Yam. Pasangan penduduk
marhaen Pulau Gezambo. Ini bukan rumah Ismeth Ulam Raja yang agam serta
mempunyai Chief Khadam…

Sementara itu, saya dan Zairi berbahagi pula laksam pada
pinggan kedua – takut ia mengembang dan melitup pandangan tetamu ke jalan masuk
rumah Zul-Yam…


Bakal bergelar Haji selepas Iduladha nanti itu datang
membawa maksud berganda pula kerana tidak lama setelah dia duduk itu, Mariam
telah membawakan sebekas serunding kegemaran emak Nazri, yang dipesan seminggu
dua yang lalu. “Kut-kut terlupa sat ni…” kata Mariam a.k.a Yam. Sahih sekilo
jisim serunding itu sebab ketika berbual kemudiannya Nazri mengeluarkan wang
senilai dengan harga sekilo. Entah berapa ratus ekor ikan telah Yam korbankan
semata-mata memenuhi permintaan BF yang bergelar Tan Sri tersebut…

Muncul Helwi Shahril
Ariffin bersama benda alah yang kecil tetapi mampu memberikan kita
pelayaran internet tanpa had, tanpa buffering serta boleh menjadi wi-fi. Saya
lupa apa nama atau sebutannya, juga ciri-ciri yang ditawarkan. Lupa juga untuk
mencatat di mana-mana. Ada gaya businessman
dalam lenggang masuknya. Benda alah itu merencatkan selera beberapa orang
terutamanya Husin apabila ditawarkan wi-fi percuma sebagai percubaan. Dia
melayan Youtube hingga terlupa bahawa laksam di depan merenungnya hiba malah telah
sampai ke tahap merajuk lantaran tidak diendah. Malek dan Nazri serta Wira
berebut mengemukakan soalan berkaitan benda alah itu sehinggakan seluruh Pulau
Gezambo kehairanan mendengar mereka saling memarahi dek soalan untuk Helwi
dipintas sewenang-wenang. Ada gaya tokoh korporat Helwi melayan soalan
‘pemberita’ di kiri-kanannya… Saya menumpang ‘line’ secara diam – memindahkan
foto yang Zairi, Wira dan saya paparkan di dalam WhatsApp ke laman fb Budak
Falah. Laju saja pindahan itu – lima foto masing-masing dalam hampir sepuluh
set… Bosan agaknya pelayar fb grup itu – “asyik-asyik muka yang sama”
dinaikkan…

