17 March 2015

Oh Munira!

Image result for nira nipahSiapa pulak Munira tu?

Demikian tanya seorang BF perempuan di dalam grup WhatsApp tatkala saya sengaja namakan Munira bagi nira pada satu tengahari yang kering...

Sengaja.

Kemarau panjang.

Ekuinoks.

Matahari tepat berada di atas garisan Khatulistiwa.

Apa-apalah.

Tengah hari, tengah panas, tengah terik begini asyik membayangkan minuman sejuk sahaja.

Lantas teringat nira nipah.

Kena dengan dinginnya dibaurkan dengan ais kiub.....fuh....

Terbayang saat ia melintasi kerongkong....

Satu petang Khamis, Hesba Tgb menagajak saya ke Sedaka, tempat tempat bersemayam mayang-mayang nipah... Salah satu tempat nira yang enak pernah dikhabarkan.

Malangnya, saya sedang bertugas pada waktu itu. Hasrat meneguk nira segar dari ladang terpaksa diurungkan. Moga ada lain kalinya.

Rabu berikutnya, sekali lagi Hesba Tgb mengajak ke Sedaka. Kali mungkin jadi. Dia pun bersiap sakan. Kami mengajak beberapa sahabat. Yang berkesempatan hanyalah seorang - Abby Zack.

Telah diatur. Kami bertemu di Tebengau untuk mengenderai kereta Abby Zack. Saya mengubah sedikit kemudiannya. Hesba Tgb di Tebengau, kediaman Rosdi Mansor, manakala  saya di Alfalah sahaja. Menunggu di situ. Cadangnya selepas solat zuhur akan bertolak.

Manusia mengatur.

Di rumahnya, samatua Hesba Tgb membuat usul: telefon dahulu bertanyakan tuan ladang...

Image result for nira nipah
Sedang menyabarkan tekak menunggu dilintasi nira, ada panggilan dari Hesba Tgb. Tiada rezeki. Ladang memang ditutup pada hari Rabu. Mujur ada usul dari samatuanya. Ismail Che Kar sendiri yang memberitahu melalui talian mudahalihnya.

Hampa rasa hati. Hampa lagi rasa tekak.

Abby sudah bersedia tetapi sudah juga dihubungi Hesba Tgb. Pastilah wajah jag berisi nira sedikit tercalar imejnya di minda Abby...

Apa mahu dikatakan lagi...

Tidak mengapa, kata Hesba Tgb.

Dia akan ke pintu masuk Lebuhraya Alor Setar Selatan. Di tepi  gerbangnya memang selalu ada penjual nira bermotorsikal. Hasrat menikmati nira telah menggebu di jiwa Hesba Tgb.

Sekitar 20 minit kemudian, Hesba Tgb menghubungi saya. Ada empat bungkus nira lagi., Jernih. Segar dari ladang di Sala.

Meski gembira, saya kehairanan, sebab dia menyuruh saya ke sebuah rumah di Batu Lima, pertengahan di antara rumahnya dengan kejiranan saya. tadi katanya di pintu lebuhraya. Ini di Batu Lima pula...

"Oih...kita ada plan B...."kata Hesba Tgb. Hebat guru muda ini. Macam Jackie Chan pula. Ada plan AB ada projek AB...

Tidak lama untuk saya sampai ke rumah rakannya. Dia tergelak menyambut saya. Ada sembilan bungkus yang diambil rakannya. Diletakkan di dalam tong polisterin. Jernih. Bening. Dan semestinya segar. Halkum saya naik turun...

Saya teringat Cikgu Siti Khadijah Othman dan Mariam Ismail akan bertandang ke tepi pagar Alfalah sebentar nanti. Mengunjungi gerai cendol dan bihun sup Zulkifli Ismail. Mahu menikmati menu di situ setelah sempat saya memberitahu tentangnya sehari sebelum itu.

Saya khabarkan kepada Hesba Tgb tentang itu. Dia memutuskan lima bungkus untuk saya bawa pulang manakala empat untuknya. Tengoorok terus bergerak. Saya klik sekali ke arah nira di dalam tong.

Sekejapan lima bungkus nira itu telah berada di dalam bonet {hehehe] motor saya. Dilatam ban bertar cantik dari Batu Lima itu sehingga ke Kg Perlis dan akhirnya di AlFalah.

Cikgu dari Alor Gandak dan BF dari Pulau Gezambo sedang menikmati cendol dan bihun sup ketika saya meminta segelas ais kiub dari Zul Isma. Saya buka sebungkus nira dan menuangnya ke dalam gelas berisi ais kiub tersebut. Lebihnya saya letakkan di atas meja.

Saya meneguknya. Munira melintasi kerongkong dengan sejuk dan selesanya.....Fuh...

Terurai rindu dan terlerai dendam!

[Cukuplah dahulu. Petang sebelum itu ada saya singgah ke rumah penghasil nira di kampung kelahiran saya itu. Nira memang ada tetapi terlalu sedikit untuk dikongsi bersama orang lain...]

Lebihan tadi diambil oleh Cikgu Khadijah.


Selesai sebungkus.


Image result for nira nipahAkan empat bungkus tadi saya faraidkan sama banyak keada dua tetamu Zul Isma itu. Dua untuk ke Pulau Gezambo dan dua lagi Ke Alor Gandak. Kata Mariam, ZulSham suaminya merupakan peminat nira walaupun tugas hakikinya mempromosikan minuman lain - Milo dan Nescafe. Cikgu Khadijah pula mengakui suaminya memang peminat tegar nira. Setiap kali berada di kawasan nira, minuman itulah yang dicarinya. Sesuai sangatlah saya berikan sahaja nira itu kepada mereka....