[Semua yang belum tahu bertanya ke mana Cikgu Non? Sayang
sekali sahabat saya itu sedang sibuk mengatur strategi bersama anak buahnya di
dalam Kejohanan Sukan Sekolah Agama SeMalaysia di UUM. Kalau dia ada bersama,
tentulah catatan ini lain sedikit… Maklumlah ada pertambahan watak!]
Mulanya Babuji hanya memerhati rakan-rakannya
mengerumuni Helwi. “Taktau buat cara taktau Usin oi…senang!” katanya melihat
Husin empat lima kali menguis Helwi di celah-celah soalan belum berjawap ‘pemberita’
tadi – antaranya bertanyakan langkah-langkah supaya telefonnya mendapat talian
percuma itu.
Babuji mengeluarkan dua telefonnya lalu meletakkan di sisi
saya yang sedang menghala merata mengaplikasikan kamera dalam telefon. Dua telefon
oldschool seperti satu telefon saya
yang hanya boleh membuat dan menerima panggilan serta menghantar dan menerima mesej
ringkas. “Yang nu [telefon androidnya
yang saya lihat semasa bersidang di Restoran Awie sebelum Ramadan dahulu] hancoq dah …”katanya, “ anak perempuan
saya katok ataih lantai….” Babuji
tersengih. Hilang lagi matanya.
Mulanya…
Tetapi tiba-tiba Nazri menyuruh Babuji membaca doa, sebab
datang lewat. Ada ka? Babuji menolak
perlahan. “Hangpa tibai dah baghu nak suruh aku baca doa…”katanya. Patutnya
hangpa la baca tadi…”
Nazri menunjukkan
ketidakpuasan hati dengan terus menjolok Babuji dengan soalan-soalan
provokatif.
Tidak lama kemudian, Babuji pun ‘menibai’ laksam
bahagiannya. Sambil soalan dan lontaran cadangan kepadanya terus berjalan.
Nyaring Babuji membalas dalam menyuap dan mengunyah. Bertukar soalan dan jawaban sebenarnya dengan
Nazri. Tentang peranan imam di dalam hal nikah, hal kematian dan hal mengimami
solat serta hal khutbah.
Saya tahu akan ada ledakan.
Itu baru Nazri. Wira belum masuk lagi walaupun sudah dua
tiga kali soalannya kepada Babuji tidak dilayan atau didengari. Yang pelik
sedikit, setiap kali mahu atau selepas bertanya, Wira akan melihat ke arah saya
sambil terkerisin…
Dalam wajah serius terus, Nazri menjolok lagi sarang tebuan.
Sekali dua masih tidak mengapa. Tetapi apabila melibatkan tugas imam, tentang
elaun imam dan pentingnya berpesan-pesan secara berhikmah, Babuji lantas
mengeluarkan sengatnya. Habis Nazri, Wira [yang mencelah dengan soalan
provokasi serta menyokong Nazri], serta sesekali Helwi dan Malek disengat. Zul
hanya tersengih manakala Husin, anehnya, tidak bersuara sepatah pun. Keasyikan
melayan Youtube membuatkannya terpana – tidak peduli akan dunia luar skrin
telefonnya. Dia hanya tersedar setelah Helwi menghentikan penajaan sebanyak dua kali dengan Husin terketuk-ketuk dan sekali
memusing telefonnya apabila siaran
terputus….
Yam? Seperti Zul, dia hanya mendengar dan tersengih atau
tertawa pada tempat-tempat yang sepatutnya ada tugasan begitu. Sambil sebelah tangan memegang hujung buaian
Sulaiman, sebelah tangan lagi membelek atau
membalas WhatsApp apa yang patut.
“Tempat hang lagu lain…..orang bukan sama…” demikian kata
Babuji kepada Nazri apabila tiba topik menghadapi sikap dan sifat anak jemaah/kariah.
Zairi yang lama menjadi AJK masjid di
kejiranannya dahulu, dilihat mengakui hakikat itu. Tetapi dia juga banyak diam
dan tersenyum memerhatikan rakan-rakan berhujah.
Sampai bab khutbah dan cara penyampaiannya, entah kenapa
masing-masing tidak mahu beralah. Ada cabar-mencabar. Nazri yang awalnya duduk
bersila, bangun, berdiri lutut, serius menghala wajah kepada Babuji. Sekali dua
dia menggawang tangan serentak dengan lontaran hujah. Keasyikan mengelik dan
menaikkan di dalam fb membuatkan saya terlepas sedikit isi perdebatan mereka.


“Bulan sepuluh ni aku mai….” Kata Nazri lagi. Bengis lagi
wajahnya, macam pengurus pasukan bolasepak Piala Dunia yang mendakwa pasukannya
kehilangan seorang pemain dengan cara yang tidak patut…
“Nazri nak baca khutbah karangan sendiri…hang awat tak buat
khutbah sendiri? “celah Wira. “ Lecehla hang ni…”
“Ikut suka aku la nak baca hak mana pun!” serius jawapan
Babuji. Kami tergelak. Dengan Wira dalam perbualan berkumpulan, Babuji memang
cakap begitu. Lepas dan tegas. Bukan sekali dua saya mendengarnya. Tatkala
mereka berdua sahaja, ok pula. Tiada urat yang tegang. Mesra lagi. Agaknya
mereka berpakat untuk menjadi begitu bagi menghidupkan atau meriuhkan suasana…Entahlah.
“Hang mai minggu kedua. Minggu giliaq aku. Minggu lain takut kacau orang lain pula…” kata Babuji
kepada Nazri dengan ayat akhirnya berbentuk info dalam nada perlahan sambil
memandang meminta kefahaman saya. Saya mengangguk.
“Elaun..Elaun kena bagi kat Nazrila minggu tu…”celah Wira.
Nasib orang yang mencelah selalunya tidak baik. Apalagi jika
dianggap sebagai bias. Bukan sekali dua begitu pada malam itu.
Ada sekali, akibat ditekan kerana meninggalkan tugas – tidak
cukup lima waktu sehari sebagai imam - Babuji menunjukkan surat bersampul putih
yang dibawanya ke muka Wira – surat
berkursus. “Aku bukan sengaja tak pi masjid!” katanya serius dan Wira [yang
sebelumnya juga mengungkit Babuji meninggalkan masjid untuk bersolat tarawaih
di surau lain pada bulan Ramadan lalu]terkerisin memandang saya… “Hal imam
tarawih ‘tu depa dah atoq giliaq
elok-elok dah ….” kata Babuji sambil sekali lagi meminta kefahaman saya
dan sekali lagilah saya yang ikut terkerisin, mengangguk untuknya.
Pada kali lain, Babuji menyuruh Yam menyimpan kuah laksam yang
berada di dalam besen di atas meja di depannya. “Hang ambik taruh Yam, “kata
Babuji, “ sat lagi lokoih budak ni aku
simbah kuah!” Matanya tepat ke arah Wira… Saya tidak ingat apa punca dan soalan
Wira tetapi line yang dituturkan
Babuji itu [lebih kurang] akan saya ingat selagi waras!
Demikianlah.

Babuji kembali kehilangan mata ketika bersalam dengan semua
orang. “Takdak apa aih… saja syok-syok…”katanya kepada saya perlahan ketika
bersalam.
Semuanya balik hampir berturutan dalam sela masa yang
pendek. Didahului oleh Helwi - memang
begitulah agaknya businessman yang
berjaya dan bergaya..
Semuanya berterima kasih kepada tuan rumah – Zul yang cool dan Yam yang….entahlah. Tidak dijumpa ketika menaip ini, bunyi
yang seiras dan tepat… hehehehe.
Di luar, kami [Zairi, Wira, Malek, Jasni, Nazri dan saya]
bercadang untuk bergerak ke Restoran Awie – agaknya untuk membuat post mortem kepada perjumpaan tadinya.
Tapi Awie masih bercuti maka terpaksalah kami ke Restoran Sofia, Batas Paip
bagi menunaikan hajat. Malangnya atau untungnya Nazri tidak dapat bersama
kerana ada tugas keesokannya atau tepat lagi pada pertengahan pagi itu…
Tidak lama kami di situ. BerWhatsApp tentang acara di Pulau
Gezambo itu, berterimakasih secara bertulis pula kepada Yam-Zul serta membasuh
tekak yang masih ada lekatan kuah laksam tadi.
Ada BF yang dari jauh masih mengikuti ‘lawatan’ kami ke
rumah Yam dan Zul menasihatkan kami pulang merehatkan usus… Kami akur kerana
tinggal 6 jam lagi untuk bersarapan pula di Kola juga…
Apa pun, sehingga kini, detik-detik di rumah Yam dan Zul itu
tetap kekal di ingatan. Hampir semuanya. Dari mula kami masuk sehinggalah saat
kami keluar. Apa lagilah sebahagian detik itu terakam sama di dalam fb grup
BF….Selagi Mark Zuckerberg tidak tutup fb, selagi grup tidak dibubar, selagi
foto tidak dipadam,adalah untuk rujukan…


Malam itu kami puas. Berkumpul dan bermesra. Berpisah pun
dalam mesra.
Terima kasih Yam. Terima kasih Zul. Terima kasih warga Pulau
Gezambo.
Kerana laksam kami ke situ. Kerana laksam kami boleh begitu.
Laksam Yam.
Laksam Pulau Gezambo.
1 comment:
emmmmmmmmmmmmmmmmmm
Post a Comment