********

Bukan setempat dua nira dihasilkan. Selain Sala dan Sedaka, ada nira Alor Serdang, ada nira Kangkong, ada nira Telok Layang, ada nira Tebengau, Kg Pergam, Tok Keling....

Semuanya dengan rasa yang khabarnya berlainan, mengikut keadaan tanah dan persekitarannya. Kerana subjektifnya rasa, maka berbezalah pula bagi setiap penggemar nira, dari kawasan mana nira yang paling sedap. Kalau saya katakan yang terbaik dari Sedaka, Abby mungkin mengatakan nira Teluk Layang, Eddy akan sebutkan nira Alor Serdang...

Kawan lain yang pernah merasa nira dari Perlis, lainlah pula katanya...Tidak akan ada keputusan mukatamad. Maka mari kita tinggalkan hal itu di tekak....

Bagi budak Falah, suatu masa dahulu, nira Permatang Ibus mungkin yang terbaik. Mungkinlah. Ini bagi mereka yang pernah merasa nira dari mayang nipah Paklong Saidin, ayah kepada BF - Roshadah dan Md Isa.

Kini tunggul nipahnya pun telah tiada, tidak lama selepas ketiadaan Paklong Saidin. Yang tinggal hanya rumah di atas tapaknya...

Tidak jauh dari rumah Paklong Saidin, ada seorang lagi pengusaha nira - seorang ibu tunggal. Masih ada rimbunan nipahnya tetapi hasil keluarannya tidaklah banyak.

Ada seorang lagi pengusaha nira nipah. Lima ratus meter dari rumah ibu tunggal tadi. Sekali lagi, hasilnya tidak boleh diramalkan dan perlu menunggu giliran hari yang lama jika mahu menikmatinya.

Di Sungai Nonang, ada seorang pengusaha nira secara kecil-kecilan. bapa saudara kepada BF nan otai - Pawang Nujum. Kecil-kecilan itu bolehlah anda tafsirkan bagaimana akan sampai segelas dua nira nan jernih ke tekak kita yang tinggal jauh dari kampung tersebut...

Di Tebengau, ada dua pengusaha nira. Juga perlu membuat tempahan berhari-hari lebih awal, jika mahu merasai nikmat air jernih itu... [Saya dan dua tiga rakan guru Falah pernah menikmati nira Tebengau  [bersama kacang goreng timbang kati] yang diusahakan oleh ayah kepada tiga BF - Abdul Latif, Abdul Rahim dan Jamilah Rahim - pada hujung dekad 80-an dahulu. Tetapi khabarnya tiada pewaris bagi hasil nira itu di dalam keluarga mereka. Tunggul nipah tinggal kenangan...]

*********

Di hujung pagar AlFalah, suatu masa dahulu, ada seorang jiran Ustazah Rodziah mengusahakan nipah secara kecil-kecilan. Pakndak Non. Tidaklah banyak rumpun nipahnya, tetapi setakat sejag dua nira, bolehlah dipesan setiap pagi.

Pakndak Non menaiki motorsikal Honda C70 dengan nombor platnya PX****. Budak asrama - terutama Md Rautin - memanggil PX merujuk kepada Pakndak Non.

Ada cerita di antara Md Rautin dan seorang dua rakan sekolehnya dengan PX. Kerap, selepas prep, biasanya menjelang tengahmalam, mereka menyusup keluar pagar asrama. Senang sahaja mereka membasahi tekak dengan nira yang diangkat terus dari tandannya. 

Kerap, bukan sekali dua...

PX memang dapat mengesannya. Hendak dimarah atau diburu, dia kasihan kepada sekumpulan budak asrama yang sedikit nakal itu. Maka dia ada cara sendiri mengajar mereka.

Satu malam, Md Rautin dan rakan-rakan tersengih di dalam gelap. Banyak nira telah tersedia dalam salah satu bekas di tandan. 

Dengan lahap mereka menyedut melalui straw yang siap dibawa.

Aneh. Nira nan jernih tidak semanis seluloi....

Masing-masing berbisik.

Mereka pulang hampa. Ada makian di dalam hati.

Di dalam gelap di tepi rumahnya, PX tersenyum. Puas hatinya dapat membelanjakan budak asrama itu dengan sejag air pili....

Kah kah kah.

Derai tawa itu dari Md Rautin ketika saya singkap sejarah itu di bawah khemah kenduri di rumah Maklong/Maklang pada 15 Mac lalu. Kebetulan anak dan cucu PX duduk semeja dengan kami ketika itu....

"Ada lagi dak PX?"tanya Md Rautin.

"Lama dah takdak..."balas saya.

Md Rautin diam seketika.

Dia menggeleng kepala. Barangkali teringatkan arwah PX. 

Ketika rakan sekolehnya dahulu, Elyas Hj Awang, datang juga ke meja kami tidak lama kemudian, bab nira itu sekali lagi disebut.

Sekali lagi derai tawa tentang cungkilan silam itu memecah...

********
Teringat nira?

Jom!

Kalau tak dapat, mari kita nyanyikan lagunya:

Sungguh jernih
memang jernih
sungguh manis
memang manis
air dari pokok nipah
munira namanya

munira
oh munira

Image result for othman hamzah
Othman Hamzah

{sila ikut rentak lagu popular 70-an Musliha nyanyian Othman Hamzah}

Hehehe.

2 comments:

wiraosman said...

Bila Munira nk mai sofia

RUSLI BIN HASSAN said...

kesedapan tak terkira